Showing posts with label sukan dalam negeri. Show all posts
Showing posts with label sukan dalam negeri. Show all posts

Thursday, 3 April 2014

LETAK JAWATAN kalau tidak berani buat KEPUTUSAN

2 April 2014
Ahmad Said

MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
 
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
 
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
 
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
 
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
 
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.

 
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
 
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
 
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
 
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

Sumber

Monday, 31 March 2014

LANG MERAH !!! Rombak juga pemain tempatan

30 Mac 2014

APA sudah jadi dengan prestasi skuad Lang Merah musim ini?

Selepas garang pada beberapa perlawanan awal, prestasi skuad kendalian David Mitchell kini terumbang-ambing dan sekadar menghuni kedudukan keenam Liga Perdana dan ketinggalan 10 mata dibelakangi pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Situasi ini jelas mengundang perasaan kurang senang Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah yang bimbang hasrat kembali ke saingan Liga Super berkubur.


Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menerima tajaan berjumlah lebih RM15 juta dari kerajaan negeri dan badan korporat harus bertindak pantas termasuk melakukan rombakan besar-besaran dalam skuad Hijau Kuning.

"Bukan sahaja awang import, pemain tempatan pun wajib dirombak sebenar pelaburan RM15 juta bukan satu jumlah yang kecil.

"KFA jangan  sekadar tangkap muat atau melakukan pemilihan pemain yang kurang tepat. Tengok saja aksi Kedah dalam liga, jauh tertinggal dengan pasukan atasan.

"Pada saya, jurulatih pun wajar diberi amaran keras berikutan persembahan longlai saat ini," katanya.

Sumber

Sunday, 23 March 2014

TEWAS!!! Pemain 17 tahun kejutkan Nicol


Nicol Ann David ditenangkan bapanya, Desmond David selepas tewas kepada Nour El Sherbini dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Pulau Pinang semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya mencari kejuaraan dunia kelapan dalam Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29 selepas tewas mengejut kepada pemain muda Mesir, Nour El Sherbini di sini semalam.

Masuk ke gelanggang selaku pilihan utama kejohanan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Nicol, 31, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan sokongan padu peminat di negeri kelahirannya apabila tewas dalam perlawanan lima set yang berlangsung kira-kira satu jam.

Nicol, yang muncul juara kejohanan ini di Pulau Caymen tahun lalu, kelihatan akan meraih laluan mudah setelah menang mudah pada set pertama dengan 11-4 ke atas juara remaja dunia sebanyak tiga kali berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak kemenangan untuk tewas dua set berikutnya dengan 9-11 dan 6-11.

Namun, pemain nombor satu dunia itu mengikat kedudukan dua set sama apabila bangkit pada set keempat untuk menang 11-2 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set terakhir, Nicol seolah-olah hilang tumpuan selepas membenarkan Sherbini mendahului agak selesa malah pernah ketinggalan agak jauh dengan 4-8.

Meskipun cuba mengejar, namun Nicol tidak mampu menyaingi permainan pantas dan menyerang Sherbini sebelum tewas 9-11.


Selepas perlawanan, Nicol mengakui dia kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi ditewaskan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, menurut Nicol, dia tetap berasa bangga kerana tewas di tangan seorang pemain muda yang berbakat besar serta seorang lawan yang cukup hebat seperti Sherbini.

"Dia terlalu bagus hari ini dan memberi persaingan yang cukup sengit dan saya akui pertemuan dengannya adalah perlawanan yang sukar.

"Apa pun saya terima kekalahan ini meskipun pahit kerana kecundang di negara serta negeri kelahiran saya sendiri dan saya akan menilai kekalahan ini untuk persediaan dalam kejohanan akan datang," katanya.

Kekalahan Nicol itu juga bermakna dia gagal untuk mengulangi pertemuan dengan musuh tradisi, Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir hari ini seperti dalam kejohanan musim lalu.

Massaro yang juga pemain No. 2 dunia melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan pemain No. 3 dunia juga dari Mesir, Raneem El Weleily dengan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.

Dalam pada itu, Sherbini berkata, kemenangan ke atas Nicol adalah pengalaman paling manis dalam kariernya memandangkan tidak pernah berjaya menewaskan Nicol sebelum ini.

"Saya turun tanpa sebarang tekanan berbanding Nicol dan keadaan itu memberi kelebihan kepada saya untuk menewaskannya," katanya.

Sumber

Monday, 10 March 2014

ALL ENGLAND: Chong Wei juara kali ketiga

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
10 Mac 2014

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

JAGUH nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara kejohanan badminton All England 2014 selepas membenam musuh tradisinya Chen Long dari China pada  akhir di Arena Tertutup Nasional Birmingham, England, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Selepas dikecewakan oleh bintang China itu pada final tahun lalu, Chong Wei kembali merampas gelaran dengan melakar kemengangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam pertarungan yang berlarutan selama 59 minit.

Selain berjaya melunaskan dendamnya ke atas pemain nombor dua dunia itu, Chong Wei turut memenuhi misinya untuk merangkul kejuaraan All England buat kali ketiga selepas turut muncul juara pada tahun 2010 dan 2011.


Sementara itu, pasangan nombor satu dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan merangkul gelaran beregu lelaki selepas menewaskan pilihan kedua dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dengan 21-19 dan 21-19.

Acara perseorangan wanita pula dimenangi Wang Shixian dari China yang mengenepikan rakan sepasukannya Li Xuerui dengan straight set 21-19 dan 21-18.

China turut mendominasi acara beregu wanita menerusi Wang Xiaoli-Yu Yang selepas menewaskan beregu sepasukan mereka Ma Jin-Tang Yuanting, 21-17, 18-21 dan 23-21 dalam masa sejam 21 minit.

Sumber

Sunday, 16 February 2014

Pemain bola mati kena tetak

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
16 Februari 2014

Pemain bola mati kena tetak

Mangsa yang cedera parah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke HRPB dan disahkan meninggal dunia di hospital itu.

IPOH – Seorang pemain bola sepak kelab tempatan maut ditetak sekumpulan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang selepas keluar dari sebuah bank di Jalan Sultan Yusuff berhampiran Ipoh Padang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, T Eswaran, 27, menaiki Proton Waja bersama tiga rakannya dan berhenti berhampiran lampu isyarat di depan bank berkenaan untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Bagaimanapun, selepas  keluar dari ATM dan sebaik sahaja mangsa hendak memasuki kereta di bahagian penumpang depan, dia dihampiri tiga lelaki bertopeng membawa parang yang terus menyerangnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang juga seorang pemandu lori berasal dari Menglembu cedera serius di kepala dan tangan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna perak.

“Polis masih mengesan kereta suspek yang didaftarkan di negeri Johor," katanya.

Chang Keong berkata, tiga rakan mangsa yang berada di tempat kejadian tersebut telah diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan lanjut dan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan orang  ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Sinar Harian

Wednesday, 12 February 2014

Irfan angkat sumpah al-Quran

MOHD FIRDAUS YON
11 Februari 2014

Irfan angkat sumpah al-Quran

JOHOR BAHRU - Pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani, 25, hari ini mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan segala kenyataan yang dibuatnya adalah benar.

Perakuan sumpah itu dibuat Irfan sambil memegang al-Quran dengan disaksikan sekumpulan wartawan serta jurugambar di sebuah restoran di sini.

Minggu lalu, dalam sidang media yang dibuat selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Irfan berkata, perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.

Dalam pada itu, dalam majlis sama, Irfan juga mengakui ada menghantar surat bertarikh 4 Februari lalu, untuk memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan T-Team dan keputusan terbabit dibuat atas faktor kesihatan ibunya yang tidak menentu.

"Mak saya (berusia 54 tahun) kurang sihat dan saya risau dengan dirinya..atas sebab itu saya meletakkan jawatan secara rela. Di sini juga, saya ingin menegaskan perakuan berkanun dan sumpah al-Quran ini dibuat secara rela hati," katanya.

Sinar Harian Telus & Tulus

Tuesday, 11 February 2014

Pemain T-Team bersumpah

Pemain T-Team bersumpah


Pemain T-Team, Khairan (kiri) melafazkan sumpah dalam majlis perjumpaan pemain Liga Super Terengganu dan T-Team di sini, malam tadi.

SEBAGAIMANA dijanjikan sebelum ini, pegawai dan pemain pasukan berstatus kelab T-Team telah mengangkat sumpah berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu di sini semalam.

Pada majlis yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre itu, penolong jurulatih pasukan T-Team, Azlan Johar mengetuai upacara bersumpah di hadapan al-Quran yang disaksikan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Belia dan Sukan, Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Turut mengangkat sumpah berhubung insiden itu, pemain tengah, Khairan Ezuan Razali bagi membuktikan kebenaran mengenai kejadian tersebut.

Ahmad dalam ucapannya berkata, majlis bersumpah yang diadakan itu bertujuan membuktikan insiden itu benar-benar berlaku, sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pegawai dan pemain T-Team berbohong berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau telah merujuk perkara itu (sumpah) kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan meminta pegawai serta pemain yang menyaksikan insiden itu sahaja berbuat demikian.

“Saya begitu terharu dengan kesanggupan Azlan dan Khairan mengangkat sumpah pada hari ini (malam tadi). Kita lakukan semua ini hanya satu iaitu untuk membuktikan kepada semua bahawa pemain T-Team bercakap benar.

“Jika mereka (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting kita telah melakukan perkara yang sepatutnya kami buat,” katanya.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira jam 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Muhd Ifran Abdul Ghani langsung tidak kelihatan pada majlis itu.

Sementara itu, Ahmad turut mencabar Muhd Irfan supaya tampil untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sanggup beli tiket `flight’ untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah berhubung kejadian itu,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team da dalam Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului T-Team 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu untuk langkah keselamatan apabila penyerang import T-Team, Rodrigues didakwa ditumbuk manakala jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo yang turut mendakwa dikasari didalam terowong ketika ke bilik persalinan.

Sinar Harian Telus & Tulus

Chong Wei, Lin Dan berpasangan di China

Chong Wei, Lin Dan berpasangan di China


JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei buat julung kali akan berpasangan dengan musuh tradisinya Lin Dan dari China untuk membuat perlawanan pertunjukan sempena pembukaan pusat latihan badminton baharu di Lingshui, China Ahad ini.
 
Chong Wei berkata beliau menyambut baik jemputan Persatuan Badminton China dan bersedia membantu negara lain untuk menyemarakkan sukan badminton.
 
"Saya menerima jemputan daripada ketua jurulatih China, Li Yongbo untuk menyertai perlawanan pertunjukan itu. Saya akan bergandingan dengan Lin Dan dan kami akan menentang jaguh beregu China, Cai Yun dan Fu Haifen.
 
"Perlawanan ini juga diadakan untuk peminat badminton di China," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit  Kiara di sini hari ini.
 
Dalam pada itu pemain nombor satu dunia itu berkata Malaysia perlu menyediakan pusat latihan badminton yang lengkap di setiap negeri untuk memastikan lebih ramai pemain berbakat dapat ditonjolkan.
 
"Pada pendapat saya, negara China mempunyai banyak pusat latihan yang lengkap di setiap wilayah, pemain tempatan (wilayah) mereka bagus dan setanding dengan pemain kebangsaan.
 
"Saya rasa kita juga perlu fikir begitu (menyediakan infrastruktur di setiap negeri) untuk masa depan sukan badminton negara," katanya.
 
Chong Wei juga berkata beliau akan menghadiri majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Mac ini.
 
"Saya ada menerima jemputan tersebut. Memang bangga sebab akan berjumpa dengan ramai atlet bertaraf dunia dalam pelbagai sukan seperti Formula 1 dan tenis. Saya juga teruja mahu berjumpa dengan atlet terkemuka dunia yang lain pada majlis itu nanti," katanya.
 
Antara tokoh sukan yang pernah memenangi Anugerah Laureus sejak diadakan 15 tahun lalu ialah Usain Bolt, Sebastian Coe, Novak Djokovic, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis  Hamilton, Kelly Holmes, Rafael Nadal, Pelé, Steve Redgrave, Ronaldo, Michael Schumacher, Kelly Slater, Shaun White, Serena  Williams dan Zinedine Zidane. - Bernama

Sumber daripada Sinar Harian Telus & Tulus

Sunday, 9 February 2014

Budaya samseng bola sepak merisaukan

Budaya samseng bola sepak merisaukan