11 Februari 2014
Normaliah memasuki kamar mahkamah untuk memberi keterangan.
SHAH ALAM - "Saya bodoh kerana mempercayainya," kata Normaliah Mahmood, sambil menangis di dalam kandang saksi, hari ini semasa perbicaraan kes bunuh anaknya, Zara Eleena, 23, dan suaminya, Omar Peter Abdullah, 56.
Normaliah Mahmood, 53, yang menjadi saksi pendakwaan keempat itu memberitahu Mahkamah Tinggi, tertuduh, Shah atau nama sebenarnya, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20 mengatakan terdapat 25 ekor hantu padanya.
"Saya memang takut hantu," katanya sebak.
Wanita itu memberitahu mahkamah, menurut Zara Eleena, Shah yang kononnya seorang ustaz akan mengubatinya.
"Pada waktu itu, saya tidak sihat dan tidak boleh tidur," katanya.
Dia memberitahu, Shah tiba bersama Boy atau nama penuhnya Azizi Aizat Ibrahim,20, serta seorang lagi individu selepas Zara Eleena membuat panggilan telefon dengan menanyakan di mana pelajar itu berada.
Normaliah berkata, Shah memintanya tidur sebagai syarat mengubatinya namun dia tidak dapat melakukannya.
"Saya memang tidak dapat tidur, dan Yaya ( Zara Eleena) ada membuat air Nescafe 3 in 1 untuk saya minum. Suami juga menumpang cawan yang sama," katanya.
Menurutnya, sebelum pulang, Shah menyelongkar rumahnya untuk mencari hantu dan menjumpai hantu di dalam kotak barangan kemasnya.
"Suami angkat barang kemas saya yang disimpan di dalam kerusi kotak dan Shah mengasingkannya.
"Shah asingkan barang kemas yang ada hantu di lantai bilik," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.
Beliau berkata, sekitar jam 1 pagi 16 Februari 2012, Shah dan rakannya pulang.
Menjelaskan perkara berlaku selepas itu, Normaliah memberitahu dia dan Omar Peter tertidur sekitar jam 3 pagi sehingga jam 2 petang.
Aidatul Azura : Selepas bangun tersedar dari tidur, apa yang berlaku.
Normaliah : Saya memberitahu Yaya yang pada waktu itu baru pulang dari tempat kerja bahawa saya tidur.
Aidatul Azura : Apa reaksi Yaya?
Normaliah : Yaya bagitahu dia ada bagi ubat tidur pada saya kerana Shah menyuruhnya untuk berubat demikian.
Aidatul Azura : Ada puan bertanya mengenai hubungan Yaya dan Shah?
Normaliah : Sehari selepas itu, saya ada bertanyakan berkenaan hal itu dan Yaya mengakui Shah adalah teman lelakinya. Yaya juga meminta pandangan daripada saya memandangkan Shah merupakan pelajarnya.
Bagi menjelaskan hal itu, Normaliah bertanyakan kepada anaknya apa yang Shah lakukan selain belajar.
"Yaya memaklumkan Shah bekerja sebagai penarik kereta dan saya memberitahu penarik kereta adalah bahaya kerana mereka agak kasar Saya juga ada kawan yang bekerja seperti itu dan mereka kasar," katanya.
Terdahulu, Aidatul Azura menyoal Normaliah berkenaan perihal kehilangan kad bank dan wang milik Zara Eleeena.
Saksi keempat itu memberitahui, pada Januari 2012, Zara Eleena memaklumkannya melalui telefon selepas membuat laporan polis mengenai kehilangan wang dan kad bank itu.
"Saya tertanya-tanya bagaimana duit gaji dan duit yang kami berikan di dalam akaunnya boleh hilang sehingga Omar Peter terpaksa menghantar duit kepadanya pada waktu rehat untuk membeli makanan.
"Yaya sangat ambil berat terhadap barang miliknya. Pergi tandas, duit hilang, pergi mengajar duit hilang. RM10 pun boleh hilang,"katanya.
Normaliah berkata, Zara Eleena membuat satu lagi laporan polis bersama suaminya selepas mendapati wang tunai RM500 miliknya lesap.
Sebelum ini, pensyarah bahasa Inggeris itu dan bapanya ditemui mati di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, 11 Mac 2012.
Perbicaraan hari kedua itu berlangsung dihadapan Hakim, Datuk Abdul Halim Aman dan akan bersambung pada hari ini.
Sinar Harian Telus & Tulus