Ahmad menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Rohayati ketika mengetuai rombongan AJK Persatuan Penduduk Desa YPK Bijangga, Dungun, pagi semalam.
Walaupun sesuatu yang amat sukar untuk dihadapi, namun Rohayati Mohd Rasid, 33, terpaksa menerima segala ujian Tuhan dengan penuh sabar.
Berkongsi kedukaan, Rohayati berkata, sejak suaminya dipenjara dia terpaksa mencari kerja bagi membolehkan empat anaknya dapat meneruskan kehidupan termasuk tiga daripadanya, Mohd Iman Ikhwan, 9; Normaisarah, 15; serta Mohd Amir, 12, yang masih bersekolah.
Kata Rohayati, pendapatan yang diperoleh sebanyak RM30 sehari sebagai pembantu kedai makan kadangkala tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak-anak menyebabkan dia sering mengalami tekanan termasuk gangguan emosi.
Akibat masalah kewangan, Rohayati yang kini menyewa rumah Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga gagal menjelaskan sewa rumah yang kini sudah tertunggak lebih RM2,000.
“Saya boleh dihalau keluar dari rumah bila-bila masa kerana gagal membayar sewa.
“Kalau saya dihalau, saya tak tahu di mana saya harus tinggal, macam mana nasib anak-anak saya nanti jika tiada tempat berteduh?,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Mohd Rizki Raika, 1 tahun.
Menurut Rohayati, walaupun hidup miskin, namun dia tidak pernah meminta simpati daripada sesiapa pun, apatah lagi mengharapkan bantuan pihak tertentu.
Namun, dia tidak menolak jika ada pihak yang ingin membantu, terutama dalam membuat persiapan raya untuk anak-anak.
Katanya, masyarakat sering memandang serong padanya kerana suaminya seorang penagih dadah, namun dia tidak mampu keluar dari kemelut itu kerana tiada tempat bergantung selain abang dan seorang kakaknya yang sering menghantar bekalan makanan, itu pun tidak menentu.
“Kadang-kadang sedih juga, apabila abang lambat hantar makanan, kami terpaksa mengikat perut.
“Nak minta tolong, siapa yang nak bantu keluarga kami? semuanya sebab salah suami saya,” katanya yang kini sedang memikirkan status hubungannya dengan suami yang ditahan selama empat tahun di Pusat Pemulihan dekat Gambang Kuantan.
Kedukaan Rohayati yang tinggal empat beranak bersama seorang adik perempuan, Rosayuni Mohd Rasid, 15, bagaimanapun sedikit terubat apabila menerima kunjungan daripada ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Desa Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga.
Pengerusi persatuan berkenaan, Ahmad Mahmood yang mengetuai rombongan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan berupa barang keperluan untuk kegunaan keluarga Rohayati sempena Ramadan ini.
Kepada yang ingin menderma, boleh menyalurkan bantuan kepada Rohayati Mohd Rasid, akaun Bank Islam 13044020890774 atau hubungi di talian 017-9353652. - Sinar Harian