Saturday 5 April 2014

1MWER tarik perhatian media Peru


Duta Besar Malaysia ke Peru, Ayauf Bachi (mengibar bendera) semasa menyempurnakan majlis pelepasan pasukan 1Malaysia World Endurance Ride di Kedutaan Malaysia, Lima, Rabu lalu.
KUALA LUMPUR 4 April - Ketibaan pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) ke bandar raya Lima, Peru pada Isnin lalu menarik perhatian empat media tempatan untuk membuat liputan.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed berkata, mereka terdiri daripada dua stesen televisyen iaitu TV Peru Channel 7 dan Willax TV, akhbar RPP Noticias dan majalah Justo Medio.

Beliau berkata, TV Peru Channel 7 membuat liputan yang lebih menyeluruh apabila dua wartawan dan seorang jurukameranya menemui 1MWER di hotel kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

Katanya, mereka sangat berminat dengan perjalanan 1MWER yang kini telah menjelajah 29 negara membabitkan jarak 47,180 kilo­meter (km) dalam masa 289 hari.

“Mereka merakamkan aktiviti kami daripada bangun tidur hinggalah sarapan pagi dan seterusnya pergerakan 1MWER ke acara pelepasan oleh Duta Besar Malaysia ke Peru, Datuk Ayauf Bachi.

“Kami ditanya pelbagai soalan dan diminta menceritakan pe­ngalaman di sepanjang perjalanan. Bagi mereka ia adalah sesuatu yang menarik untuk dipaparkan kepada penduduk Peru," katanya dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata, satu sidang akhbar turut diadakan di kedutaan sebelum majlis pelepasan yang berkisar kepada program penjelajahan 1MWER, mesej yang dibawakan serta sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Katanya, 1MWER mengambil peluang untuk mempromosikan negara sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan sokongan yang diberikan oleh Tourism Malaysia terhadap mereka.

“Mereka juga bertanya tentang insiden pesawat MH370 dan kami menyerahkan kepada Duta Besar untuk memberi penjelasan.

“Beliau menerangkan bahawa Malaysia telah melakukan yang terbaik daripada aspek pencarian dan sebagainya malah Perdana Menteri juga telah ke Perth, Australia untuk meninjau operasi mencari," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 negara meliputi jarak 53,000km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World En durance Ride.

Sumber