Thursday 3 April 2014

1MWER bertemu 'saudara' di Iquique, Chile


ZAMRI Mohamed (tiga dari kanan) dan Rosmadi Saad (kanan) bergambar bersama sebahagian daripada jemaah Masjid Pakistan di Iquique, Chile, kelmarin.

KUALA LUMPUR 13 Mac - Komuniti Islam berketurunan Pakistan di Iquique, Chile, terkejut menerima kehadiran anggota pasukan kembara lasak terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) di masjid mereka, semalam.

Ketua pasukan 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50. berkata, masjid itu ditemui mereka berdasarkan maklumat daripada para pemilik serta pekerja berketurunan India dan Pakistan di kompleks bebas cukai di bandar berkenaan.

"Kebetulan kami sampai di masjid, azan Zuhur baru dilaungkan dan kami sempat bersolat bersama 12 orang jemaah tempatan. Selesai solat, kami bersalaman dan memperkenalkan diri dari Malaysia.

"Mereka arif tentang Malaysia dan sangat kagum serta berasa bangga kerana selama ini mereka tidak tahu terdapat orang Islam dari Malaysia mengelilingi dunia dengan motosikal.

"Mereka juga hairan apabila saya memberitahu pernah ke Mekah pada 2010 dengan menaiki motosikal dari Malaysia," katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Zamri berkata, jemaah masjid itu kemudiannya mengambil peluang bertanyakan pelbagai soalan mengenai perjalanan 1MWER.

"Sempat juga Maulana Sulaiman Jada, imam Masjid Ansaar di Santiago yang kebetulan berada di sini membacakan doa memohon keberkatan ilahi terhadap perjalanan kami.

"Kami juga membeli daging halal yang terdapat di masjid ini untuk kegunaan pasukan 1MWER," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 kilometer (km) dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber