Thursday 3 April 2014

Diuji salji tebal, tiupan angin Patagonia

20/03/2014
KEADAAN jalan Transalpina, Romania pada musim sejuk tahun lalu yang disaluti salji menyebabkan pasukan 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) terpaksa berpatah balik sejauh 200 kilometer untuk mencari laluan 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) yang kini berehat di Sucre, Bolivia hari ini berkongsi pengalaman getir yang pernah dilalui mereka sejak meninggalkan negara ini pertengahan tahun lalu.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed berkata, antara yang tidak boleh dilupakan ialah diuji salji tebal di laluan Transalpina yang terletak di gugusan pergunungan Parang, Romania pada musim sejuk tahun lalu.

Katanya, pada masa itu, motosikal pasukan 1MWER tidak dilengkapi tayar salji kerana tidak menjangka kawasan altitud tinggi itu diliputi ais tebal.

"Jalan sangat licin dan tayar motosikal kami langsung tidak mencengkam permukaan jalan yang diselaputi ais.

"Beberapa kali kami tergelincir apabila tayar berpusing ligat sebelum hilang kawalan lalu tumbang. Untuk mengangkat motosikal yang turut membawa barang keperluan lain, kami memerlukan tenaga empat orang lelaki dewasa," katanya melalui e-mel.

Akur dengan cabaran itu, Zamri berkata, pasukan 1MWER terpaksa berpatah balik sejauh 200 kilometer (km) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Zamri berkata, baru-baru ini, 1MWER sekali lagi diuji dengan tiupan angin kencang dikenali sebagai angin Patagonia di laluan dari Commodoro ke Rio Gallegos, Patagonia, Argentina sejauh 780 km yang mengambil masa 13 jam perjalanan.


Katanya, bagi meneruskan perjalanan, mereka terpaksa menunggang motosikal dalam keadaan senget melawan arah tiupan angin untuk mendapatkan keseimbangan.

Memburukkan keadaan katanya, hujan lebat melanda di sepanjang perjalanan sehingga suhu jatuh ke tahap 5 darjah Celcius.

"Sebenarnya terlalu banyak ujian dan dugaan kami tempuhi daripada segenap segi untuk menjayakan ekspedisi ini tetapi tidak semua sesuai dikongsi.

"Hanya doa daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang memberikan kami kekuatan, Alhamdulillah," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46 dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu di anjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 kilometer dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber