Tuesday 8 July 2014

POLIS : Waspada bila menginap di hotel

Grafik ihsan Facebook PDRM

SIAPA sangka kegembiraan bercuti di hotel boleh bertukar musibah apabila anda mungkin kehilangan wang hanya dengan menerima satu panggilan telefon yang didalangi oleh sindiket penipuan.

Kebelakangan ini, terdapat satu sindiket penipuan licik yang memperdaya penginap hotel dengan membuat panggilan ke bilik hotel secara rambang bagi mendapatkan maklumat kad kredit mereka.

Modus operandi yang digunakan:

1. Mangsa menginap di sebuah hotel dan telah membuat pembayaran menggunakan kad kredit.

2. Ahli sindiket akan membuat panggilan ke hotel tersebut sebelum meminta disambungkan ke mana-mana bilik secara rambang.

3. Semasa berada dalam bilik, mangsa menerima panggilan telefon yang kononnya daripada “front desk” hotel, berkenaan masalah pengesahan kad kredit.

4. Ahli sindiket akan memperdaya memastikan mangsa untuk percaya panggilan tersebut adalah daripada “front desk” hotel dengan gaya percakapan yang profesional.

5. Mangsa diminta membacakan semula nombor kad kredit dan membuat pengesahan tiga digit nombor di belakang kad kredit yang telah digunakan.

6. Mangsa yang percaya akan memberikan semua maklumat kewangan yang diminta oleh ahli sindiket.


Nasihat polis:

1. Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya menerima apa-apa panggilan yang meminta maklumat kewangan terutamanya maklumat kad kredit.

2. Ambil sedikit masa untuk bertanyakan beberapa soalan kepada pemanggil dan rujuk kepada orang ketiga (ahli keluarga/rakan) sebelum memberikan sebarang maklumat atau respon.

3. Dinasihatkan urusan pengesahan kad kredit hanya dibuat secara bersemuka di kaunter.

-Sinar Harian

HEBOH ikan makan bangkai babi

Inilah lokasi berhadapan sebuah stesen minyak seperti yang didakwa kononnya terletak kolam ikan terbabit namun gagal menemui kawasan yang dimaksudkan.

IPOH – Pengguna laman sosial Facebook gempar apabila tersebarnya lima keping gambar menunjukkan sebuah kolam menternak ikan air tawar yang didakwa menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan.

Gambar dan info terbabit turut tersebar di aplikasi WhatsApp pada petang semalam membincangkan kesahihan dakwaan rangka babi yang tidak dapat diketahui.

Pengguna laman sosial yang menggunakan nama Khirul Adnan Hamid mendakwa, kolam ternakan terbabit menjadi tumpuan warga Ipoh apabila ia pecah namun beliau terkejut apabila terdapat tulang dan kepala binatang dipercayai babi dalam kolam yang telah kering.

“Ya ikan itu makan babi dan kita makan ikan itu... tak dinafikan 99 peratus penternak bukan Islam bagi (ikan) makan babi, biasa saya dengar bagi makan usus babi, kali ini seekor babi dicampak di dalam kolam.

“Ia tulang babi sebab ada seorang seorang bukan Islam yang datang pun cakap babi, kalau kita fikir secara logik takkan orang nak letak lembu seekor dalam kolam sebab lembu mahal dan tak pernah lagi orang buat, pengalaman saya biasanya orang akan letak bangkai babi atau kuda,” tulisnya ketika menjawab persoalan pengguna lain di laman Facebook mengenai kesahihan dakwaannya, semalam.

Rata-rata pengguna memberi reaksi negatif kepada penemuan dibongkarkan Khirul Adnan dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.

Dikatakan ramai pengguna meletakkan kenderaan sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh – Lumut semalam apabila kolam ternakan terbabit pecah.


Sinar Harian turut ke lokasi yang dikatakan oleh Khirul Adnan namun usaha mencari kolam terbabit menemui jalan buntu.

Pencarian ke kawasan Papan dan Pusing juga gagal menemui lokasi terbabit termasuk sepanjang laluan Ipoh – Lumut.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Pencinta Alam dan Sukan Memancing Perak, Harrie Maulana berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan ataupun maklumat mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, pihaknya merasakan kewujudan rangka haiwan di dalam kolam berkenaan berkemungkinan penternak atau pemilik kolam memberi makan bangkai kepada ikan.

“Perkara itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebab spesies ikan jenis patin dan keli merupakan pemakan bangkai. Malah saya pernah lihat ada pengusaha kolam yang membuang bangkai dalam kolam mereka.

“Ada juga pengusaha yang memberikan organ dalaman haiwan seperti perut ayam. Tetapi kebanyakan pengusaha memberikan dedak untuk ikan mereka,” katanya kepada Sinar Harian. - Sinar Harian

CEMBURU !!! Pengantin baharu dibakar suami


Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.

KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.

Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini,  kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur  berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.

“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya  mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.

Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.

“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.

Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih. - Sinar Harian