Tuesday 18 March 2014

MH370::: 'Ya, saya memang sepupu Perdana Menteri tapi...'



SEPANG - Kredibiliti Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mula dipermainkan media barat apabila mendakwa beliau di bawah 'perlindungan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sidang media di Sama-sama Hotel pada petang tadi, seorang wartawan dari CNN mula mendakwa beliau tidak memberikan kerjasama yang baik dengan media dan juga lambat menyalurkan maklumat kepada semua pihak.

Wartawan tersebut juga mula mempertikaikan hubungan kekeluargaan beliau dengan Najib.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

"Ya, saya memang sepupu Perdana Menteri namun saya bukan berada di bawah perlindungan beliau.


"Pihak kami bekerjasama dengan 26 buah negara yang berbeza, banyak maklumat yang diterima dan perlu disahkan terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada media, tentunya ia memakan masa," katanya.

Beliau turut menegaskan, beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang dakwaan berhubung pencarian MH370.

Sumber

GUNUNG BUBU!!! Dua daripada empat mangsa ditemui meninggal dunia



KUALA KANGSAR: Dua daripada empat mangsa yang hilang di Gunung Bubu dekat Ulu Kenas ditemui meninggal dunia kira-kira 3.20 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Adam Asraf Azman dan Muhamad Amir Asyraff masing-masing berusia 17 tahun.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya membawa keluar jenazah Adam Asyraf sekitar enam petang sementara jenazah Muhamad Amir pula dikeluarkan sekitar pukul 6.45 petang.

Kematian kedua-dua mangsa disahkan Ketua Polis Kuala Kangsar, Supritendan  Ahmad Rabawi Abdul Jamil.

Mangsa merupakan sebahagian daripada empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang sejak Ahad lepas ketika menuruni terbabit dalam aktiviti 'jungle trekking'.


Aktiviti berkenaan disertai 21 pelajar yang mengikuti perkhemahan unit beruniform di sana sejak tiga hari lalu yang turut disertai enam guru pengiring.

Sementara itu dua rakan mereka, Muhamad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd Fitri ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat sekitar sembilan pagi tadi.

Mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Sumber

MH370::: Ahli keluarga kapten tidak lari


Ahli keluarga kapten tidak lari
Pekarangan kediaman Zaharie sunyi ketika tinjauan Sinar Harian, semalam.

SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan isteri kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah melarikan diri ke luar negara sehari sebelum kejadian tidak benar.

Menurut sumber terdekat keluarga, isteri Zaharie sebenarnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di rumah anak sulungnya di Subang.

Beliau berkata, wanita tersebut pergi ke rumah anaknya sehari sebelum kejadian.

"Beliau (isteri) sering berulang alik antara Shah Alam dan Subang apabila suaminya terbang.

"Kebanyakan masa dihabiskan di Subang dan hanya akan pulang ke rumah sekiranya kapten bercuti. Rumah ini boleh dikatakan sebagai rumah persinggahan untuk ahli keluarga berkumpul," katanya, semalam.

Menurut sumber tersebut, dia juga kecewa dengan spekulasi yang tersebar kerana sedikit sebanyak menjejaskan emosi keluarga serta memberi tanggapan buruk terhadap keluarga Zaharie terutama isterinya.

Sumber berkata, rumah Zaharie di Laman Seri di sini, dikawal ketat oleh pihak pengurusan.

"Pengawal keselamatan sentiasa berkawal di rumah Zaharie, malah orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut," katanya.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam, menunjukkan kediaman Zaharie lengang serta berkunci rapat.

Selain itu, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hitam diletakkan di garaj dan turut kelihatan seorang wanita dipercayai pembantu rumah sedang memegang seekor kucing berwarna kelabu.

Cubaan untuk menemu bual wanita itu tidak berjaya kerana dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Saya tak boleh cakap apa-apa kerana majikan tiada di rumah," katanya.


Pada 8 Mac lalu, pesawat MH370 yang dipandu Zaharie bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sebelum ini, media antarabangsa Daily Mirror melaporkan bahawa isteri Zaharie bersama tiga orang anaknya telah keluar ke luar negara sehari sebelum kejadian pesawat tersebut hilang.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati Facebook dan Instagram Zaharie telah ditutup dan dipercayai dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang menjejas imej keluarga.

Manakala, akuan Twitter beliau juga tidak mempunyai sebarang status lama dan kekal kosong.

Sumber

BONGKAR!!! Kes Di Sweden: Saya Rasa Terasing Dengan Ibu - Anak Perempuan

Oleh QISHIN TARIQ


Aishah, 14, (kiri) dan Ammar bersalam dengan ibu saudara mereka Norshalena Norshal (kanan) ketika hari pertama memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala di Kota Baharu.- fotoBERNAMA

STOCKHOLM: Anak perempuan pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak-anak mereka mengaku berasa terasing daripada ibu bapanya dan sering memikirkan ibu saudaranya sebagai ibu kandungnya yang sebenar.

"Saya rapat dengan adik-beradik perempuan ibu saya, saya rasa mereka seperti ibu saya yang sebenar. Saya tidak berasa dekat dengan ibu sebenar saya," kata Aishah.

Ketika mendengarnya, ibunya, Shalwati Nurshal membetulkan tempat duduknya, manakala bapanya, Azizul Raheem Awalluddin memandang ke bawah dan menyapu bahagian dahinya dengan ibu jari.

Ibu bapa Aishah telah ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas anak sulung mereka, Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia telah dipukul.

Apabila ditanya jika dia menyukai ayahnya, Aishah berkata dia juga tidak rapat dengan bapanya dan lebih suka bersendirian di dalam bilik.

Dalam rakaman temubual yang dijalankan sebelum ini dan ditunjukkan di mahkamah daerah Solna pada Selasa, Aishah mengimbas kembali pergaduhan dengan ibunya disebabkan pakaian yang dibelikan ibu saudaranya untuk Aishah.

"Pada suatu masa, makcik saya membelikan saya seluar jeans, dan ibu berkata sepatutnya harganya perlulah di bawah RM50.

"Tetapi saya mendapat dua pasang seluar jeans dengan harga sekitar RM100, jadi ibu memarahi saya dengan mengatakan ia terlalu mahal," kata Aishah.

Ditanya bagaimana perasannya, Aishah berkata dia berasa 'marah dan sedih', sambil mengoyak kertas tisu yang diletakkan di atas meja temubual.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Aishah berkata kesemua adik-beradiknya mahu tinggal dengan ibu saudara mereka di Malaysia, selepas dihantar ke rumah keluarga angkat di Sweden.

Aishah dan adik-beradiknya, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, telah diletakkan dalam jagaan ibu saudara mereka, Shalena Hisham Makhzan dan suaminya Nik Farid Nik Abdullah sebaik sahaja mereka kembali ke Malaysia pada 1 Februari.

Mereka kini telah bersekolah dan tinggal di Kota Bharu, Kelantan.

Sumber

KES Pasangan Malaysia di Sweeden::: Azizul tenang jawab soalan peguam pendakwa

KHAIRUL ANWAR RAHMAT
3 Mac 2014

Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pasti
  • Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak lelaki mereka. 
  • - Foto dipetik daripada Astro Awani

STOCKHOLM - SWEDEN. Hari ketujuh perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa di Mahkamah Daerah Solna atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga tahun 2013 hari ini menyaksikan giliran Azizul dipanggil memberikan keterangan.

Azizul yang memakai baju kemeja berwarna hijau lengkap bertali leher dan berkot hitam dipanggil bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa sebaik sahaja Mahkamah bermula pada jam 9 pagi.

Perbicaraan yang dijalankan dalam Bahasa Sweden dengan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa itu dimulakan dengan Azizul diminta untuk menceritakan mengenai latar belakangnya bermula dengan diri, keluarga, isteri dan anak-anaknya.

Beliau yang ditahan reman sejak 18 Disember tahun lalu sempat berkongsi saat manis menceritakan bagaimana isterinya, Shalwati menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap pagi dengan menaiki pengangkutan awam.

Saat ditanya adakah dia pernah melakukan kekerasan terhadap empat orang anaknya, Azizul menafikan perkara tersebut. Azizul yang mengaku mengamalkan cara didikan tegas bagaimanapun berkata dia telah mengurangkan ketegasan tersebut sewaktu berpindah ke Sweden kerana dikejutkan dengan situasi sedih yang berlaku sewaktu mendaftarkan persekolahan anak ketiganya, Adam.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Azizul kedengaran tersekat-sekat sambil ada ketikanya menundukkan muka sementara Shalwati yang memakai baju dan tudung berwarna merah dilihat mula mengesat air mata.

Seluruh mahkamah juga merasa hiba apabila Azizul menerangkan dia terkesan dengan situasi yang mana Adam tidak dibenarkan untuk didaftarkan di sekolah biasa sebaliknya diminta ke sekolah khas (slow learner) akibat daripada disleksia yang dialaminya.

Azizul yang menggelar Adam sebagai ‘streetsmart’ mengatakan akibat insiden itu, dia mengurangkan ketegasan bagi mengelakkan tekanan terhadap anak-anaknya terutamanya Adam.

Saat ditanya mengenai insiden-insiden pukulan yang didakwa dilakukan oleh beliau, Azizul menafikan ada memukul anak-anaknya di muka, belakang badan dan tangan sebaliknya menyatakan dia hanya memberikan pukulan ringan sebagai pengajaran kepada anak-anaknya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dan bukannya berniat mencederakan atau mendatangkan kesakitan.

Azizul yang ditanya berkaitan empat insiden di mana dia dikatakan memukul anak-anaknya menerangkan insiden pertama berlaku ketika di meja makan sewaktu menikmati makan malam yang mana Azizul berkata ianya adalah mustahil untuk beliau memukul Ammar ketika itu kerana tempat duduk anak keduanya itu berhadapan dengannya dan kedudukan itu tidak memungkinkan Ammar dipukul.

Insiden kedua pula dikatakan berlaku apabila Azizul menggunakan rotan sewaktu mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran. Azizul menegaskan ianya tidak berlaku kerana kayu nipis yang dikatakan sebagai alat memukul itu hanya digunakan sebagai penunjuk dan jika digunakan untuk memukul sekalipun, ia tidak mendatangkan kesakitan atau kesan.

Selain itu, terdapat juga insiden yang berlaku di dalam kereta di mana Azizul dikatakan memukul Ammar yang bertengkar dengan Aisyah sewaktu dalam perjalanan ke sekolah. Azizul menafikan kejadian tersebut dengan menceritakan dia hanya menyentuh bahu Ammar dan memintanya berhenti berbalah dengan kakaknya.

Sewaktu kejadian itu, Azizul yang sedang memandu terdengar anak-anaknya bertengkar apabila Ammar yang  duduk di bahagian depan menggerakkan kerusinya jauh ke belakang mengakibatkan Aisyah yang duduk di tempat duduk belakang tersepit. Aisyah yang beberapa kali meminta Ammar membetulkan kerusinya tidak dihiraukan menyebabkan Azizul menghalang dan meminta Ammar untuk membetulkan kerusinya.

Pegawai Pendakwa yang sentiasa cuba membuktikan Azizul ada memukul anaknya ketika ini bertanya mengenai kejadian Ammar dipukul semasa hari halloween. Azizul yang kelihatan tenang bagaimanapun menjawab mereka tidak menyambutnya kerana ia tidak dibenarkan di dalam Islam. Oleh itu, dia tidak tahu bilakah hari tersebut selain menyatakan kejadian ini tidak pernah berlaku.

Ketika ditanya bagaimana dia menzahirkan perasaan marah, Azizul menjelaskan kebiasaannya dia akan meninggikan suara selain membuat bunyi sama ada mengetuk meja atau tangga. Ada ketikanya dia turut memutuskan talian internet dan membuat kiraan sebagai amaran kepada anak-anaknya.

Perbicaraan bersambung 5 Februari 2014.

Sumber

Video Tribute Captain Zaharie Ahmad Shah





MH370::: BONGKAR!!! 5 LANDASAN DALAM SIMULATOR DISIASAT


5 LANDASAN DALAM SIMULATOR DISIASAT

Lapangan terbang di Maldives, Diego Garcia, tiga di India dan Sri Lanka ditemui

Kuala Lumpur: Pasukan penyiasat menemui perisian lima landasan sekitar Lautan Hindi dalam program simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya, di Shah Alam pada Sabtu lalu.


Menurut sumber, walaupun terlalu awal untuk membuat rumusan, penyiasatan mengambil kira penemuan itu sebagai satu daripada elemen siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dipandu oleh Zaharie.

“Antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.”

Sumber

GEMPAR!!! 'Raja Bomoh' kata Anwar kacang lupakan kulit


Bomoh

SHAH ALAM - Rupa-rupanya tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan nama 'Raja Bomoh' dalam satu ceramah politiknya di Kajang mengundang perasaan marah individu berkenaan.

Datuk Ibrahim Mat Zin yang dipetik sebuah blog berkata, tindakan Anwar mahu meraih populariti dengan menggunakan namanya sewaktu berkempen sebagai tidak wajar.

Malah Ibrahim turut mendakwa, Anwar sebagai "kacang yang lupakan kulit" kerana melupakan budi yang pernah diberikannya sebelum ini.

“Saya tidak pernah kenal dia, tapi dia pernah makan budi saya. Masa dia jadi Menteri Pertanian dia datag ke Sungai Manik, Perak. Masa itu dia datang saya sponsor (taja) dia makan. Tapi manusia lupa kulit, tak tahu nak cakap la (jenis) lupa orang. Kita tak lupa dia (tapi) dia lupa kita” katanya.

Beliau turut menjelaskan akan memfailkan saman malu terhadap Ahli parlimen Permatang Pauh itu kerana menggunakan nama dan popularitinya di dalam kempen dan ceramah pilihan raya.

“Anwar Ibrahim kalau dia lantang (bangkitkan lagi isu) saya akan sama malu, kerana dia menjual nama saya ketika (ceramah) pilihan raya kerana dia tidak ada modal.

“Dia cakap dalam Parlimen baru-baru ini, siasat siapa Ibrahim Mat Zin. Jadi dia nak siasat saya, siasat diri sendiri dulu, jangan tuduh orang bukan-bukan," bidasnya.

Katanya lagi kepada blog berkenaan, Anwar sepatutnya menjaga aib dan masalah sendiri, sebelum sibuk dengan isu orang lain

“Saya akan saman Anwar sebanyak RM300 juta, kalau dia main-mainkan saya. Biadap.. Kamu hakim agama ke? ” tegasnya lagi.

Ketua Umum PKR itu sebelum ini menggesa agar siasatan segera dijalankan terhadap bomoh yang melakukan upacara itu di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kononnya untuk membantu menjejak kehilangan pesawat MH370.

“Saya nak tahu siapa yang suruh, siapa yang membayar mereka, siapa yang membenarkan? Apakah ini bomoh ’1Malaysia’?

“Mana pergi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)? Mana pergi menteri yang membiarkan perkara itu berlaku?

“Bila bomoh buat sebegitu, panggil pula media antarabangsa (buat liputan), tak malukah kita? Ini (perbuatan) syirik,” katanya.

Sumber

SEDIA!!! berdepan satu lagi krisis kewangan


Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan satu lagi krisis kewangan dunia yang dijangka berlaku berikutan kenaikan harga dan kurang kuasa membeli.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata negara perlu merangka strategi berdasarkan pengalaman lalu dan mencari punca krisis.

"Dengan krisis kewangan semasa dan yang lepas, kita perlu meneliti dan seterusnya mencari idea-idea mengenai cara bagi menyediakan diri kita untuk mengatasinya," kata beliau pada sidang akhbar selepas sesi meja bulat antarabangsa Yayasan Kepimpinan Perdana, mengenai 'Bertahan Dalam Krisis Kewangan Global Akan Datang', di sini, hari ini.

Beliau berkata peringkat pertama akan melibatkan memahami mekanisme dan apabila dicapai, krisis berkenaan boleh diuruskan.

"Saya bekas doktor dan pendekatan kita perlu seperti seorang doktor," kata beliau.

Sesi meja bulat itu membincangkan cara-cara untuk mengatasi krisis kewangan dan hasilnya akan dikemukakan kepada kerajaan.

Sesi itu dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana dan ditaja oleh YTL Corp Bhd, Malaysia Airlines, Bina Puri, Westports, AmBank, UEM dan Bank Rakyat.

Pesertanya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Timbalan Pengerusi Khazanah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi AmBank Tan Sri
Azman Hashim, Pengarah Urusan YTL Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony Life Tan Sri Azman Yahya dan Pengerusi ISIS Tan Sri Jawhar Hassan.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata beliau sedih dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, sejak 8 Mac lepas.

"Anehnya ia tidak boleh dikesan melalui satelit dengan 20 negara membantu dalam usaha mencari dan menyelamat," kata beliau. - Bernama

Sumber