Thursday, 27 March 2014

Info Grafik : Kaedah Abad ke-19




TRAGEDI MH370: SAYU, AYAH MASIH HIDUP - AHMAD SETH ZAHARIE


AHMAD Seth bersama kakak, Aishah (kiri) serta ibu, Faizah Khanum Mustafa Khan.

Subang Jaya: “Selagi tidak tengok dengan mata saya sendiri serpihan atau bukti pesawat berkenaan terhempas, saya percaya ayah masih hidup,” jelas anak bongsu juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Ahmad Seth Zahari, 26, berkata, dia tidak terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perjalanan MH370 yang sepatutnya tiba di Beijing berakhir di selatan Lautan Hindi memandangkan pesawat berkenaan sudah lebih dua minggu dilaporkan hilang.

“Saya tenang dan tidak terkejut. Itu yang boleh saya katakan sebaik mendapat berita perjalanan MH370 yang dikendalikan ayah berakhir di selatan Lautan Hindi.


“Ini mungkin kerana naluri saya kuat mengatakan ayah masih hidup. Walaupun saya tahu peluang itu (masih hidup) tipis tetapi selagi tiada bukti menunjukkan perkara itu, saya rasakan yang ayah masih ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Subang Jaya, kelmarin.

Walaupun bersikap tenang, namun riak wajah pelajar sebuah kolej bahasa asing itu gagal menyembunyikan seribu kesedihan kerana selepas 18 hari, misteri kehilangan pesawat dikendalikan bapanya belum menemui sebarang jawapan yang pasti.

Sumber

"Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak, papa tak balik," terang Intan pada anak



KUALA LUMPUR: "Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak,papa tak balik,papa di syurga,kalau nak papa kena baca doa selalu...''

Bait-bait ayat Intan Maizura Otheman, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan kepada anaknya, Iman ketika di tangga rumahnya benar-benar meruntun jiwa.

Iman yang berusia dalam lingkungan tiga tahun mengangguk-angguk seakan benar-benar faham keperitan ditanggung ibunya sejak hari pertama pesawat MH370 hilang 8 Mac lalu.

Sebelum itu anak kecil ini dilihat hanya berdiri di tangga dan tidak berkelip matanya memandang ramainya tetamu di rumahnya sepanjang semua membaca surah Yassin dan menunaikan solat hajat.

Kuatnya hati, jiwa dan semangat Intan yang mengandung anak ketiga yang bakal melihat dunia dalam masa kurang dua bulan lagi tidak dapat dizahirkan dengan apa-apa perkataan juga di dunia ini.

Semua yang menghadiri majlis bacaan Yassin dan solat hajat di kediamannya di Kota Kemuning kagum dengan ketabahan ditunjukkan Intan juga rakan-rakan Hazrin yang lebih senang dipanggil Rain.


Sepanjang majlis, Intan tidak lepas didakap rakan-rakan yang memberi semangat serta kata-kata menuntut ketabahan wanita ini berterusan.

Utuhnya kepercayaan wanita ini kepada realiti serta qada dan qadar yang ditentukan Allah.

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

"(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.'' - Al-Hadid 22-23.

Esakan perlahan Intan yang duduk di bahagian belakang pada saat bacaan Yassin bergema di rumahnya masih dapat didengari. Allah maha mendengar permintaan hamba-Nya yang meminta dan seluruh negara memohon serta mengharapkan pengakhiran yang baik pada tragedi MH370 ini.

"Saya akan move on, saya redha apa yang terjadi, saya akan besarkan anak-anak dan jika benar dia (Hazrin) bersemadi di Lautan Hindi, tenanglah dia di sana.''

Duka Intan sama sedihnya dengan semua keluarga penumpang MH370 lain. Pilu Intan tidak ada bezanya dengan mereka yang terlibat dalam tragedi ini.

Menceritakan saat-saat akhir Intan menghantar Hazrin ke tempat kerja pada hari kejadian, katanya tidak ada sebarang kelainan yang ditunjukkan.

Seperti biasa bersalaman dan ungkapan "I love you'' menjadi tiga perkataan terakhir sebelum berpisah seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinganya.

Intan mengakui sejak malam sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berhenti di Lautan Hindi, fasa baru hidupnya bermula.

Melalui detik paling pedih dalam hidup, kehilangan suami yang juga `buddy' (kawan baik) menjadikan Intan menjadi lebih tabah dalam membesarkan anak selain jauh di dalam hati, masih ada sekelumit harapan menanti kepulangan Hazrin.


Rentetan meluahkan sejujur-jujurnya apa yang dirasa di dalam media sosial termasuk impian menjadi ketua bidadari di syurga, itu sudah cukup meruntun hati jutaan rakyat negara ini yang tidak berhenti berdoa masih menyimpan ada harapan untuk sesuatu perkara positif di akhir kisah tragedi ini.

"Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi..'' - Yaasin 81-82.


Hanya kira-kira lima soalan yang dilontar pemberita pada malam solat hajat di kediaman Intan pada malam Khamis ini.

Soalan yang diaju lebih berkisar menuntut jawapan peribadi dan tabahnya Intan menjawab satu demi satu pertanyaan dengan cukup menyakinkan, wanita ini benar-benar sudah bersedia mengharung fasa demi fasa masa dan apa juga yang akan berlaku di hadapannya.

Cuma pada soalan keempat yang bertanya apa penjelasan diberi kepada anaknya terhadap kehilangan papa, tiba-tiba Iman datang dan duduk di pangkuan, pada saat dikatakan `aeroplane' papa rosak dan papa tidak akan balik rumah, mata Intan mula berkaca kembali dengan jernih air mata kasih seorang mama.

Sumber

Mengenang MH370: Nama sebenarnya 9M-MRO


9M-MRO yang kini lebih terkenal dengan nama MH370.

NAMA SEBENARNYA ialah 9M-MRO tetapi sejak 8 Mac yang lalu seluruh dunia lebih mengenalinya dengan nama MH370.

Pesawat jenis Boeing 777-200 itu adalah yang ke-404 dikeluarkan oleh syarikat pembuat kapal terbang Boeing.

Ia mula terbang pada 14 Mei 2002.

Pada 8 Mac yang lalu, ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing. Ia meninggalkan landasan pada 12.41 pagi dan dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Pesawat yang membawa 239 orang penumpang dan 12 anak kapal itu bagaimanapun tidak kunjung tiba.


Selepas lebih 400 jam gagal dikesan, pesawat itu disahkan pada kali terakhir berada di selatan Lautan Hindi — daerah paling terpencil di dunia, lautan dalam yang paling bergelora. Bagaimana dan kenapa ia lepas jauh daripada destinasi tujuan, sehingga kini tidak ada siapa yang tahu.

Sehingga penerbangannya yang terakhir, 9M-MRO telah terbang selama 20,243 jam.

Inilah antara rakaman video yang menunjukkan keunggulan pesawat itu semasa hayatnya.





Sumber

Wednesday, 26 March 2014

BONGKAR !!! GURAUAN TERAKHIR KAPTEN ZAHARIE KINI MENJADI NYATA..



KUALA LUMPUR 25 Mac - Gurauan juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah kepada kenalan rapatnya bahawa rakannya itu tidak akan menjumpai pusara Zaharie merupakan satu petanda yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.

Menurut laporan Bernama, Mohaza Mohaza, yang dipercayai kenalan rapat kepada Zaharie berkata, dia tidak menyangka bahawa gurauan daripada juruterbang itu pada Hari Raya Aidilfitri lalu di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang merupakan satu kiasan untuk pergi meninggalkan semua.

"Zaharie memberitahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa kubur atau pusaranya. Inilah rupa maksudnya. Baru saya mengerti. Pusaranya di Lautan Hindi.

"Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas rohnya dan juga muslimin muslimat pesawat MH370 kesemuanya serta ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin," katanya.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth, Australia.

Sementara itu, anak kepada Zaharie, Ahmad Idris Zaharie turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan bapanya.

Di laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie MH370', Ahmad Idris menulis "Terima kasih semua untuk sokongan yang diberikan. Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini. Al-Fatihah."

Anak perempuan Ketua Pramugara, Andrew Nari, Maira Elizabeth turut memuat naik gambar ayahnya dan menulis di laman Twitter, "Rasa begitu kehilangan, begitu kosong. Saya amat penat. Selamat malam ayah.

"Bagaimana saya boleh kuat? Bagaimana saya boleh tersenyum? Satu jawapan untuk soalan anda kerana saya percaya pada tuhan dengan kekuatan dan kepercayaan."


Dalam pada itu, catatan isteri krew MH370, Mohd. Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman dalam laman sosial Facebooknya, amat menyentuh hati.

"Pada 8 Mac lalu memang mami dah jangka yang awak sudah berada di syurga tetapi pada keesokan harinya saya tetap berfikiran positif dan berharap awak masih hidup dan kembali pulang.

"Hari berlalu dan tiada berita sehingga malam semalam, 24 Mac, pada pukul 9.30 malam saya menerima berita yang awak dan penumpang lain sedang berehat di lautan yang sangat dalam, Lautan Hindi. Ia amat memeranjatkan tetapi Allah lebih menyayangi awak. Saya reda dengan pemergian awak, B.


"Apa yang berlaku sangat misteri tetapi siapalah kita untuk menyoal kuasa Allah. Allah pasti ada perancangan yang lebih baik untuk awak dan saya," katanya.

Tambah Intan, bermula hari ini (semalam), beliau akan menjadi wanita bionik untuk berhadapan realiti.

"Saya akan memberitahu Iman bahawa anak kecil itu kehilangan papanya sementara Muhammad akan menjadi tiang untuknya teruskan hidup. Insya-Allah Iman dan Muhammad tidak akan mengecewakan awak," jelasnya.

Jelasnya, cinta terhadap suaminya akan kekal sehingga ke syurga.

"Adakah awak ingat lagi semasa saya memberitahu untuk menjadi bidadari di syurga? Saya amat cemburu sekarang awak bersama mereka tetapi tidak mengapa, saya akan bersama awak kemudian. Kan Allah dah janji mati itu pasti.

"Awak adalah suami dan ayah yang terbaik. Allah maha besar kerana meminjamkan awak kepada saya walaupun sekadar untuk tempoh yang singkat. Kenangan itu sangat manis dan terbaik. Semoga Allah tempatkan awak di tempat orang-orang yang beriman. Saya cinta awak, B," katanya.

Sumber

GEMPAR !!! Malindo Air: Saksi dengar bunyi LETUPAN

26 Mac 2014
Penumpang pesawat Malindo Air selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan pesawat lain di Kuala Terengganu, hari ini. Dalam kejadian pukul 7.30 pagi tadi, sebuah pesawat Malindo Air yang yang membawa penumpang termasuk pemain bolasepak Terengganu itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang selepas sebuah daripada enjinnya terbakar.
 Pesawat berkenaan bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat tanpa insiden lain serta tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
- Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Seorang penumpang pesawat Malindo Air yang sebuah enjinnya terbakar ketika dalam penerbangan dari Subang ke sini hari ini, berkata beliau terdengar bunyi letupan sebelum melihat api di bahagian itu.
 
"Saya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk menimpa kami," kata Mohd Fazi Subri, pemain tengah pasukan bola sepak Terengganu, iaitu antara 53 penumpang penerbangan itu.
 
Beliau yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, berkata kejadian berlaku ketika pesawat baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Subang.
 
"Kesemua penumpang agak panik namun sikap profesional kru serta juruterbang berjaya mengawal keadaan," katanya.
 
Malindo Air dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur mengesahkan kejadian dan memberitahu pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang serta mendarat dengan selamat. Tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian berlaku ketika pesawat itu berada di ketinggian 7,000 kaki setelah berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada 7.30 pagi.


Menurut pemain pertahanan pasukan, Mohd Zubir Azmi pula, selepas selamat mendarat mereka pada mulanya mahu pulang ke Terengganu dengan menaiki bas kerana takut dengan kejadian yang dilalui.
 
"Akan tetapi pihak syarikat penerbangan memberi kami penerbangan ganti yang berlepas 11.15 pagi tadi," katanya.
 
Pasukan Terengganu ketika itu dalam perjalanan pulang selepas perlawanan menentang pasukan ATM    di Stadium Selayang semalam. Terengganu membenam ATM 3-0.
 
Sementara itu seorang penumpang warga asing, Dietmar Gierlich, 31, memuji sikap anak kapal yang begitu profesional dalam menangani krisis tersebut.

"Mereka juga bertindak pantas. Penumpang lain juga memberi kerjasama yang baik menyebabkan semuanya berjalan lancar," katanya yang ke sini atas urusan kerja.
 
Beliau juga menegaskan insiden itu tidak akan menghalangnya menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan pada masa hadapan.
 
"Situasi itu boleh berlaku kepada sesiapa atau mana-mana kapal terbang di dunia ini," katanya. - Bernama

Sumber

MH370 !!! Data INMARSAT petunjuk utama

25/03/2014

KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di tengah Selatan Lautan Hindi, tumpuan kini beralih kepada data satelit INMARSAT yang digunakan untuk mengesan laluan penerbangan pesawat berkenaan.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kaedah yang digunakan adalah rumit dan yang pertama kali untuk siasatan insiden seumpama ini.

Selain itu operasi mencari dan menyelamat di Koridor Selatan yang ditangguhkan hari ini berikutan faktor cuaca akan disambung semula secepat mungkin.


Berikut sesi soal jawab media dan Hishammuddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Soalan: Kenapa baru 12 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi dan di mana anda mendapat bukti?
Azharuddin: Kami dapat maklumat daripada satelit dan INMARSAT. Kemudian kami perlu lakukan banyak analisis sebelum membuat pendedahan.

Soalan: Bolehkah berikan data terperinci mengenai paten pesawat, ketinggian dan lain-lain perkara?
Hishammuddin: Segala data terperinci akan kami agihkan kepada media kemudian. Jika selepas ini kamu ada soalan berkenaan data tersebut, sila e-mel kepada kami dan kami akan menjawab pada keesokan hari.

Soalan: Adakah bukti baru berkenaan pesawat terbabit terhempas di Laut Hindi?
Hishammuddin: Kami telah berbincang dengan pakar-pakar tetapi semua persoalan itu cuma boleh dijawab bila kita jumpa kotak hitam. Kita tidak akan mendedahkan penemuan baru kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Soalan: Ramai ahli keluarga penumpang mahu bukti kukuh?
Hishammuddin: Saya tahu perkara terbabit. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberitahu mereka tanpa kita telah pastikan bahawa serpihan pesawat terbabit adalah serpihan pesawat MH370. Bagaimanapun, saya optimis dan kita akan buat sedaya upaya.

Soalan: Kenapa sehingga hari ini masih belum ada bukti kukuh penumpang telah meninggal dunia dan apakah bentuk insurans disediakan oleh MAS?
Hishamuddin: Kedudukan pesawat terakhir, saya panggil lokasi am di tengah laut Hindi. Pesawat terbabit membawa minyak yang minimum dan tiada bukti pendaratan di darat. Jadi, kita boleh merumuskan bahawa pesawat terbabit jatuh di dalam air dalam tempoh 17 ke 18 hari dan adalah sukar untuk penumpang selamat dalam tempoh itu. Selain itu, kami juga sedang bekerja keras bagi menyediakan bantuan kewangan sewajarnya bagi mengurangkan beban keluarga penumpang.


Soalan: Bagaimana siasatan terkini simulator?
Khalid: Siasatan terhadap simulator masih lagi dijalankan dan tunggu laporan daripada rakan kita dari luar negara

Soalan: Adakah Malaysia masih akan mengetuai pasukan penyiasat utama?
Hishammuddin: Kita akan memastikan koordinasi kesemua 26 negara lain di dalam misi pencarian dan menyelamat. Malaysia akan merangka pelan untuk menjadi negara yang mengetuai.

Soalan: Sekiranya negara lain menarik diri, adakah Malaysia akan tetap meneruskan misi?
Hishammuddin: Tetap dan kita akan teruskan setelah mengambil inspirasi daripada kegigihan pasukan penyelamat Perancis sewaktu tragedi Air France selama dua tahun. Mereka juga berkongsi maklumat dengan kita.

Soalan: Apakah yang akan dibuat untuk menenangkan keluarga penumpang di China berikutan dakwaan mereka kerajaan Malaysia tidak menyalurkan maklumat tepat?
Hishammuddin: Kita akan sentiasa telus. Kita konsisten dalam pendirian kita. Apa jua spekulasi di luar sana dan apa jua tuduhan dilontar kepada kita, kita tidak akan berganjak daripada fokus utama iaitu mencari pesawat berkenaan.

Soalan: Adakah betul seperti yang anda beritahu di Parlimen yang kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan khas?
Hishammuddin: Itu tidak betul kerana, itu hanya cadangan di Parlimen dan saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah Angkatan Tentera Malaysia sedang mengendalikan siasatan mereka sendiri. Bagaimanapun, saya akan mengusulkan suruhanjaya siasatan diraja ini pada mesyuarat Kabinet nanti.

Soalan: Adakah serpihan pesawat akan dibawa ke Australia jika ditemui?
Hishammuddin: Saya tidak boleh memberi jawapan sekarang sama ada serpihan akan dibawa ke Australia. Saya akan memberi jawapan kemudian.

Sumber

BONGKAR !!! KRONOLOGI KEHILANGAN PESAWAT MH370



MISTERI kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-16 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.


8 MAC 

* Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.

* Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

* Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi membabitkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

* Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).


9 MAC 

* Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

* Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.


10 MAC 

* Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

* APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.


11 MAC 

* Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.

* Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.


12 MAC 

* Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

* Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

* Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.


13 MAC 

* Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

* China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.


14 MAC 

* Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

* Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.


15 MAC 

* Perdana Menteri tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

* Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

* Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.


16 MAC

* Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.

* Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.


17 MAC 

* Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.


18 MAC 

* Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.


19 MAC 

* Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.


20 MAC 

* Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang.

* Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

* Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.


21 MAC 

* Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

* Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

* Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.


22 MAC

* Transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

* Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.

* Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.


23 MAC 

* Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

* Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.


24 MAC 

* Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

* Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370  dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

* MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama

Sumber