Saturday, 22 February 2014

TERKINI!!! Semua mangsa lemas ditemui


Foto
PASUKAN Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat keempat, Mohd Nazreen Zainal. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

SEGAMAT: Suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian lapan remaja lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap selepas kesemua keluarga menangis sebaik sahaja penemuan tiga mayat terakhir, petang tadi.

Dua mayat mangsa lemas ditemui serentak pada jam 2.43 petang sebelum mayat terakhir ditemui kira-kira empat minit selepas itu.

Tiga mayat itu adalah Mohd Zaki Zaidi, 16; Mohd Izuan Hakimi Amin, 13, dan Mohd Hafizuddin Kamal, 16, dan ditemui kira-kira satu meter dari tempat mayat pertama ditemui semalam.

Sebelum itu, mayat Mohd Nazreen Zainal, 14 ditemui sebaik saja azan Zuhur dilaungkan untuk solat berjemaah, manakala mayat Mohd Shafiq Md Shukor, 16 ditemui jam 2.06 petang tadi.

Lokasi mencari dan menyelamat bagi hari ini dipanjangkan sehingga tiga kilometer daripada lokasi semalam.

Operasi hari kedua membabitkan 70 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan.

Seramai 20 anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Melaka dan Negeri Sembilan juga membantu pada operasi hari ini.

Semalam, 12 anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Johor terbabit dalam operasi mencari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, lapan sekawan terjatuh ke dalam Sungai Muar akibat tergelincir dari tebing yang runtuh.

Namun, mayat Mohd Hafzul Daniel Norhashim, 16, ditemui pada jam 3.29 petang diikuti Mohd Zikri Zaidi, 14, pada jam 3.41 petang dan Nazrul Aminuddin Zamri, 15, pada 4.22 petang semalam.

Jenazah Mohd Hafizul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepinang, dekat sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Sumber