Thursday 20 February 2014

SELAMAT!!! Tiga jam terperangkap

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2014

Tiga jam terperangkap
Mohd Raziman diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam tiang menara pencawang komunikasi di Kampung Chawas, Tanah Merah, kelmarin.

TANAH MERAH - Seorang pekerja kontraktor syarikat telekomunikasi berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira tiga jam dalam tiang menara pencawang komunikasi di Kampung Chawas, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.45 petang berlaku ketika Mohd Raziman Mohd Rusdi, 26, ditugaskan memasang kabel ‘feeder’ menara pencawang itu yang sebelum ini hilang akibat dicuri.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, mangsa dan dua lagi pekerja menaiki menara itu kira-kira jam 6 petang.

“Apabila sampai pada ketinggian kira-kira 30 meter, mangsa dikatakan membuka salah satu besi penutup pada tiang menara itu dan masuk ke dalamnya untuk menukar kabel.

“Lubang dimasuki mangsa hanya muat-muat badan dan dipenuhi kabel. Mangsa bagaimana pun terperangkap di dalam tiang ketika hendak keluar hingga memaksa pekerja lain menghubungi bomba,” katanya.

Hanaffi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.07 malam dan sampai di lokasi berkenaan pada jam 8.15 malam.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba termasuk beliau yang mengetuai operasi menyelamat itu mengambil masa lebih satu jam sebelum dapat menurunkan mangsa dalam keadaan selamat.

“Mangsa berjaya diturunkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya memberitahu, operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.55 malam.

Sumber