Friday, 21 March 2014

TERBARU!!! Pandu Uji: Honda City 2014



Honda City terbaru pertaruh ciri terbaik

Pengalaman pemanduan pertama di Phuket beri isyarat yang meyakinkan

Di atas kertas, Honda City 2014 yang dijangka dilancarkan pada pertengahan Mac dilihat mampu menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding model terdahulunya, juga jika dibandingkan dengan model-model segmen B yang ada. Pakej dan tingkat spesifikasi menarik yang ada, misalnya bagi Toyota Vios atau Ford Fiesta, secara tidak langsung menjadikan penawaran yang bakal diberikan oleh model terbaru Honda ini sesuatu yang sengit dan kompetetif.

Isnin lalu, BH Auto bertandang ke Phuket, Thailand untuk sesi pandu uji ringkas model terbabit. Walaupun model yang disediakan adalah daripada spesifikasi yang ditawarkan di Thailand, tetapi ia memadai untuk memberikan gambaran awal terhadap pelbagai aspek model terbaru ini.






Rekabentuk luaran

Sekilas pandang, ia kelihatan seperti mengekalkan bentuk umumnya daripada model terdahulu. Sebaliknya, ketika meniliti rekabentuk Honda City terbaru ini dengan dekat – terutama ketika meletakkannya bersebelahan dengan model lamanya – akan dengan jelas menunjukkan yang generasi terbaru ini menerapkan sentuhan rekaan yang lebih terperinci dan matang; agak jauh berbeza dengan yang lama, dengan lekuk dan garis badan yang lebih menonjol. Sebagai satu lagi contoh, versi spesifikasi lengkap yang dipandu uji ini dapat menunjukkan yang model terbaru ini juga kelihatan lebih lebar dan tinggi.






Ruang dalaman

Ini perubahan yang paling ketara akan dirasai, sekiranya dibandingkan dengan Honda City model terdahulu. Ruang kaki penumpang belakang kini jauh lebih luas; jika seorang dewasa menduduki kerusi penumpang di hadapan, baki ruang yang ada untuk penumpang dibelakang juga sangat luas – mampu untuk menempatkan penumpang dewasa dengan jarak yang berbaki antara lutut dan penyandar hadapan. Selain itu, ruang barangan dibelakang pula menyediakan ruang mencecah 536 liter untuk memudahkan pengguna menempatkan barangan secara maksimum, tanpa mengganggu ruang dalam kabin yang sedia ada. Penggunaan plastik panel yang nampak dan memberikan rasa sentuhan elegan, sistem audio lapan speaker dengan skrin 7 inci serta capaian Bluetooth sebagai contoh, memadai untuk menampung keperluan dan gaya hidup pengguna.


Enjin dan transmisi

Dengan enjin 1.5L i-VTEC sebelumnya yang diperkemas dan dipertingkatkan untuk penjimatan, elemen yang menjadi perhatian kini ialah sistem transmisi CVT 7-peringkat dengan teknologi ‘Earth Dreams’ serba  baru untuk model City, guna untuk mengoptimumkan cekapan dan dalam masa sama, menyediakan prestasi terbaik untuk pemanduan.





Pengalaman pemanduan

Dalam perjalanan pergi-balik dari Phuket ke Khao Lak yang mencecah jarak 100 kilometer yang sempat dilalui, Honda City terbaru ini tidak mengecewakan. Kegusaran mengenai prestasi transmisi CVT misalnya terjawab; ia begitu lancar dan responsif bagi kegunaan dan situasi pemanduan yang menyeluruh. Tambahan pula dengan ciri Paddle-Shift yang membantu pemandu untuk mengendalikan tingkat gear maya CVT berkenaan dan sekaligus memudahkan pemanduan dan pengendalian gear secara manual. (Ciri ini bagaimana pun tidak akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.)

Di dalam satu insiden dalam perjalanan ini, ketika pemandu terlebih laju memasuki laluan berselekoh dan bengkang-bengkok, dengan keadaan jalan yang sedikit licin dan kelihatan kenderaan seperti sukar dikawal pada awalnya, kereta ini tetap mampu dikendalikan dan dihala kembali ke arah yang sepatutnya dengan cepat dan mudah; terima kasih kepada ciri Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) yang melengkapinya.

Penggunaan petrolnya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan; dengan kapasiti tangki yang kecil untuk saiz kereta ini, iaitu 40 liter, ia mampu memberikan nisbah jarak perjalanan yang cukup memberangsangkan.

 

Spesifikasi dan Harga di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, empat varian akan ditawarkan, tentunya dengan perbezaan spesifikasi; varian S, S+, E dan spesifikasi tertinggi, V. Bagi tanda harga, ketika artikel ini ditulis, Honda Malaysia masih lagi menunggu pengesahan daripada pihak kerajaan. Namun, secara umum, BH Auto menjangkakan ia bakal berada di antara RM75,000 (varian paling asas) dan RM85,000 (bagi varian dengan spesifikasi lengkap). -Hazril Hafiz

SPESIFIKASI

Honda City 2014

Enjin: 1,497cc, 4-silinder, SOHC dengan 16 injap, SOHC
Kuasa maksimum: 118hp @ 6,6000rpm
Tork maksimum: 145Nm @ 4,600rpm
Transmisi: CVT (7-peringkat)
Ciri-ciri keselamatan: 6 beg udara (spesifikasi tinggi), VSA, ABS, Isofix dan lain-lain.
Harga: (Bakal diumumkan tak lama lagi)

Sumber