Monday 5 May 2014

PEMAHAMAN !!! GST bukan 'Government Service Tax'



SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa GST merupakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan bukannya cukai kerajaan seperti yang didakwa.

Menurutnya, peserta himpunan bantah GST pada 1 Mei lalu rata-rata tidak memahami apa itu GST.

“Bila mereka (peserta himpunan) ditanya, mereka tidak tahu. GST bagi mereka ialah ‘Government Service Tax’.

“Sedangkan GST yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan ialah Good Services Tax (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” katanya yang dipetik dalam portal berita N9kini.com.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keraguan dan kemusykilan orang awam terhadap GST perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan satu perkara yang perlu dibuat pemahaman dan pencerahan oleh pihak berwajib.


“Sebenarnya kita menarik dua sistem cukai yang mana dulu cukainya amat tinggi, 10 peratus dan 6 peratus (cukai barangan dan perkhidmatan), kadang-kadang ia melebihi perkara yang sepatutnya dikenakan cukai,” katanya.

Tegas beliau, jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka perlu tampil dan memberi cadangan kepada kerajaan bukannya membuat protes di jalanan.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, mereka perlu memberi cadangan dan pandangan kepada kerajaan, daripada kita memekak-mekak di tepi jalan menunjukkan protes. Ia secara tidak langsung memburukkan imej negara ini,” katanya.

Khamis lalu, satu perhimpunan membantah pelaksanaan GST di negara ini berlangsung di ibu kota.

Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap perhimpunan tersebut yang didakwa melanggar beberapa syarat Akta Perhimpunan Aman 2012. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Lagi bayi lahir, hasil seludup sperma


Suad Samir Abu Fayer memangku anak perempuannya, Hurryah yang baru berusia beberapa hari.

TEBING BARAT - Seorang lagi wanita melahirkan anak perempuan hasil sperma suaminya yang diseludup keluar dari penjara Israel.

Menurut Dr Salem Abu Khaizaran di Klinik Razan, kira-kira 15 bayi dilahirkan melalui prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) sejak kejayaan proses itu pertama kali dicipta di Tebing Barat pada Ogos 2012.

"Tujuan kaedah seperti itu digunakan adalah untuk membantu isteri tahanan yang berhasrat mempunyai zuriat walaupun suami mereka tiada di sisi.


"Kos melakukan prosedur IVF biasanya mencecah antara AS$2,000 (RM6,500) dan AS$3,000 (RM9,800). Tetapi, kami menawarkan ia secara percuma kepada isteri tahanan atas sebab kemanusiaan," katanya.

Difahamkan, penyeludupan sperma tersebut juga dilakukan dalam pelbagai cara tanpa diketahui pihak berkuasa penjara Israel.

Sementara itu, media Arab News melaporkan, enam wanita yang menjalani prosedur sama di Gaza juga bakal bergelar ibu dalam tempoh beberapa bulan lagi. - Sinar Harian

TERBAIK !!! Skuad hoki negara cipta sejarah


Pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Ireland pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, malam ini. - Foto Bernama

MALAYSIA melakarkan sejarah dalam siri Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 apabila menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan Ireland 4-2 pada perlawanan menentukan kedudukan di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, malam ini.
 
Walaupun gagal menepati sasaran ke final, namun pencapaian tempat ketiga merupakan yang terbaik selepas meraih tempat keempat pada edisi 2001 di Kuala Lumpur dan 2012 di Quilmes, Argentina.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-13 dunia, memulakan perlawanan dengan penuh bersemangat dan agresif untuk mendahului 2-1 pada babak pertama.
 
Malaysia membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan penalti yang disempurnakan oleh Ahmad Kazamirul Nasruddin sebelum Muhammad Rashid Baharom menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-11.
 
Ireland, yang menduduki ranking ke-15 dunia, berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Paul Gleghorne pada minit ke-22.

Pada babak kedua, Ireland berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-43, hasil gol padang oleh pemain berpengalaman Chris Cargo.
 
Kegembiran skuad bimbingan Fulton Craig itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila kapten pasukan negara Azlan Misron menjaringkan gol padang pada minit ke-66.
 
Empat minit kemudian, Muhammad Firhan Ashari mengesahkan kemenangan negara menerusi jaringan gol padang.

 
Jurulatih negara Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata walaupun gagal ke final beliau berpuashati dengan persembahan anak buahnya yang dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan.
 
Malaysia gagal mara ke final selepas diaibkan Kanada 5-4 menerusi pukulan penalti selepas terikat 2-2 pada aksi separuh akhir semalam.
 
"Semua pemain kecewa dengan kegagalan semalam namun mereka bangkit bermain secara bersungguh-sungguh pada malam ini biarpun Ireland berjaya menyamakan kedudukan.

"Hari ini pemain negara mampu mengekalkan fokus hingga tamat perlawanan apabila Malaysia kembali menguasai perlawanan pada babak terakhir perlawanan dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit," katanya.
 
Dharmaraj berkata, semangat tersebut yang diperlukan oleh pasukan negara bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun ini.
 
Beliau berkata agak susah baginya untuk memilih barisan utama yang akan menggalas cabaran besar di Belanda nanti dan tidak perubahan yang mampu dilakukan oleh pasukan dalam masa singkat.
 
"Jika ada perubahan...mungkin hanya perubahan kecil kerana kita tidak cukup masa dan pilihan pemain," katanya.
 
Pada perlawanan penentuan sebelum ini, Jepun mengalahkan Poland 3-2 bagi merebut tempat ketujuh sementara New Zealand pula menduduki tempat kelima selepas mengalahkan Perancis 6-3. - Bernama