Friday 21 March 2014

KLIA2 diiktiraf selamat


BANGUNAN utama KLIA2 sedia beroperasi mengikut jadual pada Mei ini.

Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan kerja Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Februari lalu.

ORAT yang membabit sejumlah 2,818 peserta, 3,659 bagasi, dan 170 penerbangan yang meliputi operasi domestik, antarabangsa dan pemindahan dilaksanakan berikutan jaminan daripada kontraktor bangunan terminal bahawa kerja-kerja akhir di KLIA2 mengikut jadual serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC ) diperoleh pada April ini.

Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, antara aktiviti ORAT dijalankan secara berterusan termasuk penggemblengan operasi terminal dan kakitangan keselamatan penerbangan, penyerahan kunci dan penyerahan tapak kepada agensi kawal selia kerajaan serta syarikat penerbangan.

Katanya, aktiviti lain yang turut dilaksanakan adalah menguji dan pentauliahan sistem pengendalian bagasi (BHS) yang membabitkan 30,000 beg bagi ujian bebanan dalam tempoh percubaan bukan operasi.


“IKRAM Perdana Consulting (IPC), perunding bebas yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan mengiktiraf KLIA2 selamat untuk beroperasi seperti mana yang dinyatakan oleh menteri di kementerian berkenaan.

“Penilaian IPC ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan seperti laluan teksi, apron, landasan 3 dan kawasan sekitarnya serta bangunan terminal,” katanya pada satu kenyataan bersama keputusan kewangan Malaysia Airports yang berakhir 31 Disember 2013.

Dalam keputusan kewangan itu, Malaysia Airports mencatatkan RM827.5 juta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tanpa pendapatan pembinaan dan kos. Angka itu 10.2 peratus lebih tinggi daripada sasaran syarikat berkenaan bersandarkan jumlah penumpang meningkat paling tinggi dalam tempoh dua puluh tahun yang lalu.

Malaysia Airports berkata, walau bagaimanapun terdapat penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) akibat jumlah kos yang lebih tinggi terutamanya bayaran tinggi pengguna, kos kakitangan, pembaikan dan kos penyelenggaraan.

“Pada tahun ini, syarikat mengunjurkan pertumbuhan penumpang sebanyak 9.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu bersandarkan pengembangan kapasiti tempat duduk di kalangan syarikat penerbangan,” katanya.

Sumber

TERBARU!!! Pandu Uji: Honda City 2014



Honda City terbaru pertaruh ciri terbaik

Pengalaman pemanduan pertama di Phuket beri isyarat yang meyakinkan

Di atas kertas, Honda City 2014 yang dijangka dilancarkan pada pertengahan Mac dilihat mampu menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding model terdahulunya, juga jika dibandingkan dengan model-model segmen B yang ada. Pakej dan tingkat spesifikasi menarik yang ada, misalnya bagi Toyota Vios atau Ford Fiesta, secara tidak langsung menjadikan penawaran yang bakal diberikan oleh model terbaru Honda ini sesuatu yang sengit dan kompetetif.

Isnin lalu, BH Auto bertandang ke Phuket, Thailand untuk sesi pandu uji ringkas model terbabit. Walaupun model yang disediakan adalah daripada spesifikasi yang ditawarkan di Thailand, tetapi ia memadai untuk memberikan gambaran awal terhadap pelbagai aspek model terbaru ini.






Rekabentuk luaran

Sekilas pandang, ia kelihatan seperti mengekalkan bentuk umumnya daripada model terdahulu. Sebaliknya, ketika meniliti rekabentuk Honda City terbaru ini dengan dekat – terutama ketika meletakkannya bersebelahan dengan model lamanya – akan dengan jelas menunjukkan yang generasi terbaru ini menerapkan sentuhan rekaan yang lebih terperinci dan matang; agak jauh berbeza dengan yang lama, dengan lekuk dan garis badan yang lebih menonjol. Sebagai satu lagi contoh, versi spesifikasi lengkap yang dipandu uji ini dapat menunjukkan yang model terbaru ini juga kelihatan lebih lebar dan tinggi.






Ruang dalaman

Ini perubahan yang paling ketara akan dirasai, sekiranya dibandingkan dengan Honda City model terdahulu. Ruang kaki penumpang belakang kini jauh lebih luas; jika seorang dewasa menduduki kerusi penumpang di hadapan, baki ruang yang ada untuk penumpang dibelakang juga sangat luas – mampu untuk menempatkan penumpang dewasa dengan jarak yang berbaki antara lutut dan penyandar hadapan. Selain itu, ruang barangan dibelakang pula menyediakan ruang mencecah 536 liter untuk memudahkan pengguna menempatkan barangan secara maksimum, tanpa mengganggu ruang dalam kabin yang sedia ada. Penggunaan plastik panel yang nampak dan memberikan rasa sentuhan elegan, sistem audio lapan speaker dengan skrin 7 inci serta capaian Bluetooth sebagai contoh, memadai untuk menampung keperluan dan gaya hidup pengguna.


Enjin dan transmisi

Dengan enjin 1.5L i-VTEC sebelumnya yang diperkemas dan dipertingkatkan untuk penjimatan, elemen yang menjadi perhatian kini ialah sistem transmisi CVT 7-peringkat dengan teknologi ‘Earth Dreams’ serba  baru untuk model City, guna untuk mengoptimumkan cekapan dan dalam masa sama, menyediakan prestasi terbaik untuk pemanduan.





Pengalaman pemanduan

Dalam perjalanan pergi-balik dari Phuket ke Khao Lak yang mencecah jarak 100 kilometer yang sempat dilalui, Honda City terbaru ini tidak mengecewakan. Kegusaran mengenai prestasi transmisi CVT misalnya terjawab; ia begitu lancar dan responsif bagi kegunaan dan situasi pemanduan yang menyeluruh. Tambahan pula dengan ciri Paddle-Shift yang membantu pemandu untuk mengendalikan tingkat gear maya CVT berkenaan dan sekaligus memudahkan pemanduan dan pengendalian gear secara manual. (Ciri ini bagaimana pun tidak akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.)

Di dalam satu insiden dalam perjalanan ini, ketika pemandu terlebih laju memasuki laluan berselekoh dan bengkang-bengkok, dengan keadaan jalan yang sedikit licin dan kelihatan kenderaan seperti sukar dikawal pada awalnya, kereta ini tetap mampu dikendalikan dan dihala kembali ke arah yang sepatutnya dengan cepat dan mudah; terima kasih kepada ciri Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) yang melengkapinya.

Penggunaan petrolnya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan; dengan kapasiti tangki yang kecil untuk saiz kereta ini, iaitu 40 liter, ia mampu memberikan nisbah jarak perjalanan yang cukup memberangsangkan.

 

Spesifikasi dan Harga di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, empat varian akan ditawarkan, tentunya dengan perbezaan spesifikasi; varian S, S+, E dan spesifikasi tertinggi, V. Bagi tanda harga, ketika artikel ini ditulis, Honda Malaysia masih lagi menunggu pengesahan daripada pihak kerajaan. Namun, secara umum, BH Auto menjangkakan ia bakal berada di antara RM75,000 (varian paling asas) dan RM85,000 (bagi varian dengan spesifikasi lengkap). -Hazril Hafiz

SPESIFIKASI

Honda City 2014

Enjin: 1,497cc, 4-silinder, SOHC dengan 16 injap, SOHC
Kuasa maksimum: 118hp @ 6,6000rpm
Tork maksimum: 145Nm @ 4,600rpm
Transmisi: CVT (7-peringkat)
Ciri-ciri keselamatan: 6 beg udara (spesifikasi tinggi), VSA, ABS, Isofix dan lain-lain.
Harga: (Bakal diumumkan tak lama lagi)

Sumber

BONGKAR !!! WIRA YANG BERTARUNG SELAMATKAN MH370



BONGKAR !!! Kapten Zaharie adalah Wira yang Bertarung Selamatkan MH370 |
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengesahkan bahawa seseorang telah mematikan alat pengesan radar pesawat MH370 dan melakukan pusingan U. Ekoran itu, timbul kemungkinan berlaku rampasan dan sebotaj ke atas pesawat tersebut sehingga mendorong kepada siasatan terhadap Kapten Zaharie.

Bagaimanapun, Chris Goodfellow yang berpengalaman 20 tahun sebagai juruterbang mempunyai teori sendiri. Menurutnya, isu kehilangan pesawat MH370 terlalu dirumitkan sedangkan jawapannya mungkin mudah iaitu berlaku kebakaran di kokpit.

Dalam catatan akaun Google+ miliknya, Goodfellow, sebaik mendengar berita pesawat itu berpatah balik ke arah Selat Melaka dari Laut China Selatan, dia terus memeriksa peta dan mendapati MH370 mungkin menuju lapangan terbang terdakat di Pulau Langkawi selepas berlaku masalah seperti kebakaran dalam kokpit.

"Kunci utama di sini adalah pusingan kiri dibuat pesawat itu. Juruterbang (Kapten Zaharie Ahmad Shah) adalah kapten yang sangat berpengalaman dengan lebih 18,000 jam penerbangan. Mungkin juruterbang lebih muda yang ditemu ramah (agensi berita) CNN tidak sedar mengenai pusingan kiri.

"Kami juruterbang lama dilatih untuk sentiasa tahu di mana lapangan terbang paling dekat ketika terbang untuk perlindungan selamat jika kecemasan."

Menurut Goodfellow lagi, apabila melihat pusingan kiri dibuat oleh pesawat MH370 dan menuju terus ke arah bertentangan, nalurinya memberitahu juruterbang itu mungkin mahu menuju ke lapangan terbang terdekat.


"(Zaharie) sebenarnya mengambil laluan terus di atas laut ke Pulau Langkawi yang tidak mempunyai banyak halangan. Dia tidak kembali ke Kuala Lumpur kerana dia tahu (laluan itu) merentasi gunung (Banjaran Titiwangsa) setinggi 8,000 kaki. Dia tahu laluan ke Langkawi lebih mudah dan jaraknya lebih dekat."

Ads by H12 Media Goodfellow percaya Zaharie mengambil tindakan betul pada ketika mereka mungkin menghadapi masalah serius yang mendorong pusingan U untuk ke lapangan terbang terdekat di Langkawi.

Katanya, terputusnya komunikasi termasuk kesan radar munasabah jika berlaku kebakaran di dalam kokpit.

"Melihat masa kejadian, mungkin berlaku kepanasan melampau pada salah satu tayar hadapan dan ia pecah sebaik pesawat berlepas dan terbakar perlahan-lahan.

"Ya, ini boleh berlaku dengan tayar yang kurang angin. Ingat ini pesawat berat, (dan insiden berlaku) pada malam yang panas dan landasan yang panjang."

Katanya, ada insiden di Nigeria pada 1991 melibatkan Douglas DC-8 yang tayarnya terbakar semasa berlepas menyebabkan asap tebal melemaskan kru dan penumpang.

Katanya, juruterbang memang ada akses kepada topeng oksigen tetapi ia tidak boleh guna masa kebakaran. Sebaliknya, kebanyakan juruterbang ada penutup muka dengan penapis asap tetapi ia hanya boleh bertahan beberapa minit.

"Apa yang berlaku adalah (kedua-dua juruterbang) lemas akibat asap dan pengsan, menyebabkan pesawat itu terus terbang menggunakan aplikasi sistem autopilot sehingga sama ada kehabisan minyak atau kebakaran memusnahkan papan kawalan dalam kokpit."

Jika itu benar, kata Goodfellow, Zaharie adalah wira yang bertarung situasi mustahil untuk cuba membawa pesawat itu ke Langkawi.

"Tiada was-was lagi dalam fikiran saya, itulah sebab mengapa pesawat itu berpusing dan mengambil laluan lurus."

Jika berlaku rampasan atau sabotaj, katanya, ia tidak akan sengaja pusing ke sebelah kiri dan menuju ke arah Pulau Langkawi.

Goodfellow mengakhiri tulisannya dengan kata-kata: "Juruterbang bijak. Cuma tidak mempunyai masa mencukupi."

Apa yang ditulis Goodfellow dan ramai lagi pakar di seluruh dunia tetap kekal menjadi spekulasi selagi pesawat MH370 tidak ditemui.

Sumber

MH370::: Info Grafik Lokasi Serpihan Objek

GEMPAR!!! Pantang Maut Sebelum Ajal


NURHIDAYATUL ditenangkan seorang penunggang motosikal.

Kuala Lumpur: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang gadis terselamat walaupun terperosok di bahagian bawah lori sejurus terbabit kemalangan di simpang Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Nurhidayatul Afiqah Muassyis, 24, dikatakan terjatuh selepas dirempuh lori itu dari belakang menyebabkan mangsa tercampak.

LORI yang hampir menggilis mangsa.

Saksi kejadian, Shamsul Abas, 40-an, berkata, mangsa yang tidak sempat bangkit dari jatuh kemudian hampir digilis lori itu.

Menurutnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun masih sempat menekan brek sebelum tayar lori berhenti hanya beberapa sentimeter dari kepala mangsa.

“Seorang penunggang motosikal yang melalui lokasi kejadian kemudian segera memberi bantuan menarik mangsa keluar dari bahagian bawah lori itu.


“Gadis terbabit bagaimanapun hanya menangis teresak-esak akibat terkejut dengan kejadian itu. Saya cuba menenangkan gadis itu selain memintanya supaya menghubungi ahli keluarga,” katanya.

Dia berkata, mangsa bagaimanapun terus menangis dan memberitahu gagal mengingati apa-apa.

“Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian menyebabkan mangsa yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi itu kian panik.

“Saya kemudian menghantar mangsa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan berikutan mangsa mengalami kecederaan kecil pada bahagian kaki kiri,” katanya.

Menurutnya, bapa mangsa yang berjaya dihubungi kemudian muncul tidak lama kemudian.

“Dia hanya mampu mengucap syukur sambil memeluk anaknya itu. Mangsa benar-benar bernasib baik dan terselamat dari ajal,” katanya.

Sumber

GEMPAR!!! Mayat dalam tong disimen



SEREMBAN – Mayat seorang ahli perniagaan ditemui dalam sebuah tong plastik yang telah disimen di tepi jalan dekat Bukit Pelanduk, Lukut, Port Dickson di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang dilaporkan hilang di Cheras kira-kira tiga bulan lalu, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke kawasan berkenaan sebagai cara menghilangkan bukti.

Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila polis berjaya menahan enam suspek termasuk seorang wanita warga Thailand di Lembah Klang, kelmarin.

Jentolak digunakan untuk mengangkat tong berisi simen mayat ahli perniagaan, petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata, penemuan itu berdasarkan petunjuk dua daripada suspek terlibat yang mengaku membunuh ahli perniagaan itu, sebelum menunjukkan lokasi mayat disembunyikan kepada polis.

Menurutnya, tong setinggi kira-kira 1.2 meter itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini sebelum anggota bomba dipanggil semalam, bagi membantu mengeluarkan mayat yang sudah disimen.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, tujuh anggota bersama seorang ketua pasukan mengambil masa kira-kira 45 minit mengeluarkan mayat berkenaan.

“Peralatan yang digunakan adalah peralatan pemecah simen atau kayu yang dikenali sebagai 'Paratec' untuk membantu mengeluarkan mayat berkenaan,” katanya di sini, semalam.



Sementara itu, anak sulung mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarganya menerima panggilan telefon daripada polis, lewat malam kelmarin, meminta mereka datang ke bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi proses pengecaman mayat.

Bagaimanapun, katanya, mereka gagal mengecam berikutan mayat sudah reput dan berlumuran simen.

"Saya tidak boleh cam muka itu sebab tidak dapat dilihat. Seluruh badan dan muka penuh dengan simen,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata, penemuan mayat di Bukit Pelanduk, Port Dickson itu adalah hasil penahanan enam orang individu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam tiga serbuan berbeza pada Selasa dan kelmarin.

Katanya, pihaknya masih siasat motif sebenar pembunuhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber