Thursday 6 March 2014

BERCINTA!!! Fizo tayang isteri?

NINA FARZUIN MD SHAROM
5 Mac 2014

Fizo Omar

BIARPUN telah sah bergelar suami isteri, tindakan aktor, Fizo Omar yang sering dilihat berkepit membawa isterinya, Mawar ke mana sahaja dia pergi telah mengundang pelbagai persepsi.

Ada juga segelintir pihak yang menyifatkan Fizo seakan menayang isterinya di khalayak ramai.

“Mestilah saya bawa ke mana sahaja sebab dia isteri saya. Saya akui memang selalu bersamanya.

“Saya tidak pasti kenapa perkara ini menjadi satu perkara yang besar,” katanya ketika di temui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fizo memberitahu sejak berkahwin, dia dan Mawar sering meluangkan masa bersama memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin.

“Sebelum berkahwin, kami tidak sempat bercinta. Sekarang ini adalah fasa untuk kami bercinta.

“Lagi pun saya dan Mawar saling membantu dalam menjalankan perniagaan masing-masing iaitu Hot Burger dan tudung jenama Fareeda sebab itulah kami sering dilihat bersama,” katanya yang akui masih berusaha untuk menimang cahaya mata.

'Cergas dan jelita'

Selain sibuk menjalani perniagaan yang semakin berkembang, Fizo dan Mawar buat pertama kalinya akan digandingkan bersama menerusi sebuah program ‘Cergas dan Jelita’ terbitan RTM.

“Sebenarnya kami dapat tawaran ini selepas berkahwin dan selepas dipujuk, akhirnya Mawar setuju untuk terima tawaran ini. Sebagai persediaan, Mawar kini sedang menjalani kelas pengacara bersama seseorang yang berpengalaman.

“Sebagai seorang suami, saya beri sokongan penuh kepadanya. Kalau selepas ini ada mana-mana produksi yang berminat mahu beri tawaran sama kepadanya, saya setuju tapi bukan untuk berlakon kerana masanya agak padat dengan perniagaannya,” katanya.

Pada masa yang sama, Mawar akui gugup untuk melaksanakan tugasan itu kerana tiada pengalaman.

“Pada awalnya memang agak berat untuk saya terima tawaran ini sebab tidak ada pengalaman. Tapi bila ibu dan suami yakinkan saya bersetuju untuk lakukannya.

“Tambahan pula dengan bidang ini banyak perkara yang boleh saya manfaatkan. Selain dapat mempromosikan perniagaan, saya juga boleh banyak belajar memandangkan ia berkaitan kesihatan wanita,” katanya.

Sumber