Sunday 9 March 2014

MH370 ::: Misteri belum terjawab

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

Gambar anak kapal pesawat MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan awal pagi semalam (dari kiri atas) Zaharie Ahmad Shah (Kapten), Fariq Ab. Hamid (Pembantu), (bawah dari kiri) Goh Sock Lay (Ketua pramugari), Andrew Nari (Ketua pramugara)

PUTRAJAYA 8 Mac - Industri penerbangan Malaysia dikejutkan dengan kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi ini.

Walaupun pelbagai spekulasi dibuat termasuk pesawat itu telah mendarat di Nanning di selatan China selain laporan bahawa ia terhempas di kawasan perairan Vietnam, namun pihak berkuasa termasuk pihak MAS telah menafikan dakwaan tersebut.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dan dijadualkan mendarat di Beijing, China pada pukul 6.40 pagi.

ANGGOTA keluarga mangsa melihat paparan ketibaan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Kali terakhir pesawat itu dikesan adalah pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur.

Selain 38 warganegara Malaysia, lebih 150 warganegara China selain warganegara Indonesia, Australia, India, Perancis, Amerika Syarikat, New Zealand, Ukraine, Kanada, Itali, Belanda, Rusia dan Austria turut menaiki pesawat itu.

Kapal terbang tersebut dikemudi Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, yang mempunyai pengalaman terbang selama selama 18,365 jam dengan dibantu oleh Fariq Ab. Hamid

Cuaca dilaporkan baik ketika kejadian kehilangan dan juruterbang tidak pernah menghantar isyarat kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut menyatakan, syarikat itu menolak kemungkinan bahawa pesawat tersebut kehabisan bahan bakar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana ia memiliki kapasiti mencukupi untuk terbang sehingga pukul 8.30 pagi.

AHLI keluarga mangsa dikawal anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengumumkan penubuhan pusat koordinasi bagi menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu dengan diketuai Jabatan Penerbangan Awam.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan dengan disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain mendapat bantuan daripada Vietnam, Singapura, China dan Amerika Syarikat.

Beberapa laporan dalam laman sosial yang memetik laporan agensi berita asing turut mendakwa pesawat ditemui di Vietnam namun pihak berkuasa negara itu menafikan perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengesahkan untuk memperluaskan kawasan mencari pesawat MH370 dengan menambah bilangan aset yang dikerahkan melibatkan sejumlah 15 pesawat.

Isteri kepada seorang penumpang pesawat MH370 keluar dari sebuah hotel di Beijing.

Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing apabila saudara-mara penumpang MH370 tiba di kedua-dua lapangan terbang itu untuk menunggu berita terkini mengenai kejadian misteri tersebut.

Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melawat keluarga penumpang di Anjung Tinjau di KLIA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140309/dn_04/Misteri-belum-terjawab#ixzz2vQD1io45
© Utusan Melayu (M) Bhd