Friday 21 March 2014

KLIA2 diiktiraf selamat


BANGUNAN utama KLIA2 sedia beroperasi mengikut jadual pada Mei ini.

Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan kerja Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Februari lalu.

ORAT yang membabit sejumlah 2,818 peserta, 3,659 bagasi, dan 170 penerbangan yang meliputi operasi domestik, antarabangsa dan pemindahan dilaksanakan berikutan jaminan daripada kontraktor bangunan terminal bahawa kerja-kerja akhir di KLIA2 mengikut jadual serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC ) diperoleh pada April ini.

Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, antara aktiviti ORAT dijalankan secara berterusan termasuk penggemblengan operasi terminal dan kakitangan keselamatan penerbangan, penyerahan kunci dan penyerahan tapak kepada agensi kawal selia kerajaan serta syarikat penerbangan.

Katanya, aktiviti lain yang turut dilaksanakan adalah menguji dan pentauliahan sistem pengendalian bagasi (BHS) yang membabitkan 30,000 beg bagi ujian bebanan dalam tempoh percubaan bukan operasi.


“IKRAM Perdana Consulting (IPC), perunding bebas yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan mengiktiraf KLIA2 selamat untuk beroperasi seperti mana yang dinyatakan oleh menteri di kementerian berkenaan.

“Penilaian IPC ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan seperti laluan teksi, apron, landasan 3 dan kawasan sekitarnya serta bangunan terminal,” katanya pada satu kenyataan bersama keputusan kewangan Malaysia Airports yang berakhir 31 Disember 2013.

Dalam keputusan kewangan itu, Malaysia Airports mencatatkan RM827.5 juta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tanpa pendapatan pembinaan dan kos. Angka itu 10.2 peratus lebih tinggi daripada sasaran syarikat berkenaan bersandarkan jumlah penumpang meningkat paling tinggi dalam tempoh dua puluh tahun yang lalu.

Malaysia Airports berkata, walau bagaimanapun terdapat penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) akibat jumlah kos yang lebih tinggi terutamanya bayaran tinggi pengguna, kos kakitangan, pembaikan dan kos penyelenggaraan.

“Pada tahun ini, syarikat mengunjurkan pertumbuhan penumpang sebanyak 9.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu bersandarkan pengembangan kapasiti tempat duduk di kalangan syarikat penerbangan,” katanya.

Sumber