Thursday 3 July 2014

Felixia Yeap: Umpama dilahirkan semula


Felixia Yeap

KATA orang, jangan mengukur seseorang itu dari kisah lalunya. Begitulah situasi yang sesuai untuk menggambarkan wanita bernama Felixia Yeap kini.

Siapa sangka, dari seorang wanita yang gemar mengunjungi parti sosial dan bergambar seksi, sesuai dengan statusnya sebagai model Playboy Bunny, Felixia sanggup melakukan perubahan besar terhadap imejnya.

Biarpun tidak secara drastik memeluk agama Islam, namun anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil dengan menutup aurat dan berhijab, sejak Disember 2013.

Perubahannya itu pada mulanya menerima respons positif dan negatif. Ada yang menyokong baik dan tidak kurang yang mencemuh kerana merasakan Felixia seperti mempermainkan Islam.


Namun atas doa umat Islam dan tekad Felixia sendiri untuk berubah, akhirnya membawa wanita ini memeluk Islam hari ini.

Ujar Felixia dia merasakan hari ini sebagai hari kelahiran semula dirinya kerana tarikh keramat dia memeluk Islam adalah hari lahirnya.

"Hari ini adalah tarikh bersejarah untuk saya. Ia umpama satu kelahiran semula. Kebetulan pula, untuk tahun ini, tarikh lahir saya itu jatuh pada lima Ramadan.

"Saya lebih teruja apabila mengetahui tarikh ini juga jatuh pada Khamis, iaitu hari kegemaran Nabi Muhammad SAW," katanya yang mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang Muslimah yang baik. - Sinar Harian

GEMPAR !!! China larang berpuasa


Pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara penduduk Islam Uighur menyebabkan mereka mengadakan protes.

BEIJING - CHINA. China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa, menurut laman web kerajaan, semalam.

Beberapa jabatan kerajaan turut memuat naik notis terbabit sejak bermulanya Ramadan akhir minggu lalu.

Stesen radio Bozhou dan University TV menyatakan mereka akan menguatkuasakan larangan tersebut dalam kalangan anggota parti, guru dan golongan remaja di wilayah bergolak tersebut.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.


"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur. - Sinar Harian

'Saya boleh dihalau keluar dari rumah'


Ahmad menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Rohayati ketika mengetuai rombongan AJK Persatuan Penduduk Desa YPK Bijangga, Dungun, pagi semalam.

BIJANGGA - Gara-gara suaminya dipenjara akibat kes dadah, seorang ibu kepada empat anak bukan sahaja gagal membayar tunggakan sewa rumah, malah terpaksa bergantung kepada ihsan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun sesuatu yang amat sukar untuk dihadapi, namun Rohayati Mohd Rasid, 33, terpaksa menerima segala ujian Tuhan dengan penuh sabar.

Berkongsi kedukaan, Rohayati berkata, sejak suaminya dipenjara dia terpaksa mencari kerja bagi membolehkan empat anaknya dapat meneruskan kehidupan termasuk tiga daripadanya, Mohd Iman Ikhwan, 9; Normaisarah, 15; serta Mohd Amir, 12, yang masih bersekolah.

Kata Rohayati, pendapatan yang diperoleh sebanyak RM30 sehari sebagai pembantu kedai makan kadangkala tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak-anak menyebabkan dia sering mengalami tekanan termasuk gangguan emosi.

Akibat masalah kewangan, Rohayati  yang kini menyewa rumah Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga gagal menjelaskan sewa rumah yang kini sudah tertunggak lebih RM2,000.

“Saya boleh dihalau keluar dari rumah bila-bila masa kerana gagal membayar sewa.

“Kalau saya dihalau, saya tak tahu di mana saya harus tinggal, macam mana nasib anak-anak saya nanti jika tiada tempat berteduh?,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Mohd Rizki Raika, 1 tahun.

Menurut Rohayati, walaupun hidup miskin, namun dia tidak pernah meminta simpati daripada sesiapa pun, apatah lagi mengharapkan bantuan pihak tertentu.

Namun, dia tidak menolak jika ada pihak yang ingin membantu, terutama dalam membuat persiapan raya untuk anak-anak.

Katanya, masyarakat sering memandang serong padanya kerana suaminya seorang penagih dadah, namun dia tidak mampu keluar dari kemelut itu kerana tiada tempat bergantung selain abang dan seorang kakaknya yang sering menghantar bekalan makanan, itu pun tidak menentu.


“Kadang-kadang sedih juga, apabila abang lambat hantar makanan, kami terpaksa mengikat perut.

“Nak minta tolong, siapa yang nak bantu keluarga kami? semuanya sebab salah suami saya,” katanya yang kini sedang memikirkan status hubungannya dengan suami yang ditahan selama empat tahun di Pusat Pemulihan dekat Gambang Kuantan.

Kedukaan Rohayati yang tinggal empat beranak bersama seorang adik perempuan, Rosayuni Mohd Rasid, 15,  bagaimanapun sedikit terubat apabila menerima kunjungan daripada ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Desa Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga.

Pengerusi persatuan berkenaan, Ahmad Mahmood yang mengetuai rombongan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan berupa barang keperluan untuk kegunaan keluarga Rohayati sempena Ramadan ini.

Kepada yang ingin menderma, boleh menyalurkan bantuan kepada Rohayati Mohd Rasid, akaun Bank Islam 13044020890774 atau hubungi di talian 017-9353652. - Sinar Harian

Muhammad Rizalman dihantar balik ke New Zealand


Anifah Aman

SHAH ALAM – Wisma Putra hari ini mengesahkan diplomat Malaysia yang merupakan suspek kepada sebuah kes serangan seksual terhadap wanita berusia 21 tahun akan dihantar semula ke New Zealand.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, Muhammad Rizalman Ismail yang merupakan bekas pembantu kakitangan pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan kembali untuk membantu siasatan dalam kes itu.

Keputusan itu disampaikan oleh beliau kepada Menteri Luar New Zealand, Murray McCully pada petang ini.

"Kerajaan Malaysia berpendapat bahawa keputusan ini akan memberi peluang kepada suspek untuk bekerjasama  sepenuhnya bagi membantu pihak berkuasa New Zealand terhadap siasatan yang sedang dijalankan mengenai dakwaan yang dibuat terhadapnya.


"Malaysia mempunyai keyakinan dalam sistem undang-undang New Zealand dan mempunyai keyakinan tinggi bahawa Rizalman akan diberi layanan yang adil di bawah undang-undang ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menjamin  akan menyediakan bantuan undang-undang kepada tertuduh sekiranya perlu.

Suspek didakwa mengekori dan menyerang seorang wanita berusia 21 tahun secara seksual di rumahnya di Wellington pada 9 Mei lalu.

Beliau dihadapkan di mahkamah New Zealand pada 10 Mei bagi perbicaraan kali pertama dan dibawa pulang ke Malaysia kerana beliau didakwa mempunyai kekebalan diplomatik. - Sinar Harian