Saturday 29 March 2014

Kementerian teliti status jawatan Shalwati



KUALA TERENGGANU 29 Mac - Kementerian Pendidikan masih meneliti status jawatan Shalwati Nor Shal, guru yang bercuti tanpa gaji mengikut suaminya bertugas di Sweden sebelum dikenakan hukuman penjara di negara berkenaan kerana mendera anak mereka.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya memahami bebanan yang dihadapi Shalwati, 46, selaku penjawat awam dan kerajaan akan membantu sedaya upaya kerana kes ini melibatkan perundangan berkaitan perkhidmatan awam.


"Saya perlu lihat bentuk perundangan dan pandangan daripada pakar undang-undang terlebih dahulu. Kita akan cuba untuk mengurangkan beban mereka itu sebagai rakyat negara kita yang dihukum di luar negara.

"Ini merupakan perkara baharu yang perlu kita selesaikan kerana dia dihukum di luar negara dan kita lihat apakah pertimbangan-pertimbangan yang mustahak agar tidak membebankannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) ’Jom Masuk U’ kali ke-10 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. - BERNAMA ONLINE

Sumber

GEMPAR !!! Cari pemilik Toyota Vios biadab buang Yasin


Gambar Hiasan

KEMAMAN – Seorang pemandu kereta yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu bertindak biadab kerana dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin, kelmarin.

Perbuatan pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu itu dilihat seorang jurutera dari sebuah syarikat di Kerteh yang juga dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu bersama keluarganya.

Ketika dalam perjalanan, jurutera berusia 29 tahun itu terkejut apabila ternampak senaskhah surah Yassin di tepi jalan di Kilometer 114 Jalan Kuala Terengganu-Kerteh pada jam 6.15 petang sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan mengambil surah Yasin itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pengadu tersebut kemudian meneruskan perjalanan dan setibanya di stesen minyak Petronas Paka di Dungun, dia ternampak sebuah Toyota Vios membuang sesuatu di tepi jalan dalam jarak tiga kenderaan dari keretanya.

Menurutnya, pengadu memperlahankan keretanya dan mendapati barang yang dibuang itu adalah surah Yasin, namun pengadu tidak dapat memberhentikan keretanya berikutan jalan sesak.

“Ketika tiba di Kampung Nyior, Paka, sekali lagi pengadu lihat pemandu kereta Vios itu membuang sesuatu dari keretanya, jadi pengadu memberhentikan keretanya di tepi jalan dan mendapati barang itu adalah tiga surah Yasin.

“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya.

Selain pengadu, polis juga menerima aduan pada jam 7.30 petang daripada orang awam di Kuala Dungun yang turut melihat kereta sama membuang surah Yasin di tepi jalan.

Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta tersebut didaftarkan atas nama seorang bekas tentera yang beralamat di Jasin, Melaka.

“Selepas dihubungi, penama berkenaan mengaku kereta itu miliknya, namun ditarik bank Kuala Lumpur dua tahun lalu dan rakannya telah membayar tunggakan bank.

“Jadi kereta itu dijual atau diserah kepada rakannya secara sambung bayar ansuran sehingga sekarang tanpa tukar hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, Che Suza berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik semasa kereta terbabit untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Sumber

GEMPAR !!! Produk Lynas bertabur atas jalan



Satu kemalangan yang membabitkan sebuah lori yang membawa produk nadir bumi Lynas, mengakibatkan ia bertabur atas jalan persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan di Lanchang, Pahang, pagi ini dan ditutup kepada lalulintas.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Abdul Aziz Salleh berkata pihak berkuasa menerima laporan mengenainya pada jam 9 pagi ini dan ia berlaku di kilometer 149 jalan tersebut berhampiran Lanchang.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata lori itu membawa 15 bekas berisi cecair kimia, iaitu PrND Chloride, dan 13 daripadanya bertaburan di atas jalan raya.

Beliau berkata, empat daripadanya pecah dan menyebabkan cecair kimia tumpah ke atas tanah.


Apabila ditanya sama ada cecair kimia itu dianggap berbahaya,  Abdul Aziz berkata ia adalah "tidak begitu berbahaya" tetapi akan berasa gatal jika menyentuhnya.

Katanya lagi, cecair itu tidak boleh masuk ke dalam air dan jika ia masuk ke dalam sungai, ikan di dalamnya mungkin mati, tetapi menurutnya tidak ada sungai di situ.


Beliau berkata tempat itu dineutralkan oleh sepasukan pakar dari Lynas dan juga Pasukan Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART).

Abdul Aziz berkata, kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kecuaian pemandu yang tidak mengikat dengan baik barang-barang tersebut.

Katanya, pihak polis akan menyiasat kes itu mengikut peraturan 19 Peraturan Lalulintas 1959 (barang muatan jatuh dari kenderaan).


Bagaimanapun, pengurus besar perhubungan awam komunikasi Lynas
Malaysia, Amin Abdullah menegaskan bahawa produk nadir bumi itu selamat dan tiada radioaktif.

"Kami tidak tahu sama ada pemandu itu memandu laju atau sebab-sebab lain," katanya sambil menambah kemalangan yang berlaku pagi ini tidak mengakibat kecederaan atau maut.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Amin berkata, produk tersebut tidak berbahaya dan ianya disahkan selamat untuk diangkut ke luar negara dan semua sijil ada.

Ketika diminta mengulas kenyataan polis bahawa cecair itu boleh membunuh ikan, Amin enggan mengulas kerana beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat tersebut.

"Jika anda berkata produk ini akan menyebabkan kegatalan pada kulit manusia, maka seseorang yang sensitif juga akan berasa gatal selepas mereka makan udang," katanya.

Menurut Amin, lori itu membawa produk tersebut dari loji Lynas di zon perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, ke Pelabuhan Klang untuk dieksport kepada pelanggan luar negeri.

Beliau juga menerangkan bahawa ia bukan merupakan hasil akhir kerana pelanggan mereka perlu memprosesnya semula.

Tambahnya, lori itu bukan milik Lynas tetapi dari sebuah syarikat pengangkutan dan pasukan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar telah dihantar ke tempat kejadian untuk membersihkan cecair tersebut.

Sumber

AZIZUL dipenjara 10 bulan, SHALWATI 14 bulan

28 Mac 2014
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwarm Rahmat, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).

Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.

Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Disember lepas.

Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.

Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.

Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di SpÄnga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.


Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lepas.

Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.

Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.

Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.

Pasangan itu juga diarah membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.

Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.

"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.

Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. - Bernama

Sumber