Monday 17 February 2014

Isteri pun boleh bohong suami

MUHAMAD MAT YAKIM
14 Februari 2014

MUHAMAD MAT YAKIM
Muhamad Mat Yakim

KEPADA suami, pernahkah anda dibohongi isteri? Isteri pula, pernahkah anda membohongi suami?

Saya tidak mengharap jawapan untuk soalan itu kerana pernah atau tidak pernah, sedar atau tidak, jawapan hanya ada pada diri anda sendiri. Cuma apa yang saya boleh katakan, tidak salah bagi isteri berbohong kepada suami, bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu!
 
Mungkin ada yang masih ingat, tidak lama dahulu saya pernah menulis bahawa tidak dianggap salah bagi seseorang suami membohongi isterinya, juga bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu.
 
Justeru, apa yang saya tulis ini adalah untuk menjelaskan bahawa sebenarnya keharusan untuk berbohong itu sama ada suami kepada isteri atau isteri kepada suami hukumnya sama selagi berada dalam ruang lingkup syarat-syarat yang diharuskan.

Saya nak bagi contoh, perut saya adalah seumpama tembikai masak dari ladang yang paling subur. Sudah sekian lama, apabila saya minta komen isteri mengenai 'tembikai masak' saya ini, dia kata "ok saja!"

Apabila saya merungut, dia menyabarkan saya. Ini meyakinkan saya bahawa dia memang tidak kisah. Lama kelamaan, saya pun ikut tidak kisah. Sebagai suami yang baik, keutamaan saya sudah tentu kepada isteri. Saya bertanggungjawab untuk jaga pandangannya terhadap saya. Apa yang dia tidak suka, saya perlu elak termasuklah dalam hal imej dan penampilan.
 
Jadi apabila dia kata 'ok' atau 'tak kisah' saya pun jadi tidak kisah. Makan minum bak kata orang, 'membujur lalu, melintang patah'.

Tiba-tiba beberapa hari lepas, di luar pengetahuan saya, isteri beli secara online tali pinggang menggunakan kuasa bateri yang gunanya untuk membakar dan memecahkan lemak pada 'tembikai masak' saya.
 
Ketika tali pinggang itu dihantar, hanya saya yang berada di rumah dan terkejut juga saya apabila ianya adalah untuk saya sedangkan bukan saya yang memesan tali pinggang itu. Dan lebih terkejut lagi apabila kotaknya dibuka, saya tengok rupa tali pinggang itu seakan yang selalu dibawa Stone Cold dan Tripple H dengan gambar lelaki perut berketak.
 
Setelah membelek itu ini, baharulah saya faham apa yang selama ini dikata ok oleh isteri mengenai 'tembikai masak' saya sebenarnya tidak ok. Niat dan tujuannya untuk menjaga hati saya supaya tidak tersinggung!

Memang dalam kebanyakan keadaan, kita suami isteri perlu berterus terang. Tetapi bayangkan kalau kita bersikap terlalu jumud dan langsung tidak ada keanjalan dalam komunikasi, bagaimana perasaan pasangan?
 
Hakikatnya, kita adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Ada ketika kita boleh terima kenyataan berterus terang orang lain, dan ada masanya juga kita akan tersinggung meskipun apa yang dikata itu betul.

Dalam konteks saya dengan isteri, sudah tentu sukar bagi saya untuk terima malah mungkin saya akan merajuk tidak makan nasi berhari-hari jika dia menjawab begini: "Betullah, memang perut abang tu boroi, macam orang mengandung 12 bulan. Buruk la.. Eeee, tak suka la tengok!!!"

Lalu apabila dia guna strategi dengan membelikan saya tali pinggang Stone Cold itu, saya terima malah saya teramat faham mesej yang cuba disampaikannya bahawa dia memang tidak suka 'tembikai masak' saya. Maka saya pun terima hadiah itu dengan senang hati dan memakainya setiap hari. Sekarang saya hanya tunggu masa untuk dipanggil 'abang ketak'!
 
Berbalik kepada soal bohong yang diharuskan, hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ummu Kalsum RA bahawa berbohong diharuskan dalam tiga keadaan iaitu ketika berperang, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan dan juga antara suami isteri untuk menjaga hati ataupun menggembirakan hati satu sama lain sekali gus memantapkan lagi kebahagiaan rumah tangga.
 
Seorang ustaz memberitahu saya, pembohongan seperti ini disebut kazbul beidh atau white lie kata orang putih. Istilah orang kita, bohong sunat tetapi saya tidak suka istilah itu kerana sunat dikaitkan dengan Rasulullah SAW sedangkan Nabi sifatnya siddiq, tidak pernah berbohong. Wallahua'lam.

Sumber