Wednesday 12 February 2014

Mayat pun tak selamat lagi

FARUSH KHAN
12 Februari 2014

NAMPAKNYA sekarang seolah-olah tidak ada tempat, benda dan bidang yang selamat.

Di kawasan perumahan saya di Shah Alam, hampir 20 kes pecah rumah, kecurian dan ragut berlaku dalam tempoh dua bulan tahun lalu.

Tapi syukur, setelah penduduk mula buat rondaan secara sukarela dan polis membuat rondaan lebih kerap, kegiatan jenayah sudah berkurangan.

Rumah rakan saya di Kulim masih terus jadi tarikan pencuri.Sejak dia tinggal di rumah teres dua tingkat itu lapan tahun lalu, pencuri sudah masuk tidak kurang 16 kali.

Enam tujuh kali dia gagah buat repot, tapi yang selebihnya dia serah pada takdir sahaja. Dah letih!

Saya tabik padanya kerana walaupun habis barang dikebas pencuri, dia masih sanggup tinggal di situ. Kalau saya, sudah lama buka langkah seribu.

Saya baca Sinar Harian Isnin lalu dan menggeleng membaca cerita enam lelaki ditangkap ketika menggali kubur di Kuala Rompin, Pahang.

Mereka curi tulang mayat yang bomoh minta kononnya untuk pulih orang kena santau.

Di Hulu Terengganu, berpuluh-puluh mayat di tanah perkuburan habis dihanyutkan air sungai dalam dua insiden hakisan. Kalau tiada tindakan segera, tidak lama lagi, tiada apa lagi yang tinggal di tanah perkuburan itu.

Sukan seperti bola, yang sepatutnya menyeronok dan merapatkan perhubungan, juga diheret ke kancah kontroversi, mencetuskan perseteruan dan pergaduhan.

Dalam dunia politik, tidak guna cakap lagi. Hari bagaikan tidak sempurna jika tidak ada kecam mengecam, cabar mencabar, tuduh menuduh dan ugut mengugut.  

Repot kepada pihak berkuasa sudah jadi seperti budaya. Dengan begitu banyak aduan terkumpul, susah nak bayangkan macam mana pihak berkuasa mampu menjalankan siasatan, apa lagi mendakwa.

Pernahkah anda kategorikan laporan dalam akhbar? Cuba lakukan hari ini. Anda akan dapati 90 peratus atau lebih laporan adalah condong kepada isu negatif, sama ada berkaitan jenayah, mahkamah, dakwaan, kecaman atau seumpamanya.

Apa pun dua insiden yang dilaporkan berlaku di utara tanah air dua tiga hari lalu lebih meninggalkan kesan dalam hati disebabkan keakraban dengan kawasan terlibat.

Pertama, kes baling mercun bola di Balai Polis Bukit Tengah Sabtu lalu dan kedua, kes kereta api terbalik di Bukit Mertajam sehari kemudian.

Masa kanak-kanak, saya tinggal dengan datuk dan nenek dekat kawasan kilang proses kelapa di Bukit Tengah, hidup tiada masalah. Kalau tidak ikut datuk mencari umbut, saya naik buaian (dibuat dengan sarung dan digantung dengan tali) depan rumah.

Hanya satu ketika saya akan lari sembunyi dalam rumah; apabila ada lelaki berjambang lalu depan rumah dengan karung guni di bahu untuk kutip botol dan tin kosong.

Hujung minggu saya ikut nenek ke rumah kenalannya di seberang jalan, tidak jauh dari balai polis. Lari-lari dengan budak-budak lain, main biji getah, makan rambutan dan rambai yang dikutip bawah pokok.

Masa belasan tahun pula, saya ke rumah nenek di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, hampir setiap hujung minggu.

Rumah papan yang usang tapi comel itu datuk beli dengan harga RM13 (Ya, tiga belas ringgit!) dan terletak hanya kira-kira 60 meter dari landasan kereta api.

Bayangkan mula-mula apabila kereta api lalu ketika sedang nyenyak; memang melambung kerana terkejut, tapi kata orang, alah bisa, tegal biasa.

Pagi saya dengan kawan-kawan mandi di air sungai jernih dan tangkap ikan. Pagi dan petang, saya ikut nenek ke pili air tepi landasan untuk mandi.

Baru-baru ini saya lawat kembali tempat itu. Di Bukit Tengah banyak bangunan baharu. Kalau ada tiga empat yang lama pun sudah reput dimamah usia. Lebih memilukan mendapati balai polis rosak teruk diserang dengan mercun bola.

Di Bukit Mertajam, ramai penduduk sudah menyatakan kebimbangan keselamatan mereka setelah gerabak kereta api barang terbalik dekat rumah mereka baru-baru ini.

Tiada lagi suasana lama yang syahdu, hening lagi menyamankan. Semuanya kini riuh-rendah, sesak dan membimbangkan.

Tidak tahu di mana selamat, di mana tidak. Barangkali itulah harga pembangunan yang perlu kita bayar!

Sinar Harian Telus & Tulus

Rakam anak tengah mandi

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2014

Rakam anak tengah mandi
Tertuduh melarikan diri bagi mengelakkan gambarnya dirakam media.

AYER KEROH - Padah merakam adegan anak perempuannya sedang mandi, seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki rakaman video lucah.

Hukuman itu diputuskan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun selepas mengangguk faham dan mengaku bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson W5801 yang mengandungi rakaman video lucah di sebuah rumah di Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar kira-kira jam 2.30 pagi pada 24 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, isteri tertuduh mengambil telefon bimbit milik tertuduh daripada anak lelaki mereka berusia empat tahun, kemudian mendapati terdapat rakaman video anak perempuan mereka berusia 12 tahun sedang berkemban sambil menggosok gigi untuk mandi.

Sebelum ini, isterinya juga pernah melihat rakaman anak perempuan mereka itu sedang tidur tetapi dipadam tertuduh, bimbang perkara lebih buruk berlaku wanita berkenaan membuat laporan polis.

Peguam Ishak Kari yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya yang telah insaf.

“Tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan kurang RM1,000 dan perlu menanggung anak serta ibu bapa, saya memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman rendah terhadapnya,” katanya.

Bagaimanapun, Nabilah meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira faktor tindakan tidak bermoral dilakukan tertuduh terhadap anak sendiri.

Selepas mendengar rayuan dan hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, Syajaratudur kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam hari dari tarikh ditangkap pada 5 Februari lalu dan denda RM1,400 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sinar Harian Telus & Tulus

Balasan amal dosa



Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Satu ketika dia ibarat primadona kerana berbekalkan batu mani gajah yang dijadikan tangkal, lebih 50 lelaki kaya dikikisnya sehingga memiliki wang simpanan lebih RM3 juta dalam tempoh cuma setahun.

Bagaimanapun, kuasa amalan syirik itu hanya sementara kerana dia kini menderita pelbagai penyakit selepas isteri seorang lelaki bergelar Datuk yang menjadi mangsanya membalas dendam dengan turut mengenakan ilmu hitam ke atasnya.

Itu kejadian menimpa seorang wanita berusia 31 tahun mahu dikenali sebagai Haslinda yang sebelum ini hidup bergelumang dosa, semata-mata untuk hidup mewah.

“Ada rakan memberitahu mengenai batu mani gajah dimiliki seorang bomoh tinggal di sempadan Siam (Thailand) yang dikatakan mampu membuatkan sesiapa saja tunduk dengan permintaan dan arahan kita.

Foto
AZMAN (gambar kanan) memegang jenglot yang sering digunakan pengamal ilmu hitam. Gambar kiri, Haslinda.

“Saya sanggup menjual diri bagi memperoleh RM8,000 sebagai bayaran untuk memiliki batu itu dan saya juga memandu beratus-ratus kilometer bersendirian untuk ke rumah bomoh itu dua tahun lalu,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12MyMetro

Tidak izin pokok petai ditebang

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2014

 Tidak izin pokok petai ditebang
  • Penduduk membuat bantahan menghalang tindakan mana-mana pihak yang mahu menebang pokok petai berkenaan.

PASIR MAS - “Kami sama sekali tidak akan membenarkan pokok petai ini ditebang,” tegas penduduk Kampung Binjai, Bunut Susu, di sini.

Ia berikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) datang untuk menebang pokok yang didakwa mengeluarkan bunyi kanak-kanak menangis dan mengeluarkan air seakan-akan air mata, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Abdul Razak Manaf, 57, berkata, pokok itu telah banyak berjasa kepada penduduk kampung dengan mengeluarkan hasil yang banyak sebelum ini.

Menurutnya, mereka tidak akan semudah itu membenarkan pihak Majlis Daerah Pasir Mas untuk menebangnya hanya kerana dikhuatiri boleh menyebabkan orang ramai melakukan perbuatan menyalahi  agama Islam.

Katanya, pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan tidak akan membenarkan sesiapa yang cuba melakukan perkara bertentangan dengan agama di pokok tersebut.

“Lagi pun pokok petai tersebut di bawah jagaan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Bechah Semak.

“Kami membuat pengawasan 24 jam dan pihak yang berniat serong tidak akan berkesempatan melakukannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka mengalu-alukan orang ramai yang ingin datang melihat keajaiban ciptaan ALLAH SWT.

Sementara itu, Ismail Loman, 57, berkata, malam kelmarin orang ramai tidak putus-putus datang ke kawasan tersebut untuk melihat lebih dekat kejadian pelik itu.

“Paling jauh ada yang datang dari Besut, Terengganu, dengan dua kenderaan, manakala selebihnya adalah penduduk dari sekitar Pasir Mas dan daerah berhampiran.

“Kami anggarkan lebih 100 orang datang seawal jam 8 malam hingga ke subuh,” katanya.

Menurutnya, pada malam kelmarin, pokok petai itu hanya menghasilkan titisan air sahaja dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi.

Ismail berkata, pokok itu mulai mengeluarkan air selepas waktu Maghrib hingga ke Subuh.

Sinar Harian Telus & Tulus

Polemik hukum pelaburan ASB

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
12 Februari 2014

SUDAH beberapa kali saya menulis artikel dan meletakkan status di Facebook mengenai hukum pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN).

Namun masih ramai yang bertanyakan penulis perihal status hukum pelaburan ASB dan ASN ini, memandangkan topik ini antara yang terhangat dibahaskan di alam siber.

Pertamanya perlu disebutkan bahawa penulis bukanlah orang yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa. Sebagai orang awam kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan, terutama Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab melantik mufti untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama.

Kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak ‘ustaz’  yang sewenang-wenang mengeluarkan hukum halal-haram.

Berbalik kepada polemik ASB dan ASN ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah pun memutuskan skim pelaburan ASB dan ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus hukumnya.

Dalam muzakarah yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang turut diwakili mufti-mufti seluruh Malaysia dan individu-individu berkepakaran dalam bidang fekah dan muamalah mengharuskannya atas hujah menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Namun, polemik berkenaan dengan ASB dan ASN mula timbul semula apabila Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011, memutuskan skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal kerana bertentangan dengan hukum syarak.

Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Untuk pengetahuan, di bawah Suruhanjaya Sekuriti terdapat resolusi syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran dalam aktiviti dan operasinya.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh syariah seperti konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu.

Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh syariah.

Walau bagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba iaitu Maybank melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Persoalannya sekarang fatwa manakah yang hendak dituruti?

Bagi pandangan peribadi penulis, sebagai orang awam kita boleh memilih untuk mengambil pandangan atau fatwa yang dikemukakan, sama ada oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Pejabat Mufti Selangor. Kedua-duanya adalah badan berautoriti untuk mengeluarkan fatwa dan mempunyai hujah tersendiri. Dalam konteks ijtihad sebegini, tiada istilah siapa yang betul mahupun salah secara mutlak, sebagaimana hadis Nabi SAW:

“Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala”.

Walau bagaimanapun dalam konteks wara’, seseorang digalakkan untuk meneliti secara terperinci setiap skim pelaburan ke mana dana-dana tersebut akan disalurkan. Yang dimaksudkan dengan wara’ di sini ialah ketakwaan kita pada ALLAH hingga meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas atau samar-samar.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Sinar Harian Telus & Tulus

Irfan angkat sumpah al-Quran

MOHD FIRDAUS YON
11 Februari 2014

Irfan angkat sumpah al-Quran

JOHOR BAHRU - Pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani, 25, hari ini mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan segala kenyataan yang dibuatnya adalah benar.

Perakuan sumpah itu dibuat Irfan sambil memegang al-Quran dengan disaksikan sekumpulan wartawan serta jurugambar di sebuah restoran di sini.

Minggu lalu, dalam sidang media yang dibuat selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Irfan berkata, perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.

Dalam pada itu, dalam majlis sama, Irfan juga mengakui ada menghantar surat bertarikh 4 Februari lalu, untuk memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan T-Team dan keputusan terbabit dibuat atas faktor kesihatan ibunya yang tidak menentu.

"Mak saya (berusia 54 tahun) kurang sihat dan saya risau dengan dirinya..atas sebab itu saya meletakkan jawatan secara rela. Di sini juga, saya ingin menegaskan perakuan berkanun dan sumpah al-Quran ini dibuat secara rela hati," katanya.

Sinar Harian Telus & Tulus

'Mereka dera kakak saya'

SYAIRI SHAARI
12 Februari 2014

 'Mereka dera kakak saya'
Mangsa tidak mahu lagi pulang ke pusat jagaan selepas dakwa didera penjaga.

SHAH ALAM – “Saya kesal apabila kakak saya diperlakukan tanpa belas kasihan sedangkan dia hanya memerlukan perhatian yang lebih,” luah Zaidatul Haslinda Mohamad Arif, ketika menceritakan keadaan kakaknya yang didakwa didera oleh sebuah pusat jagaan di Rawang.

Menurut  Zaidatul, kakaknya  yang berusia 38 tahun, juga orang kurang upaya (OKU) dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur tetapi dipindahkan ke sebuah pusat jagaan lain di Rawang tanpa pengetahuan keluarganya.

Katanya, dia menghantar kakaknya di sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2013 tetapi dipindahkan ke Rawang bersama penghuni OKU perempuan yang lain tanpa diberitahu sehinggalah mengetahui perkara tersebut ketika hendak mengambil kakaknya pada hujung minggu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila kakak saya dilayan bukan seperti manusia biasa di pusat jagaan di Rawang. Saya tengok ada kesan cubitan dan luka di bawah bahagian mata, belakang telinga dan badan.

“Lebih teruk lagi, kakak saya merintih kepedihan ketika saya memandikannya apabila dibawa pulang pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengakui membayar yuran RM500 kepada pusat jagaan tersebut.

Zaidatul berkata, kakaknya ada bercerita penjaganya mencucuk jari ke badannya dan memberitahu tidak mahu kembali lagi ke pusat jagaan itu kerana takut dipukul.

Kakaknya juga pernah menyatakan mahu membunuh penjaga tersebut sekiranya dia masih dihantar ke sana.

“Kakak juga kata mulutnya pernah diramas. Walaupun tiada kecederaan teruk tetapi tindakan penjaga pusat jagaan itu melampau kerana penghuni yang tinggal adalah insan istimewa,” katanya.

Menurutnya, penjaga pusat jagaan itu turut mengelak berjumpa dengannya apabila dia mahu berbincang dan mengetahui perkara sebenar.

Dalam masa yang sama, Zaidatul turut bimbang keadaan penghuni lain yang masih tinggal di situ kerana kebanyakannya tiada waris.

Dia berharap ada pihak bertanggungjawab membuat pemantauan dan tidak terlepas pandang kerana tidak mahu ada pihak lain yang mengeksploitasi insan kurang upaya.

Sinar Harian Telus & Tulus

Azizul, Shalwati sedia pertahan diri

NORUTUL ILHAM MAD JARI
12 Februari 2014

Azizul, Shalwati
  • Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem.

SHAH ALAM - Pasangan Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal yang didakwa atas tuduhan mendera dan memukul keempat-empat anak mereka bersedia untuk pertahankan diri di mahkamah.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pasangan itu bersedia pertahankan diri mereka kerana dakwaan yang dikenakan sama sekali di luar jangkaan.

“Pihak pendakwa nampaknya sudah pun mendapatkan keterangan anak-anak melalui pengakuan dan percakapan yang dirakam melalui video.

“Respons itu dikongsi dengan peguam Kristopher Stahre yang kemudiannya memaklumkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, beliau akan cabar rakaman video itu jika benar anak-anak tersebut didera.

“Saya tidak fikir mereka akan panggil kerana mereka akan cuba buktikan pertuduhan berdasarkan rakaman percakapan bersama anak-anak semasa mereka di Sweden tempoh hari,” katanya.

Sinar Harian Telus & Tulus

'Saya bodoh kerana percaya dia'

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
11 Februari 2014

 'Saya bodoh kerana percaya dia'
Normaliah memasuki kamar mahkamah untuk memberi keterangan.

SHAH ALAM - "Saya bodoh kerana mempercayainya," kata Normaliah Mahmood, sambil menangis di dalam kandang saksi, hari ini semasa perbicaraan kes bunuh anaknya, Zara Eleena, 23, dan suaminya, Omar Peter Abdullah, 56.

Normaliah Mahmood, 53, yang menjadi saksi pendakwaan keempat itu memberitahu Mahkamah Tinggi, tertuduh, Shah atau nama sebenarnya, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20 mengatakan terdapat 25 ekor hantu padanya.

"Saya memang takut hantu," katanya sebak.

Wanita itu memberitahu mahkamah, menurut Zara Eleena, Shah yang kononnya seorang ustaz akan mengubatinya.

"Pada waktu itu, saya tidak sihat dan tidak boleh tidur," katanya.

Dia memberitahu, Shah tiba bersama Boy atau nama penuhnya Azizi Aizat Ibrahim,20, serta seorang lagi individu selepas Zara Eleena membuat panggilan telefon dengan menanyakan di mana pelajar itu berada.

Normaliah berkata, Shah memintanya tidur sebagai syarat mengubatinya namun dia tidak dapat melakukannya.

"Saya memang tidak dapat tidur, dan Yaya ( Zara Eleena) ada membuat air Nescafe 3 in 1 untuk saya minum. Suami juga menumpang cawan yang sama," katanya.

Menurutnya, sebelum pulang, Shah menyelongkar rumahnya untuk mencari hantu dan menjumpai hantu di dalam kotak barangan kemasnya.

"Suami angkat barang kemas saya yang disimpan di dalam kerusi kotak dan Shah mengasingkannya.
"Shah asingkan barang kemas yang ada hantu di lantai bilik," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

'Saya cuba lawan ketika payudara diseterika'

11 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia cuba melawan apabila majikannya, Yim Pek Ha meletakkan seterika panas pada payudaranya, 10 tahun lepas.
 
Nirmala, 29, berkata demikian ketika disoal peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim dan suaminya, Hii Ik Tiing dalam perbicaraan hari kedua kes saman yang difailkan terhadap mereka kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas.
 
Nirmala berkata dia juga sempat memegang tangan suri rumah itu dan tindakannya menyebabkan kedua-dua belah tangannya turut terkena pada seterika berkenaan, namun dia tidak cuba mengambil seterika itu daripada tangan Yim.
 
Jawapan ibu kepada dua orang anak lelaki itu dipertikai peguam Chan kerana di prosiding terdahulu di Mahkamah Sesyen di sini, Nirmala menyatakan dia hanya berdiri dan mengikut arahan serta tidak melawan ketika Yim meletakkan seterika pada payudaranya.
 
Nirmala juga tidak bersetuju apabila Chan menyatakan apa yang diceritakannya pada mahkamah hari ini adalah bercanggah dengan apa yang diceritakan lapan tahun lepas ketika prosiding di Mahkamah Sesyen.  

Wanita itu juga tidak dapat mengingati sama ada dia ada memberitahu pihak polis mengenai kecederaan pada tangannya, selain tidak dapat mengingati sama ada luka itu dimaklumkan kepada dua orang doktor yang pernah menemubualnya.
 
Chan: "Saya cadangkan kamu menganggap luka pada tangan akibat terkena seterika adalah tidak penting dan disebabkan itu kamu tidak memaklumkan perkara ini dalam laporan polis yang dibuat pada 2004?"
 
Nirmala: "Saya tidak bersetuju."
 
Chan: "Saya cadangkan jawapan yang diberikan oleh kamu dalam pernyataan saksi di mahkamah hari ini bahawa kamu cuba menghalang Yim daripada meletakkan seterika panas dengan kedua-dua belah tangan hanyalah rekaan bagi menuntut ganti rugi dalam kes saman kamu?"
 
Nirmala: "Saya tidak bersetuju."

Wanita Indonesia itu juga tidak bersetuju dengan Chan apabila peguam itu berkata dia (Nirmala) pernah memberitahu majikan bahawa luka pada tangan itu berlaku akibat tidak disengajakan olehnya.
 
Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Jan 2004.
 
Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Sept 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan yang sewajarnya.  
 
Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
 
Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.
 
Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok. - Bernama

Sinar Harian Telus & Tulus

Jangan keluar jika abu gunung berapi melanda

11 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan tinggal di dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap jika abu dari letupan Gunung Berapi Sinabung, Sumatera Utara terbang ke arah Malaysia.
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menasihatkan penduduk agar memakai topeng mulut atau menggunakan kain atau tuala basah sebagai alat perlindungan pernafasan jika udara tercemar.
 
"Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah mengelak atau mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh berkenaan.
 
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air, dan selalu membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak memandu dalam keadaan berabu oleh kerana ia boleh menyukarkan penglihatan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Gunung Sinabung berada dalam keadaan yang mudah meletup sejak 15 September dan letupan terbaru bermula pada 30 Januari mengakibatkan pelepasan abu panas ke udara pada ketinggian 5km.
 
Walaupun kemungkinan penduduk Malaysia terdedah kepada abu itu rendah, namun wujud kemungkinan berlaku hal sedemikian khususnya di pantai barat Semenanjung dan bahagian selatan negara.
 
Dr Noor Hisham berkata mereka yang terdedah kepada abu berkenaan akan mengalami simptom gangguan mata, hidung, tekak dan kulit.  
 
Beliau berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan menasihatkan mereka yang menghidap masalah kesihatan berkaitan abu gunung berapi segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat. - Bernama

Sinar Harian Telus & Tulus