Thursday 3 April 2014

TERBARU !!! Suzuki GSX1250FA pesaing tegar baharu


Suzuki GSX1250FA

SEKIAN lama menunggu variasi motosikal berkuasa tinggi keluaran Suzuki, kini pengedar jenama legenda dari Jepun di Malaysia, Suzuki Assemblers Sdn Bhd membawakan beberapa siri motosikal berkuasa tinggi baru-baru ini.

Antara model yang diperkenalkan ialah jentera yang memiliki kombinasi lengkap: kacak, tangkas dan laju - Suzuki GSX1250FA.

Jentera sport-tourer berkenaan dibangunkan khas buat mereka yang gemar melakukan aktiviti jelajah sama ada dalam keadaan santai mahupun memerlukan kelajuan tinggi.

Dari sudut reka bentuk, jentera ini membawa aspirasi reka bentuk tulen Jepun yang mengutamakan gaya sporty dengan fairing aerodinamik.

Selain mementingkan penampilan lebih moden, Suzuki turut mengambil kira aspek ergonomik dengan menyediakan fungsi tempat duduk boleh laras ketinggian dan panel instrumen kelompok berinformasi lengkap yang mudah difahami.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 1255cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 97 kuasa kuda dan 107Nm tork maksimum. Enjin DOHC sejukan cecair tersebut disokong oleh sistem suntikan bahan api digital untuk memberikan penyebaran tork rendah yang lebih lancar.

Sistem suntikan termaju daripada Suzuki itu digabungkan dengan sistem Suzuki Dual Throttle Valve untuk menghasilkan tindak balas segera daripada bacaan pendikit, penghasilan kuasa linear yang lebih lancar dan penggunaan bahan api lebih ekonomi.

Hasil daripada teknologi tersebut,  enjin 1,255cc mampu menghasilkan tork maksimum hanya pada putaran 3,700rpm.  Oleh yang demikian, daya pecutan optimum dapat dihasilkan lebih awal dan menjamin kuasa yang diperlukan pada rev rendah. Kuasa daripada enjin motosikal ini dipindahkan melalui transmisi enam kelajuan.


Mengikut data di atas kertas, setiap isian penuh tangki 19 liter mampu melengkapkan perjalanan sejauh 380 kilometer (km). Suzuki GSX1250FA merekodkan penggunaan bahan api yang sangat baik iaitu 5 liter untuk setiap 100 kilometer walaupun memiliki jumlah berat badan 257 kilogram (kg).

Suzuki GSX1250FA menggunakan fork jenis teleskopik dan suspensi jenis hubungan di bahagian belakang bagi sistem penggantungan keseluruhan. Sistem penggantungan yang dihubungkan kepada bingkai utama diberi perhatian sewajarnya untuk mendapatkan keupayaan pengendalian yang lebih tepat.

Jentera ini didatangkan dengan set rim ringan yang dibaluti tayar bersaiz 120/70 ZR17M di bahagian hadapan dan 180/55 ZR17M di bahagian belakang. Bagi daya hentian, jentera ini dilengkapi dengan sistem brek cakera berkembar 310 milimeter (mm) di bahagian hadapan yang bekerja dengan angkup empat piston Tokico. Manakala pada bahagian belakang, Suzuki menggunakan brek cekera tunggal 240mm dan angkup daripada Nissin.

Kedua-dua bahagian sistem brek tersebut disokong oleh sistem ABS yang didatangkan sebagai ciri standard.

Kehadiran Suzuki GSX1250FA bakal merancakkan lagi suasana pasaran industri dua roda. Sekurang-kurangnya, jentera ini dapat membeli variasi pilihan baharu selain model sedia ada BMW K1300S, Kawasaki Ninja 1000 dan beberapa model daripada pengimport bebas seperti Yamaha FZ1 dan Honda VFR1200F.

Sumber