Monday, 21 April 2014

BONGKAR !! AKHIRNYA PENGKALAN US DIEGO GARCIA BUKA MULUT ISU PESAWAT MH370


Akhirnya Pengkalan US Diego Garcia Buka Mulut isu MH370

Spekulasi kehilangan pesawat MAS MH370 sering dikaitkan dengan penglibatan Amerika Syarikat dan Diego Garcia.

Teori pesawat MH370 dikawal oleh teknologi drone, alat kawalan jarak jauh berkeupayaan tinggi AS dan diterbangkan sehingga mendarat di Lapangan Terbang Diego Garcia yang terletak berhampiran Pulau Maldives.

Pihak kedutaan AS di Malaysia tampil menafikan teori berkenaan.

Pihak kedutaan AS menafikan sekeras-kerasnya teori yang mengatakan pesawat itu mendarat di pangkalan tentera udara AS di pulau kecil itu.

Tuduhan itu adalah palsu dan pesawat berkenaan tidak mendarat di situ, kata seorang jurucakap Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur.

“Spekulasi bahawa penumpang MH370, Philip Woods menghantar mesej foto dari Diego Garcia juga tidak benar,” katanya.


Menurut beliau, AS turut menolak dakwaan beberapa orang yang menyaksikan pesawat dengan skim warna seakan sama dengan MH370 terbang rendah di ruang udara Maldives pada pagi 8 Mac lepas.


”Tidak ada petunjuk bahawa MH370 terbang di mana-mana berhampiran Maldives atau Diego Garcia,” katanya.

Berkaitan data, jurucakap itu menambah bahawa ia hanya memberi maklumat atas permintaan dan Malaysia tidak meminta data dari satelit Amerika yang terletak di Pine Gap, Australia.

Jurucakap itu berkata usaha kerjasama Malaysia dan Australia, tujuh kapal Tentera Laut AS bersama 26 negara lain dilakukan berdasarkan kawasan yang dikenalpasti oleh pakar-pakar Malaysia dan antarabangsa..

Sumber Infomedia

BONGKAR !!! Harta karun milik Kesultanan Islam

AMRAN ALI

PULAU NANGKA - Harta karun bernilai berbilion ringgit yang dipercayai tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka, hanya boleh digunakan untuk kebajikan.

Itulah yang diberitahu kepada media oleh syarikat yang dipertanggungjawab melakukan kajian serta mencari bukti bergambar mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Pengarah Urusan syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said mendakwa, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan berbai’ah dan tidak boleh digunakan sesuka hati.

“Saya hendak tekankan perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan menerusi pengkajian kami secara teknologi dan spiritual, harta Kesultanan Islam Melayu Melaka memang tidak keluar dari bumi dan perairan Melaka termasuk isi kapal Flor De La Mar,” katanya.

Semalam, wartawan Sinar Harian, antara yang diberi peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pulau yang dikatakan pernah berperanan sebagai markas para Wali Allah.

Rombongan tersebut turut disertai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas serta Ketua Jabatan Warisan Negara, Zon Selatan, Johar Kadis.

Tidak seperti kunjungan pertama, kali ini kami diberi peluang menyaksikan sendiri kerja-kerja menebuk lubang pintu di samping menyaksikan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di Pulau Nangka.

Menurut Mohammad Foad Khushairy, kehadiran syarikatnya di Pulau Nangka bermula pada Julai 2012 dan kerja-kerja tersebut akan berakhir pada 30 April ini.

Setakat ini, pihaknya begitu yakin akan menemui bukti sebagaimana yang diharapkan mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Katanya, kerja-kerja penebukan pintu dinding batu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 27 April ini.

"Berdasarkan laporan geoteknikal dengan alat pengimbas bumi, kami yakin memang terdapat harta karun dan barangan artifak di sini. Lantaran itu, kami terpaksa membuat pintu baharu untuk tembus ke bawah.


“Bila kita dapat masuk ke ruang bawah, maka kita akan dapat masuk kesemua bilik yang terdapat di sini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi imbasan yang dijalankan terdapat 20 bilik di dalam pulau seluas 20 hektar itu yang pernah dibina di zaman kemuncak Islam Kesultanan Melayu Melaka.

“Kami terpaksa menambah tenaga kerja. Kalau sebelum ini hanya 23 orang tetapi menjelang Isnin ini meningkat kepada 40. Kebanyakan mereka memang pakar dalam melakukan kerja menebuk bongkah batu.

“Kesemua dinding batu terbabit mempunyai ketebalan antara 3.5 hingga lima meter serta mempunyai kedalaman lapan meter dari puncak bukit. Tempat yang kita tebuk semua kita sudah imbas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh dimasuki.

“Ada pintu, sudah hampir 50 peratus siap manakala pintu kedua hanya 30 peratus sahaja untuk kita masuk ke dalam. Proses dan kaedah yang dilakukan terpaksa mengambil masa sehingga hampir dua tahun kerana perlu dijalankan pelbagai peringkat dan prosedur,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pun sudah banyak pihak yang berjaya masuk dan menembusi pintu berkenaan tetapi tidak boleh membawa harta itu keluar.

“Apa yang ada di pulau ini memang penjajah terdahulu sudah tahu baik Belanda, Inggeris dan Jepun, mereka cuba ambil tetapi tidak dapat.

“Struktur tembok batu yang dibina ini memang benar-benar kukuh dan kalau di kira sekarang hendak membinanya memang tidak mampu.

“Jadi sebagaimana orang dahulu bersusah payah dan sebagaimana mereka mempertahankan bumi Melaka daripada penjajah, kita hari pun kena macam itu,” katanya.

Selain itu, beberapa simbol unik turut ditemui sepanjang penjelajahan kami di sebahagian pulau berkenaan.

Selain ukiran bulan sabit serta peta Pulau Nangka yang pernah dipaparkan sebelum ini, semalam kami telah menemui beberapa lagi tanda dan simbol antaranya batu berbentuk piramid dan batu berkenaan sama seperti yang terdapat di Pulau Serimbun terletak bersebelahan Pulau Besar.

“Di antara simbol lain yang ditemui adalah ukiran batu seperti orang Islam sedang solat iaitu melakukan duduk antara dua sujud, batu berbentuk ulas nangka.

“Simbol bulan sabit yang ditemui juga tertera kalimah “Muhammad Bin Abdullah” serta “Al-Mahdi”,” dakwanya.

Secara kesimpulannya, selain isu harta karun yang semakin memuncak heboh diperkatakan, Pulau Nangka sebenarnya adalah satu lagi lambang perkembangan syiar Islam di rantau ini dan ia pernah menjadi markas para wali termasuk beberapa Wali Songo.

Para pengkaji benar-benar yakin, harta berkenaan hanya boleh dikeluarkan oleh mereka yang berhak dan tidak boleh digunakan untuk tujuan sembarangan.

Sekiranya ada niat lain, pasti akan menerima musibah. - Sinar Harian

TERBAEKKK !!! Kecekapan juruterbang MH192 dipuji


Hishammuddin tekun mendengar penerangan dari Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak mengenai insiden pendaratan cemas MH192 di KLIA hari ini. - Foto dipetik dari Twitter Hishammuddin Hussein

SEPANG - Rata-rata penumpang pesawat Malaysia Airlines MH192 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini memuji kecekapan juruterbangnya melakukan pendaratan dengan baik dan lancar.

Masluhuddin Khan, 30-an, warga Australia berketurunan India berkata, walaupun ini merupakan detik yang agak menakutkan dalam hidupnya namun juruterbang MAS melakukan pendaratan dengan baik sekali.

Malah juruterbang itu memaklumkan kepada penumpang melalui sistem interkom setiap 20 minit mengenai langkah dan tindakan yang diambil olehnya semasa berlegar-legar di ruang udara selama empat jam, katanya.


"Semua penumpang tenang sahaja di dalam pesawat, semuanya dalam keadaan baik di dalam kabin," katanya semasa ditemui pemberita.

Masluhuddin ditemui bersama 159 penumpang dengan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya di bangunan satelit KLIA.

Kebanyakan penumpang menunjukkan reaksi tenang dan senang untuk ditemu ramah pemberita.

Kapal terbang itu dikemudi Kapten, Nor Adam Azmi dan dibantu pembantu juruterbang, Prakash Kumar. - Bernama

Sumber Sinar Harian

Thursday, 17 April 2014

GEMPAR !!! Bangkai pesawat MH370 telah ditemui?



Seorang pemburu bangkai yakin pasukan mencari sudah menemui kawasan di mana pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas dan kotak hitam dipercayai akan dikesan tidak lama lagi, lapor Sydney Morning Herald (SMH).

Pengarah Blue Water Recoveries, Davied Mearns, dalam program 7.30 ABC semalam, berkata beliau yakin berdasarkan kepada kekuatan mereka, empat ping yang dikesan kapal tentera laut Australia, Ocean Shiled minggu lalu adalah dari kotak hitam.

“Saya fikir, pada asasnya mereka sudah menemui kawasan bangkai,” SMH memetiknya sebagai berkata dalam program berkenaan.

“Walaupun kerajaan masih belum mengumumkannya lagi, jika seseorang tanya saya 'secara teknikal adalah mereka mempunyai maklumat mencukupi untuk berkata demikian?', jawapan saya jelas, ya.

“Mereka terima empat pengesanan yang sangat baik dengan spectrum bunyi yang tepat datang dari mereka dan ia tidak boleh daripada benda lain,” katanya.

Mearns, seorang warga Amerika, dianugerahkan pingat Order of Australia kerana berjaya menemui bangkai kapal HMAS Sydney pada 2008, iaitu 66 tahun selepas ia hilang di Lautan Hindi ketika Perang Dunia Kedua.

Beliau juga membantu dalam operasi mencari bangkai pesawat Air France 447 di Lautan Atlantik pada 2011, lapor SMH.

Mearns berkata, pegawai mencari mengambil sikap berhati-hati demi menjaga perasaan keluarga pesawat dan anak kapal sementara mereka menunggu kenderaan robotik dasar laut (AUV) Bluefin-21 untuk membawa pulang bukti bergambar bangkai pesawat itu.

Kapal selam mini itu dihantar lagi malam tadi dari Ocean Shield selepas tidak ada apa-apa yang menarik ditemui daripada data terkumpul dari misi pertamanya pada Isnin, menurut kenyataan Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) di Perth, hari ini.

Setiap misi AUV mengambil masa 16 jam.

Perkakas sonar itu mengambil kira-kira dua jam untuk turun ke kedalaman 4,500 m sebelum mengimbas kawasan pencarian antara seluas 5km x 8 km persegi. Ia kemudian akan kembali ke kapal Ocean Shield untuk menukar bateri.

Data dari perkakas itu mengambil masa sehingga empat jam untuk dianalisis.

Kapten tentera laut Amerika Syarikat, Mark Matthews memberitahu Fairfax Media, Bluefin-21 mengkaji kemungkinan kawasan serpihan dan mengukur kepadatan objek berkenaan untuk mengenal pasti jika sesuatu itu kelodak atau kilauan logam, yang boleh memberi petunjuk bangkai pesawat.

Sebaik sahaja objek buatan manusia dikenal pasti, pengendali operasi mencari boleh memprogramkan semula Bluefin-21 untuk mengumpul imej beresolusi tinggi.


“Anda kemudian boleh menukar sistem sonar dengan sistem pengimejan, sistem kamera, untuk mengambil gambar kawasan serpihan bagi membolehkan anda mengenal pasti secara positif ia adalah bangkai pesawat atau benda lain,” kata Matthews.

Beliau berkata, pencari mempunyai “beberapa petunjuk positif” di kawasan yang sebenar, termasuk mengesan empat isyarat akustik sonar dan tumpahan minyak yang ditemui pada Isnin.

Mearns berkata, kejayaan dalam siasatan itu datang bersama analisis laluan penerbangan MH370, yang memperincikan kawasan carian.

“Di satu tempat, pecahan kebijaksanaan yang hebat disatukan untuk benar-benar mengecilkan kawasan pencarian, itulah caranya pencari dan penyiasat dapat mencarinya dengan cepat,” katanya dalam program ABC itu.

“Ocean Shield hanya baru beberapa hari di situ dan mereka dapat menemui sesuatu. Ia adalah kejayaan yang baik dan keajaiban,” katanya.

Sebanyak 11 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal akan membantu dalam operasi mencari hari ini, kata JACC.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang kawasan pencarian visual kira-kira 55,151 km persegi. Pusat kawasan mencari terletak kira-kira 2,000km barat laut Perth.- TMI

Sumber BeritaOMG

TRIUMPH Tiger Sport jentera touring paling selesa!

NIK N HIDAYAT
Tiger Sport boleh ditambah dengan beberapa bagasi pilihan yang ditawarkan Triumph.

SUKAR untuk kita menjustifikasikan sesuatu perkara yang subjektif dan berbeza-beza mengikut cita rasa individu. Akan tetapi, secara jujurnya, boleh saya katakan kebanyakan justifikasi kepada hasil kerja mekanikal jenama Triumph sangat impresif.

Pada awalnya, saya cukup takut pendapat saya kepada mesin-mesin Triumph adalah berat sebelah atau mungkin akan dilabel sebagai ‘syok sendiri’. Setelah berkongsi pandangan bersama orang-orang lama dalam industri motosikal, saya yakin dengan kebolehpercayaan kepada jenama ikonik British itu.

Pengalaman selama lebih 110 tahun sejak kewujudannya sehingga kekal pada hari ini digunakan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang hebat di atas jalan raya.

Saya masih terbayang-bayang keindahan ciptaan Bonneville T100 yang baru diuji tempoh hari. Mungkin satu hari nanti, saya akan pastikan Bonneville antara salah satu koleksi peribadi dalam garaj saya kelak.

Pengedar rasmi motosikal Triumph, Fast Bikes Sdn Bhd (Fast Bikes) baru sahaja membawa masuk varian Tiger Sport bersempena dengan pembukaan pusat pameran utama di Seksyen 13 Petaling Jaya pada hujung tahun lalu.

Tiger Sport merupakan varian baharu yang menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk badan, prestasi pengendalian dan kuasa enjin.

Pada hujung minggu lalu, Fast Bikes memberi saya peluang menguji jentera touring ini untuk ke Pulau Pinang bagi menyaksikan majlis pelancaran cawangan Triumph di sana.

Bagi saya, peluang tersebut merupakan yang terbaik untuk menguji sejauh mana kebolehpercayaan jentera ini terutamanya dalam melengkapkan perjalanan jarak jauh.

Pada hari yang dijanjikan, saya menerima kunci Tiger Sport berwarna putih selain pilihan warna merah yang ditawarkan dalam pasaran.

Jentera ini mempunyai sentuhan rekaan yang lebih bergaya di samping swing-arm tunggal. Penawaran ciri ini lebih terserlah dengan set sport rim yang anggun.

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Tiger Sport baharu diperbaharui dari segi reka bentuk ekor dan lampu belakang, panel sisi, pengadang angin dan tempat duduk yang lebih rendah.

Prestasi

Tiger Sport dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC yang menghasilkan 123 kuasa kuda dan mempunyai tork puncak 104Nm. Jentera ini direka sebagai motosikal pengembaraan, tetapi tidak berkecenderungan ke arah tujuan yang lebih lasak ke laluan off-road. Mungkin watak itu lebih sesuai dipegang Triumph Explorer 1200.

Triumph sememangnya terkenal dengan penawaran sudut tunggangan yang selesa dan lembut tanpa mengetepikan tahap prestasi enjin.

Sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang bersama ahli Rat-Pack, jentera ini berjaya membuatkan saya lebih gemar kepada teknologi tradisi Triumph.

Ternyata, ia bukan hanya kerana faktor jenama, tetapi penawaran prestasi yang memuaskan dan wajar dihargai.

Enjin tiga silinder 1050cc Triumph fleksibel dan berkuasa. Ya, saya setuju untuk mengatakan enjin Tiger Sport terlebih lembut dan mungkin menjadi defisit jika disasarkan kepada golongan yang mahukan sensasi tork.

Tetapi secara peribadi, saya lebih gemar prestasi enjin yang lembut seperti yang dibawa Tiger Sport untuk mendapatkan keselesaan tunggangan dan menghargai suasana perjalanan lebih santai.

Daya pecutan tidak menghampakan dan masih mampu memberi daya pecutan walaupun pada kitaran enjin rendah dalam gear terakhir.

Oleh kerana itu, saya tidak perlu menukar gear terlalu banyak di sepanjang perjalanan di lebuh raya. Kelajuan selesa Tiger Sport adalah antara 140 kilometer sejam (km/j) hingga 170 km/j. Tidak ada masalah sekiranya anda mahu memecut melebihi 200 km/j.

Tindak balas pendikit cukup baik walaupun tidak dibekalkan dengan sistem Ride-by-Wire (RbW) seperti mana motosikal moden lain. Namun, saya lebih menyukai motosikal yang lebih ringkas tanpa terlalu banyak sistem elektronik.


Pengendalian impresif

Mengendalikan Tiger Sport di lebuh raya mudah dan seperti mana-mana motosikal touring, saiz dan ketinggian jentera banyak membantu untuk menjangka trafik di hadapan.

Memasuki ke trafik sibuk dalam bandar pulau mutiara tersebut, saya dapat mengendalikan motosikal dengan baik tanpa sebarang masalah walaupun sesak.

Menghala ke Ferringhi melalui jalan berliku, saya dapati prestasi Tiger di selekoh baik dan tidak terbeban dengan saiz dan ketinggiannya. Ia seolah-olah saya sedang mengendalikan motosikal yang lebih kecil.

Ketika di selekoh ketat, saya yakin dengan cengkaman brek cakera 320 milimeter (mm) dan angkum empat omboh Nissin. Fork Showa 43mm terbalik boleh laras dan penyerap hentak tunggal Showa pada bahagian belakang juga memainkan fungsi dengan cemerlang.

Lebih nilai daripada harga

Secara keseluruhan, Triumph Tiger Sport mudah untuk ditunggang sama ada di lebuh raya atau pun di dalam bandar. Jika anda sedang mencari motosikal pelbagai kegunaan, Tiger Sport wajar dipertimbangkan.

Mungkin ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan harian ke tempat kerja terutamanya yang jauh terpaksa berulang alik.

Aspek prestasi enjin, pengendalian dan nilai praktikaliti kepada jumlah harga yang ditawarkan adalah munasabah dan berbaloi.

Triumph Tiger Sport dijual pada harga RM85,900, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.- Sinar Harian

VESPA LXV 150 3V i.e utama elemen KLASIK

NIK N HIDAYAT

PENGIMPORT  tunggal dan pengedar skuter Vespa di Malaysia, NAZA Premira Sdn Bhd melancarkan varian tambahan terbaru dalam rangkaian produk jenama itu baru-baru ini.

Vespa LXV 150 3V suntikan bahan api menggabungkan gaya vintaj jenama ikonik Itali dengan teknologi Piaggio termaju.

Yehuda (kiri) menggayakan Vespa LXV 150 3V i.e.

Turut hadir pada acara pelancaran rasmi tersebut ialah Pengurus Jualan Piaggio Asia Pasifik, Yehuda Sangaran, Naib Presiden Kanan Bahagian Diversified NAZA Group of Companies, Abdul Hamid Ismail, dan Naib Presiden Naza Two Wheels, Nik Danial Nik Mahmood.

Vespa LXV 150 3V mengekalkan struktur binaan Vespa LX sebelum ini tetapi menerima beberapa perubahan untuk menyerlahkan lagi perincian konsep klasik.

Perubahan yang dilakukan adalah semata-mata untuk membawa semula nostalgia kegemilangan Vespa pada tahun 1960-an termasuklah kemasan kromium pada hendal berbentuk tiub, skrin pengadang angin, lampu hadapan bulat dan pelana kulit gaya baharu.


Pengenalan model ini tidak hanya tertumpu kepada elemen klasik yang diilhamkan, bahkan menekankan teknologi enjin dan sistem suntikan bahan api terbaharu.

Unit ini menerima enjin empat lejang 154.8cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik tiga injap sebagai penjana kuasa utama.

Enjin 3V sejukan udara dikatakan lebih ringan berbanding model sebelumnya. Enjin yang dibangunkan di kilang Pontedera lebih menumpukan pengurangan geseran dalam enjin dan penggunaan bahan api lebih efisien.

Usaha intensif pengeluar skuter ikonik tersebut berjaya menghasilkan enjin yang lebih cekap bahan api - kira-kira 30 peratus lebih baik daripada generasi sebelumnya di samping kadar pelepasan pencemaran yang lebih rendah dan peningkatan tahap prestasi.

Varian terbaharu ini masih mengekalkan penggunaan lengan ayun tunggal pada bahagian hadapan dengan suspensi hidraulik. Manakala, sistem kejutan bahagian belakang boleh laras kepada empat tetapan pra-beban.


Skuter ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70 11 inci dan tayar belakang 120/70 10 inci untuk menyediakan pengendalian mudah.

Bagi daya hentian pula, ia dilengkapi dengan brek cakera 200 milimeter (mm) di hadapan dan 110mm di bahagian belakang.

Ketika majlis perasmian di Pusat Vespa 3S Petaling Jaya, Nik Danial Nik Mahmood menyatakan skuter ikonik terbaharu ini bukan hanya membawa pesona klasik Vespa, tetapi turut melengkapkan trend fesyen masa kini selain daripada aspek teknikal asas enjin dan teknologi terbaharu.

“Vespa telah menggabungkan elemen penting dalam reka bentuk popular klasik dengan teknologi Piaggio terkini untuk menyediakan keseronokan tunggangan dalam bandar atau menikmati perjalanan santai di luar bandar,” kata Nik Danial Nik Mahmood.

“Inovasi teknologi terkini disemai dengan baik kepada gaya retro Vespa khas buat pelanggan-pelanggan kami dengan pakej gaya, praktikal dan ekonomi,” tambahnya.

Vespa LXV 150 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Midnight Blue, Rossa Chianti (Maroon) dan Beige dengan harga jualan asas RM 11,658.00.

NAZA Premira menyasarkan penjualan sebanyak 2000 LXV 150 3V bagi tahun ini. Syarikat milikan Bumiputera itu turut merancang untuk membawa tiga lagi model pada tahun ini termasuk Vespa Primera. - Sinar Harian

TAKZIAH !!! 2 Gambar kemalangan maut libatkan kenderaan Karpal Singh



Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan dekat Tapah awal pagi ini.

Pembantu beliau Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan kira-kira jam 1 pagi tadi.

Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).


Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kereta kenderaan Karpal rosak teruk.

Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.

Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.

Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978.

Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'.

Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan.


Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter.

"Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulis twit tersebut.

Sementara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersedih dengan pemergian pemimpin veteran DAP itu yang turut menjadi peguamnya dalam kes Liwat II.

“Kami kehiangan sahabat; pejuang gigih keadilan Karpal Singh. Kami berbicara panjang melalui talipon jam 630 ptg semlm. Takziah buat keluarga,” kata Anwar di akaun Twitter @anwaribrahim.

Karpal merupakan salah seorang pemimpin yang menjayakan penubuhan gabungan pembangkang PR dianggotai DAP, PKR dan PAS selepas buat pertama kalinya majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) dinafikan di Parlimen.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis di akaun Twitter @khalid_ibrahim: "Perkhabaran sedih. Negara kehilangan tokoh politik & peguam yang berwibawa. Takziah kepada seluruh keluarga mendiang Karpal Singh." - Sumber Inikalilah

Wednesday, 16 April 2014

SEDIH !!! 'Saya marah dia mandi laut'

NIK MUHAMMAD RAFFIQ


Nelayan turut membantu mencari Ikhwan dan Solihin yang hilang sebelum masing-masing berjaya ditemui petang kelmarin.

PAKA - DUNGUN. Sebaik melihat orang ramai mengerumuni pantai, jantungnya tiba-tiba berdebar, rasa tidak sedap hati kerana semalam (kelmarin), dia lihat anak lelaki jirannya mandi laut di situ.

Bagaimanapun segala persoalan yang bermain di fikiran seorang wanita berusia lewat 30-an itu terjawab sebaik dimaklumkan bahawa mangsa yang hilang di laut  itu adalah anak rakan baiknya seperti diduga.

Berikutan itu, Ramlah Wahab, 38, tidak dapat menahan sebak sebaik mendekati rakannya, Nora Ismail, 41, yang sudah berada di tepi pantai untuk menunggu usaha pencarian anaknya, Khairul Ikhwan Rochim, 15, yang hilang ketika mandi bersama empat lagi rakannya di pantai Kampung Cacar, dekat sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Mengimbas kembali detik sebelum tragedi, Ramlah berkata, sehari sebelum kejadian, dia datang bersiar-siar di tepi pantai dekat situ dan ternampak kelibat Ikhwan sedang berseronok mandi laut.

Menurutnya, walaupun Ikhwan bukan anak kandungnya, kerana naluri seorang ibu, dia  memarahi mangsa  seperti anak sendiri.

Kata Ramlah, dia menasihati Ikhwan supaya segera naik ke darat kerana keadaan arus laut ketika itu agak deras dan boleh membahayakan keselamatan jika terus mandi.

“Saya sudah melarangnya beberapa kali, jangan mandi laut, bahaya, dulu sudah ada orang mati lemas dekat sini.

“Tak sangka hari ni dia mandi lagi, kalau dia dengar nasihat saya, dia takkan lemas di sini, kenapalah dia mandi lagi hari ini,” kata Ramlah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mangsa yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.

Menurut Ramlah, ketika tragedi itu berlaku, dia sengaja datang ke pantai Cacar untuk melihat sama ada Ikhwan masih mandi laut dan bercadang untuk memarahinya lagi jika terserempak dengan murid tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Paka itu.

Namun dia sama sekali tidak menyangka, orang ramai yang berada di situ rupa-rupanya sedang menunggu usaha pencarian mayat Ikhwan dan rakannya, Muhammad Solihin Mohamad Zaki, 15, yang dipercayai lemas.

Ibu rasa tak sedap hati

Ibu mangsa, Nora pula berkata, pagi sebelum kejadian, anaknya pergi ke sekolah, namun dia tidak tahu anak ketiga daripada enam beradik itu pergi ke arah pantai untuk mandi laut selepas pulang dari sekolah.


Kata Nora, ketika kejadian, dia berada di rumah dan rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu perkara buruk bakal terjadi.

Namun dia tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dimaklumkan seorang rakan mangsa yang anaknya lemas di laut lalu bergegas ke pantai untuk mengetahui keadaan sebenar.

Bagaimanapun suasana makin hiba apabila Nora yang menunggu hampir satu jam usaha pencarian mangsa hilang itu terus bangun lalu berlari ke arah laut sebaik diberitahu penemuan mangsa kedua, dipercayai anaknya pada jam 6.45 petang.

Tambah menyayat hati apabila  Nora yang tidak dapat menahan sebak hanya menyebut kalimah ALLAH, selain mengusap kepala anaknya beberapa kali tanda syukur atas penemuan mayat mangsa selepas lebih satu jam dia dilaporkan hilang.

“Nak, mak datang sini, syukur mak dapat jumpa kamu.

“Tapi kamu dah tak ada lagi nak, kamu dah tak ada,” kata Nora yang tidak henti mengalirkan air mata.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, keseronokan lima sahabat mandi laut selepas pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas.

Ketika kejadian, dua rakan mangsa, Hassan Basri Zulkifli, 15, dan Shahwalfri Shahriza, 15, cuba menyelamatkan kedua mangsa namun gagal kerana dihanyutkan arus deras, menyebabkan Solihin dan Ikhwan tenggelam timbul lalu lemas.

Seorang lagi rakan, Hazimi Luqman Zainal Ariffin yang turut berada di situ cuba mendapatkan bantuan orang ramai yang berada di warung tidak jauh dari pantai, namun sebaik bantuan tiba, mangsa sudah hilang dari pandangan.

Mayat Solihin ditemui jam 6.33 petang manakala Ikhwan ditemui jam 6.45 petang.

Dalam kejadian bulan lalu, seorang pekerja syarikat petrokimia juga mati lemas ketika mandi laut berdekatan lokasi yang meragut nyawa dua remaja berkenaan. Sinar Harian