Wednesday, 12 February 2014

Tidak izin pokok petai ditebang

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2014

 Tidak izin pokok petai ditebang
  • Penduduk membuat bantahan menghalang tindakan mana-mana pihak yang mahu menebang pokok petai berkenaan.

PASIR MAS - “Kami sama sekali tidak akan membenarkan pokok petai ini ditebang,” tegas penduduk Kampung Binjai, Bunut Susu, di sini.

Ia berikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) datang untuk menebang pokok yang didakwa mengeluarkan bunyi kanak-kanak menangis dan mengeluarkan air seakan-akan air mata, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Abdul Razak Manaf, 57, berkata, pokok itu telah banyak berjasa kepada penduduk kampung dengan mengeluarkan hasil yang banyak sebelum ini.

Menurutnya, mereka tidak akan semudah itu membenarkan pihak Majlis Daerah Pasir Mas untuk menebangnya hanya kerana dikhuatiri boleh menyebabkan orang ramai melakukan perbuatan menyalahi  agama Islam.

Katanya, pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan tidak akan membenarkan sesiapa yang cuba melakukan perkara bertentangan dengan agama di pokok tersebut.

“Lagi pun pokok petai tersebut di bawah jagaan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Bechah Semak.

“Kami membuat pengawasan 24 jam dan pihak yang berniat serong tidak akan berkesempatan melakukannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka mengalu-alukan orang ramai yang ingin datang melihat keajaiban ciptaan ALLAH SWT.

Sementara itu, Ismail Loman, 57, berkata, malam kelmarin orang ramai tidak putus-putus datang ke kawasan tersebut untuk melihat lebih dekat kejadian pelik itu.

“Paling jauh ada yang datang dari Besut, Terengganu, dengan dua kenderaan, manakala selebihnya adalah penduduk dari sekitar Pasir Mas dan daerah berhampiran.

“Kami anggarkan lebih 100 orang datang seawal jam 8 malam hingga ke subuh,” katanya.

Menurutnya, pada malam kelmarin, pokok petai itu hanya menghasilkan titisan air sahaja dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi.

Ismail berkata, pokok itu mulai mengeluarkan air selepas waktu Maghrib hingga ke Subuh.

Sinar Harian Telus & Tulus