Sunday 9 March 2014

MH370 ::: Misteri belum terjawab

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

Gambar anak kapal pesawat MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan awal pagi semalam (dari kiri atas) Zaharie Ahmad Shah (Kapten), Fariq Ab. Hamid (Pembantu), (bawah dari kiri) Goh Sock Lay (Ketua pramugari), Andrew Nari (Ketua pramugara)

PUTRAJAYA 8 Mac - Industri penerbangan Malaysia dikejutkan dengan kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi ini.

Walaupun pelbagai spekulasi dibuat termasuk pesawat itu telah mendarat di Nanning di selatan China selain laporan bahawa ia terhempas di kawasan perairan Vietnam, namun pihak berkuasa termasuk pihak MAS telah menafikan dakwaan tersebut.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dan dijadualkan mendarat di Beijing, China pada pukul 6.40 pagi.

ANGGOTA keluarga mangsa melihat paparan ketibaan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Kali terakhir pesawat itu dikesan adalah pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur.

Selain 38 warganegara Malaysia, lebih 150 warganegara China selain warganegara Indonesia, Australia, India, Perancis, Amerika Syarikat, New Zealand, Ukraine, Kanada, Itali, Belanda, Rusia dan Austria turut menaiki pesawat itu.

Kapal terbang tersebut dikemudi Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, yang mempunyai pengalaman terbang selama selama 18,365 jam dengan dibantu oleh Fariq Ab. Hamid

Cuaca dilaporkan baik ketika kejadian kehilangan dan juruterbang tidak pernah menghantar isyarat kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut menyatakan, syarikat itu menolak kemungkinan bahawa pesawat tersebut kehabisan bahan bakar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana ia memiliki kapasiti mencukupi untuk terbang sehingga pukul 8.30 pagi.

AHLI keluarga mangsa dikawal anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengumumkan penubuhan pusat koordinasi bagi menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu dengan diketuai Jabatan Penerbangan Awam.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan dengan disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain mendapat bantuan daripada Vietnam, Singapura, China dan Amerika Syarikat.

Beberapa laporan dalam laman sosial yang memetik laporan agensi berita asing turut mendakwa pesawat ditemui di Vietnam namun pihak berkuasa negara itu menafikan perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengesahkan untuk memperluaskan kawasan mencari pesawat MH370 dengan menambah bilangan aset yang dikerahkan melibatkan sejumlah 15 pesawat.

Isteri kepada seorang penumpang pesawat MH370 keluar dari sebuah hotel di Beijing.

Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing apabila saudara-mara penumpang MH370 tiba di kedua-dua lapangan terbang itu untuk menunggu berita terkini mengenai kejadian misteri tersebut.

Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melawat keluarga penumpang di Anjung Tinjau di KLIA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140309/dn_04/Misteri-belum-terjawab#ixzz2vQD1io45
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MH370 belum dapat dikesan


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tiga, kanan) pada sidang akhbar mengenai Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan terhempas ke laut iaitu 246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam di Hotel Sama-Sama KLIA, semalam.
SEPANG 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines yang dilapor hilang masih diteruskan dengan setakat ini masih belum ada sebarang tanda penemuan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam bagi mengesahkan laporan kononnya pesawat itu terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari laut pantai pulau Thoa Chu di Vietnam.

Ini berikutan beberapa media asing memetik kononnya pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 krew dilaporkan terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam dengan menamakan Laksamana Vietnam Ngo Van Phat mengarahkan pasukannya bergegas ke lokasi berkenaan.

"Operasi mengesan dan mencari masih berterusan dan masih belum ada sebarang penemuan atau kesan. Wisma Putra dan Jabatan Penerbangan Awam juga belum menerima sebarang laporan yang mengatakan pesawat tersebut terhempas, semuanya spekulasi.


"Kita telah menggerakkan agensi yang berkaitan untuk pergi ke kawasan terakhir dilaporkan hilang (garisan bujur 065515 utara dan 1033443 timur) di perairan Laut China Selatan. Kali terakhir pusat kawasan mendapat isyarat ialah pada 1.30 pagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga telah menggerakkan tentera udara dan tentera laut termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membantu operasi.

Hishammuddin berkata, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan negara China, Filipina dan Vietnam dalam operasi mengesan dan mencari yang dipergiatkan ketika ini dan negara terbabit juga belum mempunyai sebarang maklumat atau kesan.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan negara-negara terbabit selain menggerakkan agensi kita yang berkaitan. Apa sahaja usaha yang kita boleh lakukan, kita akan lakukan dengan terbaik," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi atau membuat spekulasi berhubung insiden itu.

Sebuah pusat koordinasi utama sedang beroperasi di Hotel Sama-Sama di sini untuk melaporkan perkembangan terkini setiap dua jam.

"MAS juga telah menghubungi 80 peratus keluarga penumpang pesawat termasuk kru untuk memberikan laporan terkini sebagai tanggungjawab menjaga kebajikan dan keperluan anggota keluarga terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata, insiden itu tidak menjejaskan penerbangan MAS yang lain dan semua penerbangan beroperasi seperti biasa. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140309/dn_06/MH370-belum-dapat-dikesan#ixzz2vQBEkDe8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasport curi dua individu diguna penumpang pesawat MH370


VIENNA/ROM 9 Mac - Dua individu masing-masing dari Itali dan Austria yang tersenarai sebagai mangsa yang menaiki pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang didapati hilang di Laut China Selatan awal hari ini, dipercayai masih hidup dan tidak menaiki pesawat berkenaan.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Itali, tiada rakyatnya menaiki pesawat itu, sebaliknya Luigi Maraldi, 37, disahkan tidak berada di dalam jet penumpang tersebut seperti disenaraikan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Sebuah akhbar Itali, Corriere Della melaporkan bahawa pasport milik Maraldi dipercayai hilang di Thailand pada bulan Ogos lalu.

Agensi berita ANSA pula melaporkan, ibu bapa Maraldi telah pun menghubunginya yang kini berada di Thailand dan mengesahkan anak mereka selamat.

Sementara itu, seorang warga Austria, Christian Kozel, 30, yang turut dilaporkan menaiki pesawat tersebut, dilaporkan selamat. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_01/Pasport-curi-dua-individu-diguna-penumpang-pesawat-MH370#ixzz2vQAVPwwG
© Utusan Melayu (M) Bhd