Thursday 3 April 2014

Perusuh di Peru beri laluan kepada 1MWER

29/03/2014
Keadaan jalan raya yang ditutup oleh para pekerja lombong arang batu yang merusuh di laluan Puno ke Cuzco, Peru pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kumpulan perusuh jalanan masih menutup laluan menghubungkan Puno ke Cuzco, Peru pada pagi Selasa lalu namun sebagai pengembara jalan darat yang tegar, pasukan 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) sanggup mengambil apa jua risiko untuk menjayakan misi mereka.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, jalan yang sepatutnya dilalui pasukannya ditutup dengan pagar kawat berduri oleh perusuh yang terdiri daripada pekerja lombong arang batu seminggu sebelum itu namun halangan itu tidak mematahkan semangat mereka.

Zamri berkata, beliau meminta bantuan penduduk tempatan yang kemudiannya membawa mereka melalui 'jalan tikus' yang berlumpur.

Namun, katanya, apabila menghampiri jalan utama, pasukan 1MWER terperangkap dalam kepungan perusuh yang membantah cadangan kerajaan Peru untuk menutup sebahagian besar lombong arang batu.

Menyedari keadaan yang kritikal, beliau berkata, penduduk tempatan yang membantu 1MWER menasihatkan mereka berpatah balik.

"Dalam kebuntuan, seorang perusuh lelaki yang berpengaruh datang mengajukan beberapa soalan dan kami menerangkan 1MWER telah mengembara dari Malaysia, mahu ke Machu Pichu dan Lima dalam misi menjelajah dunia. Kami merayu supaya diberi kebenaran melalui jalan yang dikepung.


"Alhamdulillah, kami dibenarkan melaluinya dengan sorakan daripada para perusuh yang meminta untuk bergambar. Kami mengagihkan cenderamata Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 serta pelekat 1MWER sebagai menghormati dan tanda terima kasih buat mereka," katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata, untuk ke laluan utama mereka menempuhi jalan berbukit dan berlopak malah seorang lagi anggota 1MWER, Mohd. Faizal Sukree, 38, terpaksa menurunkan semua barangan kerana tayar belakang motosikalnya sudah haus.

Zamri berkata, beliau sendiri tergelincir dan terjatuh dari motosikal ketika mendaki laluan sempit di kawasan cerun.

"Kami bertuah kerana dibantu oleh para perusuh yang mengangkat motosikal dan menolaknya beramai-ramai untuk memastikan kami berjaya naik ke jalan raya. Mereka kemudiannya memberikan sorakan gemuruh sebagai tanda sokongan," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang turut di anggotai Rosmadi Saad, 46, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Sumber