Thursday 10 July 2014

Saksi: Kepala Norazita pecah


Arzanna dan Kwek Chuwn Hui

SHAH ALAM - “Saya ingat saya yang kena tembak,” kata saksi pendakwaan kes bunuh kakitangan Ambank cawangan USJ Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Ambank cawangan itu, Arzanna Abdullah, 43, berkata, pada hari kejadian, dia dan Norazita sedang memasukkan wang kutipan di dalam bilik simpanan duit sebelum berlakunya insiden tersebut.

Saksi memberitahu pengawal keselamatan, Ardi Hamzah, menariknya keluar dari bilik itu sebelum seorang rakan sekerja datang menariknya ke bilik operasi.

Melalui bilik operasi, katanya, dia ternampak Ardi meluru ke bilik simpanan duit dan mencangkung di depan pintu besi, sebelum pengawal keselamatan itu keluar dari pintu depan, membawa beg.

Apabila tertuduh pergi, saksi memberitahu dia meminta bantuan daripada dua rakan sekerja yang lain untuk melihat Norazita.

“Saya syak dia (Norazita) kena tembak kerana mereka tengok kepalanya pecah,” katanya.

Menurutnya, dia dengan segera menghubungi ketuanya, Alice Wong untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Beliau sekali lagi menghubungi pihak atasan untuk memaklumkan insiden itu sebelum polis datang dan mengambil keterangannya.

“Sekitar jam 6 petang, sebelum memasukkan duit, dia berdiri di tepi pintu dan bertanyakan pukul berapa saya masukkan wang.

“Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah bertanyakan perihal itu dan saya jawab tidak pasti,” katanya pada sesi pemeriksaan utama oleh Ketua Pendakwa Negeri Selangor, Mohd Azari Haron.


Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Assisten Superintendan Kwek Chuwn Hui, 34, memberitahu, salinan kad pengenalan milik Ardi yang diperolehi daripada penyelia syarikat keselamatan itu telah dianalisa oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun salinan kad pengenalan itu palsu.

Menurutnya, selain salinan kad pengenalan milik Ardi, turut dianalisa adalah kesan cap jari pada dokumen asal pembukaan akaun dan pasport sah La Ode Ardi Rasila.

“Hasil analisa mendapati, kesan cap jari itu adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu La Ode Ardi Rasila,” katanya.

Menjawab pertanyaan Mohd Azari, Chuwn Hui, membuat pengecaman bahawa Ardi adalah La Ode yang berada di kandang tertuduh.

La Ode, 37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Asyraf Md Kamal turut bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bersama Mohd Azari Haron, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia. - Sinar Harian

Niat MURTADkan teman wanita, TETAPI

Azley bersama isteri yang bahagia hingga kini.

GEORGETOWN - Bercinta dengan wanita Islam membuatkan lelaki yang pernah bergelar seorang pendakwah agama cuba memurtadkan teman wanitanya itu pada awalnya.

Azley Stanley berkata, ketika itu usianya baru saja mencecah 23 tahun dan sudah berniat untuk mengahwini wanita berkenaan.

“Saya tinggal di perkampungan orang Melayu dan amat sukakan cara hidup mereka, sehinggakan saya sendiri bercadang untuk memilih isteri dari kalangan orang Melayu,” katanya.

Aktif menyebarkan agamanya sendiri menyebabkan Azley membenci Islam dan salah satu puncanya apabila melihat ramai umat Islam yang tidak melaksanakan tuntutan agama mereka sendiri.

“Sampai saya terfikir, kenapa mereka tidak ke masjid dan ada antara kawan yang tidak bersembahyang dan sebagainya, sehingga saya melihat diri saya sebenarnya lebih baik kerana setiap minggu akan mengunjungi rumah ibadat, maksudnya saya lebih baik dan dari situ
saya membenci Islam.

"Disebabkan itu jugalah setelah berkenalan dengan teman wanita menyebabkan saya berniat untuk memurtadkannya,” katanya.

Terlalu cinta teman wanita

Namun wanita yang dikenali dengan nama Nor Azizah itu lebih bijak dan berfikir panjang.

Dia yang kini sudah pun bergelar isteri kepada Azley mengakui mengetahui niat Azley untuk menariknya ke dalam agama lain ketika awal perkenalan.

“Disebabkan cinta kami bertahan, Azley pada awalnya sudah memberitahu kepada saya niatnya untuk mengahwini saya di rumah ibadatnya, tetapi saya kemudiannya dengan perlahan memberitahunya.

“Jika ingin berkahwin dengan cara itu, apa kata kahwin dulu dengan cara Islam, tapi sebelum berkahwin cara Islam kena belajar mengenai Islam, kalau tidak malu nanti kena tanya dengan tok kadi dan tak tahu jawab,” katanya.

Disebabkan terlalu mencintai Nor Azizah, Azley mengakui terpaksa juga ke Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bertemu Ustaz Yusuf untuk belajar selok-belok Islam.

Dia mengakui datang bertemu dengan ustaz berkenaan dengan ego yang begitu tinggi kerana beranggapan dirinya lebih baik.


Islam tidak hina Isa

Azley berkata, dia sendiri bersoal jawab dengan ustaz berkenaan dan menganggap soalannya antara yang terbaik bagi melawan kata-kata ustaz berkenaan.

Namun sangkaannya meleset, segala jawapan yang diberikan menyentuh jiwanya perlahan-lahan.

“Antara yang diberitahu Ustaz Yusuf ialah Islam percaya dengan Nabi Isa, dan itu membuatkan saya terkedu, sedangkan ketika mendengar ceramah agama saya satu ketika dahulu, mereka menghina Nabi Muhammad.

“Tetapi Islam tidak pernah menghina Isa, malah menceritakan kehebatan Nabi Isa, saya begitu kagum, dan pada masa itulah saya terfikir, apa beza saya sekarang, sama sahaja.

“Pada saat itu juga saya terfikir jika saya putus dengan agama saya sekalipun dan masuk Islam, hubungan saya dengan Isa tidak akan putus, kemudiannya dengan kuasa ALLAH selepas tiga hari menghadiri kelas agama, saya mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid
USM,” katanya.


Tidak tanggal rantai

Ceritanya bukan berakhir di situ saja, Azley berkata, terdapat kenangan yang begitu menjadikannya emosional.

“Saat saya pergi mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam masjid, pada masa itu saya masih tidak menanggalkan rantai lambang agama yang saya pakai, tetapi Ustaz Yusuf langsung tidak melarang dan hanya memerhatikan saya.

“Sehinggalah saya pulang ke rumah dan berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa, akhirnya sehingga kini Islamlah pegangan saya,” katanya.

Walaupun ibu dan ayahnya menjauhi dirinya buat seketika, namun lama kelamaan mereka memahami kepercayaan baru yang dianutinya.

Azley bertuah apabila ayahnya sendiri membelikannya sejadah dan menyediakan ruang solat di rumahnya untuk memudahkan Azley bersolat.

Tetapi tiada yang lebih bertuah apabila kedua ibu-bapanya itu turut memeluk Islam pada 2011, namun ALLAH lebih menyayangi mereka dan kedua-duanya meninggal pada 2012 namun pada bulan yang berbeza.

Di akhir katanya, Azley mengakui dia memilih jalan yang paling benar dan bersyukur apabila melihat anaknya kini dilahirkan sebagai Islam.

“Cuma apa yang saya bimbangkan adalah adakah Islam mereka sekadar nama dan benar-benar kukuh, jadi itulah tanggungjawab saya dan isteri untuk mendidik anak memahami agama yang mereka anuti,” katanya. - Sinar Harian