Wednesday 23 April 2014

MH370: Isteri Pramugara Luah Perasaan, Yakin Insiden Satu KOMPLOT



KUALA LUMPUR: Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram.

Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.


“Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar,” tulisnya.
Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan “masih ada” dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang.

Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang.

Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas.

Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini.

“Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu,” ujar waris berkenaan.

Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian.

“Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’ pun jadilah.


“Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung. Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa,” jelasnya.

Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
“Saya tak tahan dengar dan terus balik,” katanya.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi.

Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu. - ASTRO AWANI / daisyteapot

Wardina Mohon Maaf kepada Ustaz Don

Semoga isu ini berakhir disini apabila Wardina telah meminta maaf kepada Ustaz Don dan semoga isu ini tidak dipanjangkan oleh semua pihak kerana pihak yang terlibat telah saling bermaafan.

Terima kasih semua. Semoga Allah tunjuk kan saya jalan yang baik dan benar. Betapa lemah nya saya. Betapa banyak nya dosa saya. Ibadah pun tak sempurna. Sunnah pun belum habis semua nya. Semoga Allah ampunkan segala kesalahan saya. Semoga Allah ampunkan kita semua nya. Ya mungkin saya tak sesempurna ahli syurga. Tetapi saya tetap mengharapkan syurga. ..bimbinglah saya... sesungguhnya saya penuh dengan ketidaksempurnaan... 
Memang banyak yang saya tak tahu. Banyak betul. Maafkan jika ayat saya tidak tepat dan seolah menghina...
Ustaz Don penuh ilmu... Siapa saya untuk mengaibkannya? Ya penjelasan ustaz semalam sudah. Kesemua ustaz dah jawab. Hanya Allah yang lebih tahu segala nya... Hanya Allah yang lebih tahu.  
Sudah saya pohon kemaafan secara personal kepada ustaz. Ustaz kata "tak apa". Saya doakan ustaz sejahtera. Ini post terakhir saya. Saya akan menyerahkan account ini ke Admin. Saya tidak akan lagi update status buat beberapa waktu. Saya juga tidak akan membaca komen anda. Maaf. Segalanya selepas ini saya pertanggungjawabkan kepada ADMIN WSOP sahaja.
Sumber facebook

BONGKAR !!! MISTERI KEHILANGAN GURU KAFA BULAN LALU TERUNGKAI AKHIRNYA



BACHOK – Misteri kehilangan seorang bekas guru Kelas Fardu Ain (Kafa) bulan lalu terungkai apabila penemuan rangka tulang di batas sawah padi di Kampung Cherang Hangus, di sini, disahkan sebagai wanita terbabit.

Rangka mayat Norhayati Mat Ripin,38, ditemui seorang pemandu mesin padi yang baru sahaja memulakan tugas memesin padi kira- kira jam 12 tengah hari semalam.

Ibu mangsa, Ramlah Mohd Nor,61, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan pemandu mesin padi berkenaan.

"Pemandu mesin padi itu pekerja anak makcik, Mohd Ridhuan, 39, yang memiliki mesin padi tersebut.

Selepas menemui rangka dan pakaian mangsa, beliau terus datang ke rumah ini dan memberitahu Mohd Ridhuan.

"Rasanya sudah genap sebulan dia hilang. Kami semua puas mencarinya merata tempat. Rupanya dia hanya berada beberapa meter dari kami selama ini. Makcik reda dengan kejadian yang menimpa ini dan tidak tahu mengapa dia boleh meninggal dunia dalam keadaan sedemikian kerana setahu makcik dia tidak pernah ke seberang sawah sana sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.


Sinar Harian 27 April lalu menyiarkan permintaan Ramlah yang merayu orang ramai membantunya mencari anaknya yang dikatakan hilang selepas menjemur pakaian yang dicuci.

Ramlah berkata berkata, selepas diberitahu penemuan rangka tersebut, anaknya, Mohd Riduan pergi melihat rangka tersebut mengecam pakaian dan selipar yang dipakai arwah ketika hari kehilangannya.

"Makcik tidak mengesyaki apa-apa perbuatan khianat yang berlaku kerana kita tidak nampak apa yang berlaku. Tetapi arwah tidak menghidap penyakit yang membolehkan dia pengsan sendirian atau sebagainya.

Sebelum ini pun dia sering ke pekan Jelawat dan ke Kota Bharu untuk mengambil ubat sendiri," katanya.

Menurutnya, Norhayati atau mesra disapa Ti itu juga seorang janda yang disahkan menghidap Skizofrenia sejak di tingkatan lima dan masih mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Anggota polis dan Forensik yang dikejarkan ke lokasi kejadian terpaksa menaiki mesin padi untuk ke lokasi rangka mayat mangsa memandangkan ia agak jauh dari jalan utama serta keadaan tanah sawah yang baru dituai menyukarkan perjalanan biasa.

"Saya tidak sangka pesanan yang pernah dinyatakan agar tidak mencarinya jika hilang rupanya suatu petanda dia akan pergi selamanya," katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut. - SH.

Cara Buat Perangkap Nyamuk


Cara Buat Perangkap Nyamuk Mudah dan Senang


Risau dengan kesihatan keluarga ekoran terdapat banyak nyamuk dikawasan perumahan? Jom buat perangkap nyamuk yang mudah dan senang.

Apa yang kita perlukan ialah:
200 ml air 50 gram gula perang, 1 gram yis ( yis ibu roti, boleh dibeli di pasar raya ) dan 1 botol plastik 2-liter.




Bagaimana caranya:

1. Potong botol plastik (jenis PET) pada separuh. Simpan bahagian leher
2. Campurkan gula perang dengan air panas. Biarkan sejuk. Apabila sejuk, tuangkan di separuh bahagian bawah botol.
3. Tambah yis. Tidak perlu untuk bergaul. Ia akan menghasilkan karbon dioksida.(Nyamuk tertarik dengan karbon dioksida)
4. Letakkan bahagian corong, terbalik, ke dalam separuh botol tadi.
5. Bungkus botol dengan sesuatu yang hitam, dan letakkan di beberapa sudut rumah anda.
6. Dalam masa dua minggu, anda akan melihat jumlah nyamuk dan nyamuk yang mati di dalam botol.


Di samping membersihkan rumah , tapak pembiakan nyamuk dan nyamuk, kita boleh menggunakan kaedah ini di sekolah, taska, hospital, kedai, ladang, dan lain-lain.

Sumber mamapeduli

Daim: Saya bukan anti-kerajaan

FATHIN ATHIRAH HASLI

KUALA LUMPUR - "Saya bukan anti-kerajaan," tegas bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika mengulas tentang kepincangan Menteri Kewangan dalam mentabdir urus sistem perbelanjaan negara.

Menerusi ucapannya dalam Program Bicara Petang Bersama Tun Daim Zainuddin petang ini, beliau turut menegaskan tegurannya tidak ada kaitan dengan sebarang unsur anti-kerajaan sebaliknya ianya hanya satu perbincangan dan cadangan yang dikemukakan sebagai penambahbaik dalam penyelarasan ekonomi bersama.

"Saya bukan bermusuh dengan kerajaan, saya cuma anti dengan dasar kerajaan yang sudah lompong dan tidak betul.


"Ini isu yang serius, rakyat harus tahu bahawa dasar yang diamalkan kerajaan tidak memberi faedah serta manfaat kepada rakyat malah ianya telah membebankan rakyat dari segi peningkatan perbelanjaan ekonomi seharian," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu selidik dan memperbetul semula dasar perlembagaan kerajaan supaya ekonomi negara dapat dimajukan.

"Kerajaan sepatutnya mencari cara  serta jalan penyelesaian untuk menangani masalah ekonomi di negara ini.

"Kerajaan juga harus mengambil kira keperluan kita sebagai orang Melayu dari segi ekonomi dan pembangunan demi memajukan kehidupan bangsa Melayu," katanya lagi. - Sinar Harian

'Fesyen Telletubies' Rabecca dikritik peminat

HANAN MANSOR

WALAUPUN sudah tampil dengan imej baru yang berhijab, pelakon Rabecca Nur Al Islam atau Becca, masih tidak henti dipalit kontroversi.

Terdahulu, Neelofa pernah mendapat kritikan hebat peminat industri hiburan tanah air apabila mengenakan ‘jumpsuit’ di suatu majlis penyampaian anugerah sehingga digelar fesyen makhluk asing, kali ini Becca turut menerima nasib yang sama.

Baru-baru ini gambarnya mengenakan ‘jumpsuit’ ketat rona merah yang mengikut bentuk badan tersebar luas di laman sesawang.

Gambar tersebut diambil daripada akaun Instagram milik Becca yang mengenakan fesyen tersebut ketika menghadiri sambutan hari lahir rakannya di sebuah hotel terkenal.

Ternyata pakaian yang dikenakan mengundang reaksi kurang senang peminat, apatah lagi pelakon Dejavu Di Kinabalu ini telah ‘berhijrah’ dan baju yang menonjolkan susuk tubuhnya itu tidak bersesuaian dengan imej seorang Muslimah.


Lebih tidak disangka, ada peminat menyifatkan ‘jumpsuit’ tersebut sebagai ‘fesyen Telletubies’, menyamakan baju Becca dengan salah satu watak dalam rancangan kanak-kanak popular itu.

Mendapat kritikan hebat dari orang ramai, Becca yang dihubungi, bagaimanapun menyatakan dia sedang tidak sihat dan enggan memberi sebarang komen tentang bajunya itu.

Jawapan yang sama diberikan apabila diajukan soalan bagi mengesahkan Becca sebagai individu dalam gambar tersebut.

“Saya tak nak komen apa-apa sebab tengah demam dan sakit tekak. Lagipun saya tak tahu apa-apa pun tentang isu yang tersebar ni,” katanya.

Yang pasti, pakaian seksi sememangnya ironi dengan konsep menutup aurat dan beberapa komen di laman sosial jelas menunjukkan maklum balas negatif peminat terhadap ‘jumpsuit’ yang dikenakan Becca.- Sinar Harian