Sunday, 23 March 2014

PRK!!! Wan Azizah menang, Kajang kekal milik PKR


Wan Azizah bersama Anwar dan pemimpin lain meraikan kejayaan PKR mengekalkan penguasaan di Kajang. - Foto Sinar Harian oleh Afiq Razali

KAJANG - Kerusi Dun Kajang terus kekal milik PKR setelah calonnya, Datin Seri Wan Aizah Wan Ismail menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Keputusan PRK Dun Kajang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Kajang N25, Datuk Hassan Nawawi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi pada jam 9.12 minit malam dengan Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi.

Kemenangan tersebut mengulangi keputusan pada PRU13 lalu apabila PKR menang dengan majoriti 6,824 undi.

Kemenangan PKR telah dijangka awal apabila tempat pengumuman telah mula sesak dipenuhi penyokong PR yang berhimpun sejak 6 petang sebelum keputusan diumumkan.


Menyedari kemenangan dalam tangan, Wan Azizah turut hadir bersama Anwar tepat jam 9 malam bersama pemimpin PR lain antaranya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan pemimpin PR yang lain.

Manakala tiada penyokong BN yang hadir pada pengumuman dilakukan menyaksikan BN tewas kepada PKR sejak dua PRU iaitu pada 2008 dan 2013.

Sementara itu, sejumlah 38,055 pengundi berdaftar di kawasan Dun Kajang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi memilih wakil rakyat yang baharu.

Sebanyak 15 pusat mengundi yang dibuka seawal jam 8 pagi disediakan bagi proses pengundian biasa PRK Kajang dengan 88 peti undi termasuk undi pos.

Proses pengundian ditutup pada jam 5 petang dengan peratusan keluar mengundi adalah 72.1 peratus.

Undi ditolak adalah sebanyak 176 dengan peratus perbezaan undi adalah 19.14 peratus.

PRK Kajang diadakan selepas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas bagi memberi peluang kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Adun Kajang yang baru setelah menggantikan Anwar apabila ketua pembangkang itu tidak layak untuk bertanding kerana gagal dalam kes liwat di Mahkamah Rayuan.

Pada PRU13, Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Artikel Berkaitan
PRK!!! Azizah Angkat Sumpah Adun, 7 April
PRK!!! Wan Azizah menang, Kajang Kekal Milik PKR

Sumber

TEWAS!!! Pemain 17 tahun kejutkan Nicol


Nicol Ann David ditenangkan bapanya, Desmond David selepas tewas kepada Nour El Sherbini dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Pulau Pinang semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya mencari kejuaraan dunia kelapan dalam Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29 selepas tewas mengejut kepada pemain muda Mesir, Nour El Sherbini di sini semalam.

Masuk ke gelanggang selaku pilihan utama kejohanan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Nicol, 31, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan sokongan padu peminat di negeri kelahirannya apabila tewas dalam perlawanan lima set yang berlangsung kira-kira satu jam.

Nicol, yang muncul juara kejohanan ini di Pulau Caymen tahun lalu, kelihatan akan meraih laluan mudah setelah menang mudah pada set pertama dengan 11-4 ke atas juara remaja dunia sebanyak tiga kali berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak kemenangan untuk tewas dua set berikutnya dengan 9-11 dan 6-11.

Namun, pemain nombor satu dunia itu mengikat kedudukan dua set sama apabila bangkit pada set keempat untuk menang 11-2 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set terakhir, Nicol seolah-olah hilang tumpuan selepas membenarkan Sherbini mendahului agak selesa malah pernah ketinggalan agak jauh dengan 4-8.

Meskipun cuba mengejar, namun Nicol tidak mampu menyaingi permainan pantas dan menyerang Sherbini sebelum tewas 9-11.


Selepas perlawanan, Nicol mengakui dia kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi ditewaskan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, menurut Nicol, dia tetap berasa bangga kerana tewas di tangan seorang pemain muda yang berbakat besar serta seorang lawan yang cukup hebat seperti Sherbini.

"Dia terlalu bagus hari ini dan memberi persaingan yang cukup sengit dan saya akui pertemuan dengannya adalah perlawanan yang sukar.

"Apa pun saya terima kekalahan ini meskipun pahit kerana kecundang di negara serta negeri kelahiran saya sendiri dan saya akan menilai kekalahan ini untuk persediaan dalam kejohanan akan datang," katanya.

Kekalahan Nicol itu juga bermakna dia gagal untuk mengulangi pertemuan dengan musuh tradisi, Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir hari ini seperti dalam kejohanan musim lalu.

Massaro yang juga pemain No. 2 dunia melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan pemain No. 3 dunia juga dari Mesir, Raneem El Weleily dengan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.

Dalam pada itu, Sherbini berkata, kemenangan ke atas Nicol adalah pengalaman paling manis dalam kariernya memandangkan tidak pernah berjaya menewaskan Nicol sebelum ini.

"Saya turun tanpa sebarang tekanan berbanding Nicol dan keadaan itu memberi kelebihan kepada saya untuk menewaskannya," katanya.

Sumber

BONGKAR!!! Pekida sanggup bermandi darah


Ahli Pekida mendengar amanat Jamaluddin di Lata Belatan, di sini.

JABI - Ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) sanggup bermandi darah demi mempertahankan agama dan tanah air termasuk berkaitan kalimah ALLAH.

Presiden Pekida, Datuk Jamaluddin Yusof berkata, ahli di seluruh negara sentiasa menggembleng tenaga untuk menjaga dan berjuang di atas nama ALLAH SWT dalam menjaga agama, bangsa serta negara.

Menurutnya, ia sejajar dengan hasrat penubuhan Pekida bagi menegakkan agama Islam, selain menyatukan umat Islam agar tidak berpecah-belah disebabkan perbezaan ideologi.

“Oleh itu, ahli Pekida diingatkan agar menyertai pertubuhan ini bukan kerana ada maksud lain seperti untuk menghadapi kumpulan samseng, mendapat pengaruh dalam politik atau sebagainya,” katanya,


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Pekida Besut di Lata Belatan, di sini. Hadir sama, wakil Adun Jabim, Ayahanda Pengerusi Pekida Terengganu, Kamaruzaman Idris dan Ayahanda Pekida Besut, Abdul Aziz Muda.

Dalam pada itu, Jamaluddin berharap ahli Pekida dapat bangun daripada lena dan bersemangat dalam perjuangan, selain sentiasa menjaga imej serta nama baik Pekida.

Menurut beliau, ahli juga perlu mengubah tanggapan sesetengah masyarakat bahawa Pekida merupakan sebuah pertubuhan samseng, sedangkan Pekida bukan seperti yang dimaksudkan.

“Kita perlu mengubah pandangan orang, daripada takut dan gerun kepada kita (Pekida), kepada hormat atau segan kepada kita dengan banyak melakukan kebajikan, membantu sesama ahli dan sebagainya,” katanya.

Sumber

GURAU!!! Pintu Jamban rumah Cik Kiah

Chef Wan: Saya hanya nak duga

Chef Wan

LEBIH dua minggu hilang di awan biru tanpa khabar berita, sehingga kini, kehilangan MH370 masih dianggap misteri.

Namun, penemuan serpihan kapal terbang di Perth, Australia, memberi seribu harapan buat masyarakat di seluruh dunia.

Di saat masyarakat sedang menunggu berita kesahihan mengenai penemuan itu, muncul pula jenaka daripada chef selebriti terkenal, Chef Wan.

Menerusi akaun, Instagramnya, Chef Wan telah berkongsi foto dan tulisannya menjurus kepada penemuan serpihan berkenaan.

Antara kata-katanya berbunyi, "2 'object' di Perth dan satu ni i ingatkan ya la sebahagian dari pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya ianya sebahagian dari pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya. Adoi.. frustnya".

Walaupun ianya lebih kepada gurauan, namun tulisan Chef Wan nyata memberi renjatan buat masyarakat dan ramai yang berpendapat gurauan sebegitu sangat tidak bersesuaian dengan situasi sekarang.

Setelah menerima pelbagai bentuk kecaman dan kritikan daripada pengikut di laman sosialnya itu, Chef Wan bertindak memadam gambar berkenaan untuk tidak memanaskan isu ini lagi.

Tidak mahu memanjangkan perkara ini, Chef Wan juga turut memberi penjelasan mengenai tindakannya itu.

"Masa di pantai pagi tadi, saya beritahu semua kru untuk membuat gurauan dan sekali gus menduga reaksi masyarakat Malaysia yang suka melatah dan mengutuk orang.

"Pemandu saya kata, janganlah CW (Chef Wan), nanti orang cari sebab nak marahkan awak walaupun hanya bergurau.

"Kru-kru ketawa berderai dan saya letakkan gambar di IG (Instagram). Tak sampai 10 minit, penulis blog tempatan menghubungi saya. Betullah sangkaan saya, orang Malaysia suka cari sebab untuk burukkan orang walaupun ianya hanya gurauan semata," katanya yang memberi penjelasan di laman berkenaan.


Terima kritikan

Tambah Chef Wan, apa sahaja kritikan yang dilemparkan, dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

Selain memberikan penjelasan kepada mereka yang kurang faham mengenai gurauan berkenaan, Chef Wan juga turut menempelak pihak lain yang gemar memanipulasikan isu seumpama ini.

"Saya dah beritahu cerita yang sebenar, dan selepas ini, kita lihat cara mereka (blog dan media) melatah dengan menyebarkan berita-berita ini dan melakukan fitnah pula.

"Let us see their true colors. Remember what i said at the end of the day, the wiseman will have the last laugh watching all this drama unfold," katanya lagi.

Sementara itu, anak perempuan chef terkenal ini, Serina Redzuawan, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan bapanya itu.

"Saya tak mahu komen apa-apa kerana bapa saya sudah pesan awal-awal agar saya tidak mencampuri urusan sebegini sehingga menjadi isu besar," katanya.

Sumber