Sunday 2 March 2014

BANGGA!!! 1MWER tiba di Chile


keadaan jalan yang terpaksa ditempuhi pasukan 1Malaysia World Endurance Ride sewaktu dalam perjalanan dari Mendoza, Argentina ke Santiago, Chile, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) kini berada di Santiago, Chile selepas menempuh perjalanan melebihi 35,000 kilometer (km) dari ibu negara sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua pasukan 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, mereka tiba di Santiago kira-kira 10 pagi ini waktu Malaysia selepas menunggang sejauh 390 km dari Mendoza, Argentina.

Katanya, perjalanan bagi sektor Mendoza ke Santiago itu amat mencabar kerana menggunakan jalan yang tidak berturap.

"Kami akan berada di Santiago sehingga Selasa ini untuk menyelenggara motosikal termasuk menukar tayar," katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

1MWER yang dilepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu negara pertengahan tahun lalu akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia.

Turut dianggotai Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, ekspedisi 1MWER dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan kerjasama Tourism Malaysia dan mendapat sokongan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Dalam pada itu, Zamri menarik perhatian rakyat negara ini supaya mensyukuri keprihatinan kerajaan dalam pemberian subsidi bahan bakar.

"Di Chile, satu liter petrol berharga RM6.50 manakala di Argentina pula RM4.20 bergantung kepada lokasi," katanya.

Perkembangan ekspedisi 1MWER boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1 Malaysia World Endurance Ride.

Sumber