Tuesday 11 February 2014

Misteri pokok petai 'menangis'

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
11 Februari 2014

Misteri pokok petai 'menangis'

PASIR MAS - Sebatang pokok petai yang didakwa mengeluarkan bunyi seakan-akan tangisan kanak-kanak menggemparkan lebih 300 penduduk di Kampung Binjai, Bunut Susu di sini.

Pokok setinggi 10 meter itu yang terletak di laluan utama kampung berkenaan turut didakwa mengeluarkan air seolah-olah air mata.

Penduduk Kampung, Abdul Razak Manaf, 57, berkata, kejadian itu mula berlaku pada malam Jumaat lalu dan berlarutan sehingga semalam.

“Saya menyedari kejadian pelik ini pada jam 3 pagi dan mulanya menyangka ia adalah tangisan anak kecil jiran sebelah rumah.

“Selepas bertanyakan perkara tersebut kepada jiran, saya diberitahu tiada tangisan yang berlaku pada malam itu,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pun tangisan itu berulang kembali pada malam berikutnya.

Abdul Razak berkata, disebabkan perasaan ingin tahu yang menebal dia mengambil keputusan untuk mengesan bunyi tangisan itu.

“Saya terkejut apabila mendapati ia datang dari sebatang pokok petai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

“Kejadian pelik itu turut didengari oleh jiran yang tinggal berhampiran dengan pokok berkenaan dan selepas itu perkara tersebut menjadi bualan penduduk kampung sehingga tempat ini menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja ada beberapa penduduk telah mengambil air yang didakwa air mata pokok petai berkenaan untuk tujuan perubatan.

Katanya, air tersebut digunakan untuk merawat penyakit antaranya strok, kulit dan sebagainya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ismail Loman, 58, berkata, tangisan tersebut dapat didengari bermula jam 12 tengah malam dan ke atas.

“Kejadian itu cukup menghairankan penduduk dan ia merupakan kejadian aneh pertama di kampung berkenaan sejak menetap di kawasan itu 13 tahun lalu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan kejadian mendapati terdapat kesan air yang didakwa air dari pokok berkenaan di atas jalan.

Misteri kejadian itu telah menarik puluhan orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan sendiri fenomena pelik tersebut secara lebih dekat.

Sementara itu Pengamal Perubatan Islam, Datuk Shamsuri Shafie berkata, kejadian tersebut berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Beliau yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Tobibi berkata, berdasarkan kejadian yang sama pernah berlaku di sini beliau yakin kawasan tersebut pernah menjadi tempat pemujaan dan membuang barang-barang berkaitan makhluk halus.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan kejadian tersebut.

“Sepertimana dakwaan yang mengatakan pokok petai itu mengeluarkan air mata, saya berharap orang ramai tidak terpengaruh sehingga terlalu taksub dengan air tersebut.

“Ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku di Pulau Pinang, dan beberapa tempat di negeri sebelah utara.

Jika dipertimbangkan faktor tiupan angin, pokok-pokok tinggi seperti pokok petai ini biasanya akan mengeluarkan bunyi seakan-akan suara tangisan jika ditiup oleh angin.

Oleh itu, kemungkinan pokok petai berkenaan yang mengeluarkan bunyian itu ada kaitan dengan faktor alam semula jadi.

Manakala menurut sumber Jabatan Pertanian Pulau Pinang, 'air mata' yang keluar dari pokok dipercayai berlaku kerana serangga riang-riang jantan akan kencing setiap lima hingga enam saat ketika dalam proses mengawan terutama pada musim kemarau.

“Kemungkinan besar air yang turun seperti hujan renyai-renyai dari pokok petai ialah air kencing riang-riang terutama jika ia berkumpul dalam jumlah yang banyak kerana ia serangga bermusim,” katanya.

Namun begitu ada segelintir penduduk kampung kawasan kejadian tidak percaya pokok petai menangis disebabkan serangga riang-riang kerana beranggapan ‘air mata’ itu mempunyai khasiat tertentu.

Sinar Harian Telus & Tulus

Pemain T-Team bersumpah

Pemain T-Team bersumpah


Pemain T-Team, Khairan (kiri) melafazkan sumpah dalam majlis perjumpaan pemain Liga Super Terengganu dan T-Team di sini, malam tadi.

SEBAGAIMANA dijanjikan sebelum ini, pegawai dan pemain pasukan berstatus kelab T-Team telah mengangkat sumpah berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu di sini semalam.

Pada majlis yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre itu, penolong jurulatih pasukan T-Team, Azlan Johar mengetuai upacara bersumpah di hadapan al-Quran yang disaksikan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Belia dan Sukan, Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Turut mengangkat sumpah berhubung insiden itu, pemain tengah, Khairan Ezuan Razali bagi membuktikan kebenaran mengenai kejadian tersebut.

Ahmad dalam ucapannya berkata, majlis bersumpah yang diadakan itu bertujuan membuktikan insiden itu benar-benar berlaku, sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pegawai dan pemain T-Team berbohong berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau telah merujuk perkara itu (sumpah) kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan meminta pegawai serta pemain yang menyaksikan insiden itu sahaja berbuat demikian.

“Saya begitu terharu dengan kesanggupan Azlan dan Khairan mengangkat sumpah pada hari ini (malam tadi). Kita lakukan semua ini hanya satu iaitu untuk membuktikan kepada semua bahawa pemain T-Team bercakap benar.

“Jika mereka (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting kita telah melakukan perkara yang sepatutnya kami buat,” katanya.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira jam 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Muhd Ifran Abdul Ghani langsung tidak kelihatan pada majlis itu.

Sementara itu, Ahmad turut mencabar Muhd Irfan supaya tampil untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sanggup beli tiket `flight’ untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah berhubung kejadian itu,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team da dalam Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului T-Team 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu untuk langkah keselamatan apabila penyerang import T-Team, Rodrigues didakwa ditumbuk manakala jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo yang turut mendakwa dikasari didalam terowong ketika ke bilik persalinan.

Sinar Harian Telus & Tulus

Chong Wei, Lin Dan berpasangan di China

Chong Wei, Lin Dan berpasangan di China


JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei buat julung kali akan berpasangan dengan musuh tradisinya Lin Dan dari China untuk membuat perlawanan pertunjukan sempena pembukaan pusat latihan badminton baharu di Lingshui, China Ahad ini.
 
Chong Wei berkata beliau menyambut baik jemputan Persatuan Badminton China dan bersedia membantu negara lain untuk menyemarakkan sukan badminton.
 
"Saya menerima jemputan daripada ketua jurulatih China, Li Yongbo untuk menyertai perlawanan pertunjukan itu. Saya akan bergandingan dengan Lin Dan dan kami akan menentang jaguh beregu China, Cai Yun dan Fu Haifen.
 
"Perlawanan ini juga diadakan untuk peminat badminton di China," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit  Kiara di sini hari ini.
 
Dalam pada itu pemain nombor satu dunia itu berkata Malaysia perlu menyediakan pusat latihan badminton yang lengkap di setiap negeri untuk memastikan lebih ramai pemain berbakat dapat ditonjolkan.
 
"Pada pendapat saya, negara China mempunyai banyak pusat latihan yang lengkap di setiap wilayah, pemain tempatan (wilayah) mereka bagus dan setanding dengan pemain kebangsaan.
 
"Saya rasa kita juga perlu fikir begitu (menyediakan infrastruktur di setiap negeri) untuk masa depan sukan badminton negara," katanya.
 
Chong Wei juga berkata beliau akan menghadiri majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Mac ini.
 
"Saya ada menerima jemputan tersebut. Memang bangga sebab akan berjumpa dengan ramai atlet bertaraf dunia dalam pelbagai sukan seperti Formula 1 dan tenis. Saya juga teruja mahu berjumpa dengan atlet terkemuka dunia yang lain pada majlis itu nanti," katanya.
 
Antara tokoh sukan yang pernah memenangi Anugerah Laureus sejak diadakan 15 tahun lalu ialah Usain Bolt, Sebastian Coe, Novak Djokovic, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis  Hamilton, Kelly Holmes, Rafael Nadal, Pelé, Steve Redgrave, Ronaldo, Michael Schumacher, Kelly Slater, Shaun White, Serena  Williams dan Zinedine Zidane. - Bernama

Sumber daripada Sinar Harian Telus & Tulus

Bersekedudukan: Zizan, Emma beri penjelasan

Bersekedudukan: Zizan, Emma beri penjelasan



Zizan, Emma

BAHARU sahaja reda dengan isu bercumbuan di dalam kapal terbang, kini nama Zizan Razak dan Emma Maembong kembali menjadi perhatian selepas dikatakan bersekedudukan sejak enam bulan lalu.

Mengakui terkejut dengan tindakan jirannya yang melaporkan perkara itu kepada pihak media, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, bagaimanapun tidak menafikan Emma ada beberapa kali mengunjungi rumahnya.
"Memang Emma ada datang, tapi itu pun ketika ibu dan ayah saya ada di rumah. Dia datang pun untuk bertemu ibu saya. Lagipun mustahillah kami bersekedudukan kerana saya bukan tinggal seorang di rumah, sebaliknya abang dan pengurus peribadi saya turut tinggal bersama.
"Saya juga tidak ada sebarang masalah dengan jiran saya. Saya mesra dengan jiran-jiran saya dan saya akui agak terkejut bila mendapat tahu ada jiran saya yang melaporkan perkara ini kepada media," katanya kepada media ketika ditemui sebaik tamat Anugerah MeleTOP Era, baru-baru ini.
Mengulas mengenai tindakan individu yang mendakwa sebagai jirannya itu, Zizan berkata, individu tersebut sepatutnya berjumpa dengannya sendiri untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan tidak berasas itu kerana ia memberikan impak negatif kepada kerjaya seninya.
"Saya sedar, saya dikenali ramai dan kenapa saya mesti buat perkara tidak elok (bersekedudukan)?
"Daripada surat tersebut, saya nampak caranya sangat Islamik. Kalau betul saya ada melakukan sebarang kesalahan, lebih baik individu tersebut datang berjumpa saya untuk dapatkan penjelasan daripada dia menyebarkan fitnah.
"Kalau ya pun nak suruh kami cepat-cepat (berkahwin), bukan cara macam ini. Tapi doakanlah yang terbaik untuk kami," ujarnya sambil tersenyum.
Sementara itu, dalam temu bual berasingan, Emma berkata dia ada membaca artikel tersebut dan mengakui agak sedih kerana difitnah sedemikian.
"Saya akui ada ke rumah dia, itu pun kalau ibu dan bapanya ada di rumah. Selain itu, saya akan ke rumahnya sekiranya saya perlu bergerak sekali dengan dia ke sesuatu acara. Kalau tiada apa-apa, saya tak akan ke rumah dia.
"Bagaimanapun saya tak salahkan dan tak marah pada individu yang menyebarkan cerita terbabit. Mungkin cerita ini timbul kerana orang asyik bercakap mengenai hubungan kami.
Mungkin juga individu terbabit hanya nampak saya seorang yang masuk, padahal dalam rumah dia ramai," katanya.
Emma berkata, walaupun dihimpit dengan kontroversi, dia bersyukur kerana keluarganya sentiasa ada di sisi, terutama bapanya, Ismail Embong.
"Kalau saya tidak ada apa-apa aktiviti hiburan, saya akan duduk di rumah sahaja. Jadi ayah saya bila di baca gosip sebegini, dia akan ketawa kerana dia tahu saya selalu ada di rumah," katanya.
Akui rapat

Dalam pada itu, ditebak mengenai status sebenar hubungan mereka, Zizan dan Emma, mengakui hubungan mereka rapat.

Zizan berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius dalam masa terdekat ini.
"Saya belum terfikir untuk bertunang. Lagipun jadual kami padat. Tapi saya pernah tanya dia, “awak rasa nak kahwin tak?”, kata Zizan sambil berseloroh.
Bagi Emma pula, dia enggan bercakap lebih-lebih mengenai hubungannya dengan Zizan kerana tidak mahu mendapat malu sekiranya hubungan mereka tidak berakhir dengan baik.
“Apa yang boleh saya katakan, Zizan adalah kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya bukan nak rahsia atau nak sorok apa-apa tentang status kami. Tapi saya tak mahu kecoh-kecoh.
"Nanti kalau tak jadi, malu pula. Jadi buat masa ini kami berkawan saja," jelasnya.
Keluar Wire Fame?

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai isu yang mendakwa dia bakal meninggalkan syarikat pengurusannya yang juga syarikat milik Zizan iaitu Wire Fame Entertainment, Emma berkata, ia hanya ura-ura sahaja.
"Buat masa ini saya masih lagi di bawah pengurusan Wire Fame. Tapi saya pernah menyuarakan hasrat untuk bergerak sendiri dan mereka tidak menghalang saya berbuat demikian.
"Tapi itu bukan bermakna saya sah keluar. Apatah lagi, mereka yang ada di dalam Wire Fame sudah saya anggap seperti keluarga saya sendiri," jelasnya yang bakal muncul menerusi drama bersiri Yes Bos, di TV3 mulai 15 Februari ini.
Sumber daripada Sinar Harian Telus & Tulus

Tol sudah wajar dihapuskan

Tol sudah wajar dihapuskan

Mohd Khairuddin Aman Razali

1. Rakyat kononnya digembirakan dengan pengumuman tol yang tidak dinaikkan. Tetapi sebenarnya ia berita buruk kerana kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat juga untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Ertinya syarikat konsesi tetap untung dan rakyat juga terpaksa menanggung secara tidak langsung. Bukan sahaja syarikat konsesi untung menerusi pampasan tetapi mereka juga telah mendapat untung berganda daripada servis jalan raya yang melibatkan keperluan rakyat.

2. Rakyat berhak menuntut bukan sekadar kadar tol tidak dinaikkan tetapi sebaliknya diturunkan dan seterusnya dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengutip laba berganda yang tidak pernah rugi kerana perniagaan jalan bertol ini.

3. Hal ini kerana perniagaan lebuh raya bertol adalah perniagaan perkhidmatan seperti perkhidmatan telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom, Yes4G dan Umobile. Ia mendatangkan profit margin (jurang keuntungan) yang tinggi. Menurut laporan kewangan 2013 Litrak Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Damansara - Puchong [LDP] dan Sprint, profit margin menghampiri 49 peratus. Menurut Maybank Investment Bank Research, Kesas juga mencapai keuntungan pula mencecah 121 peratus secara cumulative annual growth rate atau CAGR daripada 2008 ke 2012.

4. Lebih daripada itu, pertambahan pengguna jalan bertol yang semakin meningkat bererti keuntungan yang sentiasa meningkat dan bertambah tanpa risiko kerugian.

6. Jika sebelum ini rakyat mempunyai alternatif memilih jalan tidak bertol untuk sampai ke destinasi tapi tidak lagi pada hari ini. Lebuh raya bertol bukan satu pilihan mewah untuk rakyat tetapi adalah satu keperluan bagi mengelakkan kesesakan, menjimatkan masa dan kos penggunaan minyak. Malah lebuh raya bertol sendiri pun sesak apatah lagi jalan biasa.

7. Maka bagi satu perniagaan perkhidmatan yang mendapat jumlah pelanggan yang semakin bertambah, bukankah sepatutnya kadar tol semakin dikurangkan?

8. Dalam keadaan rakyat memerlukan lebuhraya bertol, ada pihak yang mengaut keuntungan berganda. Derita rakyat semakin bertambah. Harga minyak bertambah mahal. Lebuh raya pula semakin sesak. Kadar harga tol kekal. Syarikat konsesi pula mendapat pampasan keuntungan kerana tidak menaikkan tol. Duit rakyat terpaksa dibelanjakan untuk pampasan.

9. Atas alasan-alasan tersebut, maka memberi pampasan kerana tidak menaikkan tol hanyalah bertujuan untuk mengkayakan golongan tertentu secara melampau atas derita keperluan rakyat. Tol sepatutnya dihapuskan setelah syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda daripada perniagaannya.

10. Perjanjian konsesi membolehkan syarikat memohon kenaikan tol tetapi atas sifat kerajaan yang mempunyai saham majoriti dalam syarikat konsesi, kerajaan boleh mengambil alih syarikat konsesi seterusnya membatalkan perjanjian.

11. Apapun, perjanjian konsesi yang tidak adil bagi rakyat ini berpunca daripada kegagalan kerajaan BN memperhalusi perjanjian konsesi sehingga merugikan rakyat. Maka kerajaan BN perlu dipertanggungjawabkan oleh rakyat atas ketidaktelitian ini.

12. Mengimbau sejarah kerajaan Saba' antara nikmat ALLAH yang dirasai oleh rakyat ialah lebuh raya aman membahagiakan yang menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Yaman di selatan dan Syam di utara. ALLAH berfirman:

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ْقُرَى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Maksudnya: "Dan Kami jadikan antara mereka (Yaman) dan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya (Syam), beberapa negeri yang muncul dan Kami singkatkan antara negeri negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman." Surah Saba' ayat 18.


Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Sinar Harian Telus & Tulus

Ratu tidur...

Ratu tidur...




Ratu tidur...

BINTANG cantik, Song Ji Hyo tidur dengan nyenyak ketika penggambaran, Running Man. Namun, aksi ini dilakukan hanya untuk mendapatkan hadiah untuk pertandingan tidur paling lama dalam rancangan itu.

 "Saya tidur dengan nyenyak tanpa mempedulikan persekitaran ketika itu,"kata aktres berusia 32 tahun ini. 
Pun begitu, ini bukanlah kali pertama bintang, Princess Hours ini tidur ketika penggambaran. Sebelum ini, dia pernah tertidur di atas menara permainan.

Sinar Harian Telus & Tulus

'Saya tak dapat menyusu anak, cedera payudara'

'Saya tak dapat menyusu anak, cedera payudara'

Saya bukan janda - Misha Omar

ARKIB : 10/02/2014

Saya bukan janda - Misha Omar


KUALA LUMPUR 10 Feb. - "Saya tidak pernah bernikah. Saya tidak pernah menjadi isteri ketiga seorang jutawan. Maka dengan rasmi saya juga tidak pernah memegang status janda!."

Itulah luahan hati penyanyi Misha Omar, 32, dalam surat terbuka yang di emelkan kepada pihak media hari ini, sebagai menjawab tuduhan seorang wanita yang memuat naik statusnya dengan mendakwa penyanyi itu pernah berkahwin sebelum ini.

Status itu dimuat naik Ahad lalu, ekoran daripada cerita Misha yang disiarkan dalam akhbar sisipan Pancaindera, akhbar Mingguan Malaysia.

Dalam emelnya itu, Misha mohon si penulis Facebook agar tampil mengemukakan bukti yang dia pernah mendirikan rumah tangga jika sangsi dengan statusnya sebelum ini.

"Apa dosa saya apabila saya ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangan saya, Firos Ezzwan Rosly pada bulan Mei ini, saya dihukum dengan fitnah seperti ini?

"Pasti anda (penulis Facebook) pasti tersenyum bangga sekarang ini apabila status puan menjadi bualan hangat dan saya berharap agar tercapailah keinginan puan untuk menjatuhkan maruah diri saya dan keluarga saya," katanya.

Misha yang telah 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni berkata, ini adalah fitnah dan tohmahan terbesar yang dilontarkan kepadanya sepanjang bergelar artis. - UTUSAN ONLINE



Benarkah insurans kenderaan pula naik?

Benarkah insurans kenderaan pula naik?

Pasangan Malaysia didakwa berasingan, kasari anak

Pasangan Malaysia didakwa berasingan, kasari anak

Komando VAT69 tembak penceroboh bersenjata

Komando VAT69 tembak penceroboh bersenjata