Thursday 3 April 2014

HOLLYWOOD mahu filemkan tragedi MH370


J.C Spink

PASUKAN produksi filem di Hollywood bakal menerbitkan filem versi insiden MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Penerbit Eksekutif filem thriller 'Red Eye', J.C Spink mengesahkan bahawa projek filem itu sudah mula dibangunkan oleh rakan-rakan sepasukannya.

"Kami sudah mula merancang filem ini, buat masa sekarang sudah ada 50 orang sedang menguruskan 50 buah projek yang berlainan bagi menghasilkan filem yang seakan sama dengan MH370.

"Ada sesuatu yang terjadi dalam penerbangan MH370, yang kita semua tidak tahu, misteri kehilangannya merupakan satu idea yang bagus untuk filem ini," katanya.


Walau bagaimanapun, menurut laporan The Star, penerbit filem dan salah seorang pengasas KRU Studio, Yusry Abdul Halim tidak akan memfilemkan tragedi MH370.

Menurut pengarah filem Vikingdom itu, tragedi yang menimpa MH370 merupakan insiden yang terlalu sensitif kepada keluarga penumpang pesawat terbabit.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya faham ia satu isu yang amat sensitif, tapi bagi studio di Hollywood mereka bebas untuk mengfilemkan kisah ini kerana ia tidak menyentuh sensitiviti mereka," ujarnya.

Sumber

TERBARU !!! Suzuki GSX1250FA pesaing tegar baharu


Suzuki GSX1250FA

SEKIAN lama menunggu variasi motosikal berkuasa tinggi keluaran Suzuki, kini pengedar jenama legenda dari Jepun di Malaysia, Suzuki Assemblers Sdn Bhd membawakan beberapa siri motosikal berkuasa tinggi baru-baru ini.

Antara model yang diperkenalkan ialah jentera yang memiliki kombinasi lengkap: kacak, tangkas dan laju - Suzuki GSX1250FA.

Jentera sport-tourer berkenaan dibangunkan khas buat mereka yang gemar melakukan aktiviti jelajah sama ada dalam keadaan santai mahupun memerlukan kelajuan tinggi.

Dari sudut reka bentuk, jentera ini membawa aspirasi reka bentuk tulen Jepun yang mengutamakan gaya sporty dengan fairing aerodinamik.

Selain mementingkan penampilan lebih moden, Suzuki turut mengambil kira aspek ergonomik dengan menyediakan fungsi tempat duduk boleh laras ketinggian dan panel instrumen kelompok berinformasi lengkap yang mudah difahami.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 1255cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 97 kuasa kuda dan 107Nm tork maksimum. Enjin DOHC sejukan cecair tersebut disokong oleh sistem suntikan bahan api digital untuk memberikan penyebaran tork rendah yang lebih lancar.

Sistem suntikan termaju daripada Suzuki itu digabungkan dengan sistem Suzuki Dual Throttle Valve untuk menghasilkan tindak balas segera daripada bacaan pendikit, penghasilan kuasa linear yang lebih lancar dan penggunaan bahan api lebih ekonomi.

Hasil daripada teknologi tersebut,  enjin 1,255cc mampu menghasilkan tork maksimum hanya pada putaran 3,700rpm.  Oleh yang demikian, daya pecutan optimum dapat dihasilkan lebih awal dan menjamin kuasa yang diperlukan pada rev rendah. Kuasa daripada enjin motosikal ini dipindahkan melalui transmisi enam kelajuan.


Mengikut data di atas kertas, setiap isian penuh tangki 19 liter mampu melengkapkan perjalanan sejauh 380 kilometer (km). Suzuki GSX1250FA merekodkan penggunaan bahan api yang sangat baik iaitu 5 liter untuk setiap 100 kilometer walaupun memiliki jumlah berat badan 257 kilogram (kg).

Suzuki GSX1250FA menggunakan fork jenis teleskopik dan suspensi jenis hubungan di bahagian belakang bagi sistem penggantungan keseluruhan. Sistem penggantungan yang dihubungkan kepada bingkai utama diberi perhatian sewajarnya untuk mendapatkan keupayaan pengendalian yang lebih tepat.

Jentera ini didatangkan dengan set rim ringan yang dibaluti tayar bersaiz 120/70 ZR17M di bahagian hadapan dan 180/55 ZR17M di bahagian belakang. Bagi daya hentian, jentera ini dilengkapi dengan sistem brek cakera berkembar 310 milimeter (mm) di bahagian hadapan yang bekerja dengan angkup empat piston Tokico. Manakala pada bahagian belakang, Suzuki menggunakan brek cekera tunggal 240mm dan angkup daripada Nissin.

Kedua-dua bahagian sistem brek tersebut disokong oleh sistem ABS yang didatangkan sebagai ciri standard.

Kehadiran Suzuki GSX1250FA bakal merancakkan lagi suasana pasaran industri dua roda. Sekurang-kurangnya, jentera ini dapat membeli variasi pilihan baharu selain model sedia ada BMW K1300S, Kawasaki Ninja 1000 dan beberapa model daripada pengimport bebas seperti Yamaha FZ1 dan Honda VFR1200F.

Sumber

BONGKAR !!! Bagaimana jika tidak terhempas?



SPEKULASI berhubung MH370 sentiasa wujud sejak hari pertama pesawat MAS itu hilang 8 Mac lalu dan spekulasi atau teori ini akan tetap dibangkitkan di internet selagi pesawat ini tidak berjaya ditemui.

Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Walaupun sebelum ini satelit telah berjaya mencerap beberapa objek di selatan Lautan Hindi dan pesawat menjumpai serpihan di lokasi SAR namun ia disahkan bukan milik MH370.

Terdapat pelbagai spekulasi yang dibangkitkan termasuk yang mengatakan pesawat itu sudah mendarat secara rahsia di China dan ada juga yang mendakwa pesawat mendarat di Pakistan ataupun Hong Kong.

Namun, terdapat satu teori yang dilihat mendapat respons yang tinggi dari masyarakat dunia iaitu teori pesawat mendarat di Diego Garcia, sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi.

Diego Garcia terletak di selatan Kepulauan Maldives dan merupakan pangkalan tentera AS yang penting dalam kempen serangan AS terutama terhadap Iraq dan Afghanistan.

Dakwaan penduduk Maldives kukuh

Spekulasi yang mengaitkan Diego Garcia ini mula dibangkitkan secara serius apabila apabila penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah di selatan kepulauan tersebut.

Ada pihak mendakwa pesawat tersebut merupakan MH370 dan telah mendarat di Diego Garcia kerana kedudukan kedua-dua pulau yang berdekatan.

Jarak antara Diego Garcia dengan Addu City, yang terletak di selatan Kepulauan Maldives (Pulau Addu) adalah 740km.

Difahamkan, teori ini timbul berdasarkan kiraan secara kasar waktu MH370 membuat pusingan balik di sempadan Malaysia - Vietnam dan waktu ketika penduduk Maldives melihat pesawat tersebut.

MH370 berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan pesawat ini terputus hubungan pada 1.21 pagi.

Jika diambil kira penerbangan dari KLIA ke Maldives iaitu sekitar 4 jam, 24 minit dan waktu penduduk Maldives melihat pesawat iaitu 6.15 pagi, jumlah waktu penebangan ini adalah relevan.

Ini kerana, waktu penerbangan ini perlu ditambah 40 minit iaitu tempoh MH370 berpatah balik hingga kedudukan pesawat hilang dari radar.

Teori penduduk Maldives ini tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana penduduk di Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan, Perak dan Terengganu juga mendakwa mereka melihat pesawat terbang rendah pada hari  malang buat MH370 itu.

Difahamkan, pesawat tersebut adalah MH370 berdasarkan radar tentera yang berjaya mengesan pesawat tersebut membuat pusingan balik menghala ke Selat Melaka.


Spekulasi Diego Garcia terus berada di tempat pertama

Selain itu, teori Diego Garcia ini juga dikaitkan menerusi mimpi seorang ustaz yang mendakwa MH370 mendarat di sebuah pangkalan tentera dan penumpang serta kru masih selamat.

Antara teori yang menarik berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370 sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.

Spekulasi tersebut mengaitkan dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar dunia dalam pesawat tersebut.

Alat tersebut dikatakan berkemampuan untuk mengmengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan ketika AS berperang di Afghanistan.

Difahamkan, China berusaha untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil yang dianggap lebih selamat.

Namun, AS berjaya memintas pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego Garcia untuk disimpan di sana.

Nasib penumpang tidak diketahui tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.

Apa yang paling menarik dalam spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.

Selain Diego Garcia, antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.

Namun, pihak penyiasat sehingga kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Berakhir, bukannya terhempas di Lautan Hindi

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula kelmarin.

Spekulasi sentiasa wujud, selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Sehingga kini operasi SAR yang diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini berada dan mereka kini sedang  berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.

"Kami mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya boleh bertahan," katanya.

Tumpuan siasatan kini masih tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah peribadi kru dan penumpang.

Sehingga kini siasatan polis telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang masih dijalankan.

Menurut sumber yang enggan dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Spekulasi-spekulasi yang timbul tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.

Apa sahaja yang dibangkitkan di internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau hujah sokongan yang relevan.

Kini, kesemua persoalan berhubung 'di mana MH370' tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja.

Sumber

Perusuh di Peru beri laluan kepada 1MWER

29/03/2014
Keadaan jalan raya yang ditutup oleh para pekerja lombong arang batu yang merusuh di laluan Puno ke Cuzco, Peru pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kumpulan perusuh jalanan masih menutup laluan menghubungkan Puno ke Cuzco, Peru pada pagi Selasa lalu namun sebagai pengembara jalan darat yang tegar, pasukan 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) sanggup mengambil apa jua risiko untuk menjayakan misi mereka.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, jalan yang sepatutnya dilalui pasukannya ditutup dengan pagar kawat berduri oleh perusuh yang terdiri daripada pekerja lombong arang batu seminggu sebelum itu namun halangan itu tidak mematahkan semangat mereka.

Zamri berkata, beliau meminta bantuan penduduk tempatan yang kemudiannya membawa mereka melalui 'jalan tikus' yang berlumpur.

Namun, katanya, apabila menghampiri jalan utama, pasukan 1MWER terperangkap dalam kepungan perusuh yang membantah cadangan kerajaan Peru untuk menutup sebahagian besar lombong arang batu.

Menyedari keadaan yang kritikal, beliau berkata, penduduk tempatan yang membantu 1MWER menasihatkan mereka berpatah balik.

"Dalam kebuntuan, seorang perusuh lelaki yang berpengaruh datang mengajukan beberapa soalan dan kami menerangkan 1MWER telah mengembara dari Malaysia, mahu ke Machu Pichu dan Lima dalam misi menjelajah dunia. Kami merayu supaya diberi kebenaran melalui jalan yang dikepung.


"Alhamdulillah, kami dibenarkan melaluinya dengan sorakan daripada para perusuh yang meminta untuk bergambar. Kami mengagihkan cenderamata Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 serta pelekat 1MWER sebagai menghormati dan tanda terima kasih buat mereka," katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata, untuk ke laluan utama mereka menempuhi jalan berbukit dan berlopak malah seorang lagi anggota 1MWER, Mohd. Faizal Sukree, 38, terpaksa menurunkan semua barangan kerana tayar belakang motosikalnya sudah haus.

Zamri berkata, beliau sendiri tergelincir dan terjatuh dari motosikal ketika mendaki laluan sempit di kawasan cerun.

"Kami bertuah kerana dibantu oleh para perusuh yang mengangkat motosikal dan menolaknya beramai-ramai untuk memastikan kami berjaya naik ke jalan raya. Mereka kemudiannya memberikan sorakan gemuruh sebagai tanda sokongan," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut di anggotai Rosmadi Saad, 46, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Sumber

Diuji salji tebal, tiupan angin Patagonia

20/03/2014
KEADAAN jalan Transalpina, Romania pada musim sejuk tahun lalu yang disaluti salji menyebabkan pasukan 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) terpaksa berpatah balik sejauh 200 kilometer untuk mencari laluan 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) yang kini berehat di Sucre, Bolivia hari ini berkongsi pengalaman getir yang pernah dilalui mereka sejak meninggalkan negara ini pertengahan tahun lalu.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed berkata, antara yang tidak boleh dilupakan ialah diuji salji tebal di laluan Transalpina yang terletak di gugusan pergunungan Parang, Romania pada musim sejuk tahun lalu.

Katanya, pada masa itu, motosikal pasukan 1MWER tidak dilengkapi tayar salji kerana tidak menjangka kawasan altitud tinggi itu diliputi ais tebal.

"Jalan sangat licin dan tayar motosikal kami langsung tidak mencengkam permukaan jalan yang diselaputi ais.

"Beberapa kali kami tergelincir apabila tayar berpusing ligat sebelum hilang kawalan lalu tumbang. Untuk mengangkat motosikal yang turut membawa barang keperluan lain, kami memerlukan tenaga empat orang lelaki dewasa," katanya melalui e-mel.

Akur dengan cabaran itu, Zamri berkata, pasukan 1MWER terpaksa berpatah balik sejauh 200 kilometer (km) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Zamri berkata, baru-baru ini, 1MWER sekali lagi diuji dengan tiupan angin kencang dikenali sebagai angin Patagonia di laluan dari Commodoro ke Rio Gallegos, Patagonia, Argentina sejauh 780 km yang mengambil masa 13 jam perjalanan.


Katanya, bagi meneruskan perjalanan, mereka terpaksa menunggang motosikal dalam keadaan senget melawan arah tiupan angin untuk mendapatkan keseimbangan.

Memburukkan keadaan katanya, hujan lebat melanda di sepanjang perjalanan sehingga suhu jatuh ke tahap 5 darjah Celcius.

"Sebenarnya terlalu banyak ujian dan dugaan kami tempuhi daripada segenap segi untuk menjayakan ekspedisi ini tetapi tidak semua sesuai dikongsi.

"Hanya doa daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang memberikan kami kekuatan, Alhamdulillah," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46 dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu di anjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 kilometer dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber

1Malaysia World Endurance Ride menunggang di atas tasik garam

18/03/2014
PASUKAN 1Malaysia 1MWER tidak melepaskan peluang untuk menunggang di atas permukaan tasik garam yang kering di Salar de Ayuni, Bolivia, kelmarin.

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) yang kini berada di Oruro, Bolivia meluangkan masa mengunjungi tasik garam terbesar dunia, Salar de Uyuni, semalam.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, tasik garam seluas 10,582 kilometer (km) persegi yang terletak pada ketinggian 3,656 meter dari aras laut itu diselaputi kerak garam dengan ketebalan sehingga 180 meter menyebabkan keadaan memutih seperti salji.

Beliau berkata, yang lebih menarik, permukaannya mendatar bagaikan laut dan keadaan tasik yang kering ketika ini memudahkan 1MWER melaluinya.

"Kami berada di tengah lautan garam yang memutih serta membeku dan menunggang tanpa halangan.

"Masing-masing boleh menunjukkan kemahiran menunggang, kami bagaikan burung yang bebas terbang di angkasa. Betapa indahnya ciptaan Ilahi yang dipertontonkan kepada makhluknya," katanya yang berkongsi pengalaman melalui e-mel kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata, dari jarak sejauh 100 km, mereka sudah boleh melihat bukit atau pulau yang berada di sekitar Salar de Uyuni.

Katanya, jarak itu nampak seakan-akan dekat namun lokasinya amat jauh dan jika mahu menuju ke sana, perancangan yang rapi terutama bekalan minyak dan penyelenggaraan kenderaan amat diperlukan.


"Pada 1988, sebuah keluarga tempatan seramai lima orang meninggal dunia di tasik ini kerana tidak menerima bantuan selepas tiga hari tayar kenderaan mereka pancit. Bayangkan betapa luasnya Salar de Uyuni.

"Dalam perjalanan balik, kami berpeluang mengharungi laluan air garam sedalam dua meter," katanya sambil menjelaskan tasik tersebut merupakan lokasi permulaan sesi kedua Rali Dakar dan terdapat sebuah tugu berkaitannya didirikan di situ.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46 dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

1MWER tiba di negara ketiga Amerika Selatan, Bolivia

17/03/2014


KUALA LUMPUR 16 Mac - Selepas hampir dua bulan mengharungi pelbagai ragam cabaran di Argentina dan Chile, pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) berjaya memasuki negara Amerika Selatan ketiga iaitu Bolivia, kelmarin.

Pegawai Khas Perhubungan dan Media 1MWER, Marina Md. Yusoff berkata, mereka tiba di bandar Oruro selepas 10 jam perjalanan yang mencabar berikutan faktor suhu, angin kencang dan altitud tinggi dari Iquique, Chile.

Katanya, cabaran di laluan Iquique-Colchane-Orura sejauh 490 kilometer itu juga menyebabkan Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, jatuh sakit namun mereka tiada pilihan selain meneruskan perjalanan.

"Paras tertinggi adalah 4,351 meter dari aras laut manakala purata ketinggian kawasan dilalui adalah 3,750 meter.

"Walaupun dalam keuzuran, alhamdulillah Zamri menguatkan semangat untuk meneruskan perjalanan dengan dorongan dua lagi anggota pasukan dan hari ini, keadaan beliau stabil dan semakin pulih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri dalam e-mel kepada Utusan Malaysia menyifatkan perjalanan selama dua bulan di Argentina dan Chile memberi banyak pengajaran dan kebanggaan kepada pasukan 1MWER.

Katanya, menjadi pembakar semangat kepada mereka ialah dorongan yang diberikan oleh penduduk tempatan dan pelancong khususnya dari Eropah yang amat arif mengenai Malaysia.

"Di Argentina, rakyatnya secara spontan mengaitkan Malaysia dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), mereka bangga kerana menara itu direka bentuk seorang arkitek kelahiran negara itu yang kini menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS), Cesar Pelli.

"Petronas juga sangat dikenali dan produk-produk seperti minyak pelincir dijual di Bolivia walaupun tidak menyeluruh dan mereka turut mengagumi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai pemimpin kelas dunia yang berani dan bijak. Kami tumpang bangga dengan komen mereka," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia itu boleh diikuti melalui laman Face book rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber

GEMPAR !!! Wanita hamil tujuh bulan dirogol lima lelaki

3 April 2014
Gambar hiasan. - Sumber Internet.

BACHOK - Seorang wanita hamil tujuh bulan mendakwa menjadi mangsa rogol lima lelaki ketika keluar bersama rakannya untuk membeli makanan di Tangok, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa, seorang suri rumah berusia 21 tahun keluar dari rumahnya di Kampung Kuchelong, kira- kira jam 10.30 malam untuk ke rumah rakannya di Tangok.

Setengah jam kemudian katanya, mangsa mengajak adik kawannya ke kedai untuk membeli makanan.

“Tiba di tengah jalan, teman lelaki adik rakannya menghalang perjalanan mereka dan mengarahkan mereka menurutinya ke sebuah wakaf di tengah sawah di Kampung Kuau.

 “Adik rakannya dan teman lelakinya meninggalkan mangsa di wakaf itu bersama dua lelaki lain. Salah seorang lelaki tersebut memarahi mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya agar menjemputnya. Lelaki itu kemudiannya menghubungi tiga lagi rakannya yang menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, semua lelaki terbabit bergilir merogol mangsa dan mangsa hanya dihantar berdekatan rumah rakannya kira-kira jam 4.30 pagi.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tawang pada 1 April.

"Difahamkan, mangsa berkahwin dengan seorang pemandu lori yang kini berada di Kuala Lumpur. Mereka  mempunyai seorang anak berusia 5 tahun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan semua suspek giat dijalankan.


Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak polis berjaya mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diculik di Tangok pada 28 Mac lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 2 petang 28 Mac lalu. Mangsa diheret masuk ke dalam kereta oleh suspek yang tidak dikenali.

Bapa saudara mangsa yang berusia 33 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Kota Bharu pada jam 4.30 pagi, 2 Mac.

Suspek didakwa meminta tebusan daripada keluarga mangsa di Bangladesh sebanyak RM15,000.

Hasil maklumat, polis berjaya menemui semula mangsa di Machang dan menahan 10 suspek terlibat.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan Tangok, Berkelam. Semua suspek dibawa ke IPD Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Sumber

1MWER bertemu 'saudara' di Iquique, Chile


ZAMRI Mohamed (tiga dari kanan) dan Rosmadi Saad (kanan) bergambar bersama sebahagian daripada jemaah Masjid Pakistan di Iquique, Chile, kelmarin.

KUALA LUMPUR 13 Mac - Komuniti Islam berketurunan Pakistan di Iquique, Chile, terkejut menerima kehadiran anggota pasukan kembara lasak terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) di masjid mereka, semalam.

Ketua pasukan 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50. berkata, masjid itu ditemui mereka berdasarkan maklumat daripada para pemilik serta pekerja berketurunan India dan Pakistan di kompleks bebas cukai di bandar berkenaan.

"Kebetulan kami sampai di masjid, azan Zuhur baru dilaungkan dan kami sempat bersolat bersama 12 orang jemaah tempatan. Selesai solat, kami bersalaman dan memperkenalkan diri dari Malaysia.

"Mereka arif tentang Malaysia dan sangat kagum serta berasa bangga kerana selama ini mereka tidak tahu terdapat orang Islam dari Malaysia mengelilingi dunia dengan motosikal.

"Mereka juga hairan apabila saya memberitahu pernah ke Mekah pada 2010 dengan menaiki motosikal dari Malaysia," katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Zamri berkata, jemaah masjid itu kemudiannya mengambil peluang bertanyakan pelbagai soalan mengenai perjalanan 1MWER.

"Sempat juga Maulana Sulaiman Jada, imam Masjid Ansaar di Santiago yang kebetulan berada di sini membacakan doa memohon keberkatan ilahi terhadap perjalanan kami.

"Kami juga membeli daging halal yang terdapat di masjid ini untuk kegunaan pasukan 1MWER," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 kilometer (km) dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber

ROSILA : Saya tidak pernah mengaku ibu kandung

2 April 2014
  • Ibu tiri kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 Rosila Abu Samah, 50, kelihatan sugul mengenangkan nasib anak tirinya Khairul Amri Selamat, 29, sambil memegang pasport beliau dan suami yang terselamat selepas merayu kepada perompak supaya tidak mengambilnya agar beliau dan suami dapat ke Perth, Australia, sekiranya pesawat MH370 telah dijumpai ketika ditemui di rumahnya yang dimasuki perompak di Felda Bukit Mendi, dekat Bera, hari ini. - Foto bernama

BERA - "Saya hanya ibu tirinya dan tidak pernah mendakwa sebagai ibu kandungnya," luah Rosila Abu Samah yang sering dikaitkan media sebagai ibu kepada Mohd Khairul Amri Selamat, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370.
 
Menurut Rosila, 50, setiap kali ditemubual oleh media baik dari dalam mahupun luar negara, beliau tidak pernah memperkenalkan diri sebagai ibu kandung kepada Mohd Khairul Amri, 29, seperti didakwa.
 
"Apabila ditemubual, saya selalu nyatakan saya ibu tiri kepada Mohd Khairul Amri, namun ada media melaporkan beliau sebagai ibu kandungnya.
 
"Saya tak nak orang salah faham dan biarlah saya jelaskan sekali lagi yang saya ini hanya ibu tiri kepada beliau," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Bukit Mendi di sini hari ini.
 
Katanya, beliau sedar ada pihak yang kurang senang dan menuduhnya mengambil kesempatan daripada tragedi yang menimpa anak tirinya itu.
 
"Saya tidak ada kepentingan dalam situasi ini dan saya berada di sana (Putrajaya) hanyalah sebagai tanggungjawab saya menemani suami saya Selamat Omar, yang merupakan bapa kandung kepada Mohd Khairul Amri.

 
"Jika ada orang tuduh saya dapat wang saguhati yang diberikan MAS, itu tidak benar kerana semua wang itu diserahkan kepada isterinya," kata Rosila yang kesal dengan tohmahan tersebut.
 
Katanya, beliau mendirikan rumah tangga dengan Selamat, 60, sejak 10 tahun lalu dan rapat dengan anak tirinya itu sejak beliau belajar di sebuah kolej di Seremban sehingga mendirikan rumah tangga bersama Erny Marsyila Mustafa.
 
Sehubungan itu beliau berharap perkara itu tidak berpanjangan kerana ia hanyalah salah faham.
 
"Saya mohon maaf kepada ibu kandung Mohd Khairul Amri, Normah Jaafar dan keluarga berhubung perkara itu, saya memang tidak pernah mendakwa sedemikian," katanya.
 
Normah, 56, seorang guru Tadika Kemas pernah menyatakan kurang senang berhubung perkara itu kepada media. - Bernama

Sumber

NAJIB guna perkataan betul JELASKAN nasib MH370

2 April 2014
Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang ketika menyampaikan taklimat dan sidang akhbar kepada wakil media tempatan di Kedutaannya di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perkataan "berakhir" di selatan Lautan Hindi yang dipilih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerangkan nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 adalah pilihan terbaik, kata Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang.
 
Bercakap dalam sidang akhbar di kedutaan China di sini hari ini, Huikang mempertahankan perkataan yang digunakan oleh Najib dalam usaha bagi mengelakkan makna yang mendatangkan keburukan dalam kalangan anggota keluarga penumpang.
 
"Saya faham, Najib berhati-hati memilih perkataan "berakhir" daripada jatuh, terhempas atau tiada siapa yang terselamat kerana jika beliau memilih perkataan itu ia akan menjadi satu tamparan hebat kepada anggota keluarga .
 
"Anggota keluarga (warga) China masih berharap orang yang mereka sayangi masih selamat," katanya.
 
Pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200, Najib mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal "berakhir di selatan Lautan Hindi" selepas analisis terbaharu data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.


Huikang menegaskan perkataan "berakhir" yang dipilih Najib memberi panduan yang signifikan dalam operasi mencari dan menyelamat kerana ia membantu mengecilkan kawasan pencarian.
 
"Sebelum ini, kita mempunyai dua kawasan carian iaitu koridor utara dan koridor selatan. Tetapi dengan kesimpulan yang dibuat oleh Najib, kita
mengecilkan kawasan mencari dan menyelamat dan memberi tumpuan di selatan," katanya.
 
Di peringkat awal operasi mencari dan menyelamat, usaha itu dibahagikan kepada dua koridor - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan, meliputi Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.
 
Duta itu juga menyelar tindakan media asing atas laporan penuh kontroversi dan berat sebelah berhubung kehilangan pesawat malang itu menyebabkan anggota keluarga warga Chia begitu marah dan menuduh kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab.
 
"Kami ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa laporan sedemikian boleh menjejaskan hubungan Malaysia-China memandangkan semua orang tahu bahawa Malaysia telah melakukan usaha mereka yang terbaik terutama bagi anggota keluarga (penumpang dan anak kapal)," katanya.- Bernama

Sumber

LETAK JAWATAN kalau tidak berani buat KEPUTUSAN

2 April 2014
Ahmad Said

MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
 
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
 
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
 
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
 
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
 
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.

 
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
 
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
 
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
 
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

Sumber

MH370: Hisham persoal Boeing, Rolls Royce

2 April 2014
Datuk Seri Hishammuddin

SHAH ALAM – Setelah hampir sebulan MH370 hilang dalam keadaan penuh misteri, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan tanggungjawab Boeing dan Rolls Royce dalam membantu merungkaikan persoalan yang timbul.

Menurut beliau, dalam situasi ini cukup mudah untuk orang menuding jari tanpa melihat kepada perkara sebenar.

Katanya, adalah tidak adil bagi jika hanya MAS dipersalahkan dalam menangani kes itu.

“MAS sentiasa akan melakukan tugas terbaik dalam berinteraksi bersama keluarga.

“Namun meletakkan MAS di kandang saksi masih tidak mencukupi. Kita juga perlu sentiasa ingat apakah peranan dan tanggungjawab Rolls-Royce, Boeing dan semua agensi pakar. Di mana suara mereka?” katanya dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen China, CCTV semalam.

Pada temu bual itu, wartawan CCTV mempersoalkan cara MAS berhubung dengan keluarga penumpang melalui SMS dalam bahasa Inggeris minggu lalu, menyatakan tiada penumpang terselamat.

Menurut Hishammuddin, MAS perlu bertanggungjawab dengan tindakannya itu dan memperbaiki cara komunikasinya dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

“Saya tidak mempertahankan MAS. Mereka perlu menjawab mengenai SMS itu dan bagaimana mereka berhubung dengan ahli keluarga.

“Tapi pada masa yang sama, saya mahu melihat agensi antarabangsa turut tampil, kerana kita membayar jutaan ringgit membeli kapal terbang dan kepakaran mereka. Kini teknologi tersebut dipersoalkan di seluruh dunia,” katanya.

Pada 8 Mac, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Boeing dan Rolls-Royce, syarikat yang membekalkan enjin bagi pesawat itu,  dilihat tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai kehilangan MH370 biarpun difahamkan kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan siasatan keselamatan udara Amerika Syarikat.

Menerusi temu bual itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, fokus utama adalah mencari pesawat itu di mana lokasi terakhir ia dikesan.

Beliau juga percaya kemungkinan ada keajaiban berlaku dan yang pasti pihaknya tidak akan berhenti berusaha mengenal pasti punca kehilangan pesawat itu.

Sumber

Hishammuddin: UK sertai misi mencari MH370

2 April 2014
Kapal selam British, HMS Tireless berlabuh di selatan perairan Sepanyol. Kapal selam nuklear tersebut menyertai operasi mencari MH370 di Lautan Hindi. - Foto EPA

HONOLULU - Kapal selam British HMS Tireless menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang awal bulan lepas, di Lautan Hindi.
 
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata maklumat ini disahkan oleh rakan sejawatnya Philip Hammond dalam satu perbualan telefon pagi Selasa. Hawaii adalah 18 jam lewat di belakang Malaysia.
 
"Ini adalah satu sumbangan daripada rakan Malaysia yang amat dihargai bukan sahaja oleh kami tetapi juga rakan-rakan operasi pencarian penerbangan MH370," katanya kepada Bernama di sini.
 
Hishammuddin tiba di sini Isnin untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean atas inisiatif Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel.
 
Pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang dan anak kapal itu yang dalam penerbangan ke Beijing hilang secara misteri pada 8 Mac lepas ketika merentasi Laut China Selatan, selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam.


Para pemerhati berkata ia menunjukkan sokongan berterusan United Kingdom kepada percubaan pelbagai negara untuk mengesan pesawat yang hilang itu.
 
Peralatan pendengaran dalam air yang canggih dimiliki HMS Tireless akan digunakan untuk mengesan lampu isyarat pengesan perakam penerbangan pesawat itu.

Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata HMS Tireless, sebuah kapal selam nuklear kelas Trafalgar, berkeupayaan untuk beroperasi di kawasan persekitaran maritim yang paling teruk, seperti di Kutub Selatan.
 
Tambahan pula, UK telah menghantar HMS Echo untuk membantu pencarian .
 
"Saya berharap setiap orang akan mendoakan kesemua aset yang kita ada boleh mengenalpasti objek-objek yang dikesan oleh satelit-satelit dalam pencarian penerbangan MH370," kata Hishammuddin.
 
Satu operasi melibatkan pelbagai negara telah digerakkan bagi mencari pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian selepas didapati pesawat itu melencong dari laluan asal, pencariannya beralih di sepanjang dua koridor -koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
 
Berikutan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK merumuskan penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ditengah Lautan Hindi , ke barat Perth, Australia.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, selepas 17 hari kehilangan pesawat itu, bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".  Pencarian diteruskan di sana. - Bernama

Sumber

GEMPA BUMI kuat landa utara Chile

2 April 2014
Foto ehsan Twitter @wikisismos

KUALA LUMPUR - Satu gemba bumi berukuran 8.0 pada skala Richter berlaku di Near Coast of Northern Chile pada pukul 7.46 pagi ini.
 
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini menyebut gempa itu berpusat 84 km Barat Laut dari Iquique, Chile dan 17,906 km Barat Daya dari Pontian, Johor.

 
Bagaimanapun gempa itu tidak menyebabkan ancaman tsunami di Malaysia, menurut kenyataan itu lagi.
 
Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau perkembangannya dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan. - Bernama

Sumber

KAPAL SELAM UK sertai misi mencari MH370

2 April 2014
Kapal selam British, HMS Tireless berlabuh di selatan perairan Sepanyol. Kapal selam nuklear tersebut menyertai operasi mencari MH370 di Lautan Hindi. - Foto EPA

KUALA LUMPUR - Kapal selam kelas Trafalgar Britain, HMS Tireless, telah tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat Malaysia yang hilang di kawasan itu masuk hari ke-26 hari ini.

Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini berkata, Setiausaha Negara bagi Pertahanan UK Philip Hammond memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi telefon semalam.

"Dengan keupayaan melakukan pencarian di dalam air, kapal selam HMS Tireless akan dapat membantu dalam usaha untuk mengesan lokasi pesawat hilang itu.

"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat  itu dan memberikan pelbagai bantuan," menurut kenyataan itu.

Kapal peninjau hidrografik pelbagai fungsi, HMS Echo, dijadual tiba di selatan Lautan HIndi untuk membantu misi pencarian itu, katanya. - Bernama

"Selain membantu usaha mencari transponder pada kotak hitam, HMS Echo akan memainkan peranan penting dalam pencarian serpihan di permukaan air.

"Kecanggihan dan keupayaannya dalam menilai keadaan persekitaran juga akan membantu pihak berkuasa pencarian untuk mengoptimumkan operasi pencarian," menurut kenyataan itu.
 
Kerajaan UK juga membantu dengan meminjamkan pakar untuk memberikan bantuan teknikal dan keupayaan kepakaran dari Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografik, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu, katanya.
 
Empat anggota Tentera Udara Diraja yang dipinjamkan ke Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja juga terlibat secara aktif dalam operasi pencarian maritim, menurut kenyataan itu.
 
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

 
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Sumber