Wednesday 12 February 2014

Mayat pun tak selamat lagi

FARUSH KHAN
12 Februari 2014

NAMPAKNYA sekarang seolah-olah tidak ada tempat, benda dan bidang yang selamat.

Di kawasan perumahan saya di Shah Alam, hampir 20 kes pecah rumah, kecurian dan ragut berlaku dalam tempoh dua bulan tahun lalu.

Tapi syukur, setelah penduduk mula buat rondaan secara sukarela dan polis membuat rondaan lebih kerap, kegiatan jenayah sudah berkurangan.

Rumah rakan saya di Kulim masih terus jadi tarikan pencuri.Sejak dia tinggal di rumah teres dua tingkat itu lapan tahun lalu, pencuri sudah masuk tidak kurang 16 kali.

Enam tujuh kali dia gagah buat repot, tapi yang selebihnya dia serah pada takdir sahaja. Dah letih!

Saya tabik padanya kerana walaupun habis barang dikebas pencuri, dia masih sanggup tinggal di situ. Kalau saya, sudah lama buka langkah seribu.

Saya baca Sinar Harian Isnin lalu dan menggeleng membaca cerita enam lelaki ditangkap ketika menggali kubur di Kuala Rompin, Pahang.

Mereka curi tulang mayat yang bomoh minta kononnya untuk pulih orang kena santau.

Di Hulu Terengganu, berpuluh-puluh mayat di tanah perkuburan habis dihanyutkan air sungai dalam dua insiden hakisan. Kalau tiada tindakan segera, tidak lama lagi, tiada apa lagi yang tinggal di tanah perkuburan itu.

Sukan seperti bola, yang sepatutnya menyeronok dan merapatkan perhubungan, juga diheret ke kancah kontroversi, mencetuskan perseteruan dan pergaduhan.

Dalam dunia politik, tidak guna cakap lagi. Hari bagaikan tidak sempurna jika tidak ada kecam mengecam, cabar mencabar, tuduh menuduh dan ugut mengugut.  

Repot kepada pihak berkuasa sudah jadi seperti budaya. Dengan begitu banyak aduan terkumpul, susah nak bayangkan macam mana pihak berkuasa mampu menjalankan siasatan, apa lagi mendakwa.

Pernahkah anda kategorikan laporan dalam akhbar? Cuba lakukan hari ini. Anda akan dapati 90 peratus atau lebih laporan adalah condong kepada isu negatif, sama ada berkaitan jenayah, mahkamah, dakwaan, kecaman atau seumpamanya.

Apa pun dua insiden yang dilaporkan berlaku di utara tanah air dua tiga hari lalu lebih meninggalkan kesan dalam hati disebabkan keakraban dengan kawasan terlibat.

Pertama, kes baling mercun bola di Balai Polis Bukit Tengah Sabtu lalu dan kedua, kes kereta api terbalik di Bukit Mertajam sehari kemudian.

Masa kanak-kanak, saya tinggal dengan datuk dan nenek dekat kawasan kilang proses kelapa di Bukit Tengah, hidup tiada masalah. Kalau tidak ikut datuk mencari umbut, saya naik buaian (dibuat dengan sarung dan digantung dengan tali) depan rumah.

Hanya satu ketika saya akan lari sembunyi dalam rumah; apabila ada lelaki berjambang lalu depan rumah dengan karung guni di bahu untuk kutip botol dan tin kosong.

Hujung minggu saya ikut nenek ke rumah kenalannya di seberang jalan, tidak jauh dari balai polis. Lari-lari dengan budak-budak lain, main biji getah, makan rambutan dan rambai yang dikutip bawah pokok.

Masa belasan tahun pula, saya ke rumah nenek di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, hampir setiap hujung minggu.

Rumah papan yang usang tapi comel itu datuk beli dengan harga RM13 (Ya, tiga belas ringgit!) dan terletak hanya kira-kira 60 meter dari landasan kereta api.

Bayangkan mula-mula apabila kereta api lalu ketika sedang nyenyak; memang melambung kerana terkejut, tapi kata orang, alah bisa, tegal biasa.

Pagi saya dengan kawan-kawan mandi di air sungai jernih dan tangkap ikan. Pagi dan petang, saya ikut nenek ke pili air tepi landasan untuk mandi.

Baru-baru ini saya lawat kembali tempat itu. Di Bukit Tengah banyak bangunan baharu. Kalau ada tiga empat yang lama pun sudah reput dimamah usia. Lebih memilukan mendapati balai polis rosak teruk diserang dengan mercun bola.

Di Bukit Mertajam, ramai penduduk sudah menyatakan kebimbangan keselamatan mereka setelah gerabak kereta api barang terbalik dekat rumah mereka baru-baru ini.

Tiada lagi suasana lama yang syahdu, hening lagi menyamankan. Semuanya kini riuh-rendah, sesak dan membimbangkan.

Tidak tahu di mana selamat, di mana tidak. Barangkali itulah harga pembangunan yang perlu kita bayar!

Sinar Harian Telus & Tulus