Thursday 3 April 2014

1MWER tiba di negara ketiga Amerika Selatan, Bolivia

17/03/2014


KUALA LUMPUR 16 Mac - Selepas hampir dua bulan mengharungi pelbagai ragam cabaran di Argentina dan Chile, pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) berjaya memasuki negara Amerika Selatan ketiga iaitu Bolivia, kelmarin.

Pegawai Khas Perhubungan dan Media 1MWER, Marina Md. Yusoff berkata, mereka tiba di bandar Oruro selepas 10 jam perjalanan yang mencabar berikutan faktor suhu, angin kencang dan altitud tinggi dari Iquique, Chile.

Katanya, cabaran di laluan Iquique-Colchane-Orura sejauh 490 kilometer itu juga menyebabkan Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, jatuh sakit namun mereka tiada pilihan selain meneruskan perjalanan.

"Paras tertinggi adalah 4,351 meter dari aras laut manakala purata ketinggian kawasan dilalui adalah 3,750 meter.

"Walaupun dalam keuzuran, alhamdulillah Zamri menguatkan semangat untuk meneruskan perjalanan dengan dorongan dua lagi anggota pasukan dan hari ini, keadaan beliau stabil dan semakin pulih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri dalam e-mel kepada Utusan Malaysia menyifatkan perjalanan selama dua bulan di Argentina dan Chile memberi banyak pengajaran dan kebanggaan kepada pasukan 1MWER.

Katanya, menjadi pembakar semangat kepada mereka ialah dorongan yang diberikan oleh penduduk tempatan dan pelancong khususnya dari Eropah yang amat arif mengenai Malaysia.

"Di Argentina, rakyatnya secara spontan mengaitkan Malaysia dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), mereka bangga kerana menara itu direka bentuk seorang arkitek kelahiran negara itu yang kini menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS), Cesar Pelli.

"Petronas juga sangat dikenali dan produk-produk seperti minyak pelincir dijual di Bolivia walaupun tidak menyeluruh dan mereka turut mengagumi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai pemimpin kelas dunia yang berani dan bijak. Kami tumpang bangga dengan komen mereka," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia itu boleh diikuti melalui laman Face book rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber