Showing posts with label MH17. Show all posts
Showing posts with label MH17. Show all posts

Thursday, 24 July 2014

MH17 ::: Jenazah mangsa disolatkan di masjid KLIA


KUALA LUMPUR - Jenazah penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang beragama Islam akan disolatkan di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

Menyatakan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jenazah berkenaan akan dibawa terus ke masjid itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Semua kenderaan jenazah telah disediakan secukupnya dan diselaraskan secara bersama oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.


Jamil Khir berkata Perbadanan Putrajaya juga bersedia untuk menyediakan tempat pengkebumian di Presint 20 Putrajaya sekiranya ada permintaan.

Mengenai Solat Jenazah Ghaib, Jamil Khir berkata setelah jenazah Muslim selesai dimandi dan dikafankan oleh pasukan petugas Malaysia di Amsterdam, maka kerajaan Malaysia boleh mengisytiharkan Solat Jenazah Ghaib diadakan di Malaysia.

"Pada masa sama, walaupun setelah jenazah sampai di KLIA, tiada tegahan untuk umat Islam mengadakan Solat Jenazah (secara hadir) sekali lagi.

"Bagi umat Islam yang berada di negeri atau tempat berjauhan yang berhasrat untuk mengadakan Solat Jenazah, tetapi tidak berkesempatan untuk hadir bersama, mereka boleh melakukan Solat Jenazah Ghaib di tempat masing-masing," katanya.


Jakim, kata beliau, telah menghantar 10 orang wakil jabatan itu, termasuk dua petugas wanita ke Ukraine yang diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya Abdul Manaf Mat bagi membantu aspek pengurusan jenazah.

Menurut Jamil Khir, pasukan itu akan menguruskan jenazah orang Islam setelah dikenalpasti oleh pakar forensik dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi jenazah yang tidak dapat dikenalpasti akan diuruskan secara keseluruhan mengikut pengurusan jenazah orang Islam dan diniatkan 'in kana Muslim' (sekiranya Muslim) bagi semua proses, katanya. - Bernama

Tuesday, 22 July 2014

MH17: Keluarga syukur mayat berjaya dikeluarkan


KUALA LUMPUR - Keluarga seorang daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, bersyukur dengan perkembangan terbaru usaha kerajaan untuk bawa pulang jenazah ke tanah air.
 
Mohd Zaki Md Salim, 38, berkata berita 282 mayat dibawa dengan kereta api dari Torez ke Kharkivi sebelum diterbangkan ke Amsterdam, memberi harapan untuk membawa pulang jenazah adiknya Mohd Ali, 30, untuk dikebumikan di kampungnya di Pagoh, Johor.
 
"Saya bersyukur dan terharu dengan kesungguhan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai cara untuk membawa pulang jenazah secepat mungkin ke tanah air.
 
"Majlis pengebumian jenazah adik saya itu akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Islam Kampung Jayor, Pagoh," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
 
Mohd Ali merupakan calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam di Belanda.

Mohd Zaki berkata, MAS turut menawarkan kepada lima anggota keluarganya untuk ke Kiev dalam masa terdekat ini bagi mengikuti perkembangan siasatan secara langsung di sana
 
"Difahamkan pada hari ini juga, ada wakil daripada MAS akan ke sini (Hotel Marriot) untuk mengambil sampel DNA anggota keluarga mangsa," katanya.

 
Awal hari ini, Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah tempat tragedi itu berlaku dan telah mencapai persetujuan tentang beberapa perkara.
 
Pertama, 282 mayat, yang ketika ini berada di Torez akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv sebelum diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda. Setelah selesai semua kerja forensik, mayat warganegara Malaysia akan dibawa pulang ke Malaysia.
 
Kedua, pada kira-kira 9 Isnin malam (waktu Ukraine), dua kotak hitam diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk, yang akan menyimpan kotak berkenaan.

Ketiga, para penyiasat bebas antarabangsa akan diberi jaminan keselamatan masuk ke lokasi nahas untuk memulakan  siasatan penuh tentang tragedi itu.
 
Pesawat Boeing 777 MAS membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas pada Khamis di Donetsk, timur Ukraine.
 
Dipercayai pesawat itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.  - Bernama

MH17 ::: Kita jumpa di Padang Mahsyar, kata akhir mangsa


KUALA LUMPUR - "Kalau kita tak jumpa dekat sini, kita jumpa di Padang Mahsyar," itulah kata terakhir Mohd Afif Tambi Jiee, seorang daripada mangsa nahas pesawat MH17 sebelum meninggalkan rumah sewanya di Petaling Jaya untuk bercuti bersama keluarga di Kazakhstan.

Rakan serumahnya Khairil Azwan, 21, berkata beliau tidak menyangka itu adalah ungkapan terakhir Afif, 19, selepas peperiksaan akhir pengajian asasi di Taylor's University.

"Yang saya ingat sekali bila kali terakhir jumpa, dia nak keluar rumah dan kemas barang macam nak pergi lama padahal cuti asasi kejap sahaja dan bila saya tanya kenapa kemas banyak barang, dia diam saja," katanya kepada pemberita selapas majlis bacaan tahlil anjuran Taylor's University di sini hari ini.

Khairil berkata Afif seorang kawan yang baik dan banyak memberi nasihat kepadanya.

"Dia banyak nasihat saya tentang dunia dan akhirat, cara pemikirannya juga sangat matang, jadi dia bukan jenis kawan yang biasa, Afif seorang kawan yang sukar dicari," katanya dengan sebak.

Afif, anak sulung daripada empat beradik, menamatkan pengajian asasinya dalam bidang arkitek di universiti swasta itu dan beliau sepatutnya memulakan pengajian ijazah pertamanya pada Ogos ini.


Sementara itu, seorang lagi kawan Afif, Nadine Saedah Nasaruddin, 19, terkejut mendengar tragedi itu yang telah mengorbankan rakan sekelasnya dan amat sukar baginya menerima pemergian kawan yang dianggap sebagai seorang yang sangat periang.

"Beliau mempunyai penampilan yang menawan, dia pelawak dalam kumpulan kami, dia buat semua orang ketawa sepanjang masa, jika anda bersedih, dialah yang akan menceriakan anda dan dia selalu berfikiran positif.

"Saya akan merindui teks rambangnya, saya kehilangan seseorang yang sangat rapat walaupun saya mengenali beliau hanya setahun tetapi saya rasa seperti telah mengenalinya bertahun-tahun," katanya.

Sumber gambar dari internet 

Dalam nahas itu, Mohd Afif bersama ayahnya Tambi Jiee, 49, ibunya, Ariza Ghazalee, 46, dan tiga lagi adik beliau - Mohd Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Mohd Afruz, 13, dalam perjalanan balik dari Kazakhstan.
 
Bapanya bekerja dengan syarikat Shell di negara itu sejak tiga tahun lepas dan baru mendapat kebenaran untuk bertugas di Kuala Lumpur. - Bernama

Monday, 21 July 2014

MH17 ::: Ahmad Hakimi terselamat tragedi MH370 terkorban jua

AHMAD Yakob (kiri) menghulurkan sumbangan kepada Daud Ahmad di Kedai Melor, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 20 Julai - Ketika tragedi MH370 Mac lalu, Daud Ahmad, 80, begitu lega selepas cucunya, Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang sepatutnya bertugas, digantikan pada saat akhir oleh pembantu juruterbang lain sekali gus menyelamatkan nyawanya.

Saat itu dia begitu bersyukur, namun takdir menentukan cucu kesayangannya yang terselamat dalam tragedi lalu akhirnya 'tetap' terkorban dalam nahas pesawat MH17.

Daud yang reda dengan pemergian cucunya itu berkata, selepas kejadian MH370, Ahmad Hakimi pernah memberitahunya, bahawa dia sepatutnya bertugas pada hari kejadian, 8 Mac lalu.

"Saat itu saya begitu lega. Sekiranya cucu saya bertugas pada hari itu dia (Ahmad Hakimi) sudah pasti menjadi salah seorang mangsa.

"Namun takdir menentukan, walaupun terselamat dalam tragedi MH370, Ahmad Hakimi menjadi mangsa dalam nahas MH17. Semua ini ketentuan Ilahi," katanya.

Daud berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di rumahnya di Kedai Melor di sini hari ini.


Tambah Daud, Ahmad Hakimi merupakan seorang cucu yang sangat baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Katanya, Ahmad Hakimi sering kali membantu keluarga, malah sebelum penerbangan ketika itu dia sempat meninggalkan duit kepada ibunya untuk digunakan bagi menunaikan haji di Mekah.

"Ahmad Hakimi juga sering kali mengirimkan duit kepada saya. Baru-baru ini dia turut membantu memberi duit membaiki rumah saya di kampung," katanya. - Utusan

MH17 :: 'Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang' - Suami

MUHAMMAD Muhriz Marzaidi sedih sambil memegang potret ibunya, Mastura Mustafa yang terkorban dalam nahas pesawat MAS MH17 di Ukraine ketika ditemui di Kampung Sentosa Paroi, Negeri Sembilan, semalam. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA

PUTRAJAYA 19 Julai - "Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang, suatu hari nanti sayang akan pergi temui Allah takkan kembali", itu antara perbualan terakhir seorang daripada mangsa nahas Malaysia Airlines penerbangan MH17, Mastura Mustafa dengan suaminya Mohamed Affendi Khairuddin.

Mohamed Affendi, 43, berkata, isterinya yang merupakan kru penerbangan itu juga sempat memohon maaf atas segala kesalahannya dalam perbualan menerusi aplikasi Wechat itu.

"Saya terasa agak pelik tetapi saya menasihatkan dia semua orang akan pergi bertemu Allah, tiada siapa yang kekal, tapi biarlah kita pergi menghadap Allah dalam keadaan yang diredai," katanya selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hotel, di sini hari ini.

Mohamed Affendi yang juga seorang guru agama berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan isterinya itu adalah sebelum penerbangannya ke Amsterdam.

Katanya, beliau maklum tentang insiden itu melalui abang Mastura juga merupakan kakitangan Malaysia Airlines (MAS).


Mohamed Affendi turut berharap agar jenazah isteri beliau dapat dibawa pulang supaya dapat disempurnakan sebaik mungkin.

Mengulas pertemuan dengan Perdana Menteri, Mohamed Affendi berkata, beliau diberitahu besar kemungkinan jenazah akan dikenal pasti di kawasan kejadian.

"Pihak keluarga akan diberitahu secepat mungkin mengenai urusan di sana," katanya.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang terhempas di Ukraine malam semalam membawa 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands), Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat. - BERNAMA


Sunday, 20 July 2014

MH17 ::: Kenyataan Menteri Pengangkutan mengenai nahas MH17


KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa sidang akhbar berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di Hotel Sama-Sama, Sepang, hari ini:
 
"Hari ini Malaysia Airlines menyiarkan senarai akhir warganegara yang menaiki pesawat MH17. Setiap daripadanya mewakili nyawa yang hilang, dan keluarga yang dirundung duka. Selepas sidang akhbar ini, Malaysia Airlines akan menyiarkan senarai penuh penumpang.

Malaysia meratapi kehilangan kesemua 298 penumpang dan kru. Kami turut merasai kesedihan keluarga mereka. Dan kami berjanji akan melakukan segala yang boleh untuk memastikan siasatan dilengkapkan, dan keadilan ditegakkan.
     
TENTANG SIASATAN:

Malaysia amat bimbang apabila kawasan kemalangan tidak dilindungi dengan rapi. Integriti kawasan ini telah dicurigai, dan terdapat tanda bahawa bukti penting tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Perbuatan mengganggu kawasan kemalangan mengundang risiko yang menjejaskan siasatan itu sendiri. Sebarang tindakan yang menghalang kami daripada mendapatkan kebenaran tentang apa yang berlaku kepada MH17 tidak boleh diterima.

Kegagalan untuk menghentikan gangguan seperti itu akan merupakan pengkhianatan kepada mereka yang kehilangan nyawa.
 
Malaysia menggesa semua pihak supaya melindungi integriti kawasan kemalangan, dan membenarkan siasatan dijalankan. Kami menggesa semua pihak terlibat agar menghormati keluarga, dan negara yang kehilangan warga mereka dalam serangan ini.

Ya, MH17 telah menjadi isu geopolitik. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa ini adalah tragedi kemanusiaan. Beberapa hari selepas pesawat ini terhempas, mayat 298 orang di dalam pesawat ini masih belum ditemui. Warganegara dari sebelas negara – tidak seorangpun daripada mereka terlibat dalam konflik di Timur Ukraine – tidak dapat disemadikan. Kehidupan mereka diragut oleh keganasan; kini keganasan juga menghalang mereka daripada diberi penghormatan terakhir. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

     
TENTANG PENUGASAN:
 
Awal hari ini, pasukan khas Malaysia tiba di Kiev. Kami memohon sokongan berterusan daripada kerajaan Ukraine, dan pihak lain yang terlibat, sambil  pasukan itu membantu pihak berkuasa Ukraine dalam mencari dan mengenal pasti mayat penumpang dan kru, dengan penyiasatan lebih meluas.

Dunia mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan mayat kesemua mangsa ditemui dan diuruskan dengan penuh hormat. Kami akan menjalankan peranan kami dalam memenuhi tanggungjawab ini. Sebab itulah, lewat hari ini, saya akan menyertai pasukan Malaysia di Kiev, dan saya akan bekerjasama dengan rakan sejawatan saya dalam kerajaan Ukraine, untuk menyokong usaha mencari mayat mangsa, dan membantu dalam siasatan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, penyiasat yang bertanggungjawab dari Malaysia, dan Pengerusi Malaysia Airlines akan menyertai saya. Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Airlines sudahpun berada di Kiev.

MENGENAI LALUAN PENERBANGAN:
 
Berhubung laluan penerbangan MH17, saya ingin merujuk kepada komen yang dilaporkan baru-baru ini oleh pegawai dari Eurocontrol, badan yang meluluskan laluan penerbangan Eropah di bawah peraturan-peraturan ICAO.

Menurut Wall Street Journal, pegawai itu menyatakan bahawa kira-kira 400 penerbangan komersial, termasuk 150 penerbangan antarabangsa, merentasi Timur Ukraine setiap hari sebelum nahas ini. Pegawai dari Eurocontrol turut menyatakan bahawa dalam tempoh dua hari sebelum kemalangan ini, 75 syarikat penerbangan yang berlainan menggunakan laluan serupa seperti MH17.

Laluan penerbangan MH17 adalah laluan udara utama yang sibuk, bagaikan sebuah lebuh raya di udara. Ia mengikuti laluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, diluluskan oleh Eurocontrol, dan digunakan beratus-ratus pesawat lain. Ia terbang pada ketinggian ditetapkan, dan dianggap selamat oleh pengawal trafik udara tempatan. Dan ia tidak pernah menyimpang ke dalam ruang udara yang dilarang.

Penerbangan ini dan pengendalinya mematuhi peraturan. Bagaimanapun, di daratan, peraturan perang dilanggari. Dalam tindakan serangan yang tidak boleh diterima, nyata bahawa MH17 telah ditembak; penumpang dan kru penerbangan ini terkorban akibat serangan peluru berpandu.

PENUTUP

Perbuatan kejam ini tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum. Sekali lagi, Malaysia mengutuk tindakan serangan yang kejam ini, dan menggesa supaya mereka yang bertanggungjawab dikenal pasti, dan diadili dengan sepenuhnya tanpa berlengah lagi. - Bernama

MH17 :: Pramugari beri bayangan tragedi

Dora Shahila dan anak tunggalnya Nurliyana.

PETALING JAYA - Dora Shahila Kassim, pramugari MH17 seakan memberi bayangan apa akan berlaku kepada dirinya - kapal terbang ditembak - sejak sebulan dahulu lagi.

"Ketika itu, kami sekeluarga bercuti di Bali (Indonesia). Ketika bersarapan di hotel, dia tanya saya, macam mana kalau suatu hari nanti, ketika dia bertugas, kapal terbangnya ditembak," imbas abangnya, Don Shahidan.

"Saya pun apa lagi, terus marahkan dia kerana bercakap hal  bukan-bukan. Tak sangka pula rupa-rupanya apa dia kata itu jadi kenyataan," ujar Don sambil menahan sebak.

Ketika itu, mereka bersembang sambil membaca surat khabar yang menyiarkan analisis mengenai tragedi pesawat MH370.

Tidak cukup dengan itu, ketika pertemuan terakhir mereka Isnin lalu, Dora Shahila ada menyebut tugasannya ke Amsterdam adalah penerbangan terakhir baginya.

"Selepas itu, dia kata mahu cuti panjang. Dia pun dah janji dengan anak tunggalnya, Nurliyana Yazeera Yazli, 15, yang bersekolah di Kolej Tunku Kursiah, Seremban untuk jemputnya dari asrama," katanya.

Tambah memilukan, Don bercerita apa yang berlaku pagi semalam, ketika ibunya mahu jemput Nurliyana dari asrama tidak lama selepas mereka mendapat maklumat mengenai tragedi yang meragut nyawa Shahila di Ukraine.

"Liyana tak mahu ikut neneknya balik. Dia tak percaya ibunya sudah tak ada. Katanya, dia nak tunggu ibunya datang sendiri jemput dia," imbas Don sebak.

Pemergian Dora Shahila memang begitu dirasakan.

"Dia adik yang sangat baik, suka bergurau. Kalau dia ada, meriah suasana, semua orang happy," katanya lagi.

Ditanya bagaimana dia dan keluarganya mula tahu tragedi yang menimpa Dora Shahila, kata Don, mereka tahu daripada laporan media asing tetapi masih tidak begitu yakin.

"Kami hubungi telefon dia tetapi tak dapat," kata Don ketika ditemui di rumah Dora Shahila di Taman Tun Dr Ismail.


Adik bongsu mereka, Darlina Kwan yang juga pramugari MAS berkata, dia diberitahu kejadian itu oleh kawan-kawan sekerjanya.

"Mereka dapat maklumat awal, selepas itu barulah keluar berita," katanya.

Darlina akui, hubungan dengan kakaknya itu memang sangat akrab.

“Setiap kali jumpa kami selalu kongsi pengalaman,” katanya.

Bagi Darlina, Dora Shahila adalah contoh seorang pramugari yang sangat komited dengan kerjayanya.

"Kawan-kawan selalu puji komitmen dan sikap profesionalnya," katanya.

Apa yang paling menyentuh hati Darlina apabila teringat Dora Shahila yang bersungguh-sungguh memujuknya mengikuti percutian keluarga bulan lalu.

“Jadual kami selalu tidak sama, jadi dia beberapa kali cakap, ‘Jomlah ikut ke Bali ni mungkin percutian terakhir dengan keluarga,” katanya.

Menurut Darlina,  walaupun berita itu amat memilukan, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH. - Sinar Harian

Friday, 18 July 2014

MH17 ::: 'Hati saya luluh lihat cebisan kapal berselerak'

Jamilah Noriah Abang Anuar,72,(kanan) ibu kepada Ariza Ghazalee, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemuramah di kediaman mereka di sini, hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Jamilah Noriah Abang Aji Anuar, 72, terlalu sebak untuk bercerita mengenai anaknya Ariza Ghazalee, 46, menantunya Tambi Jiee, 49, bersama keempat-empat anak mereka yang menjadi penumpang pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Dengan suara tersekat-sekat beliau memberitahu anak, menantu bersama cucu-cucunya itu sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.
 
Beliau berkata, anaknya mengikuti suami yang bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan suami anaknya itu baru mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
 
Beliau yang ditemui di kediamannya di Samariang di sini berkata, sebelum ini anaknya begitu ceria hendak menyambut Aidilfitri di tanah air, malah sudah mula menempah baju warna sedondon putih untuk hari lebaran nanti.
 
Menurutnya pengesahan mengenai anaknya sekeluarga menjadi penumpang pesawat itu hanya diperolehnya awal pagi ini dan hatinya bertambah sebak menyaksikan cebisan pesawat berselerak disiarkan di televisyen.

 
Kediamannya di sini sudah mula dipenuhi sanak saudara, termasuk daripada keluarga menantunya sejak awal pagi dan suasana pilu memang tidak dapat digambarkan, susulan tragedi berkenaan.
 
Ariza merupakan anak kedua daripada lima beradik mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun daripada tugasnya sebagai jurutera di Bintulu untuk bersama suaminya di Kazakhstan.
 
Kakak Ariza, Madzalina Ghazalee, 47, berkata keluarganya mulai kecoh mengenai kemungkinan Ariza bersama keluarganya menaiki kapal terbang yang dilaporkan terhempas selepas ditembak, tengah malam tadi, namun tiada siapa yang dapat mengesahkannya.
 
Beliau berkata pada awal pagi ini, keluarnya mendapat maklumat dan pengesahan daripada Penerbangan Malaysia (MAS) mengenai adiknya bersama keluarga adalah penumpang pesawat malang berkenaan.
 
Madzalina berkata, Ariza bersama suami dan anak-anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13, dijadual tiba di Kuala Lumpur awal pagi ini dan berlepas ke Kuching tengah hari, untuk sampai di sini kira-kira 2 petang ini. - Bernama

MH17: 295 penumpang, anak kapal terbunuh


SEORANG anggota pasukan kecemasan memadam kebakaran di lokasi pesawat MH17 terhempas akibat ditembak berhampiran penempatan di Grabovo di wilayah Donetsk, Ukraine semalam. - REUTERS

KIEV, Ukraine 17 Julai - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas, dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu di pekan Shakhtarsk di timur negara ini lewat petang ini.

Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko dalam akaun Facebooknya berkata, pesawat MAS itu terbang pada ketinggian 10,000 meter dan dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pelancar Buk.

Pelancar serupa pernah dilihat oleh wartawan Associated Press dekat bandar Snizhne di timur Ukraine awal hari ini.


Sementara itu, MAS dalam kenyataannya mengesahkan menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang ia terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 1415 (GMT) 30 kilometer dari Tamak, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Menurut MAS, pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu Amsterdam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi esok waktu Malaysia.

MAS dalam Twitternya berkata, syarikat penerbangan itu 'gagal berhubung dengan pesawat MH17' ketika berada di ruang udara Ukraine.


Pesawat itu kali terakhir dikesan berada di ruang udara Ukraine, wilayah yang kini bergolak sejak beberapa bulan lalu akibat campur tangan Rusia dalam konflik politik di negara tersebut.

Malah dalam perkembangan terbaharu hari ini, Rusia didakwa menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Ukraine SU25 di timur negara itu bagaimanapun dinafikan Kementerian Pertahanan Rusia.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesej Twitternya berkata, beliau terkejut dengan laporan kejadian itu.

"Kita akan menyiasat dengan segera kejadian tersebut," katanya.

Ini adalah kejadian kedua yang menimpa pesawat MAS dalam tempoh 132 hari selepas insiden kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Pesawat yang membawa 239 penumpang itu sehingga kini tidak diketahui nasibnya walaupun operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran membabitkan pelbagai negara dan aset canggih dilakukan. - utusan

MH17: 100 mayat ditemui bergelimpangan di lokasi nahas - Saksi


KIEV: Pegawai Kementerian Kecemasan berkata, terdapat beberapa bahagian anggota badan yang sudah berkecai berada di sekitar sehingga 15 kilometer dari lokasi nahas pesawat berkenaan terhempas.

Beliau yang berada di lokasi kejadian berkata, sekurang-kurangnya 100 mayat ditemui bergelimpangan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berkata, Angkatan Tentera negara itu tidak terbabit dengan laporan yang mengatakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh.


"Pihak angkatan tentera tidak melepaskan sebarang tembakan terhadap mana-mana sasaran di udara," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pesawat yang membawa 295 penumpang itu ditembak jatuh.

"Kami yakin mereka yang bersalah dalam tragedi ini akan bertanggungjawab terhadap perkara yang mereka telah lakukan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pesawat penumpang Boeing itu terhempas di Ukraine dekat sempadan Russia, malam ini.
Sementara itu, dalam Twitter Malaysia Airlines (MAS), melaporkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat MH17 dari Amsterdam.

Kedudukan terakhir pesawat ialah di ruang udara Ukraine.- Sky News / Berita Harian

TERKINI ::: Pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine, lapor Reuters


Sumber Gambar dari internet 
Pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine, lapor Reuter.

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine, lapor Reuter.

Memetik sumber industri penerbangan, laporan tersebut menyatakan pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat membawa 297 penumpang. - astroawani