Sunday 16 February 2014

GEMPAR !!! AKIBAT TAK PAKAI BRA, PELUNCUR AIS MEMALUKAN DIRI SENDIRI


KEJAYAAN meraih pingat gangsa yang sepatutnya diraikan oleh peluncur ais Rusia, Olga Graf melalui Olimpik Musim Sejuk 2014 hampir menjadi detik yang memalukan buat dirinya, Ahad lalu.
Apa tidaknya, selepas sahaja tamat pertandingan, dia terus saja menarik zip sutnya tanpa menyedari yang dia tidak memakai pakaian dalam.
Mungkin terasa ada sesuatu yang ‘kurang’, Olga kemudian dilihat menyentuh dadanya sebelum reaksi wajahnya berubah menjadi terkejut.


Dia kemudian pantas memegang sutnya dan menarik semula zip tersebut.
“Saya benar-benar terlupa. Saya hanya mahu bernafas dan membukanya. Video ini mungkin akan tersebar di YouTube, tapi saya tak rasa ia terlalu teruk,” ujarnya.

BERITA MELETOP

KWSP isytihar dividen 6.35 peratus



Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

KWSP isytihar dividen 6.35 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mengisytiharkan kadar dividen 6.35 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, bayaran dividen paling tinggi sebanyak RM31.20 bilion kepada ahlinya, meningkat 13.66 peratus daripada RM27.45 bilion pada 2012.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutamanya untuk lima tahun sebelumnya.

Katanya, sejak tahun kebelakangan ini, KWSP telah mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten.

“Prestasi pelaburan ini membolehkan KWSP memperoleh 6.97 peratus pulangan pelaburan tahunan (ROI), meningkat 10 mata asas daripada 2012. Ini adalah manifestasi prinsip pelaburan KWSP yang kukuh dan hasil daripada mempelbagaikan portfolio merentasi pasaran dan sektor yang berbeza.


“Pencapaian KWSP mencerminkan keberkesanan dana yang seimbang dan pelbagai dan 2013 adalah tahun yang sangat baik untuk pelaburan ekuiti manakala portfolio pendapatan tetap menunjukkan prestasi lebih baik pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini.

Sejak krisis kewangan global 2008, KWSP telah mengisytiharkan dividen dikompaun melebihi RM120 bilion kepada ahlinya.

Saiz aset pelaburan KWSP termasuk caruman tahunan bersih telah mencatatkan peningkatan kukuh daripada RM342.01 bilion pada 2008 kepada RM586.66 bilion pada akhir 2013.

Kadar dividen ini diisytiharkan hasil daripada pendapatan pelaburan kasar yang mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM35.00 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.02 bilion yang dicatatkan pada 2012.

Dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih daripada 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013 dan ia 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

MyMetro

Kucing baka baharu seperti serigala jadian

16 Februari 2014

Lykoi
  • Spesies Lykoi dikatakan sangat setia dengan tuannya.

SEEKOR kucing baka baharu di Amerika Syarikat (AS) kelihatan seperti serigala jadian dan perilakunya dikatakan menyerupai anjing.

Kucing digelar Lykoi itu dibiakkan pasangan suami isteri, Johnny Gobble dan Brittney di Tennessee adalah satu-satunya pembiak spesies itu di dunia.

Menurut Gobble, mutasi genetik telah menyebabkan Lykoi berbulu pendek dan hanya menutupi beberapa bahagian badannya.

"Ia mempunyai sifat suka memburu dan sentiasa berwaspada dengan orang asing tetapi cepat mesra jika dibelai dengan manja," katanya dipetik dari laporan DailyMail.

Difahamkan, berat Lykoi betina hanya 2 kilogram (kg) manakala kucing jantan pula boleh mencecah sehingga 3.2 kg.

Sinar Harian

Che Ta tak sanggup dimadukan

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Februari 2014

Che Ta-Zain saling melengkapi

PELAKON Rozita Che Wan mengakui dia tidak sanggup menerima kenyataan sekiranya dimadukan seperti yang dilalui segelintir wanita.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 41, bagaimanapun berkata, dia yakin suaminya, Zain Saidin, 30, seorang lelaki baik yang tidak mungkin terniat untuk berbuat demikian terhadapnya.

“Dalam kehidupan saya sebelum ini pun saya mengelak dan minta simpang dijauhkan untuk merampas suami orang. Tapi kalau ditakdirkan suatu hari nanti ia terjadi, saya terima.

"Nak buat macam mana kalau kita mengelak tetapi suami buat hal juga, reda saja. Tapi saya yakin Zain tak akan jadi sebegitu. Insya-ALLAH,” katanya.

Menurut Che Ta, dia hanya sanggup dimadukan dalam watak rekaan yang dilakonkannya.

Baru-baru ini, dia terbabit menjayakan sebuah telefilem khas terbitan Zeel Production berjudul Madu bersama barisan pelakon lain iaitu Zamarul Hisham, Shahrizal Jaszle, Syatilla Melvin, Aishah Ilias dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem arahan Joeza itu mengisahkan Anita, lakonan Che Ta, yang sanggup mencarikan calon isteri buat suaminya, lakonan Zamarul.

"Mungkin selama ini kita lihat ada golongan suami yang suka bermadu sama ada secara diam atau memohon kebenaran tetapi drama ini memaparkan kisah yang jarang terjadi apabila si isteri yang merelakan dirinya untuk dimadukan.

“Tapi syaratnya, Anita kena tentukan siapa calon madu yang sesuai untuk suaminya. Tapi yang dirancang tak menjadi seperti yang diharapkan," ujarnya dipetik sebuah portal.

Madu akan ditayangkan malam ini pada jam 10 malam, di saluran TV3, menerusi slot Festival.

Sementara itu, ditanya pula mengenai perkembangan dirinya yang mungkin sudah berbadan dua, Che Ta menafikannya dan menganggap dia dan Zain yang berkahwin pada 11 Disember lalu masih lagi belum mempunyai rezeki anak.

“Saya belum mengandung. Belum ada rezeki lagi. Tapi saya dan suami mengharapkan yang terbaik untuk itu. Kini pun kami masih dalam 'mood' berbulan madu," tuturnya.

Sinar Harian

Kantoi di malam Valentine

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Februari 2014

Kantoi di malam Valentine
Antara pasangan kekasih yang ditahan.

NILAI – “Emak dan ayah saya tidak kisah jika saya bersekedudukan kerana mereka tahu hubungan kami," kata seorang pemuda berusia 25 tahun, yang ditahan bersama teman wanitanya ketika sedang seronok memadu asmara di sebuah bilik di hotel di sini, malam kelmarin.

Pekerja sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu memberi alasan dia menginap di situ bersama kekasihnya dikenali sebagai ‘Ana’, 28, kerana mahu berehat sementara menunggu penerbangan ke Bangkok jam 6 pagi.

“Kami ‘check in’ jam 8 malam kerana pada jam 6 pagi saya mahu menghantar Ana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Dia mahu ke Bangkok tonton perlumbaan motosikal di sana bersama rakan-rakannya, sementara itu kami berehat di sini,” katanya.

Menurutnya, mereka juga sudah merancang untuk berkahwin dan kini dalam proses mengumpul wang.

“Keluarga saya tahu hubungan kami dan jika kami ditahan pada malam ini pun, mereka tidak kisah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka antara tiga pasangan kekasih yang ditahan oleh penguatkuasa JHEAINS dalam Ops Valentine di dua buah  hotel berasingan di sini.

Menurutnya, kesemua pasangan terbabit berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Sekyen 61(1) iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.

“Turut ditahan tiga wanita dan dua lelaki berusia 18 hingga 40 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah iaitu meminum minuman yang memabukkan," katanya.

Malah dalam operasi berkenaan turut ditahan seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Remaja perempuan berusia 18 tahun itu ditahan bersama empat lagi rakannya di sebuah pusat karaoke di sini atas kesalahan meminum minuman memabukkan.

“Saya mula minum lepas SPM dan biasanya saya minum lima cawan sahaja sebab baru belajar. Bila tertekan, saya akan minum arak,” katanya.

Sementara itu, di PORT DICKSON, pasangan muda berusia lingkungan awal 20-an merupakan yang paling ramai ditemui berdua-duaan di tepi pantai semasa Kempen Sayangi Diri anjuran Jabatan Amal Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan diadakan malam kelmarin.

Kebanyakan pasangan tersebut sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sekitar Negeri Sembilan.

Pengarah Kempen Sayangi Diri, Mahfuz Roslan berkata, kempen ini untuk menyantuni golongan yang belum bernikah tetapi bersama pasangan masing-masing dan berkelakuan salah di sisi Islam.

“Kita mahu mendidik masyarakat agar mereka tidak terikut-ikut dengan budaya Barat meraikan hari Valentine.

“Kempen seperti ini julung kali dilakukan Jabatan Amal negeri dan dari semasa ke semasa ia akan terus dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih pelbagai,” katanya.

Sinar Harian

Pemain bola mati kena tetak

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
16 Februari 2014

Pemain bola mati kena tetak

Mangsa yang cedera parah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke HRPB dan disahkan meninggal dunia di hospital itu.

IPOH – Seorang pemain bola sepak kelab tempatan maut ditetak sekumpulan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang selepas keluar dari sebuah bank di Jalan Sultan Yusuff berhampiran Ipoh Padang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, T Eswaran, 27, menaiki Proton Waja bersama tiga rakannya dan berhenti berhampiran lampu isyarat di depan bank berkenaan untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Bagaimanapun, selepas  keluar dari ATM dan sebaik sahaja mangsa hendak memasuki kereta di bahagian penumpang depan, dia dihampiri tiga lelaki bertopeng membawa parang yang terus menyerangnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang juga seorang pemandu lori berasal dari Menglembu cedera serius di kepala dan tangan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna perak.

“Polis masih mengesan kereta suspek yang didaftarkan di negeri Johor," katanya.

Chang Keong berkata, tiga rakan mangsa yang berada di tempat kejadian tersebut telah diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan lanjut dan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan orang  ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Sinar Harian

'Pegawai kesihatan' curi rantai

WARTAWAN SINAR HARIAN

15 Februari 2014

'Pegawai kesihatan' curi rantai


  • Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat untuk direman, kelmarin.


  • SEGAMAT – Seorang warga emas di Kampung Gelang Chinchin, di sini, nyaris hilang seutas rantai emas ketika didatangi empat individu yang menyamar sebagai pegawai kesihatan.

    Warga emas mahu dikenali sebagai Rokiah, 63, berkata, dalam kejadian 1.15 petang Rabu lalu, dia yang tinggal berseorangan didatangi dua perempuan dan dua lelaki keturunan Melayu.

    “Makcik dengar ketukan di pintu, selepas dibuka ada empat orang berdiri di halaman, tiga daripada mereka meluru masuk ke dalam rumah dan mengatakan mahu memeriksa kesihatan makcik,” katanya.

    Menurutnya, dua suspek perempuan itu kemudian menyuruh dia masuk ke bilik untuk pemeriksaan sebelum mengarahkannya membuka pakaian dan menanggalkan kesemua barang kemas terdapat di anggota badan.

    Seorang daripada suspek wanita itu kemudiannya menawarkan diri untuk membuka rantai emas yang dipakai Rokiah sebelum menyerahkan kepadanya.

    “Makcik genggam rantai itu kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini, tetapi menurutnya, dilarang memegang sebarang objek besi ketika pemeriksaan kerana bimbang mengganggu alat pemeriksaan.

    “Makcik kemudian meletakkan rantai emas itu di bawah bantal dan ditindih dengan kaki dalam keadaan meniarap,” katanya.

    Menurutnya, selepas selesai pemeriksaan, kesemua suspek tergesa-gesa untuk beredar.

    "Bila makcik lihat di bawah bantal tersebut, rantai emas telah hilang, makcik terus mengejar mereka sambil menjerit.

    "Orang kampung yang mendengar jeritan makcik bertindak menangkap mereka dan rantai itu berjaya dijumpai,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan keempat-empat suspek telah ditahan hasil bantuan penduduk kampung.

    “Suspek lelaki masing-masing berusia 28 dan 34 tahun, manakala dua lagi suspek perempuan berusia 25 dan 34 tahun.

    "Modus operandi mereka menyasarkan warga emas yang tinggal di kampung sebagai mangsa.

    “Kesemua suspek direman semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Sinar Harian

    Janda ditahan curi pakaian

    WARTAWAN SINAR HARIAN
    15 Februari 2014

    KOTA BHARU - Padah mencuri pakaian di sebuah pasar raya di sini kelmarin, seorang janda berusia 32 tahun ditahan selepas keluar dari pusat beli-belah terbabit ketika cuba melarikan diri.

    Dalam kejadian jam 7 malam itu, wanita terbabit ditahan pekerja pasar raya tersebut selepas disedari keluar tanpa membuat pembayaran.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pengawal keselamatan pusat beli-belah itu menyedari kelakuan mencurigakan wanita terbabit yang berlalu pergi meninggalkan kaunter dan terus mengejarnya bersama pekerja di situ.

    “Kelicikan wanita terbabit terbongkar selepas dia berjaya ditangkap di kawasan parkir bangunan ketika cuba melarikan diri.
    “Hasil pemeriksaan menemui dua helai seluar dan sehelai tuala mandi dengan nilai berjumlah RM94.97," katanya.

    Sinar Harian

    Misteri 'tangisan di kubur'

    ARKIB : 15/02/2014

    SEORANG penduduk mengusir orang luar yang datang ke kawasan perkuburan TPU Sunan di Kampung Kertapati di Palembang, baru-baru ini. - AGENSI

    PALEMBANG, Sumatera Selatan - Tindakan orang ramai yang terus menerus mengunjungi kawasan perkuburan di TPU Sunan di sini, mengundang rasa kesal penduduk Kampung Kertapati, selepas kawasan itu didakwa mengeluarkan suara tangisan pada waktu malam.

    Bagaimanapun, tinjauan Tribunnews.com mendapati, penduduk kampung di situ menyifatkan berita kubur di TPU Sunan menangis adalah khayalan semata-mata.

    Malah, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu turut kesal selepas penyebaran berita yang menurut mereka adalah tidak benar.

    "Itu suara anjing, saya dengar sendiri. Bahkan, setiap malam, ada saja kumpulan anjing merayau di kawasan perkuburan itu.

    "Oleh itu, suara tangisan di kuburan yang didakwa orang ramai adalah tidak benar sama sekali,'' kata Okta, 16, yang tinggal berhampiran kawasan perkuburan itu.

    Perkara sama turut dinyatakan dua penduduk kampung, Zulkarnaen, 40, dan Sumardi, 37.

    Menurut kedua-dua penduduk itu, khabar angin itu bermula selepas ada kanak-kanak yang terdengar suara anjing pada malam hari sebelum berita itu mula tersebar dengan mengatakan terdapat suara tangisan di kubur tersebut.

    "Sudah tentu isu ini sangat merisaukan, kami warga yang tinggal di sini amat terganggu dengan berita yang tidak ada sumber ini.

    "Tolong beritahu kepada penduduk lain bahawa perkara ini tidak benar,'' kata Zulkarnaen.

    Sementara itu, tinjauan Tribunnews.com mendapati, kawasan perkuburan TPU Sunan terus menjadi perhatian orang ramai yang mengetahui tentang berita tersebut.

    Orang ramai kemudiannya diarahkan beredar oleh penduduk berikutan kehadiran mereka hanya mengundang kesesakan lalu lintas dan membuat penduduk menjadi risau. - AGENSI

    Utusan Online