Friday, 7 March 2014

KES PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN!!! Hakim tegur pendakwa sentuh isu tak berkaitan

KHAIRUL ANWAR RAHMAT
6 Mac 2014

Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pasti
Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani

STOCKHOLM - SWEDEN. Perbicaraan kes pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal masuk hari ke lapan kelmarin dengan Shalwati dipanggil memberi keterangan. Mahkamah yang bersambung selepas rehat menyaksikan Shalwati disoal siasat dengan soalan bertubi-tubi serta mengelirukan oleh peguam anak-anak mereka yang dilantik kerajaan Sweden, Johan Kallus dan Clara Hjorth.

Hakim, Mattias Moller walau bagaimanapun, sekali lagi menegur supaya pihak pendakwaan hanya menanyakan soalan yang berkaitan dan tidak menyentuh mengenai isu-isu yang tiada bersangkutan dengan kes tersebut. Antara soalan yang dilihat tidak relevan termasuklah ketika pegawai pendakwa menyoal berkaitan ketakutan Ammar terhadap kegelapan dan kesukarannya tidur malam yang dikatakan sebagai punca Shalwati memukulnya. Shalwati sama sekali menafikan pertanyaan tersebut yang dilihat tiada kaitan memandangkan Ammar yang sudah remaja masih bersikap keanak-anakan.

Ketika ditanya mengenai hubungan dia dan anak lelaki sulungnya itu, Shalwati menjelaskan ia berada dalam keadaan baik dan harmoni sehinggalah Ammar menerima sebiji komputer dari sekolahnya dan meminta dia dan Azizul untuk memuat turun aplikasi permainan ‘minecraft’ ke dalam komputernya yang mungkin menjadi kegilaan di kalangan rakan-rakan sekolahnya pada masa itu. Walau bagaimanapun, Azizul enggan menuruti permintaan itu memandangkan permainan sama telah dimuat turun ke dalam ipad milik remaja berusia 12 tahun itu. Ammar dikatakan memberontak akibat kejadian itu.

Pegawai pendakwa sekali lagi cuba membuktikan perbuatan Shalwati memukul anak-anaknya menggunakan rotan apabila bertanya dan meminta Shalwati memberikan kenyataan berhubung rotan yang ditemui di kediaman keluarga mereka di Spanga, pinggir bandar Stockholm. Namun, Shalwati dengan tegas menjawab bahawa rotan yang dinyatakan dan digambarkan oleh anak-anaknya sebagai sebatang rotan yang panjang dan lengkap dengan pemegang bulat itu hakikatnya tidak terdapat atau wujud di rumahnya di Sweden. Rotan tersebut telah ditinggalkan di Afrika Selatan sewaktu perpindahan mereka ke Sweden. Sementara rotan yang ditunjukkan di Mahkamah dan dikenalpasti oleh Azizul dan Shalwati adalah sebatang rotan yang terpatah dua dan dibalut dengan pita pelekat digunakan untuk menggaru bahagian belakang badan selain dijadikan alat mainan oleh anak-anaknya.

Shalwati kemudiannya diasak sekali lagi dengan ditanya sekiranya rotan itu tidak terdapat di Sweden mengapa anak-anaknya bercerita tentang pukulan fizikal yang dilakukan dengan rotan tersebut. Shalwati tenang menerangkan bahawa wujud kemungkinan untuk keempat-empat anaknya merancang cerita yang sama berkaitan hal ini untuk menjawab soalan pegawai penyiasat sewaktu mereka tinggal berasingan dengan Shalwati dan Azizul yang ditahan reman sejak 18 Disember tahun lalu.

Dengan nada yang perlahan, Shalwati menerangkan anak-anaknya masih kecil dan Ammar hakikatnya masih belum matang. Ada kemungkinan dia berfikir dengan merancang dan bercerita bohong kepada orang, dia akan dikenali. Walaupun hakikatnya, dia tidak tahu apa kesan dan akibatnya termasuklah apa yang berlaku sekarang ini. Shalwati percaya itu bukanlah niat sebenarnya.

Ketika pihak pembelaan diberikan ruang untuk menanyakan soalan, Peguambela Kristofer Stahre bertanya mengenai apakah pembetulan yang dilakukan oleh Shalwati terhadap laporan sesi soal siasat beliau yang terdahulu. Shalwati menerangkan bahawa dia memadam perkataan selalu ‘usually’ pada ayat yang merujuk kepada perbuatan selalu memukul Ammar kerana sesi soal siasat yang pertama diadakan dirasakannya susah untuk difahami.

Saat ditanya berkenaan mengapa beliau tidak lagi menggunakan pendekatan hukuman fizikal ke atas anak-anaknya, Shalwati menjawab dengan merujuk kepada anak sulungnya Aishah. Shalwati menerangkan bahawa dia tidak akan sewenang-wenangnya memukul anak-anak untuk perkara ataupun kesalahan-kesalahan kecil sebaliknya hanya akan memberikan pukulan ringan untuk kesalahan serius bagi menyedarkan mereka terhadap kesalahan tersebut selain tidak mengulanginya pada masa hadapan. Di dalam situasi Aishah, hukuman fizikal didapati tidak berkesan ke atas satu-satunya anak perempuannya itu dan dia telah lama tidak memukul Aisyah untuk kesalahan-kesalahan serius. Sebagai seorang guru, Shalwati menerangkan jika sesuatu kaedah itu tidak berjaya dia akan menukar kepada kaedah didikan yang lain seperti menggunakan pendekatan psikologi. Kaedah pendekatan psikologi dilihat lebih berkesan di mana Aisyah ketika di meja makan akan berkongsi makanan dengan adik-adiknya dan sekiranya wujud masalah berkaitan penggunaan komputer, Shalwati berkata talian internet akan diputuskan dan komputer tersebut akan disimpan.

Shalwati turut menjelaskan dia tidak menggunakan kekerasan hukuman fizikal terhadap Ammar di Sweden kerana sikapnya di Sweden tidak begitu membimbangkan berbanding ketika tinggal di Afrika Selatan seperti memanjat bumbung yang beraliran arus elektrik. Sebagai pengajaran untuk Ammar, Shalwati kebiasaannya akan menyimpan komputer milik Ammar dan menutup talian internet di rumah.

Adam pula merupakan seorang anak yang baik dan tidak melakukan apa-apa yang dikatakan boleh membahayakan dirinya dan untuk itu beliau tidak mempunyai sebab untuk memukul Adam. Sebaliknya seperti yang diketahui Adam yang menghidapi disleksia. Shalwati dan Azizul akan bercakap dengannya secara berulang kali dan perlahan bagi membolehkan dia fokus dan faham akan kesilapan yang dilakukannya serta tidak mengulanginya lagi.

Sementara anak bongsu pasangan ini Arif disifatkan Shalwati sebagai seorang yang manja dan mereka sememangnya tidak memukul anak kecil itu kerana usianya yang muda dan tidak mengerti apa-apa. Sebagai anak bongsu dia dimanjakan oleh semua ahli keluarga. Arif yang terkenal dengan kuat menangis hanya akan menangis apabila ipadnya diambil ketika dia sedang leka bermain permainan video di dalam alat tersebut.

Akhirnya, Shalwati menafikan semua tuduhan itu dan memaklumkan mahkamah bahawa Aishah terkeliru dan mencampur adukkan kisah sewaktu mereka masih di Afrika Selatan. Begitu juga Ammar yang sering terpengaruh dengan buku yang dibaca dan filem yang ditontonnya lalu menyebabkan dia berlebih-lebihan dalam menyampaikan cerita.

Sementara Adam dan Arif yang masih kecil pula dikatakan mudah terpengaruh dengan sikap abangnya.  Shalwati turut mengesahkan persoalan Stahre di mana sekiranya pegawai penyiasat memberi amaran tidak boleh mereka cerita dan berbohong sewaktu soal siasat, pasti anak-anak mereka tidak akan berlebih-lebihan sewaktu bercerita.

Suasana menjadi pilu seketika apabila peguam bertanya tentang rancangan untuk anak-anak sekiranya kes ini tidak berlaku di mana mereka dijangka untuk pulang ke Malaysia tahun ini. Shalwati yang teresak-esak ketika menerangkan perancangannya menyatakan Aishah akan terus bersekolah di Sweden sehingga Ogos tahun ini dan kemudian akan mengambil peperiksaan IB untuk kebaikannya. Manakala Ammar, Arif dan Adam akan disekolahkan di sekolah antarabangsa untuk tempoh setahun bagi memahirkan mereka dengan perubahan sistem pembelajaran di samping mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik. Namun apa yang terjadi ini suatu ketentuan dan dugaan bagi mereka sekeluarga.

Perbicaraan bersambung 10 Mac depan.

Sumber