Saturday 5 April 2014

1MWER tarik perhatian media Peru


Duta Besar Malaysia ke Peru, Ayauf Bachi (mengibar bendera) semasa menyempurnakan majlis pelepasan pasukan 1Malaysia World Endurance Ride di Kedutaan Malaysia, Lima, Rabu lalu.
KUALA LUMPUR 4 April - Ketibaan pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) ke bandar raya Lima, Peru pada Isnin lalu menarik perhatian empat media tempatan untuk membuat liputan.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed berkata, mereka terdiri daripada dua stesen televisyen iaitu TV Peru Channel 7 dan Willax TV, akhbar RPP Noticias dan majalah Justo Medio.

Beliau berkata, TV Peru Channel 7 membuat liputan yang lebih menyeluruh apabila dua wartawan dan seorang jurukameranya menemui 1MWER di hotel kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

Katanya, mereka sangat berminat dengan perjalanan 1MWER yang kini telah menjelajah 29 negara membabitkan jarak 47,180 kilo­meter (km) dalam masa 289 hari.

“Mereka merakamkan aktiviti kami daripada bangun tidur hinggalah sarapan pagi dan seterusnya pergerakan 1MWER ke acara pelepasan oleh Duta Besar Malaysia ke Peru, Datuk Ayauf Bachi.

“Kami ditanya pelbagai soalan dan diminta menceritakan pe­ngalaman di sepanjang perjalanan. Bagi mereka ia adalah sesuatu yang menarik untuk dipaparkan kepada penduduk Peru," katanya dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata, satu sidang akhbar turut diadakan di kedutaan sebelum majlis pelepasan yang berkisar kepada program penjelajahan 1MWER, mesej yang dibawakan serta sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Katanya, 1MWER mengambil peluang untuk mempromosikan negara sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan sokongan yang diberikan oleh Tourism Malaysia terhadap mereka.

“Mereka juga bertanya tentang insiden pesawat MH370 dan kami menyerahkan kepada Duta Besar untuk memberi penjelasan.

“Beliau menerangkan bahawa Malaysia telah melakukan yang terbaik daripada aspek pencarian dan sebagainya malah Perdana Menteri juga telah ke Perth, Australia untuk meninjau operasi mencari," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 negara meliputi jarak 53,000km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World En durance Ride.

Sumber

BONGKAR !!! Mangsa rogol bersalin selepas buat laporan polis



JELI - Seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa rogol melahirkan anak kira-kira tiga jam selepas membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, gadis berusia 15 tahun itu mendakwa dirogol seorang rakan lelaki dikenali dengan nama ‘Abang Long’, September tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah, meminta bantuan suspek menghantarnya ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Bukit Bunga, dekat sini.

“Suspek sebaliknya bawa mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun ke satu kawasan hutan di Ayer Lanas, Jeli, dengan alasan bertemu kawan sebelum menarik mangsa ke dalam semak dan merogolnya.

“Mangsa hanya buat laporan polis pada jam 2.55 pagi, Selasa lalu dan kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa melahirkan anak di rumahnya di Kampung Nibong, Tanah Merah,” katanya, semalam.

Sheikh Azhar memaklumkan, mangsa mengenali suspek yang merupakan pelanggan di kedai makan tempat kerjanya kira-kira sebulan sebelum kejadian dan sering berhubung melalui telefon.


“Selepas merogol mangsa, suspek didakwa mengambil telefon bimbit dan wang milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di tempat kejadian.

“Mangsa berjalan keluar dari kawasan hutan itu dan menghubungi seorang kawan lelaki menggunakan telefon awam dan meminta rakannya itu menghantarnya ke tempat kerja tetapi tidak menceritakan mengenai kejadian,” katanya.

Tambahnya, tiga hari selepas dirogol, mangsa pergi ke rumah bapa saudaranya di Perlis untuk bekerja sebelum menyedari dirinya mengandung kira-kira dua bulan selepas kejadian.

“Pada awal tahun ini, mangsa pergi ke Johor untuk bekerja di kedai makan dan perubahan pada dirinya hanya disedari ahli keluarga apabila dia pulang ke kampung pada 25 Mac lalu.

“Setelah didesak ibunya, mangsa yang tidak berani memberitahu kejadian tersebut sebelum ini kerana takut dimarahi akhirnya menceritakan perkara sebenar dan mereka mengambil keputusan membuat laporan polis,” kata Sheikh Azhar.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan suspek berusia 17 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Ayer Lanas di rumahnya di Kampung Ayer Chanal, dekat sini.

“Suspek direman tujuh hari bermula Selasa lalu, manakala mangsa masih ditahan di Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan dan kaunseling.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sumber

MATI ketika cuba pecah REKOD DUNIA


222 penerjun dari 28 buah negara mengambil bahagian dalam lompatan ini.

ELOY - GERMAN. Cubaan sekumpulan penerjun payung terjun untuk melakukan lompat berformasi dan memecahkan rekod dunia berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka terbunuh.

Mangsa Diana Paris, 46, dari Berlin, Jerman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah payung terjunnya gagal terbuka sepenuhnya.


Jurucakap kumpulan World Team, Gulcin Gilbert berkata, kemalangan tiada kaitan dengan saiz kumpulan dan ia berlaku kerana kegagalan payung terjun.

Menurut suaminya, Diana telah melakukan 1,500 lompatan sepanjang kerjayanya sebagai penerjun payung terjun sejak beberapa tahun lalu, menurut laporan NY Daily.

Sumber