Sunday 16 February 2014

'Pegawai kesihatan' curi rantai

WARTAWAN SINAR HARIAN

15 Februari 2014

'Pegawai kesihatan' curi rantai


  • Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat untuk direman, kelmarin.


  • SEGAMAT – Seorang warga emas di Kampung Gelang Chinchin, di sini, nyaris hilang seutas rantai emas ketika didatangi empat individu yang menyamar sebagai pegawai kesihatan.

    Warga emas mahu dikenali sebagai Rokiah, 63, berkata, dalam kejadian 1.15 petang Rabu lalu, dia yang tinggal berseorangan didatangi dua perempuan dan dua lelaki keturunan Melayu.

    “Makcik dengar ketukan di pintu, selepas dibuka ada empat orang berdiri di halaman, tiga daripada mereka meluru masuk ke dalam rumah dan mengatakan mahu memeriksa kesihatan makcik,” katanya.

    Menurutnya, dua suspek perempuan itu kemudian menyuruh dia masuk ke bilik untuk pemeriksaan sebelum mengarahkannya membuka pakaian dan menanggalkan kesemua barang kemas terdapat di anggota badan.

    Seorang daripada suspek wanita itu kemudiannya menawarkan diri untuk membuka rantai emas yang dipakai Rokiah sebelum menyerahkan kepadanya.

    “Makcik genggam rantai itu kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini, tetapi menurutnya, dilarang memegang sebarang objek besi ketika pemeriksaan kerana bimbang mengganggu alat pemeriksaan.

    “Makcik kemudian meletakkan rantai emas itu di bawah bantal dan ditindih dengan kaki dalam keadaan meniarap,” katanya.

    Menurutnya, selepas selesai pemeriksaan, kesemua suspek tergesa-gesa untuk beredar.

    "Bila makcik lihat di bawah bantal tersebut, rantai emas telah hilang, makcik terus mengejar mereka sambil menjerit.

    "Orang kampung yang mendengar jeritan makcik bertindak menangkap mereka dan rantai itu berjaya dijumpai,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan keempat-empat suspek telah ditahan hasil bantuan penduduk kampung.

    “Suspek lelaki masing-masing berusia 28 dan 34 tahun, manakala dua lagi suspek perempuan berusia 25 dan 34 tahun.

    "Modus operandi mereka menyasarkan warga emas yang tinggal di kampung sebagai mangsa.

    “Kesemua suspek direman semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Sinar Harian