Thursday 6 March 2014

KES PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN!!! Giliran Shalwati beri keterangan

KHAIRUL ANWAR RAHMAT
5 Mac 2014
Azizul, Shalwati
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem.

STOCKHOLM - SWEDEN. Kes perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa kerana memukul keempat-empat anak mereka di kediaman mereka di Sweden masuk hari kelapan hari ini dengan giliran Shalwati dipanggil bagi memberikan keterangan.

Shalwati yang tampak yakin dilihat sangat bersedia selain turut membawa nota dan catatan ringkas.

Perbicaraan yang bermula tepat jam 9 pagi itu dimulakan dengan pegawai pendakwa bertanya sama ada Shalwati bersetuju dengan segala keterangan yang dikemukakan suaminya dalam perbicaraan yang lalu. Shalwati yang ditahan bersama suaminya sejak 18 Disember tahun lalu menjawab setuju.

Pihak pendakwaan yang diwakili Anna Arnell dalam soalannya pada awal perbicaraan meminta Shalwati memberikan gambaran mengenai keempat-empat anaknya selain turut menyelitkan soalan berkaitan beberapa insiden pukul yang didakwa dilakukan oleh Shalwati.

Shalwati dalam kenyataannya menyifatkan Aishah sebagai seorang anak yang baik, menghormati orang tua, rajin membantu dan aktif bersukan. Namun, ada beberapa sikap kurang elok yang mana Shalwati cuba mendidik Aishah supaya tidak mengulanginya.

Shalwati kemudiannya mengakui ada memberikan pukulan kepada Aishah namun ianya telah dihentikan sejak Aishah berumur 11 tahun 3 bulan apabila berpendapat hukuman fizikal tidak memberi kesan terhadap anak sulungnya itu.

Ammar pula disifatkan sebagai seorang yang suka mencuri perhatian dan membesar-membesarkan cerita selain dianggap sebagai ‘raja drama’ dalam keluarganya. Selain itu, Ammar gemar melakukan sesuatu dengan cepat sehinggakan kadangkala melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya seperti ketika menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Adam, Shalwati menceritakan peristiwa ketika Adam mula didaftarkan masuk ke sekolah di Sweden.

Adam yang mengalami masalah disleksia telah diminta oleh Shalwati untuk didaftarkan ke peringkat kelas yang lebih rendah namun tidak diendahkan sebaliknya didaftarkan masuk ke kelas yang setara dengan umurnya. Shalwati yang juga kelihatan beremosi ketika ini menerangkan Adam sebagai seorang kanak-kanak yang bijak tetapi mempunyai masalah untuk mengeja, membaca dan mengira dengan baik.

Selain itu, Adam merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan selalu memimpin Arif jika mereka sekeluarga keluar berjalan-jalan.

Terdapat dua situasi di mana Adam hilang di pusat membeli-belah namun apabila ditemui, Shalwati akan hanya menepuk bahu Adam sebagai menzahirkan kelegaan dan bukannya berniat memukul.

Arif pula disifatkan sebagai seorang kanak-kanak yang pemalu walaupun hakikatnya sangat peramah apabila bersama keluarga selain merupakan seorang yang manja dengan ayahnya dan adik-beradik yang lain.

Shalwati berkata, Arif akan berlari menyambut Azizul setiap kali bapanya itu pulang dari tempat kerja. Ketika ini kelihatan Azizul mengesat pipinya dan menundukkan muka menahan kesedihan.

Terdapat beberapa insiden yang cuba diketengahkan oleh pihak pendakwa bagi menunjukkan kepada mahkamah bahawa Shalwati ada melakukan pukulan terhadap anak-anaknya seperti didakwa.

Bagaimanapun, Shalwati tenang tetapi tegas menolak semua dakwaan kononnya beliau sering memukul anak.

Bahkan Shalwati turut memberi contoh keterangan Ammar yang mungkin berimaginasi kesan menonton filem. Dalam cerita Ammar sebelum ini, dia memberitahu pihak penyiasat bahawa ibunya mendisiplinkan dia dengan tali pinggang di dalam bilik air.

Shalwati memberitahu mahkamah hal sebenar bahawa aktiviti mencuci bilik air biasanya berlaku dengan gembira ‘merry and chatty’ di mana kesemua ahli keluarga akan bekerjasama melakukannya. Oleh yang demikian, tidak mungkin ada ruang untuk Shalwati menggunakan tali pinggang bagi mendisiplinkan Ammar dalam ruang yang sempit itu.

Insiden kedua dikatakan berlaku ketika Ammar mendakwa dia dipukul kerana menumpahkan air teh panas ketika hendak menikmati hidangan. Shalwati bagaimanapun menafikan dengan mengatakan mereka sekeluarga tidak minum minuman panas pada masa tersebut dan menyatakan ia mungkin fakta yang dibesar-besarkan oleh anak lelaki sulungnya itu.

Insiden ketiga pula dikatakan berlaku melibatkan Ammar apabila anak keduanya itu gemar melompat masuk ke dalam kolam renang yang berada di dalam kawasan rumah mereka sewaktu tinggal di Afrika Selatan.

Perlakuan Ammar itu turut diikuti adik-adiknya yang lain menyebabkan Shalwati memberikan pukulan ringan di tangan Ammar bagi memberi pengajaran dan peringatan agar tidak melakukan aksi berbahaya seperti itu. Bagaimanapun, Shalwati menyatakan tidak memukul anak-anaknya yang lain kerana mereka masih kecil dan tidak memahami akibat daripada perbuatan itu.

Pegawai pendakwa turut menanyakan insiden di mana Ammar dikatakan dipukul sewaktu sedang menyiapkan kerja sekolah.

Shalwati bagaimanapun menafikannya dan menerangkan bahawa dia sedang cuba membantu Ammar menyiapkan kerja sekolahnya itu setelah dipinta.

Shalwati memberitahu itu merupakan kali pertama dia membantu Ammar melakukan kerja sekolah memandangkan sebelum ini tidak pernah diminta berbuat demikian selain banyak menumpukan kepada kerja sekolah Adam dan Arif yang masih kecil.

Dalam insiden tersebut, Shalwati menafikan ada memukul atau memulas telinga Ammar sebaliknya berusaha memberikan penerangan yang betul kepada Ammar termasuk dengan meminta bantuan suaminya, Azizul.

Dalam pada itu, Azizul yang berkemeja hijau, bertali leher merah jambu dan berkot gelap sesekali melemparkan senyuman kepada pasukan misi khas SukaGuam yang mengikuti perbicaraan sejak hari pertama.

Perbicaraan bersambung 10 Mac 2014.

Sumber