Friday 7 March 2014

SPR kaji kelayakan Anwar tanding PRK Kajang



PUTRAJAYA 7 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti peruntukan undang-undang berhubung kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari ini didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, memandangkan kes seumpama itu kali pertama kali berlaku, kajian terperinci harus dilakukan bagi mengelakkan sebarang implikasi.

``Kajian akan dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959,'' katanya kepada Bernama hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini mendapati Anwar yang juga Ketua Pembangkang bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa.

Abdul Aziz berkata, mengikut undang-undang, sepatutnya jika dikenakan hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000, secara automatik hilang kelayakan bertanding.

"Namun kita akan mengkaji adakah rayuan Anwar, jika dibuat, untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan boleh diguna pakai untuk beliau bertanding," katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang SPR mengenai perkara tersebut.

Pihak pendakwa merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012, yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd. Saiful di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Penamaan calon bagi PRK DUN Kajang ditetapkan Selasa ini dan pengundian pada 23 Mac. - BERNAMA

Artikel Berkaitan
SEGERA lantik ketua pembangkang
SAH!!! 'Bukti terlebih cukup sabitkan Anwar'
SPR kaji kelayakan Anwar tanding PRK Kajang
TERKINI!!! Saiful bersyukur dengan keputusan mahkamah
LIWAT!!! Anwar dihukum penjara 5 tahun
TERKINI!!! Anwar dibenar tangguh hukuman
Anwar didapati bersalah liwat Saiful

Sumber