Monday 28 April 2014

Sambal belacan antara menu tengah hari Obama



Najib Tun Razak bersalaman dengan Barack Obama ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat itu ke Seri Perdana bagi mengadakan perbincangan dan mesyuarat delegasi dua hala di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama khabarnya menikmati hidangan Melayu istimewa hari ini.

Antaranya ialah nasi goreng, udang galah, ikan patin dan sambal belacan.

Menu istimewa tersebut ‘didedahkan’ oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut serta menikmati hidangan tersebut bersama Obama.

“Makan tengah hari bersama Presiden Obama, beliau makan nasi goreng, udang galah, ikan patin dan sambal belacan,” tulis Hishammuddin di laman sosial Facebook miliknya.

Obama tiba di Malaysia semalam dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Malaysia.


Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada kira-kira 4.50 petang semalam, selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.
 
Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
 
Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu melawat Jepun dan Korea Selatan.

Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina.- Sinar Harian

Muhyiddin luang masa ziarah Nik Aziz



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) beramah mesra dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kanan) ketika menziarahinya di kediaman bekas Menteri Besar Kelantan itu di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menziarahi bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka di sini.
 
Nik Abdul Aziz bersama isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menyambut ketibaan Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selepas solat Asar.
 
Muhyiddin yang dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini, meluangkan masa berbual dan bertanya khabar dengan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.

 
Nik Abdul Aziz semasa ditemui pemberita, berkata beliau tidak menyangka Muhyiddin dan isteri sudi datang menziarahi beliau dan keluarganya dan menyifatkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu hari bertuahnya.
 
Nik Abdul Aziz yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian kerana penyakit prostat kini dilaporkan semakin pulih dan mendapatkan rawatan secara berkala di hospital itu.
 
Muhyiddin dan isteri kemudian berlepas pulang ke ibu negara.  - Bernama