Monday 14 July 2014

JENAZAH Koperal Ab Rajah selamat dikebumikan

Ibu Koperal Ab Rajah Jamuan, Kamsiah Indanan meratapi pemergian anaknya sebaik jenazah tiba di rumah mereka. - Foto Bernama

SEMPORNA - Jenazah anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan yang terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul pada Sabtu malam, selamat dikebumikan di kampung halaman, Kampung Bubul Batu di sini, dengan penuh istadat penghormatan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
 
Jenazah dibawa dari bilik mayat Hospital Tawau pada lewat malam tadi ke rumahnya dan disembahyangkan pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul Batu, Jalan Batu 3 1/2, di sini.
 
Suasana pilu turut disertai hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian yang dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada keluarga terdekat, kenalan rapat dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ab Rajah.
 
Terdahulu, keranda jenazah yang dibaluti bendera Jalur Gemilang dibawa dari rumah keluarga Allahyarham serta diusung enam anggota polis Marin yang juga rakan Allahyarham.
 
Turut hadir, Komander Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Malik Harun, Ketua Polis Semporna Superintendan Mazlan Lazim dan Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner, Awang Besar Dullah.
 
Isteri Allahyarham, Salamah Amad, 26, yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga merelakan pemergian arwah sebagaimana yang pernah disuarakan impiannya untuk sanggup berkorban demi tanah air.
 
"Saya redha dia pergi...memang niat dia ingin mati berjuang untuk negara kerana masa kejadian Tanduo (Lahad Datu) dia memberi nama untuk ke Tanduo, tetapi arwah ditugaskan di Sandakan," katanya sambil menambah ketika itu beliau sedang mengandungkan anak lelaki sulung yang akan memasuki usia setahun pada 26 Julai ini.
 
Menceritakan mengenai latar belakang suami, anak jati Tawau itu berkata, Allahyarham Ab Rajah merupakan seorang insan yang bersemangat juang tinggi sejak berkhidmat sebagai polis pada 2004.
 
"Kalau orang lain boleh kuat, kenapa saya tidak? Saya boleh menjadi sekuat itu merelakan pemergian arwah demi negara ini.
 
"Saya tahu dia pun gembira mati syahid di syurga kerana selepas bedah siasat selesai dan dicuci bersih semalam saya amati wajahnya kelihatan tersenyum gembira," katanya yang menyatakan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bertugas di Pulau Mabul, Jumaat lepas.

 
Sementara itu, bapa Allahyarham Jamuan Ajuan, 70, yang masih terkejut dengan hakikat kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu akur dengan suratan Ilahi kerana arwah amat meminati bidang kepolisan.
 
"Ibu arwah, Kamsiah Indanan kini amat bersedih kehilangan anak tersayang tetapi kami redha dia meninggal ketika bertugas untuk mempertahankan negara," katanya.
 
Sepupu Allahyarham, Noor Hani Mokhtar, 37, pula menyifatkan pemergian Allahyarham memberi tamparan hebat kepada keluarga selepas kematian seorang lagi  sepupu akibat penyakit kronik, Jumaat lepas.
 
"Arwah memang seorang yang pendiam dan tidak pandai untuk bercerita dengan keluarga walaupun mempunyai masalah, malah dia memang seorang yang fokus dalam kerjayanya," katanya.
 
Beliau berkata arwah sendiri menawarkan diri untuk berpindah ke negeri kelahirannya selepas permohonan dibuka kepada mana-mana anggota untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan permohonan berjaya dalam masa sehari.
 
Allahyarham Ab Rajah, 32, yang berasal dari Semporna bertugas sebagai jurumudi kapal rondaan air 1, di Balai Polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh Perak kira-kira setahun yang lalu sebelum berpindah ke Semporna.
 
Dalam kejadian pada 11.10 malam Sabtu lepas, seorang lagi rakan sekerja yang juga anggota Marin, Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di pulau itu. - Bernama

BOIKOT produk ISRAEL bukan produk YAHUDI

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Asri Zainul Abidin menyifatkan pembela zionis gagal membezakan antara memboikot produk Israel dengan produk Yahudi.

Menurutnya, kegagalan itu membezakan itu termasuk di Malaysia.

“Para pembela zionis termasuk yang ada di Malaysia ini gagal membeza antara 'memboikot produk Israel dan yang menyumbang kepada Israel' dengan produk orang Yahudi,” tulisnya pada laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa penentangan terhadap Israel adalah ekoran segala kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh negara itu.

“Kita tidak anti setiap individu Yahudi sebagai satu bangsa tapi kita menentang Israel atas segala kejahatannya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut sempat menegur pihak yang memperkecil usaha memboikot produk Israel.

“Orang yang menyatakan boikot produk Israel itu satu kebodohan, dialah yang bodoh dan menjadi jurucakap Netanyahu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu).

Sebelum ini, media asing melaporkan Israel ketakutan susulan peningkatan kempen boikot produk-produk keluaran mereka.

Malah Perdana Menterinya itu menganggap kempen boikot tersebut adalah masalah terbesar jika ia benar-benar dilaksanakan.

Awal pagi semalam, dua masjid di Jebaliya dan Deir el Balah musnah terkena bedilan roket Zionis, dalam serangan digelar Operasi Perlindungan Sempadan yang memasuki hari kelima.

Perbuatan itu dianggap makin kurang ajar dan kejam. Tidak terhenti di situ, semalam sahaja, Zionis meragut 16 lagi nyawa termasuk sembilan kanak-kanak di Deir el Balah dan di Beit Lahiya. - Sinar Harian

Siasat sejadah berimej makhluk


Md Nasa (kanan) dan Dr Mohd Hisham menunjukkan lakaran gambar menyerupai makhluk pada sejadah yang kebanyakannya digunakan di surau dan masjid.

SABAK BERNAM – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Sabak Bernam meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenal pasti sejadah yang mengandungi gambar makhluk yang terdapat di surau dan masjid, disimpan atau dibakar agar tidak digunakan jemaah.

Pengerusi Unit Penggunanya, Md Nasa Md Yatimi berkata, hasil pemerhatian Perkim di kebanyakan masjid dan surau di daerah itu mendapati terdapat pelbagai gambar makhluk menyerupai manusia, patung dan haiwan pada sejadah.

Menurutnya, Jais seharusnya mengeluarkan satu garis panduan kepada umat Islam bagi memastikan sejadah yang digunakan di surau dan masjid termasuk di setiap rumah tidak mengandungi unsur pemujaan terhadap makhluk lain selain ALLAH.

“Kita minta Jais memandang serius perkara ini kerana tidak mahu umat Islam terus menggunakan sejadah yang berunsur pemujaan yang boleh merosakkan akidah,” katanya.

Md Nasa berkata, umat Islam yang menggunakan sejadah setiap kali menunaikan solat di rumah juga perlu memastikan ia bebas daripada sebarang unsur yang tidak sepatutnya.

Pengarah Dakwah Perkim Daerah Sabak Bernam, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, selain Jais, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diminta supaya memastikan sejadah yang diimport dari negara luar tidak mengandungi unsur terbabit.

Menurutnya, kemasukan sejadah dari negara luar yang mengandungi gambar makhluk dipercayai berpunca daripada kilang pembuatannya milik bukan Islam.


“KDN perlu memandang serius berhubung perkara ini kerana kita tak mahu ada pihak luar cuba menggugat kesucian Islam dengan sewenang-wenangnya menjual barangan yang boleh mendatangkan perbuatan syirik.

“Apabila syirik berlaku, maka doa yang menjadi senjata mukmin tidak akan termakbul dan mereka (musuh Islam) dalam senyap telah melemahkan umat Islam secara halus,” katanya.

Selain itu katanya, sejadah yang mempunyai lakaran pelbagai corak juga menjejaskan kekhusyukan umat Islam ketika mengerjakan ibadah wajib itu.

“Perkim berharap supaya Jais dan KDN dapat memastikan sejadah yang digunakan di kebanyakan surau dan masjid serta dijual di pasaran tidak mengandungi unsur syirik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

“Kita mencadangkan supaya semua surau dan masjid tidak menggunakan sejadah yang bercorak dan hanya menggunakan satu warna bagi memelihara kesucian sewaktu beribadah,” katanya kepada Sinar Harian. - Sinar Harian

DATUK 48 cucu khalwat dengan isteri orang



KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.


Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

“Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah,” katanya. - Sinar Harian

TUN ::: BOIKOT produk ISRAEL berkesan jika libatkan dunia


Tun Dr Mahathir Mohamad

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan memboikot barangan yang dikaitkan dengan Israel hanya memberikan kesan jika ia dibuat secara besar-besaran melibatkan masyarakat dunia.

Katanya tindakan memboikot melibatkan kelompok yang kecil tidak mendatangkan hasil kecuali ia dibuat secara menyeluruh yang membabitkan seluruh dunia.


"Saya menyokong usaha-usaha memboikot barangan Israel supaya dapat ditingkatkan ke seluruh dunia", katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim anjuran Jetty Point Langkawi di Masjid Darus Salam Nyior Cabang di sini, malam ini.

Cadangan memboikot produk berkaitan Israel itu berikutan serangan regim Zionis ke atas Palestin hingga mengakibatkan ratusan rakyatnya terkorban. - Bernama