Tuesday 1 July 2014

BONGKAR !!! Mahkamah NZ tarik balik perintah larangan



WELLINGTON - NEW ZEALAND. Mahkamah New Zealand hari ini umum menarik balik larangan untuk tidak mendedahkan identiti seorang suspek diplomat dari Malaysia yang didakwa terbabit dalam satu kes serangan seksual dan rompakan di negara itu.

Seperti yang dipetik melalui portal TVNZ, Hakim Daerah Wellington mengumumkan kebenaran untuk mendedahkan nama suspek setelah dicabar oleh pertubuhan media negara itu.

Suspek, Mohammad Rizalman Ismail yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Wellington.

Dalam insiden 9 Mei lalu, suspek dalam lingkungan 30-an didakwa melakukan serangan seksual seorang wanita berusia 21 tahun selepas mengekori mangsa sehingga ke rumahnya.


Pada 10 Mei lalu, suspek dikatakan hadir buat kali pertama di Mahkamah Daerah Wellington namun tiada media yang hadir ketika pembicaraan untuk membuat liputan.

Akhir bulan lalu, seorang hakim New Zealand telah mengeluarkan perintah larangan "suppression order" bagi mengelakkan identiti lelaki didedahkan.

Semalam, Kementerian Luar New Zealand secara rasmi telah meminta negara terbabit untuk mengetepikan kekebalan diplomatik tetapi permohonan itu dikatakan telah ditolak.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu sidang media hari ini, mengesahkan laporan tersebut dan beliau menjamin satu siasatan akan dijalankan ke atas suspek oleh pihak berkuasa di negara ini. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Wisma Putra dijangka jawab isu diplomat dituduh lakukan serangan seksual di NZ

Anifah Aman bakal mengadakan sidang media pada jam 12 tengah hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan satu sidang media hari ini yang dijangka antara lain bagi menjawab isu seorang diplomat di New Zealand yang didakwa terbabit dalam satu kes serangan seksual dengan niat untuk merogol.

Menurut laporan The New Zealand Herald, Perdana Menteri New Zealand John Key mahu negara terbabit untuk memberikan pendirian yang jelas dan mahu diplomat berkenaan – di mana identitinya dan dari negara mana tidak didedahkan – untuk bertanggungjawab.

Tambah beliau, walaupun diplomat terbabit terlepas dari pendakwaan di New Zealand, namun beliau akan menghadapi tuduhan yang serius di negaranya.

Laporan itu turut berkata Kementerian Luar New Zealand secara rasmi telah meminta negara terbabit untuk mengetepikan kekebalan diplomatik (diplomatic immunity) tetapi permohonan itu dikatakan telah ditolak.

“Pilihan New Zealand adalah untuk mendakwa beliau. Namun negara terbabit menghalang kami berbuat demikian,” katanya kepada pemberita.


Dalam insiden 9 Mei itu, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an didakwa telah mengekori seorang wanita berusia 21 tahun ke rumahnya sebelum melakukan serangan seksual.

Lelaki terbabit yang dikatakan seorang diplomat hadir buat kali pertama di Mahkamah Daerah Wellington pada 10 Mei lalu namun tiada media yang hadir ketika pembicaraan untuk membuat liputan.

MalaysiaKini.com sebelum ini melaporkan bahawa diplomat berkenaan bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand.

Portal berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan identiti diplomat terbabit kerana menunggu jawapan rasmi Wisma Putra.

Laporan yang sama berkata, akhbar di New Zealand dihalang daripada mendedahkan nama pesalah atau negara asal beliau selepas seorang hakim New Zealand mengeluarkan perintah larangan "suppression order" bagi mengelakkan identiti lelaki didedahkan. - Astro Awani

GEMPAR !!! Redzuan dipecat kerana kritik pentadbiran Umno


SHAH ALAM - Pemecatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman didakwa sebagai hukuman kerana mengkritik pentadbiran Umno.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan itu bagaimanapun tetap melahirkan rasa kecewa.

Katanya, tindakan itu tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila kajian Mohamad Redzuan itu memihak kepada pembangkang.

"Hukuman itu cukup pantas menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno.

"Penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata-mata untuk mempertahankan kepentingan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mohammad Redzuan dilaporkan menerima arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meletakkan jawatan.

Bukan itu sahaja, jawatan beliau sebagai dekan kepada Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti itu juga tidak diperbaharui.

Kesal dengan sikap KPM itu, Datuk Saifuddin Abdullah juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai felo penyelidik kanan di fakulti sama di Universiti Malaya (UM) berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak.

"Tindakan terbaru ini bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi," katanya. - Sinar Harian

Dulu ERRA, kini IZREEN...


DRAMA Kerana Terpaksa Aku Relakan (KTAR) kini mencetuskan fenomena di slot Akasia TV3 sehingga tidak keterlaluan untuk penulis katakan, ramai yang menanti drama itu setiap jam 7 malam.

Dek kerana drama itulah, nama dua gandingan utamanya, Amar Baharin dan Izreen Azminda menjadi perhatian ramai.

Keserasian mereka di dalam drama itu, membuatkan ada pihak mula mengada-adakan cerita bahawa Amar dan Izreen kini menjalinkan hubungan cinta sekali gus, Amar dituduh punca perceraian aktres itu dengan bekas suaminya, Riza Baharuddin Jun
lalu.

Buktinya kelmarin, sebuah artikel (bukan Sinar Harian) disiarkan mengenai kisah sebenar di sebalik penceraian Izreen sekali gus mengheret nama Amar di dalam masalah rumah tangga aktres itu.

Artikel tersebut mendedahkan hubungan Izreen dan Amar mula disyaki melebihi kawan biasa beberapa bulan lalu semasa mereka menjalani penggambaran KTAR.

Tidak berdiam diri dengan tuduhan itu, Amar memberi jawapan menerusi laman Instragramnya bahawa, dia tidak memerlukan publisiti seperti itu untuk mempromosikan drama KTAR kerana peminat lebih pandai menilai kualiti dari khabar angin yang tak sahih.

Malah tatkala ditebak Zass mengenai perkara sama, Amar berkata, biarlah orang menyebarkan fitnah itu menanggung dosa.

"Yang pasti, apa yang diperkatakan dalam artikel itu tidak betul dan biarlah orang yang menyebarkan menanggung dosa," katanya.

Amar yang sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan Primadona filem Malaysia, Erra Fazira berkata, dia melihat perkara ini kerana pengaruh KTAR.

"Bagi saya ini cuma sebahagian permainan industri hiburan. Tak ada gosip, kurang rencah dan sendu pula industri nanti," ujarnya.


Menyentuh perihal hubungannya dengan Izreen selepas gosip tersebut disiarkan, Amar berkata : "Tidak ada apa-apa yang terjejas antara saya dan Izreen kerana memang jelas kami tidak mempunyai apa-apa hubungan.

"Selepas penggambaran drama itu berakhir, kami buat hal masing-masing," jelasnya.


Pengaruh Tajul Razin

Membawakan watak Tajul Razin dalam drama KTAR, Amar mengakui popularitinya sedikit berubah sejak menjayakan drama itu.

"Bagi saya terkenal atau tidak, saya tetap hidup biasa seperti sebelum ini. Cuma sekarang ini, saya nampak nama Amar Baharin kerap keluar di akhbar, majalah.

"Apa pun saya percaya watak Tajul Razin itu  tetap memberi kesan. Banyak cabaran perlu saya pikul dalam membawa watak itu," katanya. - Sinar Harian