Monday 21 July 2014

MH17 ::: Ahmad Hakimi terselamat tragedi MH370 terkorban jua

AHMAD Yakob (kiri) menghulurkan sumbangan kepada Daud Ahmad di Kedai Melor, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 20 Julai - Ketika tragedi MH370 Mac lalu, Daud Ahmad, 80, begitu lega selepas cucunya, Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang sepatutnya bertugas, digantikan pada saat akhir oleh pembantu juruterbang lain sekali gus menyelamatkan nyawanya.

Saat itu dia begitu bersyukur, namun takdir menentukan cucu kesayangannya yang terselamat dalam tragedi lalu akhirnya 'tetap' terkorban dalam nahas pesawat MH17.

Daud yang reda dengan pemergian cucunya itu berkata, selepas kejadian MH370, Ahmad Hakimi pernah memberitahunya, bahawa dia sepatutnya bertugas pada hari kejadian, 8 Mac lalu.

"Saat itu saya begitu lega. Sekiranya cucu saya bertugas pada hari itu dia (Ahmad Hakimi) sudah pasti menjadi salah seorang mangsa.

"Namun takdir menentukan, walaupun terselamat dalam tragedi MH370, Ahmad Hakimi menjadi mangsa dalam nahas MH17. Semua ini ketentuan Ilahi," katanya.

Daud berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di rumahnya di Kedai Melor di sini hari ini.


Tambah Daud, Ahmad Hakimi merupakan seorang cucu yang sangat baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Katanya, Ahmad Hakimi sering kali membantu keluarga, malah sebelum penerbangan ketika itu dia sempat meninggalkan duit kepada ibunya untuk digunakan bagi menunaikan haji di Mekah.

"Ahmad Hakimi juga sering kali mengirimkan duit kepada saya. Baru-baru ini dia turut membantu memberi duit membaiki rumah saya di kampung," katanya. - Utusan

MH17 :: 'Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang' - Suami

MUHAMMAD Muhriz Marzaidi sedih sambil memegang potret ibunya, Mastura Mustafa yang terkorban dalam nahas pesawat MAS MH17 di Ukraine ketika ditemui di Kampung Sentosa Paroi, Negeri Sembilan, semalam. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA

PUTRAJAYA 19 Julai - "Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang, suatu hari nanti sayang akan pergi temui Allah takkan kembali", itu antara perbualan terakhir seorang daripada mangsa nahas Malaysia Airlines penerbangan MH17, Mastura Mustafa dengan suaminya Mohamed Affendi Khairuddin.

Mohamed Affendi, 43, berkata, isterinya yang merupakan kru penerbangan itu juga sempat memohon maaf atas segala kesalahannya dalam perbualan menerusi aplikasi Wechat itu.

"Saya terasa agak pelik tetapi saya menasihatkan dia semua orang akan pergi bertemu Allah, tiada siapa yang kekal, tapi biarlah kita pergi menghadap Allah dalam keadaan yang diredai," katanya selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hotel, di sini hari ini.

Mohamed Affendi yang juga seorang guru agama berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan isterinya itu adalah sebelum penerbangannya ke Amsterdam.

Katanya, beliau maklum tentang insiden itu melalui abang Mastura juga merupakan kakitangan Malaysia Airlines (MAS).


Mohamed Affendi turut berharap agar jenazah isteri beliau dapat dibawa pulang supaya dapat disempurnakan sebaik mungkin.

Mengulas pertemuan dengan Perdana Menteri, Mohamed Affendi berkata, beliau diberitahu besar kemungkinan jenazah akan dikenal pasti di kawasan kejadian.

"Pihak keluarga akan diberitahu secepat mungkin mengenai urusan di sana," katanya.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang terhempas di Ukraine malam semalam membawa 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands), Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat. - BERNAMA