11 Februari 2014
JOHOR BAHRU - Pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani, 25, hari ini mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan segala kenyataan yang dibuatnya adalah benar.
Perakuan sumpah itu dibuat Irfan sambil memegang al-Quran dengan disaksikan sekumpulan wartawan serta jurugambar di sebuah restoran di sini.
Minggu lalu, dalam sidang media yang dibuat selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Irfan berkata, perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.
Dalam pada itu, dalam majlis sama, Irfan juga mengakui ada menghantar surat bertarikh 4 Februari lalu, untuk memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan T-Team dan keputusan terbabit dibuat atas faktor kesihatan ibunya yang tidak menentu.
"Mak saya (berusia 54 tahun) kurang sihat dan saya risau dengan dirinya..atas sebab itu saya meletakkan jawatan secara rela. Di sini juga, saya ingin menegaskan perakuan berkanun dan sumpah al-Quran ini dibuat secara rela hati," katanya.
Sinar Harian Telus & Tulus