Friday 27 June 2014

BONGKAR !!! Emma punca kemelut Zizan-Marina?



KEMELUT membabitkan Zizan Razak dan Marina Juki yang juga rakan kongsi serta pengurusnya kembali menjadi perhatian, setelah Zizan dikatakan membekukan dua akaun syarikat Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (WFE), sehingga urusan pembayaran artis dan pekerja tidak dapat dilakukan.

Jika diimbas semula, kemelut membabitkan Zizan, Marina dan WFE mula hebat diperkatakan sejak awal Februari lalu.

Ia bermula dengan khabar angin Emma Maembong yang juga salah seorang artis di bawah pengurusan WFE disingkir pada bulan Februari lalu, kerana sering menimbulkan masalah kepada syarikat pengurusannya.

Kemudian diikuti perseteruan Zizan dan Marina yang menjadi perhatian ramai selepas ura-ura mula kedengaran bahawa Zizan bakal beralih ke bawah pengurusan Astro biarpun mempunyai syarikat pengurusan sendiri.

Tidak berakhir setakat itu sahaja, Zizan dan Marina memberi dua kenyataan berbeza apabila terdengar ura-ura Emma bakal disaman WFE kerana melanggar kontrak syarikat, diikuti pengakuan Zizan beralih di bawah pengurusan Astro tidak lama selepas itu.

Biarpun kedua-duanya menafikan berseteru, namun banyak pihak khasnya media menghidu kerenggangan hubungan Zizan dan Marina.

Terbaru, luahan rasa tidak puas hati melibatkan dua lagi artis di bawah naungan WFE iaitu Johan As'ari dan Kaka Azraff kerana bayaran gaji mereka tidak dapat dibuat selepas Zizan membekukan akaun.

Bagi menjelaskan kemelut yang melanda, Marina bersama peguamnya; Harjit Singh Sandhu dan Wan Nurliyana daripada Tetuan Harjit Sandhu bersama Sasha Lyna Abdul Latif dari Tetuan Sasha Lyna yang merupakan peguam syarikat WFE dan Azlan Karim juga juruaudit akaun WFE mengadakan sidang media di Holiday Villa Hotel, Subang, petang semalam.

"Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu kedua-dua akaun syarikat dibekukan atas arahan Zizan ketika saya mahu mendepositkan cek pada awal Jun iaitu selepas seminggu Zizan mengeluarkan arahan membekukan akaun.

"Apatah lagi, Zizan langsung tidak berbincang mengenai hal itu dengan saya biarpun dia pemegang saham terbesar dalam syarikat.

"Lebih mengejutkan saya, apabila ada pihak menyampaikan kepada saya, Zizan mendakwa saya menyeleweng duit syarikat. Padahal penyata akaun bagi 2013 belum lagi dikeluarkan. Namun bagi penyata, akaun 2011 dan 2012, tidak ada sebarang masalah penyelewengan," katanya.


Marina berkata, selain Kaka dan Johan yang sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu, dia juga sudah membuat laporan polis.

Tidak dapat menyembunyikan lagi kemelut yang melanda, Marina akhirnya mengakui bahawa hubungannya dengan Zizan berantakan semenjak bulan Februari lalu.

"Sebenarnya ada sedikit salah faham membabitkan saya dan Zizan, ketika kami bersama Emma serta beberapa individu lain berada di Amerika Syarikat pada Februari lalu.

"Balik sahaja dari bercuti, Emma menyatakan hasrat untuk berundur. Jadi dari satu salah faham, ia seperti berpanjangan kerana kami masih belum sempat untuk duduk berbincang.

"Saya agak sedih kerana saya dan Zizan sudah berkawan rapat sejak empat tahun lalu. Kami dah macam adik beradik dan kami jatuh bangun bersama.

"Tapi kerana salah faham itu, saya dan Zizan tidak bercakap sejak bulan Februari. Namun, saya harap hal ini dapat diselesaikan dengan segera," ujarnya sambil menahan sebak.


Selesai cara baik

Marina berkata, dia sudah menghantar surat kepada pihak bank bagi mendapatkan penjelasan mengapa akaun itu dibekukan tanpa mendapat persetujuan daripadanya yang juga pemegang 30 peratus saham syarikat.

Dia juga menanti kepulangan Zizan dari Jepun untuk menyelesaikan isu ini secara baik.

"Saya harap Zizan dapat luangkan masa  bertemu saya dan jelaskan beberapa perkara. Pertama mengenai pembekuan akaun syarikat.

"Kedua, saya minta Zizan tampilkan bukti andai benar saya membuat penyelewengan dalam syarikat dan ketiga, saya harap Zizan dapat jelaskan hasratnya sebelum ini yang mahu berundur sebagai salah seorang pengarah WFE.

"Saya tiada perancangan membawa perkara ini ke peringkat yang serius dan hanya berhasrat menyelesaikan dengan cara baik," akhirinya. - Sinar Harian

AWAS penyebar berita palsu akan dihukum


Mohd Roze Shaari

KLUANG - Polis di daerah ini mengingatkan orang ramai yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan rasa tidak selamat kepada orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner, Mohd Roze Shaari berkata, bagi individu yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 4 Akta Hasutan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berita yang tersebar di laman sosial Facebook kononnya wujud kegiatan penculikan kanak-kanak dan remaja menggunakan kenderaan van berwarna putih yang menggunakan nombor plat negara jiran berlaku di daerah ini.

“Semua balai dan pondok polis di daerah ini tidak ada menerima sebarang laporan mengenai kegiatan berkenaan seperti yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu, malah anggota bertugas di bahagian rondaan turut tidak pernah menemui van dimaksudkan.

“Jika ada, sudah pasti mereka yang terlibat ini ditahan kerana semua pintu masuk melalui jalan utama ke daerah ini diadakan sekatan jalan 24 jam sehari sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.


Mohd Roze berkata, sekiranya kejadian penculikan itu terjadi sudah pasti pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mahupun penjaga namun, sehingga kini beliau rasa pelik bagaimana berita seumpama itu boleh disebarkan sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan masyarakat khususnya belia yang mempunyai laman sosial facebook agar tidak mudah percaya terhadap berita yang disalurkan seterusnya memanjangkan berita itu kepada kawan lain kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan.

“Jika orang ramai terbaca tentang berita seperti ini di mana-mana laman sesawang, mereka hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada pihak polis untuk mengetahui kesahihannya,” katanya.

Mohd Roze turut menyarankan sekiranya menerima sebarang berita palsu sama ada di laman sesawang atau sebagainya  hendaklah dimaklumkan kepada pihaknya agar tindakan boleh diambil kepada individu tidak bertanggungjawab berkenaan. - Sinar Harian

BONGKAR !!! Cukuplah derita yang ditanggung


Penuh rasa belas kasihan...Faizal ketika bertemu Firdaus.

PENGARAH Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berasa marah dan kecewa bila terkenang Muhammad Firdaus Dullah, 15.

Bersama wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI, Faizal kembali mengimbas kenangan sewaktu pertama kali bertemu insan istimewa itu.

SABTU lalu, ketika dia dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya langsung tidak berisi.

Malah paling menyedihkan dia ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan berbau busuk.

Sehingga kini, saya masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya dibiarkan dalam keadaan sebegitu rupa.

Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ.

Jadi saya melakukan operasi dan rumah Firdaus merupakan antara rumah yang menjadi sasaran.

Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang berkunci.

Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup.

Saya cuba  memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan.

Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam sekitar 2.30 pagi.

Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang.

Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa.

Dia sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan najis dan sisa makanan.

Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Firdaus yang pada awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis.


Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah seolah bau wangi syurga mula meresap hidung.

Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap kepalanya. Hati saya terlalu sebak.

Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan.

Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Firdaus?

Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus.

Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ?

Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Firdaus.

Mungkin Firdaus akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah.

Saya gembira lihat perubahan Firdaus. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini...

Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU). - Sinar Harian