Thursday 6 March 2014

PANAS!!! 'Tunggu tindakan saya!'

AQMAR MUSTAZA, FOTO : AZMI ARYANTO
6 Mac 2014

Hanez Suraya
Hanez Suraya

“SELEPAS dia (Nurliyana Abd Manan) mengeluarkan kenyataan kepada media, saya dan keluarga dihina oleh masyarakat. Apatah lagi, ramai yang mengenali saya dan ia secara tidak langsung menjejaskan imej saya. Jadi saya harap dia membuat permohonan maaf secara terbuka bagi membersihkan nama saya” ujar Hanez Suraya dalam satu sidang media di One World Hotel, petang semalam.

Menurut Hanez, segala dakwaan wanita terbabit yang mengatakan Hanez sebagai  punca keretakan rumahtangga dia dan suaminya yang dikenali sebagai Mr R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha langsung tidak benar kerana Hanez hanya mengenali lelaki berkenaan pada 20 Disember lalu.

“Saya baru dua bulan mengenali Romie, sedangkan dia menuduh saya menjalinkan hubungan sejak lapan bulan lepas. Malah, dia juga sudah memfailkan penceraian pada Oktober, dua bulan sebelum saya mengenali Romie.

“Kita lihat dulu sejauh mana respons dia mengenai permintaan saya ini dan jika dia tidak membuat seperti yang saya minta, nantilah tindakan saya seterusnya ,” katanya.

Dalam sidang media tertutup itu, Hanez turut hadir bersama peguamnya,  Wan Nurliyana Abdul Rahman, manakala Romie, 34, turut hadir bersama peguamnya, Rubiah Jaffar.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan, isteri kepada Romie, Nurliyana Abd Manan mendakwa Hanez menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga mereka selepas Hanez dan Romie didakwa menjalinkan hubungan cinta sejak lapan bulan lalu.

Nurliyana bertambah berang apabila Hanez memuat naik di laman Istagram gambar diri bersama kedua-dua anaknya.

Tindakan Hanez itu dianggap sebagai sengaja mengeksploitasi anak-anak Nurliyana dan tidak menghormati wanita itu sebagai ibu kanak-kanak berkenaan.

Malah, Hanez dan Romie juga didakwa bercuti ke Bangkok tahun lalu bagi meraikan ulang tahun kelahiran kekasihnya itu.

Hanez berkata, dia bagaimanapun sudah meminta maaf sebelum ini kerana mendakwa Romie sebagai duda.

“Tentang isu duda, saya sekali lagi memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan sebegitu dan ada salah faham mengenai hal itu,” katanya.

Sumber

1MWER saksi keberkatan doa Nabi Yunus



KUALA LUMPUR 2 Mac - Mengembara berpuluh ribu kilometer (km) menggunakan jalan darat bukanlah satu perjalanan yang mudah atau penuh dengan keseronokan sebagaimana tanggapan pihak yang tidak pernah menempuhi kegetirannya.

Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) juga tidak terkecuali diuji dengan 1,001 masalah, namun kebesaran Ilahi membolehkan mereka mengharungi apa jua cabaran walaupun pernah menemui jalan buntu.

Paling terkesan di hati mereka ialah bagaimana mujarabnya doa Nabi Yunus dalam surah al-Anbiya' (21):87 yang bermaksud "Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."

Ketua pasukan 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, ketika mengimbau insiden penghujung Ogos tahun lalu berkata, pada masa itu mereka telah berjaya melepasi sempadan Tajikistan-Uzbekistan walaupun dalam seribu kepayahan.

Bagaimanapun katanya, lebih kurang 14 km dari Tashkent, 1MWER ditahan oleh sekumpulan askar yang tidak membenarkan mereka masuk ke pusat bandar dengan alasan keselamatan kerana kawasan itu menjadi lokasi sambutan ulang tahun kemerdekaan Uzbekistan, keesokannya.

"Hampir satu jam kami di situ dan sudah puas merayu, namun kami tetap tidak dibenarkan masuk malah sudah bersedia untuk dihalau dengan kekerasan.

"Keadaan agak kecoh kerana kami tetap cuba merayu sehinggalah diarah kembali ke sempadan dan meninggalkan motosikal di situ," katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Zamri, mereka sudah kehilangan arah kerana terlalu kecewa dan penat manakala jarum jam tangan sudah menunjukkan pukul 1 pagi.

Katanya, sebagai usaha terakhir, beliau membacakan doa Nabi Yunus sewaktu terperangkap dalam perut seekor ikan besar yang diajar arwah ibunya dan menghembuskan perlahan-lahan beberapa kali ke arah belakang tentera tersebut sambil mulut tidak putus-putus berdoa.

"Tidak sampai dua minit, ketika kami sudah mula melangkah untuk beredar dari kawasan itu, saya lihat askar tadi menelefon seseorang dan kemudiannya menjerit ke arah kami memberi kebenaran untuk masuk ke pusat bandar.

"Inilah kebesaran Ilahi yang kami pernah alami. Alhamdulillah, hanya Allah yang menjadi peneman dalam perjalanan ini," katanya yang kini berada di Santiago, Chile.

1MWER yang turut dianggotai oleh Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, akan berada di Santiago sehingga Selasa ini untuk urusan penyelengaraan motosikal termasuk menukar tayar.

Dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan kerjasama Tourism Malaysia dan mendapat sokongan Bank Rakyat selaku penaja utama, 1MWER akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia.

Perkembangan ekspedisi 1MWER boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1 Malaysia World Endurance Ride

Sumber

HEBAT!!! Saintis wanita terhebat

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Saintis wanita terhebat

Prof Khatijah antara 20 wanita Islam paling berpengaruh dalam bidang sains di dunia 

“Alhamdulillah, saya tidak sangka tersenarai antara 20 wanita Islam paling berpengaruh di dunia. Saya menganggap ia pengiktirafan terbaik dan memberikan saya semangat untuk terus membangunkan dunia sains dan teknologi.

“Ia juga membuka mata dunia mengenai keupayaan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi, selain pencetus semangat kepada saintis lain untuk terus mencuba serta menghasilkan penyelidikan,” kata Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff ketika ditemui, baru-baru ini.

Bukan calang-calang orang layak tersenarai dalam carta saintis terhebat apabila beliau disenaraikan oleh Muslim-Science.Com, iaitu portal dalam talian yang memberi tumpuan kepada usaha menyemarakkan kemajuan dan budaya sains Islam.

Sumber

KRONOLOGI kes kalimah ALLAH


Kalimah ALLAH

PUTRAJAYA - Berikut adalah kronologi kes 'Kalimah ALLAH' yang membawa kepada pendengaran permohonan Gereja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan bahawa penerbitan mingguannya 'The Herald' versi bahasa Melayu, dilarang menggunakan kalimah ALLAH.

16 Febuari 2009: Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, memohon diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, dan telah menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayunya.  

Permohonan itu menuntut tujuh deklarasi lain termasuk hak  berperlembagaan untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam The Herald, bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan ALLAH dalam The Herald dan bahawa pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam penerbitan mingguan itu.

Ia juga menuntut deklarasi bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa perkataan ALLAH bukan eksklusif kepada agama Islam.

31 Disember 2009: Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa The Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan 'ALLAH' kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, katanya.

6 Januari 2010: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh majalah mingguan Katolik, The Herald, berikutan persetujuan KDN dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia bagi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan yang mengeluarkan perintah sebelum ini pada 31 Disember 2009 membuat keputusan itu setelah dipohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

14 Okt 2012:  Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah ALLAH.

Mahkamah itu berpendapat kalimah ALLAH tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian dan dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden (Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) berkeras untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

11 November 2013: Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

5 Mac 2014: Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat keputusan pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya The Herald dilarang menggunakan kalimah ALLAH. - Bernama

Sumber

KES PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN!!! Giliran Shalwati beri keterangan

KHAIRUL ANWAR RAHMAT
5 Mac 2014
Azizul, Shalwati
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem.

STOCKHOLM - SWEDEN. Kes perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa kerana memukul keempat-empat anak mereka di kediaman mereka di Sweden masuk hari kelapan hari ini dengan giliran Shalwati dipanggil bagi memberikan keterangan.

Shalwati yang tampak yakin dilihat sangat bersedia selain turut membawa nota dan catatan ringkas.

Perbicaraan yang bermula tepat jam 9 pagi itu dimulakan dengan pegawai pendakwa bertanya sama ada Shalwati bersetuju dengan segala keterangan yang dikemukakan suaminya dalam perbicaraan yang lalu. Shalwati yang ditahan bersama suaminya sejak 18 Disember tahun lalu menjawab setuju.

Pihak pendakwaan yang diwakili Anna Arnell dalam soalannya pada awal perbicaraan meminta Shalwati memberikan gambaran mengenai keempat-empat anaknya selain turut menyelitkan soalan berkaitan beberapa insiden pukul yang didakwa dilakukan oleh Shalwati.

Shalwati dalam kenyataannya menyifatkan Aishah sebagai seorang anak yang baik, menghormati orang tua, rajin membantu dan aktif bersukan. Namun, ada beberapa sikap kurang elok yang mana Shalwati cuba mendidik Aishah supaya tidak mengulanginya.

Shalwati kemudiannya mengakui ada memberikan pukulan kepada Aishah namun ianya telah dihentikan sejak Aishah berumur 11 tahun 3 bulan apabila berpendapat hukuman fizikal tidak memberi kesan terhadap anak sulungnya itu.

Ammar pula disifatkan sebagai seorang yang suka mencuri perhatian dan membesar-membesarkan cerita selain dianggap sebagai ‘raja drama’ dalam keluarganya. Selain itu, Ammar gemar melakukan sesuatu dengan cepat sehinggakan kadangkala melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya seperti ketika menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Adam, Shalwati menceritakan peristiwa ketika Adam mula didaftarkan masuk ke sekolah di Sweden.

Adam yang mengalami masalah disleksia telah diminta oleh Shalwati untuk didaftarkan ke peringkat kelas yang lebih rendah namun tidak diendahkan sebaliknya didaftarkan masuk ke kelas yang setara dengan umurnya. Shalwati yang juga kelihatan beremosi ketika ini menerangkan Adam sebagai seorang kanak-kanak yang bijak tetapi mempunyai masalah untuk mengeja, membaca dan mengira dengan baik.

Selain itu, Adam merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan selalu memimpin Arif jika mereka sekeluarga keluar berjalan-jalan.

Terdapat dua situasi di mana Adam hilang di pusat membeli-belah namun apabila ditemui, Shalwati akan hanya menepuk bahu Adam sebagai menzahirkan kelegaan dan bukannya berniat memukul.

Arif pula disifatkan sebagai seorang kanak-kanak yang pemalu walaupun hakikatnya sangat peramah apabila bersama keluarga selain merupakan seorang yang manja dengan ayahnya dan adik-beradik yang lain.

Shalwati berkata, Arif akan berlari menyambut Azizul setiap kali bapanya itu pulang dari tempat kerja. Ketika ini kelihatan Azizul mengesat pipinya dan menundukkan muka menahan kesedihan.

Terdapat beberapa insiden yang cuba diketengahkan oleh pihak pendakwa bagi menunjukkan kepada mahkamah bahawa Shalwati ada melakukan pukulan terhadap anak-anaknya seperti didakwa.

Bagaimanapun, Shalwati tenang tetapi tegas menolak semua dakwaan kononnya beliau sering memukul anak.

Bahkan Shalwati turut memberi contoh keterangan Ammar yang mungkin berimaginasi kesan menonton filem. Dalam cerita Ammar sebelum ini, dia memberitahu pihak penyiasat bahawa ibunya mendisiplinkan dia dengan tali pinggang di dalam bilik air.

Shalwati memberitahu mahkamah hal sebenar bahawa aktiviti mencuci bilik air biasanya berlaku dengan gembira ‘merry and chatty’ di mana kesemua ahli keluarga akan bekerjasama melakukannya. Oleh yang demikian, tidak mungkin ada ruang untuk Shalwati menggunakan tali pinggang bagi mendisiplinkan Ammar dalam ruang yang sempit itu.

Insiden kedua dikatakan berlaku ketika Ammar mendakwa dia dipukul kerana menumpahkan air teh panas ketika hendak menikmati hidangan. Shalwati bagaimanapun menafikan dengan mengatakan mereka sekeluarga tidak minum minuman panas pada masa tersebut dan menyatakan ia mungkin fakta yang dibesar-besarkan oleh anak lelaki sulungnya itu.

Insiden ketiga pula dikatakan berlaku melibatkan Ammar apabila anak keduanya itu gemar melompat masuk ke dalam kolam renang yang berada di dalam kawasan rumah mereka sewaktu tinggal di Afrika Selatan.

Perlakuan Ammar itu turut diikuti adik-adiknya yang lain menyebabkan Shalwati memberikan pukulan ringan di tangan Ammar bagi memberi pengajaran dan peringatan agar tidak melakukan aksi berbahaya seperti itu. Bagaimanapun, Shalwati menyatakan tidak memukul anak-anaknya yang lain kerana mereka masih kecil dan tidak memahami akibat daripada perbuatan itu.

Pegawai pendakwa turut menanyakan insiden di mana Ammar dikatakan dipukul sewaktu sedang menyiapkan kerja sekolah.

Shalwati bagaimanapun menafikannya dan menerangkan bahawa dia sedang cuba membantu Ammar menyiapkan kerja sekolahnya itu setelah dipinta.

Shalwati memberitahu itu merupakan kali pertama dia membantu Ammar melakukan kerja sekolah memandangkan sebelum ini tidak pernah diminta berbuat demikian selain banyak menumpukan kepada kerja sekolah Adam dan Arif yang masih kecil.

Dalam insiden tersebut, Shalwati menafikan ada memukul atau memulas telinga Ammar sebaliknya berusaha memberikan penerangan yang betul kepada Ammar termasuk dengan meminta bantuan suaminya, Azizul.

Dalam pada itu, Azizul yang berkemeja hijau, bertali leher merah jambu dan berkot gelap sesekali melemparkan senyuman kepada pasukan misi khas SukaGuam yang mengikuti perbicaraan sejak hari pertama.

Perbicaraan bersambung 10 Mac 2014.

Sumber

BONGKAR!!! Romie: Hanez bukan punca keretakan rumah tangga

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mac 2014

Romie: Hanez bukan punca keretakan rumah tangga
Dari kiri: Rozmie Razin Aidilha, Rubiah Jaffar (peguam Rozmie) dan Hanez Suraya pada sidang media berkaitan isu Hanez Suraya bersama bakal suaminya. - Foto Sinar Harian oleh Azmi Aryanto

SEJAK beberapa minggu ini, industri hiburan tanah air dikecohkan dengan kontroversi pelakon Hanez Suraya yang didakwa merampas suami orang.

Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, lelaki yang dikaitkan dengan pelakon itu, Romie Razin Adilha, 34, mengaku bercinta dengan Hanez.

Romie juga menafikan dakwaan bahawa Hanez adalah punca keretakan rumah tangganya dengan Nurliyana Abd Manan malah menegaskan perkahwinan mereka memang sudah lama dilanda masalah sebelum Romie mengenali Hanez lagi.

Difahamkan, Nurliyana telah memfailkan perceraian buat kali kedua pada 8 Oktober 2013.

Nurliyana sebelum ini membuat kenyataan di sebuah program TV yang melahirkan kekesalan dengan tindakan Hanez yang merakamkan gambar bersama dua anaknya dan dimuat naik ke laman Instagram.

Ikuti kisahselanjutnya dalam Sinar Harian esok.

Sumber

BERCINTA!!! Fizo tayang isteri?

NINA FARZUIN MD SHAROM
5 Mac 2014

Fizo Omar

BIARPUN telah sah bergelar suami isteri, tindakan aktor, Fizo Omar yang sering dilihat berkepit membawa isterinya, Mawar ke mana sahaja dia pergi telah mengundang pelbagai persepsi.

Ada juga segelintir pihak yang menyifatkan Fizo seakan menayang isterinya di khalayak ramai.

“Mestilah saya bawa ke mana sahaja sebab dia isteri saya. Saya akui memang selalu bersamanya.

“Saya tidak pasti kenapa perkara ini menjadi satu perkara yang besar,” katanya ketika di temui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fizo memberitahu sejak berkahwin, dia dan Mawar sering meluangkan masa bersama memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin.

“Sebelum berkahwin, kami tidak sempat bercinta. Sekarang ini adalah fasa untuk kami bercinta.

“Lagi pun saya dan Mawar saling membantu dalam menjalankan perniagaan masing-masing iaitu Hot Burger dan tudung jenama Fareeda sebab itulah kami sering dilihat bersama,” katanya yang akui masih berusaha untuk menimang cahaya mata.

'Cergas dan jelita'

Selain sibuk menjalani perniagaan yang semakin berkembang, Fizo dan Mawar buat pertama kalinya akan digandingkan bersama menerusi sebuah program ‘Cergas dan Jelita’ terbitan RTM.

“Sebenarnya kami dapat tawaran ini selepas berkahwin dan selepas dipujuk, akhirnya Mawar setuju untuk terima tawaran ini. Sebagai persediaan, Mawar kini sedang menjalani kelas pengacara bersama seseorang yang berpengalaman.

“Sebagai seorang suami, saya beri sokongan penuh kepadanya. Kalau selepas ini ada mana-mana produksi yang berminat mahu beri tawaran sama kepadanya, saya setuju tapi bukan untuk berlakon kerana masanya agak padat dengan perniagaannya,” katanya.

Pada masa yang sama, Mawar akui gugup untuk melaksanakan tugasan itu kerana tiada pengalaman.

“Pada awalnya memang agak berat untuk saya terima tawaran ini sebab tidak ada pengalaman. Tapi bila ibu dan suami yakinkan saya bersetuju untuk lakukannya.

“Tambahan pula dengan bidang ini banyak perkara yang boleh saya manfaatkan. Selain dapat mempromosikan perniagaan, saya juga boleh banyak belajar memandangkan ia berkaitan kesihatan wanita,” katanya.

Sumber

BONGKAR!!! Suspek buang al-Quran sakit mental

RUBIAH OMAR
6 Mac 2014

Suspek buang al-Quran sakit mental
Suspek yang dipercayai bertindak membuang al-Quran dibawa keluar dari mahkamah dengan diiringi polis, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dipercayai suspek yang bertindak membuang al-Quran dan surah Yasin di dua masjid di Besut ditahan petang kelmarin dan sekali gus berjaya menyelesaikan kes yang menggemparkan penduduk sebelum ini.

Lelaki berusia 27 tahun dan masih bujang itu ditahan di pekan Besut hasil maklumat orang awam, kira-kira jam 5 petang.

Hasil siasatan mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Keluang, Besut itu menghidap penyakit mental sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal dan telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang boleh membantu siasatan.

“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan, merosakkan atau mencemarkan rumah ibadat serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Kita yakin kes ini dapat diselesaikan dengan penahanan suspek yang dipercayai melakukan perbuatan tidak beradab itu di dua buah masjid berasingan iaitu Masjid Limbongan dan Masjid Nasharuddin Shah, Kampung Raja, Besut,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri di sini, semalam.

Selain itu, jelas Jamshah, berdasarkan siasatan awal serta pengakuan keluarga terdekat, suspek memang menghidap penyakit mental sejak tiga tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan serta mengambil ubat bagi penyakit tersebut.

“Diharapkan dengan tertangkapnya suspek ini, segala spekulasi mengaitkan perbuatan khianat ini dilakukan oleh golongan daripada kaum tertentu yang mempunyai niat tertentu dapat dihentikan kerana ia sebenarnya dilakukan oleh individu kurang siuman,” tegasnya.

Kata Jamshah, semasa ditahan, suspek memberi kerjasama yang baik dan kakinya yang cedera dipercayai akibat terkena kaca ketika menendang pintu gelongsor di masjid berkenaan terpaksa dikenakan lapan jahitan.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat untuk memastikan sama ada suspek menendang pintu gelongsor berkenaan untuk memasuki masjid atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Jamshah turut mengingatkan orang awam supaya tidak membuat andaian sendiri dan menyebarkan maklumat tidak benar di laman sosial termasuk blog; Facebook dan Whatsapp yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Sudah banyak contoh kita ada. Selain kes ini, kes kematian seorang Penolong Kanan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, yang mayatnya ditemui di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, bulan lalu turut disensasikan hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Apabila kita menyebarkan spekulasi tidak benar, secara tidak langsung kita mengaibkan orang yang terbabit sedangkan tiada bukti.

"Jangan terlalu mengikut budaya tunjuk pandai dan pantas kononnya anda paling cepat mendapat maklumat, sedangkan maklumat itu tidak benar dan sahih,” katanya.

Kata Jamshah, sepatutnya orang awam membiarkan polis menyiasat terlebih dahulu kerana polis tidak akan sesekali melindungi penjenayah.

Sementara itu di di Mahkamah Majistret, Kampung Raja, Besut, Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan penduduk gempar dengan insiden al-Quran dan Yasin di Masjid Limbongan serta Masjid Nasaruddin Shah dekat Kampung Raja, Besut, dicampak ke dalam mangkuk tandas; diselerakkan dan dibuang ke luar masjid.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 2.30 pagi itu, al-Quran, kitab dan surah Yasin dicampak di merata tempat termasuk di dalam dan di luar kawasan masjid berkenaan, setelah dikoyak-koyakkan.

Lebih menyedihkan terdapat beberapa naskhah al-Quran dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Sumber