Thursday 5 June 2014

Dr M ::: JAIS tak patut serbu majlis kahwin


Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Syarahan Perdana Presiden UIAM bertajuk "Contemporary Islamic Lifestyle:Fitting in or Taking the Lead" di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

GOMBAK - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memang berhak menyiasat agama seseorang, tetapi tidak patut menyerbu majlis perkahwinannya.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan Jais merujuk kepada al-Quran kerana di dalam kitab suci itu terdapat banyak larangan berhubung tindakan terhadap seseorang yang tidak mengaku beragama Islam.
 
"Kamu (Jais) boleh menyiasat, tapi tidak boleh menghalang orang berkahwin. Apabila kamu menghormati agama orang lain, orang agama lain juga akan menghormati kamu.
 
"Saya ingin mencadangkan supaya mereka (Jais) kembali kepada al-Quran dan tidak membuat tafsiran sendiri (mengenai ayat al-Quran)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Contemporary Islamic Lifestyle: Fitting In or Taking the Lead' dalam Siri Syarahan Perdana Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

 
Bekas perdana menteri itu berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor Ahad lepas.
 
Jais mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. - Bernama

ZALIM !!! Lelaki humban bayi dalam gaung


Suspek membawa polis ke dalam gaung, lokasi bayi malang tersebut dihumban.

SHAH ALAM – Seorang lelaki bertindak kejam menghumban bayi berusia enam bulan, anak kepada seorang pekerjanya ke dalam gaung di kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands.

Mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik dan disumbat ke dalam beg pakaian, sebelum dihumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 70 meter itu oleh suspek yang difahamkan bimbang bayi hasil hubungan sulit pekerjanya itu diketahui orang lain.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu yang merupakan seorang ejen pembantu rumah terbongkar setelah ibu bayi berkenaan yang berusia 33 tahun membuat laporan di Balai Polis Kota Kemuning.

Menurut sumber, penemuan mayat bayi kira-kira jam 11 pagi itu selepas seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sebagai suspek, ditangkap.

Kata sumber tersebut, lelaki itu mendakwa, bayi berkenaan dipercayai anak kepada salah seorang pembantu rumahnya dan berdasarkan keterangan suspek, bayi itu mati di sebuah asrama pekerjanya di Kota Kemuning, di sini, Sabtu lalu.


Difahamkan pembantu rumah berkenaan dipercayai mengandung akibat dirogol oleh salah seorang bekas majikannya tahun lalu.

“Suspek bersama isterinya lari sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel di Cheras selepas kejadian itu.

Suspek bersama isterinya kemudian berjaya ditahan, di sini, kelmarin.

"Suspek direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan," kata sumber.

Sementara itu,  pasukan forensik terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat bayi tersebut ekoran kedudukan lokasi gaung yang curam dan cuaca lembab. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, difahamkan pembantu rumah berkenaan ketika disoal siasat mendakwa dia dan rakan-rakannya dipaksa bekerja tanpa permit dan tidak pernah  dibayar gaji.

“Bertindak atas maklumat, Isnin lalu pasukan polis berjaya menyelamatkan enam pekerja asing. Ejen itu juga dipercayai menawarkan perkhidmatan pembantu  rumah jangka  pendek.

“Pekerjanya  juga dipercayai telah dieksploitasi secara seksual oleh majikan dan ejen itu. Siasatan awal mendapati tiga rumah yang dipercayai digunakan untuk mengurung semua pekerja itu,” kata sumber itu lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Sinar Harian

GEMPAR !!! Pelayar Britain dakwa nampak MH370



PHUKET - THAILAND. Di kala perkhabaran berita mengenai status di mana MH370 masih kabur, sebuah portal berita Thailand melaporkan seorang pelayar wanita dari Britain mendakwa melihat MH370.

Katherine Tee, 41, dilaporkan melihat pesawat ketika belayar merentasi Lautan Hindi dari India ke Phuket tetapi hanya memberitahu pihak berkuasa baru-baru ini kerana takut aduannya tidak akan diberi perhatian serius.

Menurutnya ketika kejadian, suaminya Marc Horn, 50 bersama beberapa krew sedang tidur di bawah dek kapal dan dia sedang melakukan pemantauan di waktu malam .

"Saya melihat sesuatu yang kelihatan seperti kapal terbang terbakar. "Itulah yang saya fikir ia adalah," katanya yang dipetik dari Phuket Gazette.

Katanya lagi: "Kemudian, saya fikir saya mesti gila... Ia menarik perhatian saya kerana saya tidak pernah melihat kapal terbang dengan lampu oren sebelum ini, jadi saya tertanya-tanya apakah ia."

Tambahnya, dia dapat melihat garis asap hitam  yang terhasil dari belakang pesawat terbabit di sepanjang laluan kapal terbang di udara.

“Sekurang-kurangnya ada dua pesawat terbang melalui ruang udara dari arah bertentangan pada masa itu, saya fikir mungkin pesawat lain mungkin melihat kebakaran yang terjadi pada badan pesawat tersebut dan melaporkannya serta-merta,” jelasnya.


Tee yang agak tergamam dengan cahaya api tersebut kemudiannya beranggapan mungkin ianya cahaya dari meteor.

“Saya masih ingat pesawat itu datang dari arah utara dan meluncur terbang dengan api marak pada badan pesawat menuju ke arah selatan,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, sebaik sahaja berita kehilangan MH370 kedengaran melalui radio kapal, Tee dan suaminya mula menyemak semula log perjalanan mereka.

Pasangan tersebut kemudiannya mula menyedari kemungkinan objek terbakar yang terbang di ruang udara merupakan pesawat MH370.

“Kami melihat semula data perjalanan yang telah kami rekodkan sejak awal dan salah satu laluan laut yang kami lalui hampir sama dengan laluan udara di mana pesawat tersebut dilaporkan hilang,” kata Tee.

Memetik laporan itu, kedua-dua pasangan itu dilaporkan telah menemui pihak Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang mengetuai pencarian MH370, tetapi organisasi tersebut belum mengesahkan perkara ini.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari skrin radar pada 8 Mac tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing. - Sinar Harian