Friday 21 February 2014

AL-FATIHAH!!! Meninggal ‘senyum’ dalam solat

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

Pasir Mas: “Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini.

“Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya.

Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Foto
JEMAAH Masjid Beijing melihat anggota polis mengangkat jenazah Mahama yang meninggal dunia ketika solat Isyak, malam kelmarin.

Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Sumber

TERKINI!!! Hampir 6 juta terima BR1M esok



KUALA LUMPUR: Dengan matlamat meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, kerajaan akan menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada hampir enam juta penerima yang telah berdaftar setakat ini.

Sumber-sumber berkata, pemberian itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM3 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan majlis pelancaran penyerahan BR1M 2014 peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini esok.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.


Buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.


Sumber itu berkata bantuan mampu diberikan kepada rakyat hasil langkah-langkah kerajaan membangunkan ekonomi negara ke arah landasan yang kukuh.

Jumlah penerima BR1M pada 2012 adalah lebih empat juta orang melibatkan perbelanjaan lebih RM2 bilion manakala pada tahun 2013 seramai hampir tujuh juta penerima dengan perbelanjaan hampir RM3 bilion.

Menurut sumber itu lagi, langkah-langkah kerajaan itu terbukti berkesan daripada beberapa petunjuk ekonomi yang dicatat pada tahun lepas (2013) seperti pelaburan swasta sebanyak lebih RM1 bilion, yang merupakan tertinggi sejak lima rahun, selain jumlah pelaburan asing langsung (FDI) berjumlah lebih RM8 bilion.

Petunjuk lain termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2013 manakala Malaysia juga mencatat kadar inflasi rendah sebanyak 2.1 peratus pada 2013, manakala FDI pada 2013 berjumlah RM38.7 bilion, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, defisit fiskal pula menurun daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 manakala kadarnya bagi tahun ini disasarkan 4 peratus.

Bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk pelbagai subsidi termasuk lebih RM20 bilion untuk subsidi barangan asas seperti petrol, gas LPG, minyak masak, diesel, tepung gandum, dan beras manakala bantuan persekolahan pula berjumlah lebih RM10 bilion.

Menurutnya petunjuk-petunjuk itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan langkah-langkah transformasi ekonomi yang dilaksanakan memberi impak.

Selain golongan berpendapatan rendah, golongan pertengahan juga banyak mendapat manfaat daripadanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Sumber

TERKINI!!! Facebook ambil alih WhatsApp RM62.66b

2014/02/21 - 04:45:02 AM


Facebook Inc akan membeli syarikat pemula yang mengendalikan mesej mudah alih, WhatsApp, pada pertimbangan AS$19 bilion (RM62.66 bilion) yang akan diselesaikan menerusi tunai dan saham.

Janji niaga bersejarah itu akan meletakkan rangkaian sosial terbesar dunia itu semakin hampir kepada paksi segmen komunikasi mudah alih, sekali gus menjadikannya lebih dekat dengan pengguna muda.

Facebook akan membayar AS$4 bilion (RM13.2 bilion) secara tunai, AS$12 bilion (RM39.6 bilion) saham dan AS$3 bilion (RM9.9 bilion) saham terhad yang boleh ditebus dalam tempoh beberapa tahun.

Kuasai pasaran khidmat mesej

Gerak kerja pengambilalihan WhatsApp membabitkan nilai yang lebih daripada yang diraih Facebook ketika membuat tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus menzahirkan iltizam rangkaian sosial itu untuk turut menguasai pasaran khidmat mesej.

WhatsApp yang berpangkalan di Lembah Silikon adalah seperti ‘kisah pari-pari’ bagi sebuah syarikat pemula. Diasaskan imigran dari Ukraine dan tidak tamat kolej, Jan Koum serta lulusan universiti Stanford Brian Acton, pengguna aplikasi itu naik mendadak kepada 450 juta dalam tempoh lima tahun dan menokok kira-kira sejuta pengguna baru setiap hari.

“Tiada siapa lagi di dunia yang pernah mencapai prestasi sebegini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dalam satu taklimat media di San Francisco.

Sumber

PULAK!!! Dynas nafi rumah tangga goyah

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN


Gambar Hiasan

SUBANG JAYA 20 Feb. - Pengacara serta pelakon terkenal Dynas Mokhtar, 31, menafikan gosip yang mendakwa perkahwinannya kini di ambang keretakan.
Menjelaskan hubungannya dengan suami Hafizy Hafiz, 43, Dynas dengan yakin menyatakan gosip yang disebarkan itu langsung tidak tepat.
"Alhamdulillah, kami masih baik, tak ada persengketaan seperti yang didakwa. 
"Saya banyak baca gosip mengenai kami, jadi saya memang tidak ada benda untuk beritahu," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Johnson Baby di sini hari ini.
Dynas dan Fizy bernikah pada 15 Mac 2008. Selama tujuh tahun melayari alam rumah tangga, keluarga bahagia ini dianugerahkan dua cahaya mata Khyra Khalyssa, 4, dan Mohamed Haqaish, 2,. - UTUSAN ONLINE

Sumber 

GEMPAR!!! 'drama’ terjun bangunan

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
20 Februari 2014

Gempar 'drama’ terjun bangunan
  • Lelaki berusia 30-an ini cuba bertindak terjun dari bumbunag rumah jirannya di Jalan Besar, Tanjung Piandang.

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental bertindak nekad terjun dari bangunan tingkat dua rumah jiran di Jalan Besar, Tanjung Piandang, di sini walaupun cuba digagalkan sepasukan anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kurau.

Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an dan sudah berkahwin itu ternyata amat bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan di tangan setelah dia sekadar terjatuh di atas bumbung tempat parkir kenderaan yang berketinggian dua meter dari lokasi terjunan.

Jiran mangsa hanya dikenali Ah Kwan, 61, berkata, lebih kurang jam 9.30 malam kelmarin, dia dan ahli keluarga lain sedang berehat menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan orang dari arah bumbung rumahnya.

Menurutnya, dia segera keluar rumah untuk meninjau keadaan dan terkejut mendapati seorang lelaki yang dalam keadaan mengamuk, sedang memanjat bumbung rumahnya sambil mengugut hendak membunuh diri.

“Saya terkejut mendapati lelaki terbabit merupakan salah seorang anak jiran saya yang dikenali dengan nama Han dan segera merayu kepadanya supaya turun kembali. Namun, lelaki terbabit langsung tidak mengendahkan rayuan saya.

“Bimbang tindakan nekad lelaki berkenaan, saya segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau dan mengadukan perkara itu kepada JBPM Kuala Kurau serta Bomba Sukarela Parit Buntar,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian.

Ah Kwan berkata, sebaik sahaja pasukan polis dan bomba tiba di lokasi kejadian lebih kurang setengah jam kemudian, lelaki berkenaan secara tiba-tiba cuba menyembunyikan diri melalui celah bumbung rumahnya.

“Anggota bomba berusaha menjejakinya dan berjaya ditemui semula  sepuluh minit kemudian,” katanya.

Ah Kwan berkata, anggota bomba bersama ahli keluarga dan orang ramai cuba memujuk lelaki berkenaan untuk kembali turun ke bawah.

“Usaha anggota bomba memujuk lelaki berkenaan selama sejam tidak berjaya apabila dia nekad terjun dari bumbung rumah dua tingkat milik jirannya.

“Bagaimanapun, dia amat bernasib baik apabila hanya sekadar terjatuh atas bumbung tempat parkir kenderaan milik saya dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, anak jirannya itu segera dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh anggota bomba sukarela sejurus kejadian itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, PBK II Mohd Sharif Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan pihaknya terima panggilan daripada Balai Polis Tanjung Piandang pada jam 9.52 malam.

Menurutnya, setibanya jentera bomba bersama tujuh anggota di lokasi kejadian pada jam 10.11 malam, seramai tiga anggota bomba bertindak memanjat bumbung rumah lokasi kejadian untuk memujuk mangsa, manakala empat lagi menyediakan tilam kecemasan.

“Masalah komunikasi di antara anggota bomba dan lelaki berkenaan yang berbangsa cina menyebabkan usaha memujuk sukar dilakukan sehingga isteri dan emak lelaki itu terpaksa dipanggil untuk membantu kami.

“Setelah sejam memujuk, lelaki itu terjun dari bumbung rumah secara tiba-tiba, namun hanya mengalami kecederaan ringan setelah terjatuh di atas bumbung tempat parkir kenderaan,”katanya.

Ditanya mengenai punca sebenar kejadian, Mohd Sharif menegaskan kes masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit mengalami masalah mental.

“Lelaki berkenaan segera dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar selepas itu untuk rawatan susulan,” katanya.

Sumber

Five of seven Japanese divers rescued from Bali waters, one body found

ERRA!!! Jangan tanya soal anak

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar MOHD AZIM ABD RAHMAN

ERRA akan terus melangkah untuk membina kerjayanya.

ENTAH di mana kurang atau silap, bukan kita yang perlu tahu dan kongsikan. Ini soal rumah tangga, sungguhpun karier sebagai artis menuntut dia mengorbankan sisi peribadinya Erra Fazira kekal mempunyai hak untuk merawat luka sendiri.

Setelah hampir beberapa tahun kisah rumah tangganya menjadi tanda tanya, akhirnya 2014 menjadi penamat buat kisah yang penuh teka-teki itu. Benar, dia kini sudah kembali menjanda, tetapi antara kisah yang dibangkitkan segelintir insan kembali menghangatkan suasana yang sudah diputuskan mahkamah.

Sejak dari tahun 2009 lagi sudah timbul pelbagai versi mengenai pergolakan rumah tangga Erra, antaranya yang mendapat perhatian adalah perkaitan Emran yang kononnya sudah berkahwin dengan seorang gadis bernama Mawar dan Erra sendiri pernah digosipkan mempunyai hubungan dengan pelakon lelaki baharu. Tujuh tahun mereka bergelar suami isteri, perkongsian itu juga turut melahirkan harta paling berharga buat kedua mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.

Keputusan tanpa pertelingkahan dilihat menjadikan perpisahan antara Erra dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, berlangsung dalam keadaan yang amat mudah. Malah sewaktu Emran melafazkan talak ke atas bekas isterinya itu juga, Erra digambarkan berada dalam keadaan yang begitu tenang. Benarkah Erra begitu tenang? Atau keadaan itu lebih kepada sudah bersedia. Meminta Erra sendiri menjelaskan keadaannya, dia akui ada sudut dalam dirinya yang dicengkam perasaan yang dia sendiri sukar kongsikan.

"Jangan ingat saya kuat, dalam hati ini tiada siapa yang tahu.

"Takkan saya mahu rebah depan mak atau keluarga atau rakan-rakan, siapa yang akan teruskan rakaman (Primadona)," katanya yang sempat berseloroh ketika ditemui pada rakaman program tersebut di Shah Alam, Selangor pada petang selepas dia diceraikan.

Tidak menolak merasa lega dengan apa yang sudah dilaluinya saat ini, bagi Erra tidak perlu sesiapa lagi mempersoalkan apa yang sudah berlaku dalam rumah tangganya kali ini. Kisahnya dia mahu permulaan ini memudahkan dia memberi tumpuan kepada kariernya pula.

"Seperti yang semua tahu, saya menerima apa yang sudah tertulis. Saya harap mereka di luar juga terima.

"Saya lega semuanya sudah selesai, fokus saya kini akan ditumpukan kepada karier pula," katanya tenang dengan secalit senyuman kekuatan.

Kesediaan Erra melepaskan hak penjagaan anaknya kepada bekas suami sedikit merungsingkan peminat. Pelbagai persoalan yang timbul memandangkan kebiasaannya, ibu akan berusaha memastikan anak berada di bawah jagaan mereka. Adakah Erra berbeza dari ibu-ibu lain, antara persoalan yang semakin membingungkan.

Ketika Erra menjawab soalan mengenai anaknya ada serak bahasa sedih yang dapat menggambarkan keadaannya kini.

"Janganlah tanya soalan ini... baharu sangat, saya masih sensitif.

" Tetapi keputusan yang diambil kami ini adalah yang terbaik untuk dia," katanya sedikit sebak.

Mengakui sudah lama menyimpan rahsia rumah tangga, Erra menjelaskan ada sesuatu yang perlu dia simpan demi keputusan saat ini. Tidak menolak untuk mengetahui pelbagai spekulasi timbul akibat ini, Erra percaya dia mempunyai sebab yang cukup teguh untuk berahsia.

"Mengejutkan untuk semua, tetapi apa yang berlaku sudah lama. Sudah tertulis perkahwinan saya begini.

"Memang saya rahsiakan, ini soal rumah tangga, saya tidak boleh sewenang-wenangnya berkongsi. Tetapi semuanya sudah terlerai kini dan harap semuanya faham," katanya lembut.

Jelas selesa menjawab setiap persoalan yang diajukan dengan ringkas, Erra bagaimanapun menafikan dia memerlukan sebuah sidang akhbar khas dalam menerangkan kronologi masalah rumah tangganya itu. Mahu keputusan itu menghentikan segala spekulasi, Erra dengan jelas sudah tidak sabar lagi mahu melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.

"Saya rasa tidak perlu untuk mengadakan sebuah sidang akhbar bagi menerangkan apa yang berlaku. Cukuplah setakat ini. Saya mahu beri tumpuan kepada karier saya selepas ini," katanya ringkas.

Sumber

TERBAIK!!! Feyenoord uji anak Malaysia

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my



WAN KUZAIN Wan Kamal (kanan) bakal menjalani ujian dengan kelab terkemuka Belanda, Feyenoord pada hujung bulan ini.

KUALA LUMPUR - Tanggal 28 Februari ini bakal menjadi detik bersejarah buat anak Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat apabila dia bakal menjalani latihan pemilihan selama sepuluh hari bersama pasukan gergasi Liga Eredivisie Belanda, Feyenoord.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ayahnya, Prof. Dr. Wan Kamal Wan Napi, yang berjaya dihubungi melalui Facebook semalam.

Katanya, ini merupakan peluang keemasan buat anaknya yang baru berusia 15 tahun itu mengembangkan karier bola sepak ke bumi Eropah selepas baru sahaja menjalani latihan bersama pasukan Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat (AS) di Florida.

Pada waktu ini, katanya, Wan Kuzain sedang bernaung di bawah kelab St. Louis Scott Gallagher (SLSG) di Illinios, menjadi antara pemain utama kelab itu dan aksi cemerlang yang ditampilkan berjaya meletakkan dirinya antara 30 pemain yang disenarai pendek untuk menjalani pemilihan skuad Bawah 17 Tahun AS.

Menurut Wan Kamal, anaknya dianugerahkan bakat semulajadi yang begitu baik terutama skil menggelecek dan mengawal bola yang membuatkan jurulatih SLSG meletakkan Wan Kuzain ber-aksi di posisi tengah serta dianggap sebagai perancang dalam pasu-kan kerana mempunyai visi terhadap pergerakan permainan.

"Selepas Kuzain balik daripada latihan skuad kebangsaan Amerika Bawah 17 di Florida (persediaan Piala Dunia Bawah 17 tahun di Chile, 2015), jurulatih Kuzain percaya pemain ini mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia bola sepak.

"SLSG percaya Feyenoord adalah tempat paling sesuai untuk menggilap bakat Kuzain dan sebaik sahaja dia balik dari kem latihan di Florida, jurulatihnya terus menghantar profil peribadinya kepada Feyenoord yang berpengkalan di Rotterdam, Belanda.

"Kira-kira sebulan selepas itu Feyenoord telah mengeluarkan surat jemputan kepada Kuzain untuk menjalani latihan percubaan selama sepuluh hari bersama mereka di Rotterdam," katanya.

Menceritakan masa depan anaknya, Wan Kamal berkata, dia mahu melihat anaknya mengutamakan pelajaran terlebih dahulu dan menyambung pelajaran ke universiti sebelum bergelar pemain bola sepak profesional.

"Tidak mustahil untuk Kuzain menyarung jersi Malaysia pada satu hari nanti kalau mendapat tawaran daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau mana-mana pihak yang mampu berikan tawaran yang baik," katanya.

Berita mengenai pemilihan Wan Kuzain ke Feyenoord, kelab yang melahirkan beberapa pemain ternama Belanda seperti Robin van Persie dan Jonathan de Guzman turut dimuatkan di majalah dalam talian goal.com (versi Belanda) dengan pihak media negara itu melabelkan pemain berusia 15 tahun itu sebagai ‘Messi Amerika Syarikat’ dalam pembikinan.

Wan Kuzain mula aktif bermain bola sepak semasa berumur 4 tahun iaitu secara rekreasi di Carbondale dan pada usianya 11 tahun ditawar bermain dengan SLSG.

Kuzain menerajui SLSG untuk menjadi juara kejohanan bawah 14 tahun lelaki dalam Piala Juara NPL (National Premier League) yang dianjurkan persatuan kelab bola sepak Amerika Syarikat.

Sumber


KEBENARAN!!! Kelebihan bersuami boroi, gemuk

MUHAMAD MAT YAKIM
21 Februari 2014

Gambar Hiasan

BOROI. Malangnya perkataan itu, ia jadi musuh hampir semua orang.

Bagi lelaki, mereka sanggup buat apa sahaja untuk memastikan diri tidak termasuk dalam golongan yang malang itu terutama apabila usia menjangkau 40-an.

Namun dalam berusaha, hanya sedikit yang berjaya. Ini berkait dengan banyak sebab, pemakanan, gaya hidup juga soal istiqamah dalam bersenam.

Bagi wanita pula, mereka seboleh mungkin tidak mahu pasangan boroi kerana hakikatnya, sesiapa yang boroi akan dipandang hodoh seperti kuih yang tidak ikut bentuk acuan.

Namun dalam berdepan dengan isu boroi, kita kadang kala diperdengarkan dengan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa lelaki boroi juga punya kelebihan.

Ini termasuk pengakuan oleh wanita sendiri yang saya dapati melalui tinjauan media sosial menyebut bahawa lelaki boroi itu seksi. Benarkah?

Saya kira ini mungkin sekadar alasan untuk menyedapkan hati kerana secara relatif, bagaimana boroi mahu dianggap seksi. Apakah kuih yang jadinya tidak mengikut bentuk acuan semestinya sedap?

Ya, saya sendiri termasuk dalam kategori boroi. Dan untuk menyedapkan hati sendiri, sejak berkahwin, saya sering mengatakan kepada sesiapa sahaja yang membangkitkan isu keboroian saya bahawa hanya jauhari yang mengenal manikam. Kononnya, hanya wanita yang bersuamikan lelaki boroi sahaja tahu kelebihan kami.

Kadang kala saya membuat perbandingan bahawa kami yang boroi ini seumpama minyak masak Seri Murni yang melalui proses pemeringkatan dua kali untuk mendapat kualiti  terbaik.

Sesiapa yang tidak fahami  metafora ini, cuba-cuba fikir sendiri untuk mendapatkan jawapannya!

Baru-baru ini saya ditemukan dengan satu lagi kenyataan bahawa lelaki boroi dikatakan lebih penyayang, berfikiran jauh (mungkin sebab hujung perutnya lebih jauh dari otak) dan satu lagi, seksi.

Itu berkaitan dengan boroi.

Dalam kes gemuk atau berat badan berlebihan, satu soal selidik di Jerman mendapati lelaki yang termasuk dalam kategori itu lebih setia dalam percintaan berbanding mereka yang mempunyai berat badan ideal ataupun kurus.

Sekumpulan lelaki berusia antara 31 hingga 69 tahun ditanya mengenai tahap kesetiaan mereka dalam hubungan cinta termasuk yang sudah berkahwin.

Hasilnya mendapati daripada 53 peratus yang memberikan jawapan, hanya 11 peratus yang mengaku benar-benar setia dan mereka terdiri daripada lelaki-lelaki gemuk.

23 peratus lagi yang dikenal pasti mempunyai berat badan ideal, mengaku curang. Demikian juga 19 peratus mereka yang dikategorikan sebagai kurus.

Apa pun, saya tidak jamin ini juga cerminan bagi orang kita.

Namun harus jadi ingatan bahawa setiap apa yang padanya ada kelebihan, pasti ada kekurangan dan setiap yang dianggap kurang, pasti ada kelebihan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, dan bagaimana seadanya kita.

Kepada mereka yang termasuk kategori gemuk atau boroi, usahlah lagi bergundah gulana. Jangan dibenci, apa lagi dikeji 'tembikai masak' anda kerana di situlah tersimpan rahsia kelebihan diri anda yang tidak banyak diketahui orang.

Uar-uarkanlah bahawa anda bukanlah kuih yang jadinya tidak mengikut acuan kerana bahulu yang rupanya cantik molek bukan semestinya sedap!

Kepada isteri-isteri yang suaminya boroi atau gemuk, anggaplah diri anda bertuah kerana zaman sekarang, ramai suami yang tidak setia. Yakinlah selagi mana perut suami anda boroi dan badannya juga gemuk, itulah tanda dia setia.

Lazimnya, jarang ada wanita muda yang mahu lelaki seperti itu melainkan jika dompetnya juga benar-benar boroi dan gemuk!

Sumber

BONGKAR!!! Lori SWM buang sisa kotoran di pantai?

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2014

Lori SWM buang sisa kotoran di pantai?
Gambar yang tersebar di laman sosial Facebook.

PORT DICKSON - Gambar sebuah kenderaan milik SWM Environment Sdn Bhd (SWM) yang dipercayai sedang membuang air sisa kotoran berwarna hitam di pantai Port Dickson tersebar meluas di laman sosial Facebook, sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Melalui gambar berkenaan yang dimuat naik seorang lelaki itu menerima pelbagai komen daripada orang ramai.

Gambar berkenaan dimuat naik sekitar 12 tengah hari semalam,  dan melalui gambar itu, dapat dikenal pasti lokasi tersebut berlaku di Pantai Sea View Batu 1 Port Dickson.

Sementara itu, SWM dalam kenyataan rasminya yang diemel kepada Sinar Harian petang semalam berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

"Tatacara operasi kerja bagi melupuskan air kotoran dan kotoran longkang hanya boleh dijalankan di tapak pelupusan sampah.

"Syarikat mengambil serius terhadap pematuhan operasi manual kerja bagi semua anggota kerja SWM dan sub-kontraktor," katanya.

Menurut kenyataan itu, SWM sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti pekerja yang terlibat dengan kegiatan tersebut, sebelum tindakan tegas diambil.

Malah, SWM turut memohon maaf kepada orang ramai terhadap insiden berkenaan.

Sumber

TERKINI!!! Enam faktor nahas bas korban 37 nyawa di Genting

20 Februari 2014

Bas Genting

KUALA LUMPUR - Melebihi had laju adalah faktor utama nahas bas yang mengorbankan 37 nyawa di Km3.6, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos tahun lepas.

Laporan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dalam laman sesawang kementerian itu turut menggariskan lima lagi faktor berlakunya nahas terbabit iaitu dari aspek jalan raya.

Menurut laporan setebal 44 muka surat itu, faktor kedua ialah status dan reka bentuk jalan raya memberi persepsi tidak betul kepada pemandu untuk memandu lebih laju manakala 'Safety Barrier' tidak memenuhi piawaian keselamatan serta kedudukan 'Emergency Escape Ramp'yang sukar digunakan semasa kecemasan.

Faktor ketiga adalah aspek kenderaan didapati mengalami masalah brek yang kurang berkesan manakala faktor keempat pula adalah Genting Highlands Transport Sdn Bhd didapati kurang memberi penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dikatakan tidak menjalankan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 dan Tata Amalan Industri (ICOP) SPAD secara berkesan," menurut laporan Panel Penasihat Bebas itu.

Faktor kelima adalah sistem komunikasi di kawasan bukit dan kawasan terpencil yang kurang efektif selain sistem 999 untuk panggilan kecemasan tidak digunakan secara efisien manakala faktor terakhir adalah sikap ketidakprihatinan terhadap keselamatan jalan raya turut menyumbang kepada nahas terbabit.

Berdasarkan laporan itu ,terdapat 51 cadangan penambahbaikan yang meliputi 16 syor berkaitan jalan, 20 syor melibatkan aspek kenderaan, lapan syor untuk keselamatan operasi serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Manakala empat syor bagi tindakan kecemasan dan menyelamat serta tiga syor untuk memperkasakan penglibatan orang awam terhadap keselamatan jalan raya," menurut laporan itu yang boleh dibaca orang ramai di dalam laman sesawang kementerian itu bermula hari ini.

Kemalangan bas di Genting Highlands pada Ogos tahun lepas itu disifatkan sebagai kemalangan jalan raya paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun di negara ini.

Tragedi itu mengorbankan 37 orang apabila bas ulang-alik Genting Highlands ke Kuala Lumpur yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Km3.5 Jalan Genting Highlands, pada 21 Ogos. - Bernama

Sumber

PANAS!!! Puteri Sarah terkilan

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2014

Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah

BIARPUN sedang membuat persiapan perkahwinan, namun Puteri Sarah Liyana, bagaimanapun masih lagi dihimpit dengan cerita kontroversi dengan bekas teman lelakinya, Ammar Alfian.

Ammar menerusi sebuah portal hiburan bukan sengaja masih tidak berpuas hati dengan hubungan mereka yang tidak kesampaian, bahkan turut membuat dakwaan keterlaluan dan boleh menjejaskan imej pelakon Kawan ini.

Terkilan dengan dakwaan yang tidak berasas itu, Puteri Sarah menerusi Twitternya, menepis dakwaan itu sekeras-kerasnya. Malah dia turut menegaskan, tidak pernah memberi kenyataan kepada mana-mana media berhubung isu tersebut.

Apa lagi membuat kenyataan bahawa dia tidak ambil kisah terhadap tuduhan yang dilemparkan bekas kekasihnya itu.

Enggan terus terpalit dengan kontroversi tersebut, pelakon yang sudah hampir setahun berhijab ini lebih selesa berdiam diri dan menguruskan persiapan majlis perkahwinannya nanti.

Malah menerusi Twitternya, juga jelas menunjukkan bakal isteri Syamsul Yusof ini sudah tidak sabar untuk melangkah ke alam perkahwinan yang hanya tinggal lebih kurang 16 hari sahaja lagi.

Sarah dan Syamsul bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada pagi 8 Mac 2014 di Masjid Sri Damansara. Majlis resepsi pula diadakan pada sebelah malam hari yang sama dengan bertemakan Islamik Arabian Night.

Sumber

TERJEBAK!!! Terjebak 'cinta' VIP

TEKS & FOTO: AZIMAH GHA ZALI
20 Februari 2014

Terjebak 'cinta' VIP
Firdaus di samping jentera kesayangannya.

PERTAMA kali memandang jentera ini, saya sangka ia milik pemuda berkulit putih bermata sepet.

Namun sangkaan meleset, rupa-rupanya Myvi diubahsuai dengan konsep orang kenamaan (VIP) itu dimiliki jurutera muda berimej ala Korea, Firdaus Ismail, 30.

Sejak lebih setahun lalu anak muda berasal dari Shah Alam, Selangor ini terjebak dengan 'cinta' mengubahsuai kenderaan. Mulanya hanya sekadar suka-suka mengikut kawan. Namun diam tak diam, dalam tempoh singkat itu lebih 85 peratus rupa dalam dan luar kenderaan hatchback itu berubah hasil ideanya.

Banyak juga pertandingan auto show disertainya di beberapa negeri di seluruh semenanjung.

Terbaharu, tuah dalam pertandingan auto show di Karnival Karangkraf baru-baru ini, Myvinya dinobatkan kereta 'Best of the best' menewaskan lebih 80 kenderaan peserta lain.

Asal stail sport

Firdaus menitikberatkan konsep VIP ini bermula dari luaran. Menjadi perhatian apabila pintu hadapan dipasang scissor doors. Sistem air suspension melengkapkan gaya seperti kebanyakan kenderaan milik VIP. Jika di auto show pasti membuat mulut anak kecil sekolah rendah terlopong melihat jentera fabulous style ini berlabuh.

Apatah lagi badannya dengan tiga ton warna reptilia sumpah-sumpah seperti hijau, merah dan biru. Pemasangan stiker, kemasan krom, skirting, spoiler kustom, bampar depan dan belakang jenis passo melengkapkan gaya.

Ditambah dengan rim krom penuh 17 inci stail VIP.

Tanpa berselindung Firdaus memberitahu, asalnya beliau bermula dengan konsep sport pada luaran dan konsep VIP bagi bahagian kabin.
"Namun atas nasihat mereka lebih arif saya selaraskan dalam dan luarnya mengikut konsep VIP. Konsep sport itu hanya bertahan kira-kira empat bulan," katanya.

Menjengah bahagian dalamnya pula, bahagian bumbung, tepi pintu dan alas kaki dibalut kemasan jahitan ala quilting. Kusyen stail VIP dan alas kaki mempunyai perincian batu permata. Panel coating walnut di kabin depan dan tepi pintu menambah ciri kemewahan.

Firdaus tidak lokek meletakkan dua televisyen LCD bersaiz 19" dan 23" di bahagian depan dan belakang kabin, dua monitor headrest dan dua sun visor DVD monitor. Penumpang bersebelahan pemandu pula pasti tidak bosan apabila boleh bermain dengan build in PS2 yang disediakan.
 
Berada dalam jentera dengan Interior Car Entertainment (ICE) dikuasai sistem audio ini pastinya mengujakan. Penuh dengan skrin!

Permainan mini kasino di tempat duduk belakang turut menambah gaya.

Biarpun terletak di bonet, Firdaus tetap mencipta ruang untuk sistem audionya yang berkonsepkan bar mini. Woofer di tengah diapit dengan empat mid bass. Dekornya pula botol minuman dan hiasan kristal.

Menurutnya, skrin diubahsuai daripada monitor komputer di bonet itu juga memberi hiburan apabila mahu menonton ketika bersantai bersama ahli keluarga mahupun di auto show.

Bahagian enjin turut mendapat sentuhan. Ruang enjin diwarnakan biru.

Enjin dan ram pipe dilengkapkan dengan kemasan krom.

Waktu malam juga, hampir keseluruhan jentera ini termasuk kabin diterangi kelipan lampu LED.

Ditanya sama ada tidak rasa membazir melaburkan sejumlah wang yang membolehkannya memiliki sebuah lagi kereta sama, Firdaus langsung tak kesal.

"Mungkin sebab minat. Apabila saudara dan orang suka lihat kereta ini pun sudah satu kepuasan," katanya yang baharu lima bulan mendirikan rumah tangga.

Sumber